Darussyifa' Online

Darussyifa' Online
klik pada imej untuk ke link

BIC Smart Shop

BIC Smart Shop
klik pada imej untuk ke pautan

Boikot Zionis La'natuLLAH!

Boikot Zionis La'natuLLAH!
klik pada imej untuk ke link

klik pada imej untuk ke link

klik pada imej untuk ke link

Selamatkan Gaza!

Selamatkan Gaza!
klik pada imej untuk ke link

Thursday, January 29, 2009

Perkongsian Ilmu Fiqh : Mazhab Syafie, Adakah Payah?

Salam’alaikum warahmatuLLAHi wabarakatuh,


Kira-kira sebulan yang lalu, saya ada berkongsi serba sedikit berkenaan dengan ilmu fiqh dengan tetamu ziarah sekalian, dengan entri yang bertajuk “Perkongsian Ilmu Fiqh : Bacaan Makmum”. Saya berharap dan mendoakan agar perbincangan yang dibawa sebelum ini mudah difahami serta dapat dihadamkan oleh para tetamu sekalian. Jadi, untuk entri kali ini saya tampil semula untuk membawakan satu lagi perbincangan sekitar ilmu fiqh.


Walau bagaimanapun, apa yang hendak dibincangkan kali ini bukanlah untuk mentarjihkan atau untuk menetapkan yang manakah suatu pendapat yang tepat, tetapi sebagai suatu perkongsian yang diharapkan dapat mengubah persepsi ataupun mindset kita – mengubah corak pemikiran kita dari tingkat yang sebelumnya ke peringkat yang lebih tinggi dan lebih baik lagi.


Beberapa ketika kebelakangan ini (walaupun sebenarnya usaha tajdid ini sudah lama digerakkan – dari zaman Ibn Taimiyyah, Ibnul Qayyim, Al-Banna dan lain-lain lagi namun zaman kemuncaknya adalah dewasa ini), kita dapat lihat betapa banyaknya usaha yang dijalankan oleh para penggerak da’wah, khususnya para ilmuan yang berperanan sebagai mujaddid dalam menyebarkan suatu corak pemikiran yang baru dan agak sukar untuk diterima oleh sesetengah golongan (kadangkala digelar juga sebagai “kaum tua”) iaitu memberi kefahaman kepada masyarakat bahawa pintu ijtihad itu sentiasa terbuka dan tidak ada keraguan dan kerisauan lagi untuk seseorang itu mengambil pendapat-pendapat dari mazhab lain di luar mazhabnya – contohnya seseorang yang bermazhab A dibolehkan untuk mengambil pendapat mazhab B, C, ataupun D – dengan syarat bahawa dia tahu akan sandaran bagi pendapat ulama’ yang diikutinya itu. Istilah lebih popularnya ialah talfiq ataupun mengadakan percampuran daripada pelbagai mazhab.


Namun, ada sesetengah pihak yang amat sensitif dan tidak dapat menerima pendapat keterbukaan ini maka golongan ini menolak konsep talfiq ini. Bahkan ada juga yang mengharamkan konsep bermazhab ini. Secara overviewnya, dikatakan terdapat tiga golongan yang mempunyai pandangan yang berbeza terhadap isu bermazhab ini :


  1. Golongan mewajibkan untuk beriltizam hanya dengan satu mazhab.
  2. Golongan yang mengharuskan untuk pertukaran mazhab dengan syarat-syarat tertentu.
  3. Golongan yang mengharamkan bermazhab. Hanya Al-Qur’an dan As-Sunnah yang wajib diikuti.


*Pembahagian ini tidak setakat di sini sahaja. Terdapat beberapa lagi jenis pembahagian lain yang saya tidak sebutkan di sini. Apa yang penting ialah terdapat pendirian yang berbeza terhadap perkara ini.


Terdapat banyak kekhilafan yang kita dapat lihat dalam etika bermazhab ini. Walau bagaimanapun, semua pendapat itu adalah diraikan kerana namanya sahaja pun sudah khilaf / perbezaan pandangan maka apa yang wajar ialah toleransi antara sesama golongan yang mengamalkan pendapat yang berbeza itu. Yang penting ialah biar mazhab mana pun yang diamalkannya, tetapi yang penting ialah kemahuannya untuk beramal dengan pendapat itu dengan tujuan tidak lain hanya untuk mencapai keredhaan ALLAH SWT.


Pada perbincangan kali ini, saya ingin membawa satu perbincangan yang diharap dapat membantu mengubah persepsi kita terhadap mazhab Imam Syafie yang mana menurut kebanyakan orang merupakan mazhab yang sangat teliti dan agak memayahkan.


Sekali lagi diingatkan bahawa saya tidak bermaksud untuk melakukan tarjih tetapi sekadar untuk menimbulkan perbincangan yang sihat, insyaALLAH.


Seringkali kita dengar ngomelan orang bahawa mazhab Syafie yang dipegang itu agak memayahkan. Contohnya, dari soal batal wudhu’ kerana menyentuh wanita bukan mahram, perlu disucikan kesan terkena anjing dan babi dengan basuhan air tanah, bab air musta’mal dan beberapa lagi pendapat mazhab Syafie yang dilihat seolah-olah terlalu berat dan syadid / tegas.


Memang tidak nafikan bahawa sememangnya ada sesetengah pendapat dalam mazhab anutan majoriti rakyat Malaysia ini yang agak teliti dan tegas. Malah ada yang tidak dapat digunakan di dalam waqi’/ suasana di Malaysia. Contohnya dalam bab zakat, Mazhab Syafi’e hanya membenarkan zakat ditunaikan dengan memberikan makanan asasi suatu tempat itu sahaja, contohnya gandum ataupun beras. Manakala menurut mazhab Hanafi pula, zakat dapat ditunaikan dengan wang tunai. Maka jikalau dinilai dari sudut suasana dan juga hajat / keperluan penduduk di Malaysia, di mana dalam suasana hendak menyambut lebaran dan orang berkehendak kepada pakaian, maka pendapat mazhab Hanafi itulah yang paling praktikal untuk diamalkan di Malaysia. Jadi bukankah itu menunjukkan bahawa tidak 100% pendapat Mazhab Syafie di Malaysia sekaligus menunjukkan talfiq?


Ketegasan Mazhab Muhammad bin Idris al-Syafie juga dapat dalam pendapatnya sekitar pemerintahan Islam di mana jika terdapat kes bunuh contohnya seorang Muslim membunuh orang kafir dzimmi (kafir yang menunjukkan ta’at setia kepada pemerintah Islam), maka tidak ada kes bunuh balas. Akan tetapi jikalau kafir dzimmi itu membunuh seorang Muslim, maka boleh dikenakan hukuman bunuh balas. Begitu juga jikalau dalam kes lelaki membunuh perempuan, lelaki itu tidak akan dikenakan hukuman bunuh balas. Akan tetapi jikalau perempuan membunuh lelaki, perempuan itu akan dikenakan hukuman bunuh balas. Sedangkan dalam hal ini, pendapat dalam mazhab Hanafi lebih menunjukkan keseimbangan dan mampu memupuk minat orang bukan Islam untuk bernaung di bawah kerajaan Islam yang melaksanakan pemerintahan Islam sepenuhnya.


Akan tetapi, perlu diingat bahawa kita cuma melihat dari dalam lingkungan mazhab Syafie sahaja dan kita belum lagi melihat contoh-contoh di dalam mazhab lain. Sudah pasti ada sesetengah perkara yang menuntut penganut sesuatu mazhab itu untuk menggunakan pendapat mazhab yang lain lantaran kesulitan untuk mengamalkan suatu pendapat dalam mazhabnya, jikalau tidak bagaimana pula kaedah talfiq ataupun percampuran mazhab ini boleh timbul? Maksudnya, pasti ada pandangan-pandangan dari mazhab lain tentang suatu perkara yang mana pandangan mazhab Syafie adalah lebih memudahkan berbanding mazhab-mazhab lain dalam perkara tersebut.


Adapun, kebanyakan kritikan ataupun ngomelan yang kita dengari itu biasanya datang dari permasalahan yang agak kecil sahaja dan bukan suatu perkara yang besar. Contohnya dalam bab wudhu’, solat, mandi dan lain-lain, setakat itu. Jadi inilah antara tujuan sebenar saya menulis entri ini, iaitu untuk memperbetulkan persepsi sesetengah pihak tentang kesukaran melaksanakan ibadah menurut mazhab Syafie. Saya ingin membuktikan bahawa adalah tidak benar proklamasi sesetengah pihak yang mengatakan mazhab Syafie adalah mazhab yang paling cermat, teliti, tegas, memayahkan dan sebagainya. Saya ingin menjelaskan bahawa ada lagi kemudahan dan keringanan yang mungkin tidak terlihat oleh mereka yang merasakan bahawa mazhab Syafie paling payah di antara mazhab-mazhab yang ada.


Contoh-contoh yang saya tampilkan di sini adalah sedikit sahaja yang sempat saya kongsikan berkenaan beberapa perkara berkaitan dengan asas-asas dalam ibadah, antaranya dari bab Wudhu’, Mandi, Menyapu Khuf dan juga Solat secara serba sedikit.


