Darussyifa' Online

Darussyifa' Online
klik pada imej untuk ke link

BIC Smart Shop

BIC Smart Shop
klik pada imej untuk ke pautan

Boikot Zionis La'natuLLAH!

Boikot Zionis La'natuLLAH!
klik pada imej untuk ke link

klik pada imej untuk ke link

klik pada imej untuk ke link

Selamatkan Gaza!

Selamatkan Gaza!
klik pada imej untuk ke link

Wednesday, April 29, 2009

Sindrom Breakdown Dalam Ukhuwwah: Kita Terlalu Banyak Bergurau!


Assalamu’alaikum warahmatuLLAHi wabarakatuh,


AlhamduliLLAH, Segala puji bagi ALLAH SWT Tuhan Sekalian ‘Alam Ke Atas Segala-galanya,

Selawat dan salam ke hadrat RasuluLLAH SAW,


Membaca title entri ini, saya yakin para multazim yang mempunyai fikrah terhadap perjuangan Islam sudah pasti faham dengan mesej saya ini.

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

“Kita terlalu banyak bergurau!”

“Apa maksud enta?”

“Enta tak perasan ke, sekarang ni kita ni terlalu berlebihan dalam bergurau?”

“Enta rasa gurau tu salah ke, syeikh?”

“Ana tak kata bergurau tu salah, takkanlah nak jadi serius setiap masa. Bukankah manusia nakkan kepada keseronokan. Maka bergurau tu sebab nak seronok lah tu.”

“Habis, apa maksud enta tadi?”

“Enta tak rasa ke dalam kita bergurau ni, kita banyak sangat menganjing-anjingkan, bagi gelaran kepada akhi ni, akhi tu….kalau gelaran elok-elok takpe jugak.. ini sampai ke tahap bagi gelaran yang orang tak suka, sampai nak ke tahap mencarut pun ada.”

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

AstaghfiruLLAHal ‘azhim, memang betul. Inilah realiti.


Walaupun dikatakan sama-sama bergerak dalam jemaah Islam, ahli jemaah tetap manusia dan tidak akan lari daripada realiti melakukan kesilapan. Cuma, kesilapan ini dibimbangi boleh menyebabkan imej ahli gerakan itu seakan-akan sirna. Maka lumpuhlah power dalam da’wahnya.


Memang tidak salah untuk bergurau. Cuma ada batasannya. Janganlah membiasakan diri dengan memanggil orang lain dengan panggilan nama-nama yang mereka tidak sukai. Janganlah dipanggil Mat Tempang kepada si Mamat yang Tempang, melainkan jika dia redha dengan panggilan itu. Jangan digelar Haji Mat Beruk hanya kerana Haji Mat itulah satu-satunya yang memelihara beruk di kampung itu. Jangan digelar Si Minah Radio, melainkan Minah memang setuju namanya dipanggil begitu.

Bukankah nanti apabila sudah terbiasa, ianya akan terserlah juga akhirnya di depan mad’u nanti? Bukankah akan menjadi berkurang effect da’wah yang ingin diserukan?



Saya mohon maaf. Tetapi saya rasakan inilah dia salah satu daripada teguran yang perlu saya suarakan.

Memang ada individu dalam jemaah yang apabila bergurau, dia ini berlebih-lebihan dalam gurauannya. Kadangkala, gurauannya menyebabkan orang yang lebih tua daripadanya pun turut terasa hati. Jikalau benda yang ditegur dalam gurauannya itu betul, itu tidaklah menjadi masalah.

Tetapi habit terlalu banyak bergurau dan bergelak ketawa itu menyebabkan dia rasa sudah lali, sehingga dia terlupa pula tatacara bergurau dengan orang yang lebih tua daripadanya.


Saya tidak menafikan bahawa gurauan itu perlu kerana itulah salah satu tali pengukuh untuk mempereratkan lagi ukhuwwah. Tapi saya sangat tidak bersetuju apabila gurauan itu menjadi berlebihan sehingga yang lebih tua ataupun senior menjadi kecil hati dan yang muda terus pecah hati dan terus lari.


