Darussyifa' Online

Darussyifa' Online
klik pada imej untuk ke link

BIC Smart Shop

BIC Smart Shop
klik pada imej untuk ke pautan

Boikot Zionis La'natuLLAH!

Boikot Zionis La'natuLLAH!
klik pada imej untuk ke link

klik pada imej untuk ke link

klik pada imej untuk ke link

Selamatkan Gaza!

Selamatkan Gaza!
klik pada imej untuk ke link

Monday, June 30, 2008

Syarat-syarat Pemimpin yang Menepati Syari'at Islam

Rujukan: Islam dan Demokrasi tulisanAbdul Hadi Awang, di bawah bab "prinsip politik Islam".

Islam menentukan seorang pemimpin perlu mempunyai kewibawaan dalam aspek ilmu, akhlak dan bijaksana. Oleh itu, di dalam al-Quran menyebut seorang pemimpin dengan perkataan Ulil Amri. FirmanuLLAH : "Dan ulil amri di kalangan kamu".Ulil Amri bermaksud orang yang mengendalikan urusan-urusan politik, memimpin dan memerintah. Para sarjana Islam keseluruhan mazhab Islam menetapkan syarat-syarat kelayakan mnjadi pmimpin.

Antara syaratnya ialah:

1. Wajib memenuhi kelayakan 'aqidah.

2. Berakhlak mulia.

3. Mempunyai ketinggian ilmu.

4. Peribadi yang dihormati.

5. Peribadi yang dipatuhi.

Syarat2 yang dipenuhi secara individu dan kumpulan. Syarat yang tidak boleh dijualbeli dengan harta kekayaan. ALLAH mengutuk Firaun yang memimpin dengan kekerasan dan kebendaan, melaknat Bani Israil yang berpolitik rasuah menilai pemimpin dengan harta benda kekayaan, bukannya akhlaq dan ilmu. ALLAH menegaskan perkara yang wajib dilakukan oleh mereka yang memerintah adalah dengan membentuk diri mereka (pemimpin itu) sendiri dan masyarakatnya.

FirmanuLLAH :"Orang-orang yang kami bolehkan mereka memerintah bumi, mereka mendirikan sembahyang, mereka menunaikan zakat, dan menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran, dan baig ALLAH sahaja akibat segala urusan."-Surah al-Haj, ayat 41.

Mungkin sudah agak terlewat sedikit untuk saya mengemukakan tajuk ini memandangkan Pilihanraya Umum yg ke-12 sudahpun berlalu, tapi saya rasa ada baiknya ilmu ini dikongsikan sebagai pengetahuan dan pedoman bersama dan sebagai panduan untuk masa yang akan datang.

WaLLAHua'lam

Konsep Negara Islam Bukan Teori Idealisme Semata-mata

Konsep Negara Islam Bukan Teori Idealisme Semata-mata

Oleh: Ibn ‘AbdiLLAH

Islam merupakan agama yang mencakupi setiap aspek dalam kehidupan manusia, dan semestinya seluruh kehidupan manusia dari saat kelahiran sehingga kematiannya, dan sampailah ke Hari Akhirat nanti merupakan kehidupan yang ditimbang atas neraca Islam.
Apabila Islam itu dikatakan mencakupi seluruh kehidupan atau seluruh kehidupan terikat dengan hukum Islam, maka kehidupan berkeluarga, bermasyarakat dan seterusnya bernegara merupakan suatu kehidupan yang terikat dengan hukum Islam. Apabila kehidupan bernegara itu terikat dengan hukum Islam, maka undang-undang di dalamnya juga sudah sepatutnya merupakan undang-undang ataupun perlembagaan berlandaskan hukum Islam. Dan hukum-hukum Islam adalah hukum-hukum dari ALLAH Ta’ala ataupun berdasarkan ijtihad ulama’ daripada hadith-hadith RasuluLLAH SAW ataupun sekurang-kurangnya ijma’ para ulama’. Ianya tetap akan kembali kepada Islam.

Menolak hukum-hukum ALLAH SWT dan mengambil hukum-hukum buatan manusia bermaksud menafikan agama Islam, sekaligus menolak ajaran daripada ALLAH SWT. Menolak hukum ALLAH SWT adalah syirik dan bermaksud kufur kepada ALLAH SWT. Penolakan ini juga menempah bala kehancuran daripada ALLAH SWT. Azab seksanya merangkumi kehinaan di dunia dan kesengsaraan hidup di Akhirat kelak.

FirmanuLLAHu Ta’ala yang bermaksud;
“Apakah hukum jahiliah yang mereka kehendaki dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada hukum ALLAH SWT bagi orang-orang yang yakin?”
(Surah al-Maidah ayat 50).

Mentafsirkan ayat ini, Imam alHafiz Ibn Kathir berkata;
“ALLAH menempelak mereka yang menolak hukum ALLAH kerana mereka menolak hukum yang komprehensif kebaikannya, mampu mencegah segala kekejian serta bersifat adil…Contoh hukum yang dilaksanakan tanpa berlandaskan syariat ALLAH SWT ialah undang-undang negara bernama al-Yasaq yang dilaksanakan oleh golongan Tartar suatu ketika dahulu. Al-Yasaq ialah undang-undang yang diambil daripada ajaran Kristian, Yahudi, Islam dan agama lain, ditambah dengan ketetapan yang pernah diputuskan oleh Genghiz Khan, pemimpin Tartar. Sesiapa yang reda dengan perlembagaan ini, dia kufur kepada ALLAH”.

FirmanuLLAHu Ta’ala yang bermaksud;
“Wahai mereka yang beriman, masuklah ke dalam Islam secara keseluruhannya dan janganlah kamu ikut langkah-langkah syaitan. Syaitan adalah musuh yang nyata bagimu.”
(Surah al-Baqarah ayat 208).

Berdasarkan ayat ini, alHafiz Imam Ibnu Kathir dalam Tafsirul Quranul ‘Azhim berkata;
“ALLAH mengarahkan hambaNya yang membenarkan RasulNya supaya berpegang dengan segala ikatan Islam dan syariatnya serta meninggalkan segala larangannya sedaya upaya mereka.”

Nabi Muhammad SAW bersabda;
“ALLAH paling murka kepada mereka yang beragama Islam tetapi mengikut landasan jahiliyah dan juga kepada mereka yang ingin menumpahkan darah seseorang tanpa hak”.
(Hadith Riwayat atThabrani. Diriwayatkan juga oleh Bukhari dengan sedikit tambahan).