Antara contoh-contoh keringanan dalam mazhab Syafie yang mengatasi pendapat-pendapat dari mazhab-mazhab yang lain:


Dari perkara yang membatalkan wudhu’, merujuk kepada Kitab Fiqhul Islami Wa Adillatuhu Jilid 1 tulisan Dr Wahbah Zuhaili (ulama fiqh dari Damsyik, Syria yang baru sahaja menerima anugerah tokoh Maal Hijrah dari Malaysia baru-baru ini) muka surat 262-268, dengan rumusan bahawa:


Di dalam mazhab Hanafi : 12 perkara yang membatalkan wudhu’.

Di dalam mazhab Maliki : 3 perkara yang membatalkan wudhu’.

Di dalam mazhab Syafie : 4/5 perkara yang membatalkan wudhu’.

Di dalam mazhab Hanbali : 8 perkara yang membatalkan wudhu’.


Jadi, bukankah menurut fakta di atas dapat difahami bahawa ada lagi pendapat yang lebih berat berbanding dengan pendapat di dalam mazhab Syafie ?


Dari perkara syarat-syarat untuk mengharuskan menyapu khuf, daripada kitab yang sama pada muka surat 308-310:


Di dalam mazhab Hanafi : 7 syarat untuk mengharuskan menyapu khuf.

Di dalam mazhab Maliki : 11 syarat untuk mengharuskan menyapu khuf.

Di dalam mazhab Syafie : 2 syarat untuk mengharuskan menyapu khuf.

Di dalam mazhab Hanbali : 7 syarat untuk mengharuskan menyapu khuf.


Dari perkara fardhu / perkara wajib dilakukan dalam mandi wajib, merujuk kitab yang sama pada muka surat 348-349:


Di dalam mazhab Hanafi : 11 perkara wajib di dalam mandi wajib.

Di dalam mazhab Maliki : 5 perkara wajib di dalam mandi wajib.

Di dalam mazhab Syafie : 2 atau 3 sahaja perkara wajib di dalam mandi wajib.

Di dalam mazhab Hanbali : Lebih daripada 5-6 perkara wajib di dalam mandi wajib.


Dari kitab yang sama, merujuk kepada perkara-perkara wajib/rukun di dalam solat:


Di dalam mazhab Hanafi : 18 perkara rukun di dalam solat.

Di dalam mazhab Maliki : 14 perkara rukun di dalam solat.

Di dalam mazhab Syafie : 13 perkara rukun di dalam solat.

Di dalam mazhab Hanbali : 14 perkara rukun di dalam solat


Di dalam kitab yang sama juga, merujuk kepada perkara-perkara sunat wudhu’:


Di dalam mazhab Hanafi : 18 perkara sunat di dalam wudhu’.

Di dalam mazhab Maliki : 8 perkara sunat di dalam wudhu’.

Di dalam mazhab Syafie : 30 perkara sunat di dalam wudhu’.

Di dalam mazhab Hanbali : 20 perkara sunat di dalam wudhu’.


Jadi, bukankah dengan lebih banyak perkara sunat itu bahawa semakin ringan perkara wajib di dalamnya, dan bukankah pada masa yang sama dapat dilihat sebagai pintu kepada peluang untuk mendapatkan lebih banyak lagi faedah wudhu’? (maksudnya, lebih banyak sunat yang dilakukan, maka lebih banyak bonus).


Di dalam bab solat pula, merujuk kepada Kitab Fiqhul Islami Wa Adillatuh Jilid Kedua ada disebutkan tentang perkara-perkara yang membatalkan solat menurut keempat-empat mazhab tersebut, di mana pada muka surat 21-34 dikupaskan perkara-perkara ini, dengan rumusan:


Di dalam mazhab Hanafi : Terdapat 68 perkara yang membatalkan solat.

Di dalam mazhab Maliki : Terdapat 30 perkara yang membatalkan solat.

Di dalam mazhab Syafie : Terdapat 27 perkara yang membatalkan solat.

Di dalam mazhab Hanbali : Terdapat 36 perkara yang membatalkan solat.


Nah! Bukankah jikalau dibandingkan antara keempat-empat mazhab mengenai perkara yang membatalkan solat ini, dapat dilihat bahawa pandangan dalam mazhab Syafie masih lagi boleh dikira ringan dan boleh dikira jauh lebih mudah berbanding mazhab yang lain.


Di atas adalah antara contoh-contoh yang boleh saya ambil untuk dijadikan sebagai misalan dan perbandingan dalam perkara ini sebagai perkongsian buat masa yang singkat ini.


Saya memfokuskan perbincangan kali ini setakat bab mandi, solat, dan wudhu’ sahaja kerana saya dapati sebenarnya apa yang menjadi punca pertikaian yang biasa berlaku di kalangan masyarakat umum adalah di sekitar perkara-perkara basic ini sahaja. Jarang sekali kita dengar orang awam mengomentari tentang perkara-perkara yang lebih besar seperti penegakkan hukum Islam dalam pemerintahan bernegara, jihad saudara kita di Palestin, isu keruntuhan ‘aqidah dan lain-lain lagi.


Jadi, apa yang saya ingin lakukan di sini ialah untuk menunjukkan bahawa masih ada lagi sinar kemudahan dan pendapat yang lebih ringan yang terdapat di sana, serta menunjukkan bahawa sebenarnya mazhab Syafie tidaklah bersifat memayahkan dan memberatkan secara mutlak seperti dakwaan sesetengah golongan. Barangkali yang dilihat adalah sekadar skop kecil sekitar sembahyang, cuci, tayammum sahaja dan masih berada di dalam lingkungan satu mazhab sahaja yang menyebabkan mereka gagal untuk melihat pandangan-pandangan di dalam mazhab lain untuk dijadikan sebagai kayu ukur sebelum justifikasi bernada “Mazhab Syafie adalah yang paling berat dan memayahkan antara semua mazhab” itu dikeluarkan dan dijadikan sebagai kenyataan yang mampu mengubah mindset orang lain untuk melihat mazhab Syafie dengan persepsi yang sama, iaitu memayahkan.


Apa yang mendorong saya untuk menulis entri ini adalah disebabkan realiti yang saya sebutkan tadi – mindset yang sebegitu rupa lantaran kurang mengenali pendapat-pendapat lain di luar mazhabnya lantas mengeluarkan statement “susah dan payah” itu, serta untuk serba sedikit memurnikan persepsi sesetengah golongan terhadap mazhab Syafie yang sebenarnya.


Kadangkala apa yang menyebabkan kepayahan itu bukanlah disebabkan apa yang terdapat di dalam mazhab itu sendiri tetapi disebabkan salah faham dalam memahami apa yang hendak disampaikan oleh mazhab itu sendiri lantaran mengaji tidak berguru.


Rujukan:


  1. Kitab Fiqhul Islami Wa Adillatuhu al-Juz’ al-Awwal / Fiqh dan Perundangan Islam jilid 1 susunan Dr. Wahbah Zuhaili, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur 1999.
  2. Kitab Fiqhul Islami Wa Adillatuhu al-Juz’ al-Thani / Fiqh dan Perundangan Islam jilid 2 susunan Dr. Wahbah Zuhaili, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur 1999.
  3. Amalan Bermazhab : Perlu atau Tidak? tulisan Ustaz Mazlee Malik, Karya Bestari 2007.


P/S : Saya bukanlah seorang ustaz yang berautoriti untuk melakukan ijtihad, menerangkan pendapat yang mana satu yang menghampiri kebenaran, mendatangkan fatwa. Saya hanya memindahkan fakta-fakta dari kitab-kitab fiqh hasil susunan pengarang yang selayaknya mengenai masalah ini, dan fakta-fakta ini saya gunakan untuk melontarkan serba sedikit idea berkenaan dengan tajuk entri ini. Kedudukan benar atau salah di dalam tulisan ini, saya serahkan kepada yang lebih arif untuk membuat penilaian tersebut, dengan harapan agar kesilapan tersebut boleh diperbetulkan untuk faedah semua. Saya mendoakan agar entri ini ada manfaatnya untuk kita semua, insyaALLAH.


WaLLAHuta’ala a’lam,


Ibn ‘AbdiLLAH As-Sarawaki,

3.59pm,

29 Januari 2009, Khamis,

Bintulu, Sarawak.

Monday, January 26, 2009

HUDUD : Apa Yang Hendak Ditakutkan?

Salam'alaikum warahmatuLLAHi wabarakatuh kepada tetamu ziarah sekalian,

Untuk entri kali ini, saya ingin menarik perhatian para tetamu sekalian untuk melihat kepada salah satu daripada isu yang boleh dikira akan sentiasa valid sehingga hari kiamat, isu yang tidak pernah ada expiry date dan tidak akan basi serta tidak akan luput daripada pemikiran kita walau macam mana sekalipun pihak-pihak tertentu berusaha menolak, mempertikai malah menghapuskannya.