Saya teringat salah satu daripada lebih daripada tiga puluh kewajipan bagi yang menggabungkan diri dengan gerakan Islam yang dioutlinekan oleh Imam Hasan Al-Banna, yang menyebut;


Hendaklah saudara bersikap serius dengan cara bersungguh-sungguh dalam sesuatu perkara. Kesungguhan sikap ini tidaklah sampai kepada peringkat sehingga menahan saudara dari bergurau-senda dengan cara yang benar dan ketawa dengan senyum”


Ya! Bergurau senda secara benar dan ketawa dengan senyum!


Ahli gerakan adalah orang yang serius dalam berjuang! Tetapi dia bukanlah orang yang mengetatkan mukanya dari senyuman dan bukanlah dia daripada golongan yang mengharamkan gurauan secara mutlak!

Dia adalah manusia yang sepatutnya neutral berdasarkan prinsip Islam yang dipegangnya. Dia bergurau, tetapi dia tidak menggadaikan prinsip dalam gurauannya. Dia orang yang bertempat dalam meletakkan duduk-pangkal serius dan guraunya. Dia bersikap sederhana dalam kedua-duanya!


Ahli gerakan tidak sepatutnya dilahirkan dengan sifat sentiasa nak memancung orang, mengejek, memperkecil-kecilkan, memperlekehkan, mengenakan orang ataupun menganjing!

Ahli gerakan juga sepatutnya orang yang menjaga tutur katanya, tidak mudah-mudah sahaja istilah “mangkuk hayun”, “bengong”, “bengap”,”sewel”, dan yang istilah-istilah selainnya yang bersifat menyakiti dilontarkan kepada ahli yang lain, lebih-lebih lagi kepada orang lain. Apatah lagi apabila ketika dia berbicara dengan orang yang lebih tua daripadanya.


Betul, gurauan kerana nak memperkuatkan lagi ukhuwwah. Tetapi jangan pula lupa adab-adab yang lebih tua. Walaupun rasanya seperti sebaya, kerana hakikatnya dia lebih tua daripada anda!


Kadangkala, tidak kepada orang yang lebih tua - mungkin akan bergurau berlebih-lebihan dengan junior/yang lebih muda. Sudahlah junior itu maklum akan kekurangan dirinya, dibantai pula dengan kata-kata gurauan yang boleh menyakitkan/mengecilkan hati. Maka terjejaslah ukhuwwah. Kalau ikutkan hati dan kalau diikutkan sangat emosi, mahu sahaja si junior itu lari. Malas dah nak datang usrah. Nak datang program, jangan harap!

Kalaulah kepada junior yang sudah di tahap faham pun begitu, tak perlu ceritalah bagaimana pula effectnya terhadap mad'u nanti.


Nabi juga bergurau, para sahabat juga bergurau. Tetapi mereka tidak pernah berlebih-lebih dalam gurauan mereka. Ibn Sirrin pernah ditanya tentang para sahabat: Apakah mereka suka bergurau antara satu sama lain?. Beliau menjawab: Mereka hanyalah manusia biasa. Ibn Umar adalah seorang yang suka bergurau dan mendendangkan syair.”- Hadith riwayat Abu Nu’aim.

Ingatlah akan firman ALLAH SWT,

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah satu kaum mengejek kaum yang lain, kerana boleh jadi yang diejek itu lebih baik dari yang mengejek dan tidak pula wanita-wanita mengejek wanita-wanita lain, kerana boleh jadi wanita-wanita yang diejek itu lebih baik dari wanita-wanita yang mengejek. Dan janganlah kamu mencela diri kamu sendiri. Dan jangan pula memanggil dengan gelaran yang buruk. Sebutan yang paling buruk selepas iman ialah fasiq. Barangsiapa yang tidak bertaubat (sesudah ejek-mengejek itu) maka merekalah orang-orang yang zalim.” Al- Hujurat ayat 11.

Di dalam Sahih Muslim, dijelaskan bahawa :

“Cukuplah dikira kejahatan kepada seseorang itu, apabila ia menghina saudara seIslam dengannya”.