Saiyidina Umar alKhattab menegaskan;
“Kita adalah suatu golongan yang ALLAH muliakan dengan Islam. Apabila kita mencari kemuliaan dengan cara hidup yang lain daripada Islam, ALLAH akan menimpakan kehinaan ke atas kita”.

Imam al-Hasan berkata;
“Sesiapa yang berhukum dengan yang lain daripada hukum ALLAH SWT, dia sebenarnya berhukum dengan hukum jahiliyah”.


Dengan beberapa nas dan dalil yang dikemukakan, ianya amat terang dan nyata bahawa melaksanakan hukum Islam adalah wajib dan tiada kompromi. Pemerintah yang mengakui ketuhanan ALLAH SWT, dan mengakui kerasulan Muhammad SAW, serta membenarkan Kitab AlQuran sepatutnya melaksanakan hukum-hukum Islam apabila menjalankan pemerintahan.

Perlaksanaan hukum Islam dalam bernegara bermaksud mendirikan sebuah kerajaan ataupun negara Islam. Apabila menyentuh berkenaan mendirikan negara Islam ini, berlaku kontroversi yang melanda di kalangan masyarakat tentang persepsi mereka terhadap matlamat penubuhan negara Islam ini.

Ada yang menganggap bahawa matlamat ini adalah tidak praktikal di negara-negara yang mempunyai berbilang agama dan bangsa. Lebih teruk lagi, timbul dakwaan yang mengatakan bahawa apa yang ingin diwujudkan (penubuhan negara Islam) itu merupakan tidak relevan dengan zaman dan mengikut cara padang pasir di zaman purba kala. Munculnya dakwaan-dakwaan jahil ini adalah kerana kurangnya kefahaman orang Islam itu sendiri berkenaan dengan hukum-hukum Islam dan juga kita gagal menerangkan kepada orang bukan Islam tentang konsep negara Islam yang sebenar-benarnya.

Dalam aspek agama, Islam tidak membenarkan paksaan dalam beragama. Oleh itu, penganut agama lain dibenarkan menganut dan beramal dengan ajaran mereka.

FirmanuLLAHu Ta’ala yang bermaksud;
“Tidak ada paksaan untuk memasuki agama Islam”(Surah alBaqarah ayat 256)

Mereka tidak boleh diganggu atau dilarang melakukan perkara yang dibenarkan oleh agama mereka. Contohnya yang berkait dengan makanan, minuman dan lain-lain kecuali dalam perkara yang tidak berperikemanusiaan seperti upacara mengorbankan manusia yang berlaku di kalangan agama zaman dahulu. Mereka bebas melakukan upacara perkahwinan dan berkeluarga mengikut agama masing-masing. Hukum ini dikawal oleh syariat Islam yang dipetik secara nyata dalam AlQuran, hadith dan ijma’ para ulama’. Kesan daripada hak ini dapat dilihat dengan terang dan nyata di kalangan etnik bukan Islam yang masih wujud di tengah-tengah masyarakat Islam. Meskipun dalam hal politik Islam tidak diizinkan tetapi kesan ajaran yang berlandaskan ‘aqidah dan syariat tetap meninggalkan rasa tanggungjawab kepada orang Islam.

Namun begitu, undang-undang murtad yang dicatat di dalam kitab-kitab Islam adalah berkait dengan penganut agama Islam sahaja. Undang-undang tersebut tidak menyentuh hak penganut agama lain yang masih berpegang dengan agama mereka. Hukum ini juga tidak ada hubungannya dengan kedudukan orang yang bukan Islam. Hukuman murtad dikenakan ke atas orang Islam yang mencabar agamanya dengan cara yang terbuka. Islam meletakkan orang yang murtad yang secara jelas sudah melanggar perjanjiannya dengan Tuhan (apabila dia mengucap dua kalimah syahadah) dan menjadi ancaman kepada keselamatan negara dan masyarakat. Sesuatu hukuman itu tidak dilaksanakan dengan sewenang-wenangnya dan ianya perlu dilakukan dengan adil dan diberi peluang perbicaraan sehingga ada bukti yang kukuh. Individu terbabit diberi masa untuk bertaubat dengan seluas-luasnya. Dalam masa yang sama, pemerintah perlu melakukannya dengan penuh kebijaksanaan bersama dengan badan kehakiman.

Maka dengan realiti yang sedemikian, bagaimana pula hukum Islam itu dikatakan tidak relevan dilaksanakan di negara-negara yang mempunyai rakyat berbilang bangsa dan agama? Bukan sahaja tidak terdapat paksaan untuk memeluk Islam, malah kebebasan untuk melakukan adat-istiadat agama sendiri juga terjamin selagi tiada kezaliman sesama makhluk dilakukan.

Bukti-bukti daripada Sirah Nabi SAW membuktikan bahawa Nabi Muhammad SAW selaku pemimpin negara telah berjaya mewujudkan sebuah negara Islam iaitu Madinah, walaupun pada hakikatnya penduduk majoriti pada ketika itu adalah orang bukan Islam. Baginda berjaya mengharmonikan antara orang Islam dengan bukan Islam di bawah pentadbirannya berlandaskan syariat ALLAH SWT. Orang bukan Islam bebas beragama mengikut kepercayaan masing-masing, melaksanakan aktiviti ekonomi mereka, aktiviti keagamaan mereka dihormati dan tiada paksaan ke atas mereka memeluk Islam.

Semua ini menunjukkan tanda-tanda kejayaan sebuah kerajaan apabila hukum-hukum Islam dilaksanakan di dalamnya. Ini juga menjadi suatu dalil yang menunjukkan bahawa tidak wujud kekangan dalam menubuhkan negara Islam/ menegakkan hukum-hukum Islam dalam negara yang mempunyai rakyat berbagai agama dan kepercayaan.

Mungkin ada yang berkata bahawa kemajuan tidak dapat dicapai sekiranya kita melaksanakan undang-undang kolot padang pasir ini untuk sesebuah negara. Kenyataan ini bertentangan dengan prinsip Islam yang sememangnya menerima sesuatu yang baik selagi mana tidak terdapat percanggahan dengan syariat.

Semasa mentafsirkan ayat 96-97 dari Surah alKahfi (yang mengisahkan penggunaan teknologi/kaedah yang digunakan oleh raja Zulqarnain mengalahkan Yakjuj dan Makjuj), Said Hawwa dalam al-Asas fit Tafsir berkata;
“Orang-orang Islam dituntut supaya menggunakan hukum sebab-musabab dan tidak mengharapkan kejadian yang luar biasa bagi mencapai kejayaan. Kisah yang terdapat dalam surah ini menunjukkan Zulqarnain menggunakan pendekatan sebab-musabab yang pelbagai bagi mencapai matlamat perjuangan beliau dan aspek ini diabaikan oleh umat Islam hari ini”.