Artikel asal dari blog http://suaradarigunung.blogspot.com/2009/01/hudud-apa-yang-nak-ditakutkan.html

____________________________________________________________________

Salam Sejahtera untuk semua.

Sudah begitu lama saya tidak berkesempatan menulis. Di dalam fikiran, begitu banyak yang hendak ditulis tetapi jari-jemari ketiadaan masa untuk mengetuk kekunci komputer. Pilihan Raya Kecil Kuala Trengganu dan isu Hudud yang hangat diperkatakan selepas debat antara Naib Presiden Pas dan calon Ketua Pemuda UMNO begitu menghambat perasaaan saya. Media menggambarkan seolah-olah Pakatan Rakyat akan pecah akibat isu Hudud.

Dengan diri yang serba kekurangan, saya menggunakan kemudahan maya ini untuk menyampaikan suara hati, juga membantu Pas dan Pakatan Rakyat dalam PRK Kuala Terengganu, bahawa Hudud bukan isu yang perlu ditakuti. Saya ingin menyampaikan dalam ayat yang paling mudah kepada semua orang bukan Islam dan juga orang Islam di Malaysia tidak kira apa partinya MCA, MIC, DAP, PKR, KP PAS, UMNO dan lain-lain bahawa tiada apa yang perlu dibimbangkan terhadap Hudud, bahkan orang bukan Islam sangat wajar menyokong Hudud sebagai sokongan moral kepada kawan-kawan mereka yang beragama Islam.













____________________________________________________________________

Jadi, melalui penjelasan demi penjelasan yang telah dipaparkan tadi pihak-pihak tertentu boleh berfikir dua kali sebelum menolak cadangan perlaksanaan hudud di Malaysia, malah mungkin boleh dijadikan sebagai pedoman buat salah seorang bekas peguam yang kini bergelar ahli politik yang dulunya pernah cuba untuk menyaman perlaksanaan hudud ini, masyaALLAH - semoga ALLAH memberikan taufiq wal hidayah kepada beliau.

Semoga melalui sedikit penjelasan ini, sedikit sebanyak masyarakat Islam dan bukan Islam terutamanya di Sarawak ini dapat menerima perlaksanaan hudud hukum ALLAH SWT di negara tercinta Malaysia. Sebagai penutup untuk entri ringkas ini, saya membawa para tetamu sekalian untuk merenung dan menghayati firman ALLAH yang bermaksud

Wahai orang-orang Yang beriman! masuklah kamu ke Dalam ugama Islam (dengan mematuhi) Segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; Sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu Yang terang nyata. maka kalau kamu tergelincir (dan jatuh ke Dalam kesalahan disebabkan tipu daya Syaitan itu), sesudah datang keterangan-keterangan Yang jelas kepada kamu, maka ketahuilah bahawasanya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Q.S Al-Baqarah 208-209)".

WaLLAHuta'ala a'alam,

*entri asal di http://suaradarigunung.blogspot.com/2009/01/hudud-apa-yang-nak-ditakutkan.html

Ibn 'AbdiLLAH As-Sarawaki,
10.49pm,
26 Januari 2009, Isnin,
Bintulu, Sarawak.

Friday, January 23, 2009

Konsert Rihanna : Wajarkah Ia?

Assalamu’alaikum warahmatuLLAHi wabarakatuh..


AstaghfiruLLAHal’azhim... itulah lafaz yang saya rasakan tepat untuk diucapkan apabila membaca headline beberapa buah e-news seketika tadi. Saya akui saya agak terlambat sedikit untuk mengetahui tentang berita ini, tapi saya yakin isu ini masih lagi valid dan panas untuk dijadikan sebagai topik perbincangan ringkas serta patut dijadikan sebagai pentas muhasabah.


Membaca beberapa tajuk berkenaan isu ini, saya terkesima dan terkeliru seketika – lantas timbul beberapa persoalan di minda, antaranya:

  1. betulkah negara Malaysia ini negara Islam?
  2. Adakah perkara ini selaras dengan prinsip Islam Hadhari? Atau adakah ini sesuatu isu yang lain, yang mungkin bagi sesetengah individu perkara ini tidak perlu dikaitkan dengan Islam Hadhari?

Untuk lebih jelas lagi, saya lampirkan beberapa petikan akhbar yang sempat saya baca sebentar tadi.

____________________________________________________________________________________


Petikan dari Bernama:


Kerajaan Luluskan Juga Konsert Rihanna


Kerajaan meluluskan penganjuran Konsert Rihanna, yang akan diadakan 13 Feb ini di Stadium Putra Bukit Jalil, walaupun Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan membantah konsert itu.

Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Mohd Shafie Apdal berkata: "Mereka (Dewan Pemuda PAS) boleh bantah tapi keputusan akhir di tangan kementerian."

Beliau berkata apa yang penting ialah pihak penganjur telah memenuhi semua syarat yang ditetapkan kementerian.

"Perkara utama yang kami lihat ialah sama ada konsert itu selaras dengan budaya Malaysia, tetapi memandangkan industri hiburan sangat dinamik dan kreatif, kita perlu membenarkan rakyat kita mendapat akses untuk itu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan sambutan Tahun Baru China 2009 di sini hari ini.

Selasa lepas, Dewan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan menyuarakan rasa kesal terhadap syarikat komunikasi tempatan menganjurkan konsert 'Rihanna Live in Kuala Lumpur'.


link ke berita asal: di sini

Versi Bahasa Inggeris (Bernama):

Government Approves Rihanna Concert On Feb 13

KUALA LUMPUR, Jan 23 (Bernama) -- The government has approved the Rihanna Concert, scheduled for Feb 13 at Stadium Putra in Bukit Jalil, despite the Federal Territory PAS Youth's objection to it.

Unity, Culture, Arts and Heritage Minister Datuk Mohd Shafie Apdal said: "They (PAS Youth) can always protest, but the ministry has the final say."

He said what was important was that the organiser had fulfilled all the conditions set by the ministry.

"Our main concern is whether the concert is in line with Malaysian culture, but as the entertainment industry is a very dynamic and creative industry, we must allow our people to have access to it," he told reporters after launching the Chinese New Year celebration at the Central Market here today.

Last Tuesday, Federal Territory PAS Youth expressed its disappointment over the organising of the 'Rihanna Live in Kuala Lumpur' concert by a local company.

Link ke berita asal : di sini

Petikan dari Berita Harian 6 Januari 2009:

Konsert sulung Rihanna di Kuala Lumpur 13 Feb.

KUALA LUMPUR 5 Jan. - Penyanyi terkenal antarabangsa kelahiran Barbados, Rihanna mengesahkan kehadirannya untuk beraksi buat pertama kalinya di negara ini pada 13 Februari depan.

Penghibur yang cukup popular dengan lagu Umbrella dan Unfaithful itu dijadualkan mengadakan konsert sulungnya di Stadium Putra di sini bermula pukul 8.30 malam.

Konsert yang diberi nama Rihanna Live In KL 2009 itu merupakan siri konsert jelajah dunianya sebagai rangka promosi album ketiganya, Good Girl Gone Bad.

Menurut penganjur konsert berkenaan, Pineapple Concerts Sdn. Bhd., Malaysia merupakan negara pertama yang dipilih dalam siri jelajah konsert berkenaan untuk tahun 2009 selepas kejayaan konsertnya di Singapura dan Filipina tahun lalu.

''Kami percaya dengan populariti dan kehebatan Rihanna di atas pentas mampu menarik perhatian penonton untuk menyaksikan konsert sulungnya di negara ini,'' kata Pineapple Concerts dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pineapple Concerts sebelum ini menganjurkan beberapa siri konsert hebat antaranya Konsert 3 Diva dan Live and Loud 2008 yang menampilkan penyanyi terkenal, John Legend.

Kehadiran Rihanna ke negara ini pastinya ditunggu-tunggu kerana dia antara penyanyi terkenal dunia yang sering kali menampilkan persembahan bertenaga dalam setiap konsertnya.

Tiket-tiket yang berharga RM128 hingga RM328 sudahpun mula dijual dan sebarang pertanyaan dan tempahan, boleh menghubungi talian 03-7711 5000.”

Link ke berita asal: di sini

____________________________________________________________________________________

Membaca artikel-artikel di atas membuatkan saya tertanya-tanya, terutamanya dengan salah satu statement yang dinyatakan oleh Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Mohd Shafie Apdal itu, : "Perkara utama yang kami lihat ialah sama ada konsert itu selaras dengan budaya Malaysia, tetapi memandangkan industri hiburan sangat dinamik dan kreatif, kita perlu membenarkan rakyat kita mendapat akses untuk itu,". Saya terfikir,:

1. apa rasionalnya mengadakan konsert bercorak kebaratan seperti ini dikaitkan dengan realiti bahawa semakin dinamik dan kreatifnya industri hiburan itu?

2. dan pada masa yang sama – saya juga turut mempersoalkan, kalau namanya sahaja pun sudah menggambarkan portfolionya untuk menjaga hal ehwal kesenian, kebudayaan dan warisan, apakah motif untuk membawa masuk konsert artis Barat seperti ini, yang jelas sekali jika dinilai dari sudut moral – akhlaknya amat rendah dan tajuk konsert itu sendiri yang menggambarkan suatu akhlak yang tidak baik (perlu diingatkan bahawa tajuknya Good Girl Gone Bad)?