Aisyah r.a pernah menceritakan tentang salah seorang madunya di hadapan RasuluLLAH dengan menyifatkan madunya itu orangnya pendek dengan tujuan mengaibkannya. Lalu bersabda Nabi SAW kepadanya Wahai Aisyah, kau telah mengucapkan satu perkataan yan mana dosa itu sekiranya dicampur dengan air laut sekalipun, nescaya air laut itu bercampu dengannya.”

Aisyah pernah menceritakan “Suatu ketika saya meniru cara berjalan dan suara seseorang, lalu Nabi SAW bersabda kepada saya: Saya tidak suka meniru kekurangan orang, sedangkan saya sendiri mempunyai kekurangan itu. Hadith Riwayat Abu Daud dan At-Tirmizi.

Dr Yusuf Qaradhawi telah sebut dalam kitabnya “Al-Islam Wa Al-Fan / Seni Menurut Perspektif Islam” dalam bab Senda Gurau, di mana salah satunya menyebut bahawa antara batasan gurauan itu ialah tidak menghina atau mempersendakan orang lain kecuali ia mengizinkan yang terlibat berbuat demikian. Dalil-dalilnya adalah seperti yang telah disebutkan tadi.


Saya mohon maaf andai ada di kalangan pembaca yang masih kurang faham tentang mesej penulisan saya ini. Tulisan ini adalah teguran yang ditujukan kepada diri dan sahabat-sahabat lain. Semoga mengerti akan tujuan penulisan ini.


Mesejnya ringkas sahaja, semoga kita sama-sama slow down dalam bergurau ni. Mohon maaf andai terasa.


“Ana harap lepas ni takde lagi gurauan melebih-lebih, sampai ada yang pecah hati atau kecik hati. Bawak-bawak berhenti la benda-benda menganjing ni. Banyak sangat ketawa gelap hati, makin hilang ilmu. Makin tak tsiqah orang kat kita. Berubahlah”…..


WaLLAHuta'ala 'alam.


Nota: Tulisan ini bersifat umum. Entri ini juga bukan bersifat peribadi dan tidak bermaksud untuk menyerang mana-mana pihak. Sekadar muhasabah dan renungan bersama.


Rujukan tambahan:

Madza Ya’ni Intima’I Lil Islam tulisan Ust Fathi Yakan dalam Bab 7.

Kitab Al-Islam Wa Al-Fan / Seni Menurut Perspektif Islam susunan Dr Yusuf Al-Qaradhawi dalam Bab Batasan-batasan Ketawa dan Bergurau.


Ibn ‘AbdiLLAH As-Sarawaki,

1.09pm,

Khamis, 30 April 2009,

Bintulu, Sarawak.

Tuesday, April 21, 2009

Fiqh Mazhab Syafi'e: Kadar Najis Yang Dimaafkan

Assalamu’alaikum warahmatuLLAHi wabarakatuh kepada tetamu ziarah sekalian,


AlhamduliLLAHirabbil ‘alameen ‘alaa kulli haal,

Segala puji bagi ALLAH SWT Tuhan Sekalian ‘Alam ke atas segala-galanya,

Selawat dan Salam ke atas RasuluLLAH SAW serta keluarga Baginda, para sahabat, tabiin serta itba’ tabi’in.


Untuk entri kali ini, saya ingin membawakan salah satu bab kecil daripada Fiqh Thaharah (Bersuci) Mazhab Syafi’e sebagai perkongsian ilmu. Bagi yang tidak mengetahui, ianya merupakan satu pertambahan ilmu yang bermanfaat. Bagi yang sudah tahu pula, anggaplah perkongsian kerdil ini sebagai revision/ulangkaji ataupun sekadar sebuah revisit untuk mengingat semula perkara-perkara yang pernah kita pelajari.

Rata-rata penganut Mazhab Syafi’e di Malaysia, apabila sudah masuk ke dalam bab Najis ini – merekalah yang paling sensitif. Kadangkala untuk bersolat di tengah padang ataupun di tepi jalan pun sudah merasa ragu sedangkan sifat najis langsung tidak zahir ataupun tidak jelas kewujudannya di situ. Sikap ini seolah-olah membawa kepada sikap berlebih-lebihan lantas ditakuti membuahkan perasaan was-was. Kaedah fiqh menyatakan “Keraguan tidak dapat dihilangkan/dihapuskan dengan syak”.