Telah berkata asSyahid Imam Hasan alBanna dalam bukunya Usul 20;
“Islam membebaskan akal, mendorong supaya menganalisis dan mengamati kejadian alam sekeliling. Islam mengangkat tinggi kedudukan ilmu dan ahli-ahli ilmu serta mengalu-alukan sesuatu yang baik dan bermanfaat. Hikmah (atau ilmu pengetahuan) adalah sesuatu yang hilang daripada tangan seorang mukmin. Di mana sahaja beliau mendapatinya, beliaulah yang lebih berhak memilikinya”.

Selain daripada dakwaan-dakwaan seperti yang telah disebutkan, tidak kurang juga ada sesetengah daripada golongan masyarakat dan tidak ketinggalan juga dari kalangan pemimpin yang merasakan bahawa matlamat penubuhan negara Islam ini merupakan suatu teori yang bersifat ideal, yang mana agak sukar untuk dicapai sehingga ke tahap itu. Pandangan ini boleh disanggah dengan banyak ayat-ayat alQuran yang antaranya bermaksud;

FirmanuLLAHu Ta’ala yang bermaksud;
“ALLAH tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.”
(Surah al-Baqarah ayat 286)

“Kemudian Kami jadikan kamu berada di atas suatu syariat (peraturan) daripada urusan agama, maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu ikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui”
(Surah al-Jathiyah ayat 18)

Berdasarkan kedua-dua ayat yang telah disebutkan tadi, amatlah jelas bagi kita untuk melihat bahawa setiap hukum-hukum berlandaskan syariat sememangnya merupakan suatu hukum yang realistik dan relevan untuk dilaksanakan dan ianya berpijak pada bumi yang nyata. Tiada istilah ‘idealisme’ dan ‘tidak mungkin’ jika ALLAH SWT telah mentaklifkannya untuk dikerjakan oleh manusia. Malah, ianya menandakan bahawa perkara yang ditaklifkan ke atas manusia itu merupakan perkara yang mampu dilakukan olehnya.

Perlu kita ingat bahawa kita sebagai manusia merupakan makhluk ciptaan ALLAH SWT, dan semestinya Yang Menciptakan itu tahu apa yang sesuai untuk bekalan hidup makhlukNya. Maka mengapa pula kita perlu menolak sesuatu yang sememangnya sudah cukup dan merupakan yang terbaik bagi kita, lantas kita ambil hukum-hukum buatan manusia yang tidak menepati syariat dan tidak menepati ‘nature’/sifat semula jadi/fitrah/naluri manusia.

Bala menolak hukum ALLAH SWT telah banyak melanda dunia sejak akhir-akhir ini. Jenayah seperti kecurian, rompakan, pembunuhan serta kes-kes seperti zina dan lain-lain semakin menular kerana semakin beraninya manusia untuk melanggar undang-undang, yang mana merupakan ciptaan manusia sendiri. Hukum buatan manusia tidak mampu untuk menandingi hukum-hukum ALLAH SWT Yang Maha Bijaksana kerana manusia sendiri tidak berkuasa untuk menundukkan seratus-peratus nafsunya. Jadi apabila hukum yang mampu mengawal manusia diketepikan, maka rosaklah manusia.

Supaya kehidupan kita dirahmati ALLAH SWT, kita wajib berusaha mendaulatkan undang-undang Islam sebagaimana yang sudah ditegakkan oleh Nabi Muhammad SAW dalam masyarakat majmuk di Madinah. Apabila umat Islam tidak memuliakan Islam, tidak ada sesiapa pun yang akan memuliakan Islam.

Saya mengajak saudara sekalian untuk sama-sama menghayati semula maksud Islam Yang Syumul/Lengkap/Sempurna/Menyeluruh yang pernah kita sama-sama pelajari suatu ketika dahulu, dengan menghayati firman ALLAH SWT serta kata-kata di bawah;

FirmanuLLAHu Ta’ala yang bermaksud;
“Pada hari ini Aku sempurnakan agamamu untuk kamu dan Aku sempurnakan nikmatKu ke atasmu dan Aku redhai Islam menjadi agamamu.” (Surah al-Maidah ayat 3)

Al-Hafiz Imam Ibn Kathir dalam Tafsir alQuran al’Azhim berkata, “Ini adalah nikmat yang paling agung yang dikurniakan ALLAH SWT kepada umat ini. Apabila ALLAH SWT menyempurnakan agama ini, umat Islam tidak memerlukan agama lain selain Islam dan mereka juga tidak memerlukan Nabi lain (selepas Nabi Muhammad SAW). Tidak ada perkara yang halal melainkan apa yang dihalalkan oleh Islam dan tidak ada perkara yang haram melainkan apa yang diharamkan Islam, tidak ada cara hidup lain melainkan yang berlandaskan syariat yang diturunkan ALLAH..”.

Dan juga firmanuLLAHu Ta’ala yang bermaksud;
“Apakah kamu beriman dengan sebahagian daripada al-Kitab dan kufur dengan sebahagian yang lain? Tidak ada balasan ke atas mereka yang melakukan demikian melainkan mendapat kehinaan di dunia dan di hari kiamat mereka akan dikembalikan kepada azab yang paling keras..”(Surah al-Baqarah ayat 85).

As-Syeikh Said Hawwa dalam al-Asas fit Tafsir berkata,”ALLAH mewajibkan ke atas umat ini perkara yang diwajibkan ke atas umat terdahulu iaitu menegakkan hukum-hukum al-Kitab (al-Quran dalam konteks umat hari ini). Kita sudah menegakkan sebahagian daripadanya namun pada masa yang sama kita pinggirkan sebahagian yang lain, lantas ALLAH SWT menimpakan bala ke atas kita berbentuk kehinaan di dunia dan di akhirat nanti azabnya pasti lebih dahsyat lagi..”.

Serta kata-kata asSyahid Imam Hasan alBanna dalam kitab Usul 20 karangan beliau;
“Ajaran Islam mencakupi kesemua bidang kehidupan. Islam adalah negara dan watan, atau pemerintah dan umat. Ia adalah akhlak dan kekuatan, atau rahmat dan keadilan. Ia juga adalah pengetahuan dan undang-undang, atau ilmu dan kehakiman. Islam juga menekankan aspek kebendaan dan harta, atau usaha dan kekayaan. Di samping itu Islam juga mementingkan jihad dan dakwah, atau ketenteraan dan fikrah. Islam adalah ‘aqidah yang benar dan ‘ibadah yang sah”.