Lihat pada visi, misi, objektif dan peranan Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW) pada link ini : di sini

Di sini juga saya sertakan dua URL berkenaan dua prinsip Islam Hadhari yang ingin saya ambil sebagai kayu pengukur, samada tindakan meluluskan konsert itu selaras dengan dua prinsip Islam Hadhari tersebut:

Prinsip Pertama
KEIMANAN DAN KETAKWAAN KEPADA ALLAH

di sini

Prinsip Ke Lapan

KEUTUHAN BUDAYA DAN MORAL

di sini

Daripada dua URL di atas, suka untuk saya highlightkan beberapa petikan berikut, untuk menilai sejauh mana tindakan meluluskan konsert tersebut menepati prinsip-prinsip berkenaan. Antaranya:

Dari Prinsip Pertama:

“Mengikut Hamka, keimanan bermakna kepercayaan iaitu pengakuan hati yang dibuktikan dengan amalan perbuatan yang dilafazkan oleh lidah, akhirnya menjadi keyakinan hidup manusia. Sementara ketakwaan, ianya mengandungi makna seperti berikut:

  1. memelihara hubungan yang baik dengan Pencipta
  2. *memelihara diri daripada perbuatan yang tidak diredhai oleh Pencipta
  3. memelihara dan melaksanakan segala perintah Pencipta untuk diamalkan.”

“Manusia yang beriman dan bertakwa adalah manusia yang sentiasa optimistik, berfikiran terbuka dan memiliki kekuatan jiwa dan emosi yang terkawal untuk mengerjakan yang terbaik bagi diri, keluarga, masyarakat, negara dan makhluk sejagat. *Disamping itu, mereka juga memiliki kemampuan menyaring dan menapis semua perkara atau budaya yang bercanggah dengan norma dan nilai agamanya. Kerana iman dan takwanya kepada Allah membimbingnya ke jalan yang lurus bagi melakukan perkara-perkara yang bermanfaat, oleh sebab keimanan itulah menjadi sumber pelbagai kebaikan.”

“Konsep “Ibadu Rahman” (hamba Allah), dalam al-Quran adalah elemen penting menjana model sumber manusia yang unggul yang menjadi idaman setiap masyarakat membangun. Di antara ciri-ciri manusia ibadu rahman, ialah:

  1. Hidup sederhana, tidak membazir dalam kehidupannya.
  2. Sopan-santun dalam pergaulan dan berkomunikasi
  3. Mentaati segala perintah Tuhannya
  4. Memiliki rasa pertimbangan yang adil dan saksama
  5. Tidak membazir dalam menggunakan rezeki yang dimilikinya
  6. *Menjauhi perkara yang membawa kepada kederhakaan seperti ingkar kebaikan, pembaziran dan;
  7. *Tidak bersekongkol dengan usaha dan perkara mungkar serta tidak terpengaruh dengan budaya negatif sekeliling.
  8. Menjaga dan memelihara kerukunan rumahtangga, menghormati yang lebih tua dan mengasihi yang lebih muda.
  9. Menjaga hak dan maruahnya disamping menghormati hak-hak orang lain.”

Dari Prinsip Kelapan:


“Budaya adalah sesuatu yang berubah mengikut perubahan masa dan tempat. Ada budaya yang menjadi penghalang kepada kemajuan masyarakat dan ada budaya yang membawa kepada kebaikan, kecemerlangan dan ketinggian bangsa dan negara. Budaya yang baik yang perlu kita suburkan sehingga ia menjadi benar-benar utuh dan mewarnai identiti positif umat Islam dan menaikkan imej negara Malaysia ialah budaya yang mengandungi ciri-ciri berikut:-


4.9 Kegiatan kesusasteraan yang mendukung nilai-nilai murni, positif, membangun minda dan memajukan pemikiran rakyat; kemajuan dalam bidang puisi, novel, cerpen dan drama berjalan selari dengan wawasan kemanusiaan yang beradab dan kesucian agama.


4.10 Kesenian yang mengekalkan keaslian yang murni sambil mencari manifestasi-manifestasi baru dan kreatif tanpa mengorbankan nilai-nilai atau bentuk-bentuk asli yang indah dan bermakna; tidak wujudnya penggiat seni yang hidup di luar batas-batas kesusilaan atau budaya yang beretika.


4.11 Budaya pakaian yang menghormati batas-batas agama dan kesusilaan tradisional; aliran-aliran fesyen yang merupakan tiruan dunia fesyen barat atau timur untuk kepentingan kebendaan pereka-pereka fesyen yang tidak mengindahkan nilai-nilai moral atau agama tidak digalakkan; bagi orang Islam fesyen-fesyen pakaian yang menepati kehendak agama dan moral umat Islam boleh dipopularkan atau dipasarkan di dalam dan di luar negeri.


4.13 Budaya hiburan melalui muzik, tarian dan pementasan yang tidak melampaui batas kewajaran yang dibenarkan agama dan moral; kecenderungan pemuda pemudi beragama Islam untuk terlibat dalam budaya hiburan melalui konsert-konsert yang terlalu bebas kerana mengikuti aliran dan gaya baru Barat yang bersifat terlalu liberal dan memberangsang nafsu seks tidak harus dibiarkan merebak dan merosakkan tata susila dan norma-norma umat Islam; stesen-stesen TV milik kerajaan tidak wajar memberi galakan atau ruang dan masa yang istimewa kepada aliran-aliran atau program-program hiburan yang merendahkan akal budi generasi muda dan secara tidak langsung menggalakkan pergaulan bebas lepas antara lelaki dan perempuan walaupun program-program itu berhasil membawa keuntungan besar kepada pihak penaja dari luar atau dalam; mengekalkan budaya hiburan yang sederhana lagi mendidik minda dan tidak menjolok mata adalah penting dalam mengejar kemajuan mengikut “acuan kita sendiri” dan membenteras gejala sosial yang melanda golongan remaja Malaysia hari ini.


4.16 Kesenian tradisional atau moden yang tidak bercanggah dengan dasar iman dan akhlak mulia serta menyerlahkan identiti positif sesuatu kaum atau bangsa; kepelbagaian adat dan tradisi pelbagai kaum dan umat beragama dalam masyarakat Malaysia yang berinteraksi secara aman dan harmonis dipertahankan; aktiviti kebudayaan atau kesenian yang mengandungi unsur syirik, khurafat atau tahyul tidak dibenarkan kepada orang-orang yang beragama Islam.”


Keputusannya, saya serahkan kepada tetamu ziarah sekalian untuk menilai sejauh manakah tindakan meluluskan konsert tersebut selaras dengan dasar-dasar yang diperkenalkan di dalam Islam Hadhari.


Entri ini tidak bermaksud untuk membuat sebarang provokasi ataupun menyerang mana-mana pihak, tetapi ianya adalah lebih kepada pertanyaan daripada seorang rakyat Malaysia yang kebingungan memikirkan kewajaran konsert tersebut diluluskan, yang lebih kurang bernada “Saya ada beberapa persoalan yang ingin diajukan. Saya masih kurang faham berkenaan dengan ……. Jadi, saya mohon jasa baik pihak tuan untuk memberikan penjelasan dan kedudukan sebenar mengenai isu ini”.


WaLLAHuta’ala a’lam,


Ibn ‘AbdiLLAH As-Sarawaki,

11.52pm,

Jumaat, 23 Januari 2009,

Bintulu, Sarawak.

Mahu Perjuangkan Islam? : Sertailah Jama'ah Islam!


Assalamu’alaikum warahmatuLLAHi wabarakatuh..

Firman ALLAH SWT:
Wahai orang-orang Yang beriman! masuklah kamu ke Dalam ugama Islam (dengan mematuhi) Segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; Sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu Yang terang nyata. maka kalau kamu tergelincir (dan jatuh ke Dalam kesalahan disebabkan tipu daya Syaitan itu), sesudah datang keterangan-keterangan Yang jelas kepada kamu, maka ketahuilah bahawasanya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Q.S Al-Baqarah 208-209)

Sabda RasuluLLAH SAW:
Diwajibkan ke atas kamu berjemaah kerana sesungguhnya serigala akan makan kambing yang jauh dari kumpulannya”.

Lagi sabda RasuluLLAH SAW:
Kamu hendaklah bersama jemaah muslimin dan pemimpin mereka.”

Serta:
Kamu hendaklah bersama jemaah, kerana tangan ALLAH bersama jamaah, dan sesiapa yang mengasingkan diri (daripada jamaah), maka dia mengasingkan diri ke dalam api neraka.

Ayat Al-Qur’an di atas serta beberapa hadith yang dikemukakan di atas menerangkan beberapa intipati penting, iaitu:
1. Bahawasanya wajib seseorang yang bergelar Muslim untuk beriltizam seratus peratus kepada ajaran Islam. Saidina Umar r.a pernah menyebut lafaz yang kira-kira berbunyi “Kita dahulunya adalah satu bangsa yang hina, tetapi telah ALLAH SWT muliakan dengan Islam. Jikalau kita menolak Islam, maka hilanglah kemuliaan itu daripada kita.”