Mungkin apa yang bakal dinaqalkan/dipindah kata di sini bakal sukar diterima oleh sesetengah daripada kita, kerana mungkin dirasakan pendapat itu seperti asing dan pelik. Walau apapun, hakikatnya terserah kepada ALLAH SWT. Apa yang penting, pendapat-pendapat para ulama’ lebih-lebih lagi di dalam Mazhab Syafi’e boleh diterima pakai selagi tidak ada percanggahan dengan Al-Qur’an dan Sunnah, apatah lagi di dalam Mazhab Syafi’e yang hanya membataskan suatu hukum itu disandarkan kepada 4 sumber sahaja, iaitu Al-Qur’an dan As-Sunnah, dituruti pula oleh Ijma’ dan kemudiannya Qias.


Kaedah Pengambilan Hukum Dalam Mazhab Syafi’e

Sedikit maklumat tambahan mengenai kaedah pengambilan hukum oleh Imam Syafi’e, beliau hanya berpegang kepada 4 perkara:

1. Al-Qur’an

2. As-Sunnah

3. Ijma’

4. Qias

Beliau tidak mengambil pendapat para sahabat sebagai sumber mazhabnya kerana dikhuatiri ia berkemungkinan ijtihad yang salah. Beliau juga tidak beramal dengan istihsan yang diterima oleh golongan mazhab Hanafi dan Maliki. Dalam hal mengambil istihsan ini, beliau berpendapat “Sesiapa yang melakukan istihsan bererti dia membuat syari’at”. Beliau juga telah menolak masalih mursalah dan tidak bersetuju menjadikan ‘amal Ahlul Madinah (perbuatan penduduk Madinah) sebagai hujjah.

Maka tidak hairanlah Imam Syafi’e mendapat nama jolokan “Nasir As-Sunnah” yang bermaksud Penolong Sunnah.


Kadar Najis Yang Dimaafkan Dalam Mazhab Syafi’e

Menurut pendapat ulama’ Mazhab Syafi’e tidak ada najis yang dimaafkan kecuali najis-najis berikut:

Najis yang tidak dapat dilihat oleh mata yang sederhana seperti darah yang sedikit dan percikan air kencing yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar. Ini termasuk jikalau ianya percikan kencing anjing dan juga babi. Ini selagi mana zatnya tidak jelas pada penglihatan mata kasar. Tidak perlu diteliti sehingga ke tahap diperiksa dan dibelek-belek di kawasan yang disyaki ini. Ini akan lebih menyusahkan. Sedangkan syara’ tidak membebankan sehingga ke tangga tersebut.


Dari Hal Darah

Kadar yang sedikit dan banyak daripada darah jerawat atau bintit-bintit, darah pijat, darah bisul, darah kudis atau kurap dan nanah adalah di antara najis yang dimaafkan. Begitu juga darah kutu babi, kutu manusia, nyamuk, agas, pijat dan seumpamanya yang terdiri daripada binatang yang darahnya tidak mengalir. Dimaafkan juga tempat berbekam dan hisapan darah, najis lalat, air kencing kelawar, kencing tidak lawas, darah isithadhah, air kurap atau kudis dan air-air bisa lain yang mempunyai bau dan yang tidak mempunyai bau menurut pendapat yang azhar/kuat. Kesemuanya dimaafkan kerana sulit untuk mengelakkan diri daripadanya. Ruang kemaafan yang diberikan adalah luas, selagi mana ianya berlaku dengan tidak disengajakan.

Contohnya, jika kesan luka itu mengalir tidak disengajakan maka ianya dimaafkan. Tetapi apabila keruping luka itu digaru misalnya sehingga menyebabkan darah mengalir dengan banyak, maka ianya tidak dimaafkan dan tidak boleh dibawa untuk solat. Apabila berada di dalam solat, maka batallah solatnya itu. Walau bagaimanapun, perkara tersebut adalah dimaafkan jika kadarnya adalah sedikit.