WaLLAHua’lam,

Ibn ‘AbdiLLAH/ Ghulam asSarawaki
11 Mac 2008 / 3 Rabi’ul Awwal 1429H.

Rujukan:
Islam dan Demokrasi; Dato’ Seri Hj Abdul Hadi Hj Awang; di bawah Bab: Prinsip Politik Islam

Empayar Minda Muslim; Dr. Danial Zainal Abidin

Muslimat Dan Perjuangan

Sudah menjadi sunnah dalam berjuang menegakkan Islam, memang akan sentiasa ada pertarungan antara yang haq dan yang bathil. Dalam pertarungan ini, pasti akan ada para pejuang yang terseksa. Ini dapat kita saksikan di mana-mana sahaja, dan negara kita juga tidak terkecuali. Di antara para pejuang ini, terdapat juga pendokong yang terdiri daripada muslimat-muslimat yang kuat iman dan semangatnya. Mereka juga turut terseksa dalam menegakkan al-haq. Jika dibandingkan dengan kesusahan pejuang-pejuang Islam di tanah air kita, muslimat yang mendokong perjuangan Islam di luar negara seperti di Mesir contohnya, menghadapi tekanan dan seksaan yang jauh lebih teruk lagi.

Kita dapat lihat dalam kenyataan sejarah bagaimana Muslimat Mesir yang berjuang bersama-sama dengan Ikhwanul Muslimin menghadapi penyeksaan dalam penjara.

Seorang pemimpin muslimat Mesir, Zainab al-Ghazali pernah diseksa di dalam penjara sehingga wajahnya dilihat seperti seorang yang berusia sembilan puluh tahun sedangkan umurnya baru sahaja dalam lingkungan empat puluhan. Bagaimanakah seksaan yang dihadapinya?

Zainab al-Ghazali diseksa di dalam bilik kurungan yang dipanaskan udaranya dan pada waktu musim dingin sewaktu di tengah malam, dipasangkan penyaman udara dan diletakkan di atas air batu serta dilepaskan anjing ganas untuk menyerangnya. Dalam keadaan seperti ini, beliau tidak meletakkan harapan lain selain daripada iman kepada ALLAH SWT. Beliau meletakkan harapan dan membulatkan hatinya hanya kepada ALLAH SWT. Anjing ganas yang lapar dibiarkan terlepas dalam bilik kurungannya dan anjing itu cuba menerkam dengan ganas Zainab al-Ghazali. Tetapi, dalam keadaan seperti itu, anjing yang ganas tadi tidak pula menerkamnya, sebaliknya selama beberapa jam anjing itu menjilat tubuh Zainab dan dilihat pakaian putih yang dipakainya sedikit pun tidak terkoyak dan tiada kesan gigitan anjing pun yang terdapat pada tubuhnya.

Dalam keadaan diseksa sedemikian, Zainab al-Ghazali sempat berda’wah sehingga seorang pemuda yang terlatih yang ditugaskan untuk menyeksa para pejuang Islam telah kembali ke jalan ALLAH SWT setelah dia melihat ketabahan dan kesabaran Zainab al-Ghazali. Pemuda itu berkata kepada Zainab, “Wahai ibuku, selama ini aku tidak pernah sujud kepada ALLAH SWT tetapi selama engkau berada di dalam tahanan ini, aku ditugaskan untuk menyeksa engkau. Sepanjang yang aku perhatikan terdapat perkara-perkara yang luar biasa yang tidak pernah aku lihat. Oleh itu, ajarkanlah aku bagaimana aku hendak mengenali ALLAH SWT dan bagaimana aku hendak mendirikan solat serta tunduk kepada ALLAH SWT.” Zainab al-Ghazali semasa diseksa sebegitu hebat dengan izin ALLAH SWT telah menyelamatkan seorang pemuda yang sesat dan hanyut oleh sistem jahiliyah, sekularisme, dan sebagainya.

Bagaimanakah pula penyeksaan yang dialami oleh dua orang adik perempuan Sayyid Qutb (iaitu Hamidah Qutb dan Aminah Qutb)?

Mereka ditahan bersama-sama di dalam sebuah penjara tentera seperti yang dialami oleh Zainab al-Ghazali. As-syahid Sayyid Qutb RahimahuLLAH sebelum digantung mati sebagai syahid telah sempat menulis surat kepada adik perempuannya dan berkata kepada adik perempuannya itu, “Wahai adikku, barangkali sekarang ini kau sedang melihat dengan gerun tali gantung yang akan menjerut leherku ini. Kita akan merasai perjuangan kita ini sempit dan kita yang akan mengakhiri perjuangan kita ini; tetapi apabila kita memikirkan bahawa perjuangan kita ini bukan kita yang memulakannya dan bukan kita yang menamatkannya, maka ketika itulah kita rasakan bagaimana luasnya perjuangan kita, bagaimana luasnya keluarga kita kerana keluarga kita bukan keluarga yang diikat oleh keturunan darah tetapi keturunan kita diikat oleh kesatuan ‘aqidah La Ilaha IllaLLAH Muhammad al-RasuluLLAH.”

Contoh yang paling tinggi yang pernah ditunjukkan oleh Sahabiyyatul Rasul (Muslimat) bersama RasuluLLAH SAW, ialah kisah seorang muslimat yang bernama Nasibah binti Ka’ab al-Ansoriyyah.

Ketika dalam peperangan Uhud, ayahnya, anak lelakinya dan saudara lelakinya telah gugur syahid di medan perang. Dia kematian ayah,anak dan saudara tetapi Nasibah tidak mempedulikan hal itu, malah apa yang ditanya ialah bagaimanakah keadaan RasuluLLAH SAW. Apabila sahabat-sahabat memberitahu bahawa Rasul SAW selamat, Nasibah lantas menjawab,”Segala penderitaan dan musibah yang menimpaku, setelah ku tahu selamatnya Rasul SAW maka segala kesusahan itu tidak lagi memberi apa-apa erti kepadaku”. Ertinya, bagaimana kita melihat semangat dan keimanan sehingga meletakkan kasih dan kecintaan mereka kepada ALLAH dan Rasul melebihi kasih kepada yang lain.