2. Kewajipan setiap muslim untuk menyertai jamaah yakni jamaah Islam, dan kewajipan ini ditaklifkan ke atas setiap individu muslim berdasarkan kemampuannya (Firman ALLAH SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 286: ALLAH tidak membebani seseorang, kecuali sesuai dengan kemampuannya..). Salah satu daripada hadith di atas juga menegaskan bahawa kewajipan untuk ta’at kepada pimpinan jamaah Islam, selagi mana ia tidak melanggar batasan syariat. Ini diperkuatkan lagi dengan firman ALLAH SWT dalam al-Qur’an yang bermaksud “…taatilah ALLAH dan taatilah Rasul-Nya, dan ulil amri (pemimpin) di antara kamu..” serta salah satu hadith Nabi SAW yang bermaksud “Barangsiapa ta’at kepada aku, maka dia sudah ta’at kepada ALLAH dan sebahagian daripada ta’at kepada aku mentaati ialah mentaati amir (ketua atau pimpinan).”

Daripada beberapa intipati di atas dan apabila dalil-dalil di atas dihubungkaitkan antara satu dengan yang lain, dapat dibuat beberapa kesimpulan yang mudah iaitu:
1. Tidak cukup seseorang muslim itu jika hanya beriltizam kepada beberapa perkara seperti menunaikan solat, puasa dan haji serta beberapa perkara lain sahaja manakala sebahagian daripada ajaran Islam yang lain ditinggalkan, salah satu daripadanya ialah menggabungkan diri dengan jamaah Islam.

2. penggabungan diri ke dalam jamaah Islam adalah wajib ke atas setiap muslim, dan melalui penggabungan ini maka salah satu daripada untaian yang mengikat seseorang itu kepada Islam sudahpun tersimpul erat.

3. penggabungan ke dalam jamaah Islam adalah sesuatu yang syar’I dan bukanlah semata-mata rekaan manusia, tetapi merupakan perintah ALLAH SWT melalui lisan Rasul-Nya.

Beberapa kesimpulan tersebut adalah antara dalil-dalil yang boleh dikemukakan sebagai hujjah bahawa wajib untuk setiap Muslim beriltizam kepada jamaah Islam. Beriltizam kepada jamaah Islam yang mana secara langsung bermaksud mengikat diri kepada perjuangan Islam. Secara simbol matematikanya,

Menyertai jamaah Islam = Menyertai perjuangan Islam = Kesempurnaan Islam & Iman



Walau bagaimanapun, malangnya masih ramai yang tidak menyedari hakikat bahawa hidup sebagai seorang Muslim tidak cukup hanya dengan solat, puasa, haji dan zakat sahaja. Lebih malang lagi kerana ada yang sampai ke tahap solat pun belum dilaksanakan sepenuhnya.

Ketahuilah, bahawa Islam itu adalah luas skopnya. Ianya merupakan sebaik-baik dan semulia-mulia serta sebenar-benar pegangan hidup. Ianya mempunyai ruang lingkup yang luas di dalam kehidupan seorang Muslim. Islam bukan hanya setakat rukun iman yang enam, rukun Islam yang lima dan juga ihsan sepertimana yang ditulis dalam mana-mana buku teks Pendidikan Islam menurut sukatan pelajaran Pendidikan Islam peringkat PMR dan SPM Kementerian Pelajaran Malaysia.

Janganlah kita menganggap bahawa hidup di dunia ini tidak ada cabaran, ujian dan jerih payah. Dan jangan lupa bahawa di dalam Islam itu, salah satu daripada perkara pokok yang perlu diketahui ialah Islam itu merupakan perjuangan dan menuntut penganutnya untuk berjihad memperjuangkannya. Adakah kita lupa bahawa Nabi SAW pernah menyebut bahawa jika seseorang itu tidak pernah ada keinginan untuk syahid (ataupun dalam konteks lain, berjuang/berjihad di jalan ALLAH SWT) di dalam dirinya, maka tidak sempurna imannya?

Bukti keimanan dan keislaman yang sebenar adalah seseorang Islam itu bertekad dan berusaha memperjuangkan Islam, yang menunjukkan kesungguhannya menjadi hamba ALLAH SWT yang mendaulatkan agama-Nya. Sedarlah kita semua bahawa apabila menjadi seorang Islam, ianya menuntut suatu iltizam dan komitmen yang lengkap dan menyeluruh terhadap ajaran Islam, sesuai dengan maksud firman ALLAH SWT dalam ayat 208 Surah Al-Baqarah tadi. ALLAH SWT menegaskan bahawa tiada istilah masuk Islam itu separuh-separuh, melainkan hanya ada dua jalan iaitu samada seseorang itu menurut jalan kebenaran ataupun menelusuri kesesatan!!. Wal ‘iyyadzabiLLAH!

Muslim yang sejati ialah mereka yang sedia berangkat dan keluar berjuang untuk menegakkan cita-cita Islam dalam segala dimensinya yang mungkin. Muslim yang sebenar ialah muslim yang tidak terhalang daripada berjihad hanya disebabkan oleh kesempitan hidup yang menimpanya atau terlalai oleh kesenangan dan kebendaan. Mereka merupakan golongan yang sedia dan rela berkorban demi Allah dan Rasul-Nya, kerana mereka yakin dengan janji-janji ALLAH SWT, seperti yang diterangkan dalam Surah Al-Saff ayat 10.dan 11 yang bermaksud “Wahai orang-orang Yang beriman! mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan Yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa Yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan RasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah Dengan harta benda dan diri kamu; Yang demikian itulah Yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat Yang sebenarnya).

Golongan ini merupakan mereka yang sedar bahawa realiti sebagai seorang Islam itu perlu memperjuangkan agamanya lantaran ancaman dan fitnah yang tidak kunjung putus yang dilancarkan oleh musuh-musuh Islam ke atas agamanya serta mereka yakin bahawa mereka akan dipertanggungjawabkan oleh ALLAH SWT di akhirat nanti kerana tidak pernah mahu memperjuangkan agama-Nya.


Ingatlah bahawa hakikat di zaman RasuluLLAH SAW dahulu bahawa apabila seseorang itu enggan turut serta untuk memperjuangkan Islam dihukum sebagai munafiq dan kufur kepada ALLAH SWT. ALLAH SWT melarang Nabi SAW daripada mendoakankan mereka dengan berdiri di tepi kubur mereka serta melarang baginda daripada menyembahyangkan jenazahnya. Ini tentu sekali kerana perbuatan tidak ikut serta untuk berjuang menegakkan kedaulatan Islam merupakan suatu dosa besar yang membawa kepada terhapusnya kekuasaan dan kemegahan Islam.


Justeru, sebagai seorang muslim - adalah menjadi kewajipan untuk kita beriltizam serta berusaha mengukuhkan gerakan Islam dan meramaikan bilangan mereka (ahli jamaah Islam) agar kita berjaya di dunia dan di akhirat.

Menjadi ahli jamaah Islam tidak bermaksud bahawa semua ahlinya perlu mengangkat senjata menuju ke medan perang. Ingatlah bahawa sifat Islam itu yang luas dan universal, maka sudah tentu jamaah yang menjadikan Islam sebagai dasarnya mempunyai ruang lingkup perjuangan yang luas. Ketahuilah bahawa di dalam Jamaah Islam itu perlu adanya kekuatan ketenteraan, penganalisis politik, pakar ekonomi, pakar kesihatan, ahli seni, ahli muzik sehinggalah ke sekecil-kecil peranan, dari setinggi-tinggi pangkat sehinggalah ke serendah-rendah peringkat (pada hakikatnya, semua peranan di dalam suatu organisasi itu penting untuk menggerakkan organisasi itu menuju kejayaan!). Analogi yang cukup cantik untuk menggambarkan jamaah Islam ialah ianya bagaikan sebatang tubuh yang mana setiap anggota memainkan peranan yang penting. Apabila demam seseorang itu, maka seluruh tubuhnya merasakan kesakitan yang dialaminya. Alangkah indahnya suasana dalam berjamaah itu! Hubungan yang erat terbina di antara ahli-ahlinya bagaikan isi dengan kuku – apabila terpisah, maka cacat dan cederalah ia.

Sertailah Jamaah Islam! Masuklah ke dalamnya kerana di sana kebolehan dan potensi diri anda boleh digunakan sepenuhnya untuk Islam!

Oleh itu, wahai saudara sekeyakinan dan se’aqidahku, marilah kita bersama-sama terjun ke dalam arena perjuangan Islam dengan menyertai jamaah Islam, bersama-sama dengan golongan ulama’ dan cendekiawan – merintis jalan perjuangan yang pernah dilalui oleh RasuluLLAH dan para sahabat, golongan salafussoleh dan seterusnya.