Kadar sedikit dan banyak ini adalah bergantung kepada uruf ataupun adat, kerana tidak ada di dalam mana-man nas yang menyentuh bagaimana yang dikatakan kadar sedikit dan banyak. Ianya adalah semata-mata ijtihad para ulama’.

Jika dipicit jerawat, bintit-bintit ataupun bisul ataupun dibunuh kutu ataupun membentangkan kain ataupun membawa kain yang terdapat najis yang dimaafkan itu, maka yang dimaafkan adalah yang kadarnya sedikit sahaja kerana amat sulit untuk mengelakkan diri daripadanya. Tidak dimaafkan kulit kutu anjing dan seumpamanya. Begitu juga dimaafkan menurut pendapat yang azhar (lebih jelas) kadar yang sedikit daripada darah ajnabi selain daripada anjing dan babi. Antara contoh darah ajnabi ialah darah yang telah terpisah daripada badan seseorang kemudian kembali mengenainya semula. Darah anjing dan seumpamanya tidak dimaafkan biarpun sedikit kadarnya disebabkan hukumnya yang berat.

Adalah jelas bahawa asas kemaafan yang diberikan kepada darah-darah lain selain anjing dan babi selama mana ia tidak bercampur dengan darah ajnabi. Jika ia bercampur dengannya biarpun ia (iaitu darah ajnabi) berasal daripada darahnya sendiri dari bahagian anggota yang lain, maka kesemuanya tetap tidak dimaafkan.


Kesan Istinja’, Darah Sembelihan Pada Pakaian Dan Sekitar Kenajisan Tanah

Dimaafkan kesan najis di tempat istinja’ yang menggunakan batu bagi diri orang yang berkenaan sahaja, tidak bagi diri orang lain, sekalipun tempat itu berpeluh dan lembap, tetapi belum berpindah ke tempat yang lain.

Dimaafkan juga najis yang sukar untuk dielakkan pada kebiasaannya seperti tanah jalanraya yang memang diyakini kenajisannya, dengan beberapa syarat:

  1. Najis itu tidak jelas di tempat-tempat itu
  2. Orang yang berkenaan telah berusaha mengelakkan diri daripadanya seperti dia tidak membiarkan hujung bawah ataupun kaki pakaiannya terlepas ke bawah sehingga mencecah tanah tersebut.
  3. Najis itu mengenainya semasa dia sedang berjalan ataupun menunggang, bukannya semasa dia terjatuh ke atas tanah.

Dengan itu, penentuan kadar sedikit yang dimaafkan adalah berdasarkan keadaan orang yang terlibat apabila dia tidak terjatuh ke atas sesuatu najis itu ataupun tersembam mukanya ke atas najis. Maksud di sini ialah kadar itu bergantung kepada kadar najis yang terlekat padanya, dengan syarat najis itu terlekat padanya bukan disebabkan dia terjatuh atau terpijak najis itu.

Maknanya, apabila dia terpijak, tersembam mukanya ke atas najis itu ataupun terjatuh ke atas najis itu, maka najis tersebut tidak dimaafkan dan menuntut seseorang itu melakukan thaharah.

Walau bagaimanapun, di dalam kes tanah ini apabila tidak diyakini tentang kenajisannya tetapi hanya berdasarkan zan (berat sangkaan) sahaja seperti kebanyakan jalan raya, maka kedudukan tanah itu dan seumpamanya samalah seperti pakaian tukang pembuat arak, pakaian kanak-kanak, penyembelih atau penjual daging dan ikan dan juga pakaian orang kafir yang mempercayai bahawa agamanya menuntut penggunaan najis, maka menurut pendapat yang asah (lebih sah)- ia adalah suci berdasarkan asalnya. Tetapi jika tidak ada sangkaan tentang kenajisannya, maka ia dihukum bersih, sama seperti air pancuran bumbung rumah yang disangkanya najis tetapi ia masih tetap dihukum bersih.