Perbuatan Nasibah ini menepati intipati hadith RasuluLLAH SAW, yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a, yang bermaksud:

“Tiga perkara yang apabila seseorang itu ada padanya maka dia telah mendapat kemanisan iman. Pertama: ALLAH dan RasulNya lebih dikasihi daripada yang lain. Kedua: Dia hendaklah kasihkan seseorang Islam dan tidak kasihkan seseorang itu melainkan kerana ALLAH SWT. Ketiga: Dia hendaklah benci untuk kembali kepada kufur seperti dia benci dicampakkan ke dalam api neraka.”

Hal ini juga pernah diucapkan dan dibuktikan oleh seorang Muslimah yang baik, yang tinggi akhlaqnya, yang ta’at kepada ALLAH SWT, iaitu Rabi’atul Adawiyah dalam satu ucapan sya’irnya, di mana beliau berkata:

“Wahai Tuhanku, apabila sah aku mendapat kasihMu, maka segala-galanya di dunia ini tidak ada erti lagi.

Kerana apa yang ada di atas tanah ini adalah fana’”.

Emas dan perak yang menjadi kebanggaan kaum wanita pada hakikatnya berasal dari tanah yang kemudiannya dibakar hangus lalu jadilah ia emas dan perak yang dipuja, tetapi pada hakikatnya adalah tanah maka sebab itulah Rabi’atul Adawiyah menolak seluruh kesenangan dan keseronokan hidupnya untuk melaksanakan tanggungjawabnya kepada ALLAH SWT.

Semangat seperti inilah yang dapat kita lihat sekarang ini di kalangan muslimat kita, di mana mereka sanggup melekangkan gelang emasnya apabila diminta pengorbanan untuk meneruskan nadi perjuangan Islam ini. Ada muslimat kita yang pernah mengorbankan harta kesayangannya berupa kalung permata apabila diminta untuk tujuan ini. Ini adalah contoh bagaimana semangat seperti ini harus dijadikan teladan.

Kita lihat bagaimana semangat perjuangan dan pengorbanan itu terus hidup di kalangan muslimat kita dan kita yakin bahawa selama ada semangat dan pengorbanan seperti ini maka InsyaALLAH gerakan Islam akan terus bergerak dan perjuangan Islam akan bertambah hebat, AMIN Ya Rabbal ‘Alamin.

Rujukan:
‘Aqidah dan Perjuangan tulisan Haji Fadzil Mohd Noor.

Tulisan berkaitan di sini. (ihsan daripada blog sahabiah http://syahadah86.blogspot.com/)

Ibn ‘AbdiLLAH/ Ghulam asSarawaki
22 Februari 2008/ 15 Safar 1429H

Gerakan Amat Berhajat Kepada Perencanaan

GERAKAN ISLAM MEMERLUKAN PERENCANAAN


Oleh kerana kita bergerak dalam sebuah gerakan yang menyuarakan satu perjuangan yang sangat besar iaitu perjuangan Islam, maka ini bermaksud kita bergerak dalam suatu pergerakan yang perjuangannya adalah benar-benar serius. Perjuangan yang bukan main-main dan sepatutnya bukanlah suatu seruan sementara dan perjuangan yang bermusim. Agenda menegakkan agama ALLAH SWT adalah tuntutan sepanjang zaman, bukan ditaklifkan hanya untuk beberapa generasi dan bukan untuk dipertahankan beberapa tahun sahaja.

Jadi apabila perjuangan yang diharungi adalah perjuangan yang serius, maka perlunya ada perancangan ataupun perencanaan yang rapi dan tersusun.

Satu perjuangan yang besar tidak akan dapat dicapai dengan tindakan-tindakan bersifat isti’jal/irtijal/tergesa-gesa, tindakan-tindakan yang mendadak yang dilakukan secara bermusim; ia tidak akan memberikan natijah yang kita harapkan.

Sepertimana yang pernah disuarakan oleh Saiyidina ‘Ali bin Abi Talib r.a, katanya :
“Kebenaran yang tidak dirancang dengan baik dapat dikalahkan oleh kebathilan yang terancang”.

Adalah menjadi kewajipan kita untuk menyatakan persediaan-persediaan yang perlu diambil perhatian oleh pimpinan jama’ah bagi membawa perjuangan yang besar ini.
Di antara bentuk persiapan itu ialah:

Pertama: Persiapan Fikrah

Apakah kita telah mempunyai persiapan pemikiran (fikrah) yang cukup bagi membawa perjuangan yang besar ini? Marilah kita bersikap jujur pada diri kita sendiri, kita tanya kepada diri kita sendiri; berapa banyakkah buku-buku Islam yang telah kita baca dan fahami? Berapa banyakkah hadith-hadith yang telah kita baca dan kita ikuti, kita hayati dan kita mengerti tentangnya? Berapa banyakkah ayat-ayat al-Qur’an yang kita tadabbur (renungi)?

Tanpa persediaan fikrah yang cukup, kita tidak akan dapat menghadapi tentangan-tentangan yang begitu hebat yang sedang dilancarkan sekarang ini ke atas pemikiran masyarakat Islam di dalam dan luar negeri. Musuh-musuh Islam menggunakan alat-alat yang begitu moden bagi menyerang pemikiran ummat dan masyarakat Islam.

Oleh kerana orang ramai dan masyarakat Islam ini kurang persiapan fikrah, maka disebabkan itulah mereka boleh dikaburkan dan ditumbangkan dengan mudah, maka oleh kerana itulah pemimpin Islam dalam semua peringkat mesti mempersiapkan diri, kerana saudara-saudara yang memimpin dan bakal memimpinlah sekarang ini ditempah sebagai calon untuk meneruskan perjuangan ini. Persiapan-persiapan fikrah mestilah dilaksanakan dan dijadikan antara program penting dalam pergerakan pemuda dan mahasiswa.


Kedua: Persiapan Jiwa

Apakah kita telah menjalankan usaha-usaha untuk meningkat istiqamah dan iltizam kita dengan ‘ibadah-‘ibadah dan ajaran Islam sesuai dengan hasrat, cita-cita dan matlamat perjuangan kita?...kerana tanpa persiapan jiwa yang cukup agak sukar bagi kita untuk menghadapi tentangan-tentangan semasa yang kita rasai, tambahan pula tentangan-tentangan ini semakin diperhebatkan dalam usaha musuh Islam untuk mengekalkan sekularisme mereka.