Terdapat banyak jamaah-jamaah Islam yang terdapat di Malaysia ini yang boleh kita ikut serta bersama dengannya, antaranya Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Jemaah Islah Malaysia (JIM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), dan lain-lain lagi yang matlamatnya tidak lain – untuk menegakkan dan mendaulatkan ajaran dan syariat ALLAH SWT di muka bumi ini .


Semoga kita tidak dihukum oleh ALLAH S.W.T. seperti manusia-manusia yang menyimpang dari ajaran-Nya serta semoga kita sama-sama dipelihara dan dilindungi daripada mati dalam keadaan munafiq yang tidak mahu terlibat dan istiqamah dalam perjuangan, sekaligus menjadi asbab kepada partisipasi kita ke dalam neraka!

Wal ‘iyyadzabiLLAH!!!

Rujukan: Kertas kerja bertajuk “Kewajipan Menyertai Perjuangan Islam” oleh Ustaz Abdul Ghani Shamuddin bertarikh 21 Jun 2006.

Ibn ‘AbdiLLAH As-Sarawaki : Sertailah mana-mana Jamaah Islam yang mana dasarnya ialah perjuangan Islam, hatta tabligh sekalipun. Carilah mana-mana saluran yang di mana di situ bakat dan potensi kita boleh digunakan sepenuhnya untuk Islam! Cuma saya musykil dengan manhaj UMNO, keliru memikirkan samada ia boleh dilabel sebagai perjuangan Islam. Saya pernah ikut tabligh, saya pernah terlibat dengan tarbiyyah JIM, tapi setakat ini saya belum pernah terjumpa mana-mana usrah UMNO lagi. Mungkin tiada usrah UMNO di tempat-tempat yang saya pernah kunjungi sebelum ini barangkali…

Ibn ‘AbdiLLAH As-Sarawaki,
11.13pm,
Khamis, 22 Januari 2009,
Bintulu, Sarawak.

Monday, January 19, 2009

PRK UPM 19 Januari 2009 : Paling Robotik Dalam Sejarah!


Mahasiswa hari ini adalah pemimpin hari esok. Ini merupakan slogan cliché yang biasa kita dengari yang mana menyentuh tentang betapa pentingnya mahasiswa itu sebagai asset yang akan menjadi agen kepada pembangunan negara di masa akan datang. Slogan itu memberikan gambaran yang cukup mudah kepada kita iaitu apabila nama pun digelar sebagai pemimpin pada hari esok, bermakna persiapan untuk membentuk pemimpin itu pun perlulah bermula dari sekarang. Salah satu aspek penting dalam membentuk kepimpinan mahasiswa pada hari ini adalah melalui proses mematangkan pemikiran dan minda mahasiswa. Proses pematangan pemikiran mahasiswa itu berlaku apabila suasana persekitarannya yakni kampus yang didudukinya itu sendiri adalah dalam keadaan yang membina dan merangsang kematangan itu. Suasana masyarakat kampus yang bukan sahaja prihatin terhadap perkembangan isu-isu semasa yang berlaku, tetapi juga turut bersikap responsif terhadap sesuatu isu itu.


Muqaddimah yang agak panjang, tapi perkara yang hendak dibawakan mungkin tidak banyak menyentuh kata-kata pembuka bicara di atas.


Hari ini, Isnin – 19 Januari 2009, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah mengadakan proses pembuangan undi bagi Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2008/2009. Proses yang juga biasa berlaku di mana-mana institusi pengajian tinggi di Malaysia. Berkenaan cerita di UPM, ulasan yang ingin disampaikan adalah lebih berasaskan kepada penilaian masyarakat kampus khususnya di UPM Kampus Bintulu dan juga penilaian mata hati yang terkesima dan tertanya-tanya “Adakah ini yang dikatakan mahu mematangkan mahasiswa dan membentuk pemimpin di masa yang akan datang?”.


Secara profesional, boleh dikatakan jikalau dibandingkan dengan pemilihan pada sesi-sesi yang lepas, pemilihan pada kali ini adalah yang paling teruk dan nampak agak ke’kartun’an dalam sejarah pemilihan majlis perwakilan pelajar. Pelbagai peraturan baru diperkenalkan oleh Jawatankuasa Pelaksana Pemilihan (JKP), dan peraturan-peraturan ini jelas sekali membunuh kredibiliti dan kewibawaan pemimpin mahasiswa!


Peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa termasuklah kempen hanya dibenarkan berbentuk lisan, Kempen siber diharamkan sama sekali, Poster-poster dilarang sama sekali ditampal atau disebarkan melainkan membuat permohonan kepada pihak JKP dan pihak JKP sendiri yang akan menampalnya. Lihatlah bahawa betapa JKP telah memperbudakkan mahasiswa dan menetapkan peraturan-peraturan yang menjadikan mahasiswa sebagai makhluk robotic yang akan akur atas apa sahaja yang telah ditetapkan ke atas mereka. Agak memalukan juga peraturan-peraturan seperti ini diwujudkan – menggambarkan seolah-olah pemilihan yang dijalankan adalah untuk memilih Ketua Pengawas Sekolah! Pemilihan Ketua Darjah pun tidak seteruk ini, bahkan lebih bersifat demokratik berbanding pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar UPM kali ini.


Bayangkanlah bahawa betapa tidak rasionalnya pilihanraya kali ini – poster calon-calon bebas pun hanya baru dinaikkan sehari sebelum hari proses pembuangan undi. Nak undi - nak undi siapa? Macam mana kita mahu menilai kredibiliti orang yang bakal dinaikkan sebagai pemimpin sedangkan manifestonya sendiri pun tidak dikempenkan.

Di UPMKB, calon bagi dua kerusi Fakulti Sains Pertanian dan Makanan, fakulti tunggal UPMKB telah diisytiharkan menang tanpa bertanding pada 16 Januari 2009. Suasana pilihanraya kali ini sangat hambar disebabkan pertandingan sudah tidak wujud di kampus ini yang hanya memiliki 2 kerusi fakulti tersebut dan tiada kerusi bebas. Di sini, poster calon-calon PRK UPM baik calon fakulti FSPM mahupun calon bebas UPM Serdang langsung tidak kelihatan sehinggalah pada petang semalam, poster ditampal di depan pejabat Kolej Sri Rajang. Inilah pilihanraya yang paling teruk di UPM!


Pemilihan MPP kali ini dilihat sebagai memperlekehkan kepimpinan mahasiswa dan idealisme perjuangan mahasiswa. Adakah ini yang disebutkan demokrasi? Ataukah ini sistem kuku besi?


Suasana seperti ini dilihat membunuh semangat kepimpinan mahasiswa. Macam mana mahu mematangkan mahasiswa yang kononnya mahu dibentuk sebagai agen pembangunan negara, sedangkan suasana yang dicipta itu tidak membina? Bagaimana mahu melahirkan pemimpin yang berkualiti yang kononnya menjadi teras harapan bangsa sedangkan peranan mereka dalam melibatkan diri untuk memberikan respons terhadap isu-isu semasa dipertikai dan mereka juga dihalang daripada bersuara?


Adakah sebenarnya ‘mereka’ telah lupa bahawa pemimpin yang telah banyak memainkan peranan dalam pembangunan negara pada hari ini adalah dari kalangan mahasiswa yang dulunya berani bermain isu, berani bersuara, yang tidak disempitkan dan direncatkan perkembangan minda mereka? Adakah kita mahu berharap pemimpin negara suatu hari nanti bukan di kalangan cerdik pandai? Adakah kita ingin meminggirkan golongan yang berpendidikan tinggi daripada terlibat dalam arena politik negara di masa hadapan? Sedangkan anak-anak muda yang kurang bernasib baik yang tidak terpilih untuk memasuki institusi pengajian tinggi juga mampu menjadi manusia yang berdikari dan diasah bakat mereka. Apa guna belajar di universiti jika hanya untuk mendapatkan segulung ijazah? Anak muda yang tidak berpeluang memasuki universiti juga belajar di ruang yang lebih luas. Mereka belajar daripada pengalaman. Justeru, apakah aset yang ada pada pelajar universiti selain rajin membaca buku?

Sekadar ingin berkongsi sedikit tentang reaksi masyarakat kampus di UPMKB ini berkenaan PRK kali ini – pilihanraya kali ini nampaknya tersangat longgar dari segi peraturannya di mana partisipasi dari kalangan warga kampus untuk menyertai proses pembuangan undi adalah hambar. Proses pembuangan undi berlangsung sejak pukul 8.30 pagi dan dijadualkan tamat pada pukul 3.30 petang. Peratusan yang turun mengundi setakat jam 2 – 3 petang hanya 34 peratus. Ke mana perginya warga kampus yang selebihnya itu?


Janganlah pihak JKP merasa hairan atas perkara ini. Inilah dia boikot tanda tidak setuju dengan kaedah perlaksanaan PRK kali ini. Mana tidaknya, mahasiswa merasa tiada makna lagi mereka perlu keluar mengundi setelah 2 calon fakulti menang tanpa bertanding. Tiada makna jika hanya mengundi 16 calon bebas dari kampus Serdang yang mereka sendiri tidak kenal, yang mereka sendiri tidak tahu apa yang diperjuangkannya. Mengundi dalam situasi tersebut pun ibarat menikam nombor ekor. Pilih yang mana dirasakan berkenan di hati. Amat tidak relevan!