Mengenai pakaian tukang sembelih, penjual daging dan seumpama dengannya, kemaafan hanyalah ke atas mereka yang bergelumang dalam keadaan tersebut setiap hari. Ini jikalau kadarnya adalah sedikit. Contohnya, tukang sembelih dan penjual daging sememangnya akan sentiasa terdedah kepada percikan darah dan sukar untuk dielakkan.


Beberapa jenis lagi najis yang dimaafkan dalam mazhab Syafi’e.

Dimaafkan bangkai ulat buah-buahan, ulat cuka dan keju yang terjadi daripada bahan-bahan itu selama ia tidak keluar daripada dalamnya, yang kemudiannya dimasukkan semula ke dalamnya sesudah ia mati, dan selama mana ia tidak merubahkannya.

Dimaafkan juga *Al-Infihah (iaitu sejenis bahan berbentuk enzim yang digunakan sebagai penggumpal dalam pembuatan keju. Zaman sekarang ianya dikenali dengan beberapa nama iaitu pepsin, rennet ataupun whey) yang digunakan untuk keju, serta alkohol yang digunakan di dalam ubat-ubatan dan berbagai jenis pewangi

Dimaafkan juga asap najis (najis yang dibakar), wap air najis yang jatuh atau menitik dengan sebab api, roti yang dipanaskan ataupun yang ditanam di dalam abu najis biarpun sebahagiannya terlekat pada roti itu.

Juga dimaafkan pakaian yang disidai di atas dinding yang dibina daripada abu najis kerana sulit untuk mengelakkannya.

Dimaafkan tahi burung yang terdapat di atas tanah lapang ataupun di atas tanah jika sulit untuk dielakkannya yang tidak disengajakan berjalan di atasnya kecuali kerana terpaksa seperti ia menjadi tempat laluan yang mesti dilalui, dan di kiri kanannya tidak terdapat rumput yang lembap.

Dimaafkan bulu najis yang sedikit yang bukan daripada anjing dan babi, umpamanya bulu kucing, arnab, dan yang selainnya. Dimaafkan juga bulu yang banyak daripada binatang yang ditunggangi kerana sulit untuk mengelakkannya.

Ini adalah selagi bulu tersebut bukan berasal daripada babi ataupun anjing ataupun anak daripada kedua-duanya ataupun salah satu daripadanya dengan binatang lain. Jika bulu tersebut berasal daripada binatang-binatang ini, maka tidak dimaafkan walaupun sedikit.


Dimaafkan juga:

Kesan cacahan (tatu)

Tahi ikan yang terdapat di dalam air selagi mana ianya tidak mengubah sifat air itu.

Darah yang masih terdapat pada tulang ataupun daging.

Air liur yang keluar daripada usus seorang pesakit yang sedang tidur.

Tanah dan kotoran yang terkena kepada diri pengembala ataupun pemandu.

Tahi binatang yang termasuk ke dalam susu yang diperah daripadanya selagi tidak berubah keadaan susu tersebut dan kuantiti najis tersebut adalah sedikit. Kes ini kemungkinan berlaku apabila diperah susunya, dan pada masa yang sama ianya terkencing dan dilibas-libaskan ekornya, sehingga terdapat sedikit serpihan ataupun percikan daripadanya sehingga termasuk ke dalam labu susu perahan berkenaan.

Tahi ataupun kencing binatang yang terkena biji-bijian ketika ia memijaknya. Ini merujuk kepada konteks di mana binatang seperti lembu ataupun kerbau digunakan untuk memecahkan biji padi ataupun jerami ataupun lainnya.

Kesan tahi binatang berkaki empat yang bercampur dengan tanah.

Najis yang terkena madu lebah. Apa yang dimaksudkan di sini ialah kebiasaannya sarang lebah diperbuat daripada tanah dan juga sedikit najis binatang sepeti tahi lembu. Maka madu itu boleh digunakan dan kenajisannya adalah dimaafkan.

Kenajisan mulut kanak-kanak ketika memberi susuannya ataupun ketika mengucupnya.


Penutup

Daripada perkongsian ini, saya mengharapkan agar ada manfaatnya kepada tetamu ziarah sekalian. Sekurang-kurangnya mungkin terubat kemusykilan-kemusykilan yang timbul.

