Darussyifa' Online

Darussyifa' Online
klik pada imej untuk ke link

BIC Smart Shop

BIC Smart Shop
klik pada imej untuk ke pautan

Boikot Zionis La'natuLLAH!

Boikot Zionis La'natuLLAH!
klik pada imej untuk ke link

klik pada imej untuk ke link

klik pada imej untuk ke link

Selamatkan Gaza!

Selamatkan Gaza!
klik pada imej untuk ke link

Tuesday, August 25, 2009

Fiqhus Siyam: Batalkah Puasa Saya Kalau...?

"Selamat Menjalani Ibadah Puasa, Dapatkan Bonus Berlipat Kali Ganda Hasil Daripada Ibadah Anda"


Assalamu'alaikum warahmatuLLAHi wabarakatuh,

AlhamduliLLAHi 'alaa kulli haal,
Segala puji bagi ALLAH di atas segala-galanya,
Selawat dan salam ke hadrat Penghulu Anbiya' Muhammad SAW, ahlul bayt serta para sahabat Baginda.

Memang sudah menjadi kelaziman di bulan puasa ini, pasti ramai yang akan berhadapan dengan pelbagai kemusykilan tentang perkara-perkara yang membatalkan puasa. Kadangkala, masalah yang dikemukakan sukar ditemui di dalam mana-mana buku fiqh puasa di kedai-kedai buku biasa, melainkan kita terpaksa menggali semula khazanah kitab-kitab fiqh muktabar ataupun mana-mana kitab fiqh dalam bahasa Arab.

Untuk perkongsian ilmu fiqh kali ini, saya bawakan beberapa masalah sekitar perkara yang membatalkan puasa. Semoga ada manfaatnya untuk kita semua, insyaALLAH.

----------------------------------------------------------------


Soalan;

ustaz, saya ada satu kemusykilan;

adakah perkara-perkara ini membatalkan puasa:
-menelan kahak atau hingus yang turun dari hidung

-tertelan air liur selepas bersahur yang masih mengandungi sisa-sisa makanan selepas masuknya azan subuh

-mengorek hidung dan mengorek tahi telinga menggunakan putik kapas

-air masuk ke dalam telinga dan melalui dubur sewaktu menyelam di sungai

-mandi atau menggosok gigi selepas gelincir matahari

sekian terima kasih.


Jawapan;

Dalam masalah perkara yang membatalkan puasa, ada di antaranya yang disepakati oleh ulamak dan ada yang menjadi khilaf. Menurut Imam Ibnu Ruysd; secara amnya ada tiga perkara yang diijmakkan ulamak (yakni telah disepakati sekelian ulamak) bahawa ia membatalkan puasa, iaitu;[1]
1. Makan
2. Minum
3. Jimak (bersetubuh)

Selain dari itu, terdapat khilaf di kalangan ulamak termasuk perkara-perkara yang disebut dalam soalan di atas. Bagi masalah menelan gelema, dahak dan hingus; para ulamak berbeza pandangan; ada yang berkata ia membatalkan puasa dan ada yang berkata ia tidak membatalkan puasa.[2] Menurut mazhab Syafi’ie; gelema/dahak yang dikeluarkan dari dalam tekak, jika diludahkan keluar tidaklah membatalkan puasa. Namun jika gelema/dahak itu ditelan kembali selepas berada dalam mulutnya, maka batallah puasa. Adapun menyedut gelema dari kepala/hidung, jika terus masuk ke dalam kerongkong tanpa melalui perantaraan mulut, tidaklah membatalkan puasa. Namun jika disedut masuk ke mulut, kemudian ditelan maka batallah puasa. Jika diluahkan, maka tidak batallah puasa.[3] Menurut ulamak-ulamak yang lain; menelan gelema tidaklah membatalkan puasa kerana ia biasa berada dalam mulut dan datangnya dari dalam badan bukan dari luar, jadi diumpamakan seperti air liur.[4]

Mengenai sisa makanan dalam air liur; hendaklah dilihat pada dua keadaan;

1. Jika sisa-sisa makanan itu amat sedikit, sukar untuk dipisahkan dari air liur dan diludahkan, maka telah disepakati oleh ulamak bahawa ia tidak membatalkan puasa jika tertelannya. Hukumnya sama seperti menelan air liur sendiri yang sukar untuk dielakkan.

2. Adapun jika sisa-sisa makanan itu banyak, boleh dipisahkan dari air liur dan diludahkan, maka jika diluahkan tidaklah membatalkan puasa. Jika ditelan, batallah puasa mengikut jumhur ulamak. Menurut mazhab Abu Hanifah; batal puasa jika kadarnya melebihi sebiji kacang. Jika kurang darinya, menelannya tidaklah membatalkan puasa, namun makruh.[5]


Setakat mengorek hidung tidaklah membatalkan puasa. Yang membatalkan puasa ialah jika dimasukkan sesuatu ke dalam hidung hingga melepasi bahagian akhir hidung (yakni hingga sampai ke kepala) atau hingga masuk ke kerongkong.