Ketiga: Persiapan Gerakan

Penyusunan organisasi dalam semua peringkat, selagi pimpinan jamaah Islam tidak meletakkan keutamaan dan tumpuan utama dalam seluruh tindak tanduk kepada perjuangan Islam, maka selama itulah persiapan harakah/gerakan akan menjadi masalah yang belum selesai. Kita tidak boleh terpengaruh dengan Hamasah Jama’iyyah , semangat yang mendadak timbul/terlebih masuk gear/terlajak tekan minyak kerana perjuangan kita adalah serius. Islam adalah agama yang serius dan perjuangannya adalah perjuangan yang serius. Pimpinan harus tahu menilai sejauh mana kekuatan kita dan kita harus bertindak berdasarkan kekuatan yang ada pada kita, bukannya menurut hawa nafsu, terpengaruh dengan Hamasah Jama’iyyah/semangat yang mendadak timbul tadi. Ini kerana natijah menuruti Hamasah Jama’iyyah adalah sangat mengecewakan.

Sebab itulah dalam al-Qur’an telah dijelaskan tentang kisah Talut dan bala tenteranya yang sekian ramai yang terdiri daripada Bani Israel untuk mengalahkan Raja Jalut. Talut sepertimana yang diterangkan dalam al-Qur’an tidak mudah terpengaruh dengan Hamasah Jama’iyyah, beliau membuat saringan demi saringan apabila beliau menerima perintah untuk melancarkan serangan terhadap Raja Jalut yang zalim. Beliau mengadakan satu persaringan yang rapi untuk memastikan komitmen,iltizam tentera-tentera yang dipimpinnya, untuk memastikan kepatuhan mereka terhadap pimpinan. Dengan sebab itulah terdapat ramai di kalangan tentera-tentera itu yang ramai pada awalnya, akhirnya tercicir di pertengahan jalan kerana ada di antara mereka yang turut serta dalam angkatan itu pada peringkat awalnya, menyertainya dengan Hamasah Jama’iyyah, dengan semangat yang tidak berlandaskan ‘aqidah yang kukuh. Tetapi akhirnya kemenangan tetap berpihak kepada Talut dan tenteranya, yang mana tentera-tentera itu adalah dalam bilangan yang amat sedikit. Tentera yang sedikit bilangannya ini tidak berjuang hanya atas dasar Hamasah Jama’iyyah sahaja, tapi mereka berjuang berlandaskan ‘aqidah yang kukuh.

Inilah keyakinan, meskipun golongan Islam ini golongan yang kecil, tetapi selama mereka beriltizam dengan Islam, maka kemenangan adalah bayaran yang diberikan oleh ALLAH SWT.
Oleh kerana itulah ditekankan di sini tiga bentuk persiapan yang teramat sangat penting ini, yang mesti dilakukan oleh pimpinan jama’ah atau lebih baik lagi, bagi semua yang terlibat dalam pergerakan Islam.

Rasionalnya di sini ialah ketiga-tiga persiapan ini tidak lain adalah untuk menjadi bekal kepada ahli-ahli gerakan Islam bagi menempuhi mehnah dan tribulasi yang semakin hebat di zaman ini, agar mereka tidak mudah terpengaruh dan terpedaya dengan Hamasah Jama’iyyah, dan tidak juga mudah berputus asa dengan kegagalan-kegagalan yang pernah, sedang dan bakal dihadapi.

Kita tidak mampu dan tidak sanggup menanggung kehilangan ahli gerakan kerana tercicirnya dia dari jalan perjuangan, hanya disebabkan dia salah faham ataupun langsung tidak faham tentang perjalanan dan trend dalam perjuangan ini. Marilah sama-sama berusaha ke arah mempertingkatkan dan mempersiapkan diri dengan ketiga-tiga persiapan tadi. Semoga kita sempat menemui kemenangan perjuangan kita ini, InsyaALLAH.

WaLLAHua’lam,

Ibn ‘AbdiLLAH/ Ghulam asSarawaki
13 Februari 2008 / 6 Safar 1429H

Sarawak, Islam, dan Da'wah

“Di Sarawak ni, ada orang kata kat saya yang Islamnya kat sini ialah Islam sepertimana kita di zaman 60-an atau 70-an kat Semenanjung dahulu. Ada ustazah yang pakai tudung main ikat kat leher je, pakai kebaya ketat..”..

Itulah gambaran yang pernah diberikan kepada hadirin dalam suatu majlis berkaitan pergerakan da’wah di Sarawak ini, yang turut saya sertai dalam tahun 2006 yang lepas. Amat jelas kepada kita tentang gambaran bahawa kurangnya kesedaran serta kefahaman terhadap Islam di kalangan masyarakat Islam di Sarawak. Saya akui bahawa itulah hakikatnya yang berlaku di negeri tanah air tercinta, tempat kelahiran saya sendiri; Sarawak. Kedangkalan dari segi ilmu agama Islam serta penghayatannya dalam kehidupan. Di masjid-masjid atau di surau-surau, kebanyakan pengunjung setianya hanyalah dari kalangan warga emas.

Ketahuilah bahawa mentaliti di kalangan warga emas di sini melihat bahawa Islam itu adalah dari sudut ‘ibadah khusus sahaja khusus sahaja seperti solat, baca al-Quran, puasa, zakat dan haji, persoalan sekitar najis, air mutlak, berwudhu’, perkara membatalkan wudhu’ dan solat serta lain-lain, tanpa melihat kepada isu-isu besar seperti pengamalan riba dalam sistem perbankan, penipuan dalam urusniaga jualbeli, dan berkenaan perkara yang lebih besar lagi, iaitu pengamalan Islam dalam sistem politik di Malaysia, termasuklah perlaksanaan hukum qisos, jinayah, dan lain-lain. Maka, janganlah hairan kenapa orang Sarawak ni, walaupun kutuk kerajaan macam mana pun, kerajaan juga yang mereka undi. Ianya berkaitan dengan kesedaran….


Tidak ramai sedar tentang kewajipan da’wah di sini…


Di Sarawak, kesedaran tentang kewajipan berda’wah tidak wujud di dalam pemikiran masyarakatnya. Kebangkitan gelombang da’wah di sini kebanyakannya hanya bermula di kalangan ahli akademik serta penjawat jawatan tertentu yang berkefahaman Islam dan juga para mahasiswa yang didedahkan dengan ilmu-ilmu sekitar da’wah ini. Apabila kita menyebut tentang menyampaikan ilmu-ilmu berkaitan da’wah dan disiplinnya ini kepada golongan-golongan ini, maka tiadalah platform lain yang dimaksudkan selain daripada sistem usrah yang dijalankan samada secara sirr/ rahsia ataupun jahar/terang-terangan (seperti usrah yang dibawakan oleh sesetengah pihak) di institusi pengajian tinggi ataupun di rumah-rumah ahli usrah sendiri. Maka penyampainya/ yang mengendalikan usrah-usrah ini pula sudah tentu adalah dari kalangan orang-orang Semenanjung. Daripada usaha mereka inilah akhirnya berkembang ilmu-ilmu sekitar da’wah ini sehingga sistem usrah boleh dikendalikan sendiri oleh pendukung-pendukung da’wah di kalangan anak jati Sarawak sendiri.