Saya amat mengesyorkan agar pembaca sekalian untuk merujuk kembali kepada ustaz, tok guru ataupun orang alim lain yang arif mengenai hal ini. Saya tidak menggalakkan pembaca hanya mengambil pendapat-pendapat di sini tanpa merujuk kepada guru, ditakuti pembaca tersilap dalam memahami penyataan-penyataan yang telah disebutkan di atas.

Walau bagaimanapun, apa yang dinaqalkan di sini semuanya bersifat telus/direct/straight to the point dan bahasanya telah dipermudahkan untuk memudahkan pembaca untuk memahaminya. Semuanya telah disampaikan tanpa kiasan untuk memudahkan pemahaman pembaca.

Semoga ada keberkatan dan manfaat dari ALLAH SWT atas usaha yang Maha Kerdil ini, agar memudahkan lagi masyarakat tentang hukum-hukum Islam berkaitan Fiqh Thaharah ini serta ruang lingkup kemaafan yang luas di dalam Islam, bersandarkan Fiqh Mazhab Syaf’ie yang diamalkan umum penduduk Malaysia dan Asia Tenggara.


WaLLAHua’lam.


Rujukan:

Kitab Fiqhul Islami Wa Adillatuhu Al-Juz’ Al- Awwal/ Fiqh Dan Perundangan Islam Jilid 1 susunan Dr Wahbah Zuhaili, Dalam Bab Kadar Najis Yang Dimaafkan: Mazhab Syafi’e, halaman 155-157. Terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka Cetakan 1997.

Kuliah Agama Fiqh Thaharah Ustaz Azhar Idrus dengan judul kuliah “Penawar Lalat”.

*Istilah Al-Infihah : Rujuk Munir Ba’alBakkiy, Al-Maurid cetakan 1997 dan Majalah Ummat no. 39, 20 April 1998, halaman 77.


Ibn ‘AbdiLLAH As-Sarawaki,

9.10pm,

Selasa, 21 April 2009,

Bintulu, Sarawak.

Sunday, April 12, 2009

Surat Wida' Terbuka: Buat Sahabat Permata Islamku...



Assalamu’alaikum warahmatuLLAHi wabarakatuh, salam ukhuwwah dan salam perjuangan


Buat sahabat-sahabatku, adik-adikku yang juga merupakan teman seperjuanganku di kampus hijau UPM Kampus Bintulu.


Andai mahu dilakarkan apa yang terasa di hati, ana tidak mampu menggambarkan perasaan yang ana alami sekarang ini. Amat berat rasa di hati, rasa ingin diluahkan segala-galanya kepada setiap daripada kalian.

Walaupun sudah 4 tahun ana berada di kampus ini, tetapi terasa seperti baru semalam kita bersua muka antara satu sama lain dan sama-sama melibatkan diri dalam perjuangan di sini. Ana akui, banyak kenangan manis yang sempat kita lukiskan dan catatkan bersama-sama sepanjang 2-3-4 tahun ini. Akan ana simpan kenangan-kenangan itu di dalam diari hidup ana, sebagai motivasi dan pembakar semangat di saat dukacita dan terjatuh andaikata berlakunya ia di masa akan datang.

Entah, semakin diluahkan semakin sebak rasa di dada, semakin sempit ana rasakan di dalam jiwa. Secara jujur, menatap wajah kalian kebelakangan ini hanya membuatkan berair kaca di bawah kelopak mata, tetapi masih mampu ana tahan daripada terus mengalir. Hanya ALLAH SWT sahaja yang tahu rasa sedih dan sebak yang ana alami sekarang ini.

Pesanan ana buat kalian, teruskanlah berjuang di UPM Kampus Bintulu dalam misi untuk membentuk biah solehah di sini. Semoga ALLAH SWT sentiasa memberikan kekuatan untuk kalian semua. Berjuanglah walaupun kadangkala terasa lemah mahu mengalah, La Tahzan! InnaLLAHa ma’ana! Janganlah berdukacita kerana ALLAH SWT sentiasa bersama orang-orang yang mahu berjuang di jalanNya.