Sebagai menutup ulasan pada kali ini, ingin diungkapkan kata-kata Professor Diraja Ungku Abdul Aziz yang menyebut "belajar sambil mencabar, pengetahuan tidak terjuntai seperti pisang, bangsamu tidak termaju tanpa pemimpin, biarlah mahasiswa mencabar asalkan sambil itu mereka belajar…”. Maka, bagi sesiapa yang terlibat khasnya JKP, renungkan kata-kata cerdik pandai ini (yang tentunya lebih pandai daripada kita) dan buatlah penilaian samada tindakan yang kita buat itu, terutamanya dengan mewujudkan suasana PRK yang langsung ‘tidak kondusif’ pada kali ini, selaras atau tidak dengan apa yang beliau katakan….


Renung-renung dan fikir-fikirkan…..


*entri asal bertajuk "PRK 08/09 Membenamkan Kredibiliti Pemimpin Mahasiswa", ihsan daripada blog sahabat saya : www.wiraislam.blogspot.com


Ibn ‘AbdiLLAH As-Sarawaki

11.08pm,

19 Januari 2009, Isnin,

Bintulu, Sarawak.

Saturday, January 17, 2009

Fenomena Bulan Purnama Di Kuala Terengganu : P.36 Memihak Al-Haq

Petikan langsung daripada HarakahDaily.Net dan Berita Harian Online bertarikh 17 Januari 2009.
______________________________________________________________

1. Dari HarakahDaily.Net

PAS menang, Abdul Wahid layak ke parlimen!

KUALA TERENGGANU, 17 Jan (Hrkh) - PAS telah berjaya memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu melalui calonnya, Abdul Wahid Endut, 51 dalam pilihan raya kecil yang diadakan hari ini.

Kemenangan ini sekaligus mengalahkan BN yang diwakili oleh calon Umno, Dato' Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan calon bebas Azharuddin Mamat, seorang ahli perniagaan.

PAS mendapat 32,883 undi manakala BN 30,252, dimana PAS mendapat kelebihan majoriti 2,631 undi.

Perkara itu diumumkan oleh Pengurus Suruhajaya Pilihan Raya (SPR) Negeri di Stadium Negeri, Kuala Terengganu sebentar tadi.

Pengumuman kemenangan itu disambut gembira dengan laungan takbir dan sorakan oleh ribuan penyokong PAS dan Pakatan Rakyat yang berada di pekarangan stadiaum terbabit.

Abdul Wahid, 51 tahun adalah ADUN sejak lima penggal, lulusan Universiti Pertanian Malaysia (UPM) dalam bidang perikanan dan sains marin. Beliau memiliki rekod yang cemerlang sebagai Adun atau Exco selama sepenggal dan sebagai Adun pembangkang.

Parlimen Kuala Terengganu mempunyai 4 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mana 3 daripadanya dimenangi oleh PAS manakala 1 DUN dimenangni BN (MCA)

DUN-DUN yang dimenangi oleh PAS ialah Wakaf Mempelam (Abdul Wahid Endut), Ladang (Tengku Hassan Tnegku Omar), dan Batu Buruk (Dr. Syed Azman Ahmad Nawawi)

Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi Parlimen P036 berikutan kematian mengejut penyandangnya, Allahyarham Dato' Razali Ismail yang juga Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia pada 27 Oktober lalu.

Pada PRU ke-12, 8 Mac 2008 lalu Razali menang tipis dengan majoriti 628 undi menewaskan calon PAS, Mohamad Sabu dan calon Bebas, Maimun Yusuf hanya mendapat 685 undi. Jumlah pengundi berdaftar di Parlimen Kuala Terengganu ialah 80,229 orang termasuk 1,035 pengundi pos. - azm _

2. Dari Berita Harian Online

Pas rampas Parlimen Kuala Terengganu

KUALA TERENGGANU: Pas merampas kerusi Parlimen Kuala Terengganu daripada Barisan Nasional (BN) apabila calonnya, Mohd Abdul Wahid Endut, menang dengan majoriti 2,631 undi.

Abdul Wahid yang juga Yang Dipertua Pas Kuala Terengganu memperoleh 32,883 undi menewaskan calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, mendapat 30,252 undi manakala calon Bebas, Azharudin Mamat @ Adam, hanya menerima 193undi, sekali gus hilang deposit.

Undi rosak pula sebanyak 665 undi manakala peratusan keluar mengundi ialah 79.73 peratus atau 63,967 pengundi.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kuala Terengganu, Wan Mustafa Wan Hassan, di Stadium Negeri jam 9.30 malam tadi.

Sebanyak 144 saluran di 36 pusat pembuangan undi dibuka mulai jam 8 pagi dan ditutup jam 5 petang bagi membolehkan 80,229 pemilih berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian bekas Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail, akibat serangan jantung ketika bermain badminton di Institut Aminudin Baki (IAB), Genting Highlands, 28 November lalu.

Pada pilihan raya umum Mac tahun lalu, Allahyarham Razali menewaskan calon Pas, Mohamad Sabu dan calon Bebas, Maimun Yusuf dengan majoriti 628 undi.

___________________________________________________________________

Ibn 'AbdiLLAH : AlhamduliLLAH! Kuala Terengganu milik Gerakan Islam semula. Semoga diberkati dalam memikul amanah ini. Semoga suara rakyat sampai secara telus ke Parlimen. Juga selamat berjuang dalam menempuh mehnah dan tribulasi yang bakal dihadapi dalam memikul beban demi al-Haq! ALLAHukbar! ALLAHukbar! ALLAHukbar! Wa liLLAHilhamd!

*dah cuba cari poster 'Undilah Calon UMNO' supaya seimbang gambar-gambar untuk entri ini, tapi tak jumpa-jumpa..

Ibn 'AbdiLLAH As-Sarawaki

10.01pm

17 Januari 2009, Sabtu

Bintulu, Sarawak.

Saturday, January 10, 2009

Gambar-gambar Untuk Tatapan Hari Ini : Adakah Cukup Sekadar Menitiskan Air Mata?


Ibn 'AbdiLLAH As-Sarawaki : Menatap gambar-gambar ini sudah cukup untuk membuatkan saya sebak dan menitiskan air mata... saya bertanya kepada diri "Adakah cukup sekadar menangis? Adakah cukup sekadar menulis dan meng'upload' artikel di dalam blog?"... Sama-sama muhasabah diri.

* gambar-gambar di atas diambil secara bebas dari blog http://www.sahabatpalestine.blogspot.com/


Ibn 'AbdiLLAH As-Sarawaki,
Ahad, 11 Januari 2009,
12.11pm,
Bintulu, Sarawak.

Khutbah 9 Januari 2009: Hijrah Dimartabat Palestin Berdaulat

Khutbah UPMKB: Hijrah Dimartabat Palestin Berdaulat
Tarikh : 9 Januari 2009 / 12 Muharram 1430
Lokasi: Masjid Pusat Islam UPMKB
Khatib: En Ramzey bin Sedzin

Sidang Jumaat yang dirahmati ALLAH sekalian,
Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita bertakwa kepada ALLAH SWT dengan sebenar-benar takwa serta melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Sesungguhnya orang yang bertakwa itu ialah semulia-mulia hamba ALLAH yang akan memperolehi segala kebaikan, pertolongan ketika kesukaran, lindungan, keberkatan, kemudahan dan kejayaan hidup yang telah dijanjikan di sisi ALLAH SWT. Tajuk khutbah pada hari ini ialah Hijrah Dimartabat Palestin Berdaulat.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman ALLAH SWT dalam ayat 74 Surah al-Anfal:

“Dan mereka yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan ALLAH dan mereka yang memberi tempat kediaman dan pertolongan maka merekalah orang-orang yang benar-benar beriman. Mereka memperolehi keampunan dan kurniaan yang mulia”.

Kini kita telah berada pada tahun baru 1430 Hijrah dan juga 2009 Masihi di mana umat Islam menyambut ketibaan tahun baru ini dalam keadaan perisitwa berdarah apabila saudara seagama kita di Semenanjung Gaza, Palestin diserang tanpa belas kasihan oleh zionis Yahudi laknatuLLAH dari arah darat dan udara sehingga mengorbankan 410 nyawa termasuk kanak-kanak dan orang tua, manakala 1,900 lagi cedera setakat 6 hari ini.

Setelah lebih setahun bekalan makanan disekat, bekalan ubat-ubatan dinafikan, minyak dan gas dihalang, permit kerja dibekukan terhadap penduduk Gaza yang dikuasai oleh Pergerakan HAMAS maka pengganas paling kejam di dunia iaitu zionis Yahudi memulakan serangan besar-besaran untuk membunuh umat Islam atas alasan pejuang Islam menyerang Israel. Alasan yang memualkan ini sentiasa dilaungkan untuk menipu dunia sedangkan zionis Yahudi merupakan penceroboh yang merampas tanah air milik umat Islam kerana mereka telah ditanam kepercayaan melalui Kitab Yahudi Talmud dan terbaru Khakam iaitu ulama’ Yahudi telah mengeluarkan fatwa supaya bangsa Arab sama ada Islam dan Kristian mesti dihapuskan bagi memastikan Yahudi menguasai Palestin seterusnya dunia.