Walau bagaimanapun, sebelum ilmu-ilmu dalam pergerakan da’wah ini diperturunkan kepada ahli-ahli usrah, mereka sebenarnya terlebih dahulu telah didedahkan dengan ilmu-ilmu asas berkaitan kefahaman Islam, agar mereka benar-benar faham tentang Islam dengan kefahaman yang sebenar-benarnya sebelum mereka bersedia untuk memikul tanggungjawab da’wah ini. Maka, perkara yang lebih penting untuk diberikan tumpuan kepada masyarakat Islam di sini ialah kefahaman asas yang tulen dan benar terhadap Islam sebelum kita menuju agenda lebih besar. Marilah kita mulakan dengan menyebarkan kefahaman yang benar…


Memulakan dengan yang asas…


Berdasarkan kepada situasi yang saya ceritakan tadi menggambarkan bahawa betapa lemahnya kefahaman masyarakat Islam di Sarawak tentang konsep kesyumulan Islam, yang mana mereka berkefahaman bahawa Islam itu adalah solat, puasa, zakat dan haji; tidak lebih dari itu. Jika ada yang faham pun, bilangannya adalah sangat sedikit…Jelaslah bahawa kita memerlukan lebih ramai lagi orang yang berkefahaman dengan kefahaman Islam yang sebenar, yang melihat Islam itu sebagai satu cara hidup di mana tidak ada satu aspek pun yang Islam tinggalkan, yang menjadikan ianya sebaik-baik dan hanya satu-satunya agama untuk dianuti…

Untuk memberikan kefahaman yang benar tentang Islam seperti yang saya sebutkan tadi, tidak lain, kita perlu mulakan daripada yang asas. Saya yakin, setiap daripada kita yang terlibat dalam usrah sudah pasti pernah melalui bab awal dalam silibus terawal usrah yang membincangkan tentang sifat-sifat khusus Islam / khasais Islam. Di sana, kita pernah menyebutkan tentang konsep kesyumulan Islam, Islam Itu Menyeluruh. Maka dari konsep itulah kita faham bahawa Islam itu adalah segala-galanya, termasuklah dalam hal politik. Maka kita tahu bahawa tidak sepatutnya mengenepikan soal politik apabila kita berkata Islam itu menyeluruh. Lihatlah, kita dahulu juga pun bermula dari sini juga, jadi untuk memberikan kefahaman yang jelas kepada yang lain, kita mulakan di sini juga untuk mereka…start from the scratch…kita mulakan dari yang asas. Dari kefahaman asas yang jitu yang boleh membentuk individu muslim/fardhu muslim yang sejati, sehingga pembentukan keluarga muslim/baitul muslim sehinggalah ke peringkat bernegara dan berpolitik….dari mengucap dua kalimah syahadah sehinggalah kepada mendirikan kerajaan Islam seperti yang diajar sendiri oleh Nabi Muhammad S.A.W…

Maka untuk melancarkan kefahaman Islam yang jitu ini, kita hendaklah memulakannya di setiap peringkat di mana kita mengambil kira setiap golongan sebagai sasaran. Dari peringkat remaja sekolah sehinggalah ke golongan warga emas. Di sini, kefahaman yang dimaksudkan ialah menjelaskan kepada masyarakat tentang sifat-sifat Islam yang umum, agar kefahaman mereka tentang Islam menjadi lebih meluas, bukan setakat membincangkan hukum-hukum fiqh ‘ibadah yang kemudiannya akan diulang-ulang sekitar persoalan yang sama.

Satu perkara yang amat melapangkan dada ialah apabila saya melihat bahawa sudah wujud pihak-pihak yang sudi menggerakkan usrah ataupun sekurang-kurangnya program Islamik yang umum seperti mengadakan aktiviti-aktiviti santai yang Islamik, mengadakan ziarah mingguan ke sekolah-sekolah berasrama, mengadakan kelas tuisyen percuma, dan lain-lain lagi kepada pelajar-pelajar sekolah. Tidak kurang juga pihak-pihak tertentu yang bergerak di bawah badan-badan sukarela gerakan Islam bagi membantu melakukan kerja-kerja amal untuk masyarakat kampung di Sarawak. Ini sudah pasti membuktikan konsep Islam yang ternyata menunjukkan Islam bukan sekadar solat berjemaah di masjid, mendengar kuliah dan ceramah, tetapi lebih dari itu. Penglibatan badan-badan Islam sukarela juga memberikan kelebihan kepada da’wah Islamiah di mana ahli-ahlinya dapat mendekatkan diri kepada masyarakat, dan kelebihan ini akan digunakan sebagai kesempatan secara tidak langsung untuk menyebarkan da’wah di kalangan masyarakat kampung. Inilah yang saya maksudkan dengan bermula dari yang asas…


Bekerjasama dan mengelakkan perselisihan…


Bagi ahli-ahli yang bergerak dalam sistem usrah, kita sudah pasti tidak asing lagi dengan nama-nama gerakan Islam seperti yang wujud di Malaysia. Di Sarawak juga tidak ketinggalan di mana setiap mahasiswa yang menyertai sesi usrah pasti akan bertembung dengan nama-nama ini. Apa tidaknya, hampir di seluruh IPT tidak kira swasta ataupun awam mempunyai usrah-usrah yang dikendalikan oleh individu-individu dalam gerakan ini.

Walaupun kita dapat lihat gerakan-gerakan ini mempunyai nama yang berbeza-beza dan golongan yang membawa gerakan ini juga berbeza pangkatnya, namun kita tetap pasti bahawa matlamat gerakan-gerakan ini hanyalah satu; untuk menjalankan kewajipan da’wah Islamiyyah, menyebarkan kefahaman Islam yang sebenarnya, dan bergerak ke arah menegakkan agama ALLAH S.W.T.