Mohon maaf atas segala kesilapan dan kesalahan yang telah ana lakukan terhadap kalian baik di pihak muslimin dan juga muslimat, ana akui banyak kesalahan dan kekhilafan yang pernah berlaku. Harap agar dimaafkan segalanya. Mohon dihalalkan segalanya.

Doakan kami yang bakal bergraduat agar sentiasa diberikan kekuatan oleh ALLAH SWT untuk terus tetap dan istiqamah dalam perjuangan medan da’wah ini. Doa daripada orang-orang yang baik seperti kalian kami harapkan. Ana sangat maklum bahawa cabaran di luar alam kampus jauh lebih mencabar, dan sangat kuat arus derasnya yang mampu melemaskan orang-orang yang tidak kuat agar dilemaskan dalam ombak keciciran. Na’udzubiLLAhi min dzaalik.

Kepada adik-adikku yang bakal menyambung pengajian ke peringkat Bachelor’s degree dan yang masih lagi meneruskan perjuangan di UPMKB ini, ana mendoakan kejayaan kalian semua. Semoga ALLAH permudahkan urusan antum, sekaligus memberikan kecemerlangan kepada antum sekalian.



Ingatlah bahawa Ana uhibbukum fiLLAH! Ana cinta dan sayangkan antum kerana ALLAH! Ana sangat menyintai dan menyayangi antum!


Wahai sahabat-sahabatku,

Teruskanlah bekerja! Teruskanlah bekerja untuk ALLAH! Teruskanlah bekerja untuk ISLAM! Teruskanlah bekerja hingga ke syahid akhirnya!


Bertemu dan berpisah kerana ALLAH, semoga kita dipertemukan lagi di masa akan datang!


ALLAHuakbar! ALLAHuakbar! ALLAHuakbar! Wa liLLAHilHamd!


Selamat berjuang, sahabatku.


Malam siang berlalu, Gerhana kesayuan tiada berkesudahan,

Detik masa berlalu tiada berhenti, oh syahdunya.

Sejenak ku terkenang hakikat perjuangan,Penuh onak dan cabaran,

Bersama teman-teman harungi kehidupan,oh indahnya.

Berat rasanya di dalam jiwa, untuk melangkah meninggalkan semua.

Kasih dan cinta yang terbina ia ‘kan selamanya.

Selamat berjuang sahabatku.

Semoga ALLAH berkatimu.

Kenangan indah bersamamu, takkan kubiar ia berlalu.

Berjuanglah hingga ke akhirnya.

Dan ingatlah semua ikrar kita.

Hati ini sayu mengenangkan sengsara di dalam perjuangan.

Jiwa ku merana dan meronta mengharapkan kedamaian dan jua ketenangan.

Tetapi ku akur pada hakikat suka dan duka dalam perjuangan

Perlu ketabahan dan kekuatan, keteguhan hati berlandaskan iman.

Selamat berjuang sahabatku.

Semoga ALLAH berkatimu.

Kenangan indah bersamamu, takkan kubiar ia berlalu.

Berjuanglah hingga ke akhirnya.

Dan ingatlah semua ikrar kita.


Yang bakal merindui antum,

Abg Hafeez / Ustaz Hafeez / Ibn ‘AbdiLLAH As-Sarawaki.

6.28 am,

Isnin, 13 April 2009,

Bintulu, Sarawak.

Katakan "TAK NAK" Kepada Tabarrujul Jahiliyah!

Katakan "TAK NAK" Kepada Tabarrujul Jahiliyah!
klik pada imej untuk ke link

klik pada imej untuk ke link

klik pada imej untuk ke link

Alternatif Fesyen Islami

Alternatif Fesyen Islami
klik pada imej untuk ke link

Jom Belajar Bahasa Arab

Jom Belajar Bahasa Arab
klik pada imej untuk ke link

Video-video Pilihan

Ustaz Ismail Kamus - Nafsu Makan Ustaz Ismail Kamus - Alam Jin Ustaz Azhar Idrus - Banduan Akhirat Ustaz Azhar Idrus - Tidur 20 Tahun