Sidang Jumaat yang dirahmati ALLAH,
Setiap kali membicarakan peristiwa hijraturrasul SAW maka kita sentiasa diingatkan tentang penderitaan dan penyeksaan yang diterima oleh umat Islam semasa berada di bumi Mekah, tanah air sendiri semata-mata beriman kepada ALLAH dan rasul-Nya. Akhirnya umat Islam diizinkan untuk mendapat perlindungan daripada Raja An-Najasyi di Habsyah bagi hijrah yang pertama sebelum berlakunya hijrah yang lebih besar sehingga terdirinya Daulah Islamiah di Madinah al-Munawwarah. Kita masih ingat bagaimana bersungguhnya Nabi Muhammad SAW dalam mengembangkan dakwah Islam termasuk berusaha menyampaikan dakwah Islam ini kepada penduduk Taif setelah tekanan di Mekah begitu hebat tetapi malangnya di sana baginda bukan sahaja dicemuh malah dilontar dengan batu. Pada waktu inilah Nabi menadah tangan memohon bantuan daripada ALLAH SWT seraya berdoa, antaranya :

“Ya ALLAH Tuhan Yang Paling Penyayang, Engkaulah Tuhan kepada golongan yang lemah tertindas, Engkaulah Tuhanku. Kepada siapakah Engkau menyerahkan diriku ini. Adakah kepada orang jauh yang memandangku dengan muka yang masam ataupun kepada musuh yang Engkau berikan kepada mereka kuasa untuk menguasai urusanku….
Bila kita ingat kepada perisitwa ini maka inilah juga doa saudara seagama kita yang sedang menunggu masa untuk dibom dan dibunuh sesuka hati oleh zionis Yahudi di bumi Palestin tanpa mendapat bantuan dan sokongan sewajarnya daripada negara umat Islam yang lain. Rejim zionis bukan setakat mengebom rumah dan bangunan malah turut memusnahkan lima buah masjid dan dua dewan ibadat setakat ini. Malah ada bot bantuan kemanusiaan antarabangsa yang mengisi bekalan perubatan dan doctor-doktor bedah telah disekat dan diserang oleh tentera laut rejim zionis.

Kenyataan Perdana Menteri Israel bahawa yahudi disuruh oleh setengah pemimpin arab supaya menyerang Gaza ada kebenarannya bila pemimpin parti FATAH yang kalah dalam pilihanraya mengerah agar pegawainya untuk mengambil alih Gaza selepas sehari ia diserang. Begitu juga tindakan kerajaan Mesir yang pada mulanya begitu berdegil membuka pintu sempadan daripada dimasuki oleh penduduk Palestin yang ingin mendapat perlindungan serta menghalang sebarang bentuk saluran bantuan kemanusiaan oleh negara-negara lain yang ingin menggunakan laluan sempadan Mesir untuk masuk ke Gaza. Yang paling kejam lagi apabila ada sebuah keluarga yang mencari perlindungan daripada serangan tentera udara rejim zionis telah ditembak oleh pengawal sempadan negara Mesir di sempadan Rafah sehingga menyebabkan kematian seorang dan anaknya yang masih kecil. Inilah yang berlaku kepada rakyat Palestin yang bukan sahaja dizalimi oleh rejim zionis tetapi kerajaan negara Arab yang berada di sekitarnya. Mereka diserang oleh rejim zionis keparat dan dibaham oleh kawan jahat. Selagi negara umat Islam dipimpin oleh pemimpin yang gila dunia maka selagi itulah penderitaan umat Islam dan keganasan rejim zionis serta sekutunya gagal dihentikan.
Sidang Jumaat yang diberkati ALLAH,
Sabda Nabi SAW:
“Seorang muslim ialah orang yang menyelamatkan saudaranya muslim yang lain melalui lidah dan tangannya. Dan seorang yang berhijrah ialah sesiapa yang berhijrah daripada perkara yang ditegah oleh ALLAH daripadanya.”

Antara asas yang kuat dalam menjayakan Daulah Islamiyyah yang gemilang di bumi Madinah ialah terbinanya semangat persaudaraan yang kuat antara antara golongan Muhajirin dan Ansar. Semangat persaudaraan Islam yang berjaya mengikis semangat Assobiyah atau perkauman sempit ini telah mendatangkan kemenangan dan kemajuan yang gemilang kepada umat Islam. Pada hari ini kita dapat rasakan bagaimana perasaan persaudaraan di kalangan umat Islam yang semakin longgar akibat semangat kebangsaan yang kuat sehingga tidak lagi merasakan bahawa isu Palestin adalah isu umat Islam bukannya isu rakyat Palestin sahaja.

Betapa ramai umat Islam hari ini yang terus seronok menyambut tahun baru dengan hiburan melalaikan ketika saudara seagama di Palestin meraung kesakitan. Gembirakah kita bila mengelilingi hidangan makanan yang lazat sedangkan umat Palestin tengah berdepan dengan peluru rejim zionis dari udara dan darat. Bahagiakah kita semasa berehat dalam mahligai indah sedangkan umat Palestin tengah meratap sedih melihat rumah mereka dibom menyembam tanah. Selesakah kita bila asyik bergurau senda dengan anak isteri sedangkan umat Palestin tengah berduka memangku tubuh anak kecil yang tidak bernyawa lagi. Sempurnakah iman kita sekiranya membiarkan saudara seagama menangis menderita sedangkan kita asyik bergelak ketawa.

Sidang Jumaat yang dikasihi ALLAH,
Sabda Nabi SAW:
“Sesiapa yang dibunuh kerana mempertahankan hartanya maka dia adalah mati syahid, sesiapa yang dibunuh kerana mempertahankan agamanya maka dia adalah mati syahid, sesiapa yang dibunuh kerana mempertahankan darahnya maka dia adalah mati syahid dan sesiapa yang dibunuh kerana mempertahankan ahli keluarganya maka dia adalah mati syahid.

Hijrah turut mengajar erti pengorbanan di mana golongan Ansar sanggup memberi rumah, modal perniagaan malah ada yang mempunyai isteri lebih daripada seorang sanggup mencerai salah seorang isterinya untuk dikahwini dengan saudara Muhajirin. Sedarlah kita bahawa untuk mencapai kemenangan tidak cukup sekadar menitis air mata tetapi mestilah berkorban segala apa yang ada termasuk menumpahkan darah ke bumi dalam memerdekakan Masjid Aqsa yang merupakan qiblat pertama umat Islam serta yakin bahawa bumi Palestin adalah tanah wakaf milik seluruh umat Islam.

Umat Palestin adalah penjaga kepada tanah wakaf milik kita semua. Ayuh bangun membantu umat Palestin dengan doa, harta dan jiwa raga kita serta memboikot barangan Israel dan sekutunya terutama Amerika Syarikat. Biar bermandi darah, pantang pejuang menyerah kalah. Biar nyawa melayang, bumi Aqsa mesti dimerdekakan. Biar bercerai nyawa daripada badan asalkan keganasan zionis Yahudi dapat dihentikan. Beritahu kepada dunia bahawa umat Islam yang bermaruah tidak akan membiarkan tubuh umat Islam diratah dan bumi kita dijajah.

Sama-sama kita laungkan

“Khaibar Khaibar Ya Yahud!! Jaisyu Muhammad Saufa Ya’ud!!”

Berambus! Berambus wahai Yahudi! Tentera Muhammad ‘kan kembali!!

Firman ALLAH dalam ayat 74 surah An-Nisa’:

“Oleh itu (orang beriman) yang mengutamakan kebahagiaan akhirat daripada kesenangan dunia hendaklah mereka berperang pada jalan ALLAH. Dan sesiapa yang berperang pada jalan ALLAH lalu dia gugur syahid atau beroleh kemenangan maka Kami akan menganugerahkannya ganjaran pahala yang besar.

____________________________________________________________________

Teks khutbah ini dipindahkan ke dalam blog ini atas ihsan dan kebenaran daripada En Ramzey bin Sedzin.

Ibn 'AbdiLLAH As-Sarawaki
Sabtu
10 Januari 2009,
11.44pm
Bintulu, Sarawak.

Katakan "TAK NAK" Kepada Tabarrujul Jahiliyah!

Katakan "TAK NAK" Kepada Tabarrujul Jahiliyah!
klik pada imej untuk ke link

klik pada imej untuk ke link

klik pada imej untuk ke link

Alternatif Fesyen Islami

Alternatif Fesyen Islami
klik pada imej untuk ke link

Jom Belajar Bahasa Arab

Jom Belajar Bahasa Arab
klik pada imej untuk ke link

Video-video Pilihan

Ustaz Ismail Kamus - Nafsu Makan Ustaz Ismail Kamus - Alam Jin Ustaz Azhar Idrus - Banduan Akhirat Ustaz Azhar Idrus - Tidur 20 Tahun