Namun, satu fenomena yang tidak sedap didengar ialah apabila ada sesetengah pihak yang terlibat dalam gerakan-gerakan ini sendiri yang menuding jari menunjukkan kelemahan-kelemahan yang ada pada jemaah yang lain. Jemaah di sebelah ini menunjukkan kelemahan jemaah yang ada di sebelah sana, dan begitulah sebaliknya. Saya tidak mahu menerangkan dan memberi contoh-contoh dakwaan yang dilontarkan oleh jemaah masing-masing kepada jemaah lain. Padahal, kesemuanya menuju ke arah matlamat yang sama. Sama-sama bercita-cita mahu menegakkan Islam, sama-sama mahu memberikan kesedaran kepada masyarakat, sama-sama membenci thaghut….maka kenapa masing-masing mahu membuka pekung di dada saudara seIslam sendiri yang sebenarnya bergerak menuju matlamat yang sama, dan pada yang sama, membiarkan musuh Islam menyelinap masuk memasukkan jarum-jarum menghancurkan agama di masa kita masih sibuk berbalah sesama sendiri?

Kenapakah kita tidak boleh melupakan sahaja perselisihan yang tidak bermakna itu dan menjadikan matlamat kita sebagai fokus utama. Kenapa tidak bersatu sahaja, daripada berpecah dan membentuk jemaah yang baru? Bukankah ia akan memburukkan lagi keadaan?

Baru-baru ini, seorang sahabat yang sama-sama terlibat dalam gerakan Islam ada menyatakan pendapatnya terhadap satu jemaah (yang mana saya sendiri merupakan ahli jemaah yang dia maksudkan), “Setahu saya, bukankah jemaah ini ..itu ini, itu ini….?” dan kemudian dia menyatakan pendapatnya kepada saya, yang mana salah satunya berbunyi “Bagi saya, salah satu daripada faktor yang penting dalam memilih jemaah / kejayaan da’wah ialah uslub da’wah itu sendiri. Kalau uslub da’wah itu tidak dapat diterima oleh masyarakat, maka bagaimana nak berjaya?”.

Jawapan saya kepadanya “Oleh sebab itu, kita kena bersatu. Di mana ada platform yang mudah diterima masyarakat, dan platform mana yang mampu membawa kita dekat kepada masyarakat, platform itu yang kita gunakan. Jika masyarakat boleh terima suatu platform tersebut, maka marilah sama-sama untuk kuatkan platform itu”.

Bagi saya, jemaah yang nyata menunjukkan kesyumulan Islam dalam pergerakannya merangkumi dari golongan petani, nelayan, penoreh getah, kepada golongan korporat sehinggalah kepada golongan ulama’. Ianya jemaah yang mengambil kira dan menerima penglibatan sesiapa sahaja yang sudi bergerak untuk kepentingan Islam. Dan saya meyakini jemaah yang pemimpinnya adalah ulama’. Jemaah yang merasai sendiri keperitan dan penindasan daripada golongan yang menyeleweng dan bukan hanya duduk di bawah penghawa dingin, tetapi jemaah yang turun ke padang untuk membantu masyarakat. Ianya bukanlah jemaah hanya untuk jurutera-jurutera sahaja, tetapi untuk semua. Dan anda juga mempunyai pilihan dan pendapat anda sendiri.

Masih jauh lagi perjalanan untuk menyedarkan jumlah besar masyarakat di Sarawak tentang perlunya kerajaan Islam yang menegakkan hukum-hukum ALLAH S.W.T.
Kesedaran tentang da’wah juga masih dilihat dalam skop yang sempit oleh kebanyakan masyarakat di sini. Maka mulakan dengan da’wah umum. Apabila asas sudah kuat, barulah kesedaran akan timbul. Barulah masyarakat akan faham. Barulah masyarakat boleh dibawa kepada agenda yang lebih besar lagi dalam rangka memajukan umat dan menegakkan hukum Islam.

Inilah mesej utama dalam tulisan saya ini sebenarnya. Saya ingin berpesan kepada semua ahli dari semua jemaah yang mendakwa membawa Islam, agar bersatu untuk mencapai matlamat yang sebenar. Mari kita menggembleng tenaga dan mengumpul lebih banyak idea yang boleh kita gunakan untuk menyebarkan kefahaman Islam yang sebenar ke dalam masyarakat. Kita mulakan dengan yang asas, dan apabila telah sempurna tapak yang kukuh, barulah kita teruskan langkah yang seterusnya. InsyaALLAH, Islam akan menang. Kita bekerja untuk Islam, tidak kira kita berjaya atau tidak, ALLAH tidak melihat kepada keputusan, tapi ALLAH melihat kepada proses dan usaha kita dalam membela agamaNya. ALLAH telah menjanjikan kemenangan Islam, jika bukan masa kita—mungkin di waktu anak cucu kita nanti.

Haji Fadzil Mohd. Noor pernah menyebut dalam bukunya yang bertajuk ‘Aqidah dan Perjuangan, yang berbunyi “Kebenaran (haq) itu walaupun dalam keadaan lemah tetapi akhirnya ia akan menang.”

Sayyid Qutb dalam surat terakhir beliau kepada adiknya telah menulis sebelum beliau syahid di tali gantung : “Kita selalu akan merasa sempit dada jika kita merasakan kitalah yang memulakan dan mengakhiri perjuangan ini. Tetapi kesempitan ini tidak akan terasa jika kita merasai bahawa kita menyambung perjuangan yang lalu dan akan diteruskan oleh generasi yang akan datang. Adikku, usahlah engkau gerun dengan tali gantung yang akan menjerut leherku ini.”

Janganlah kita berbalah memikirkan soal jemaah mana yang lebih hebat, yang mana satu adalah paling baik, yang mana satu lebih ideal. Sedarlah, jemaah yang paling ideal, paling sempurna hanyalah pada jemaah Nabi Muhammad S.A.W. dahulu. Jalan kejayaan hanya ada pada kesatuan di zaman ini. Hayatilah makna pepatah Melayu “Bersatu teguh, bercerai roboh”. WaLLAHu’a’lam bis showaab.


Ibn ‘AbdiLLAH / Ghulam asSarawaki
12 Januari 2008 / 3 Muharram 1429H

Katakan "TAK NAK" Kepada Tabarrujul Jahiliyah!

Katakan "TAK NAK" Kepada Tabarrujul Jahiliyah!
klik pada imej untuk ke link

klik pada imej untuk ke link

klik pada imej untuk ke link

Alternatif Fesyen Islami

Alternatif Fesyen Islami
klik pada imej untuk ke link

Jom Belajar Bahasa Arab

Jom Belajar Bahasa Arab
klik pada imej untuk ke link

Video-video Pilihan

Ustaz Ismail Kamus - Nafsu Makan Ustaz Ismail Kamus - Alam Jin Ustaz Azhar Idrus - Banduan Akhirat Ustaz Azhar Idrus - Tidur 20 Tahun