Mandi adalah harus bagi orang berpuasa dengan syarat tidak berlebihan hingga air memasuki ke dalam rongga tubuh yang terbuka (iaitu rongga halqum (kerongkong), lubang telinga, lubang dubur dan saluran zakat/faraj).[6] Menurut mazhab Syafi’ie; termasuk dalam pengertian berlebihan ketika mandi ialah mandi dengan menyelam. Jika seseorang menyelam lalu masuk air ke dalam rongga tubuhnya tadi, batallah puasanya. Seorang yang mengetahui bahawa kebiasaannya jika ia menyelam akan masuklah air ke dalam rongga tubuhnya, baginya haram mandi dengan menyelam ketika berpuasa.[7] Adapun mengikut mazhab Abu Hanifah; masuk air ke dalam telinga kerana menyelam tidaklah membatalkan puasa.[8]

Menurut mazhab Syafi’ie; memasukkan kayu ke dalam telinga akan membatalkan puasa. Menurut Imam Abu Hanifah; tidaklah batal puasa. Jadi, mengikut mazhab Syafi’ie; tidak harus mencuci telinga dengan putik kapas pada siang hari di bulan Ramadhan kerana ia boleh merosakkan puasa. Adapun mengikut mazhab Hanafi, perbuatan tersebut tidak ada halangan kerana ia tidak membatalkan puasa, cuma yang sebaiknya ialah meninggalkannya (untuk mengelak dari pertikaian ulamak). [9]

Mengenai mandi sebelum berbuka puasa, hukumnya makruh mengikut mazhab Syafi’ie kerana ia mengembalikan kesegaran pada badan, lalu menghilangkan hikmah puasa iaitu merasai kepayahan menahan lapar kerana Allah. Begitu juga, dimakruhkan orang yang sedang berpuasa berseronok/bersenang dengan perkara-perkara harus seperti mencium bau-bauan harum, kerap masuk bilik air, mendengar bunyi-bunyi yang menyenangkan dan sebagainya kerana ia berlawanan dengan hikmah dan kehendak puasa tersebut.[10] Namun, ramai ulamak menolak alasan tersebut berdalilkan hadis dari beberapa orang sahabat yang menceritakan; “Kami telah melihat Rasulullah s.a.w. ketika berada di satu kampong Arab bernama al-‘Araj, baginda mencurah air ke atas kepalanya ketika baginda sedang berpuasa untuk meredakan dari lapar atau dari kepanasan” (HR Imam Abu Daud dan al-Hakim). Menurut mazhab Abu Hanifah; tidak makruh mandi dan menyelimuti badan dengan kain yang basah untuk menyejukkan badan.[11]

Mengenai bersugi selepas masuk waktu zohor, menurut mazhab Syafi’ie; hukumnya makruh kerana ia akan menghilangkan bau mulut yang dinyatakan di dalam hadis bahawa bau mulut itu lebih baik di sisi Allah dari bau kasturi. Namun sebahagian ulamak yang lain tidaklah memakruhkannya kerana bersugi telah disunatkan oleh Nabi s.a.w. pada setiap kali hendak solat secara umum tanpa baginda mengecualikannya pada bulan Ramadhan. Lagi pun terdapat hadis dari ‘Amir bin Rabi’ah r.a. menceritakan; “Banyak kali aku melihat Nabi s.a.w. bersugi ketika beliau sedang berpuasa” (HR Imam at-Tirmizi. Kata beliau; hadis hasan).[12]

Dalam mengemukakan perkara-perkara yang membatalkan puasa (malah juga ibadah-ibadah yang lain), di kalangan ulamak ada yang mengambil pendekatan ihtiyat (berhati-hati) dan ada yang mengambil pendekatan berpada dengan sekadar yang disebut di dalam nas. Mazhab-mazhab Fiqh yang masyhur (Hanafi, Syafi’ie, Maliki dan Hanbali) kelihatannya mengambil pendekatan pertama, kerana itu huraian tentang perkara-perkara yang membatalkan puasa dalam kitab-kitab mazhab cukup panjang berjela walaupun nas-nas yang berkaitan dengannya sedikit sahaja. Beberapa ulamak terkenal – seperti Imam Ibnu Hazm, Imam Ibnu Taimiyyah, Imam as-Syaukani dan sebagainya- cenderung mengambil pendekatan kedua. Menurut Imam Ibnu Hazm; Memasukkan ubat melalui lubang dubur, menitik air/ubat melalui saluran kencing atau telinga, menyedut ubat melalui hidung, bercelak, merawati luka yang menembus ke perut dan luka yang sampai ke dalam kepala; semuanya tidak membatalkan puasa kerana ia tidak tergolong dalam pengertian makan dan minum. Kata beliau; “Sesungguhnya kita ditegah Allah ketika sedang berpuasa dari makan, minum, jimak, sengaja muntah dan melakukan maksiat. Tidak pernah kita mengetahui bahawa makan dan minum boleh melalui dubur atau saluran kencing atau telinga atau mata atau hidung atau luka yang menembusi ke perut dan ke kepala. Kita tidak ditegah sekali-kali dari memasukkan sesuatu ke rongga dalam –selain dari makan dan minum- selama ia tidak diharamkan (oleh nas Syarak) ke atas kita”. (al-Muhalla, 4/348).

Pada khilaf ulamak ada keluasan bagi umat Islam. Berkata Umar bin Abdul-‘Aziz; “Aku tidak gembira jika sahabat-sahabat Nabi tidak berbeza pandangan, kerana jika mereka semua sepakat atas satu pandangan, sesiapa menyalahinya, ia akan sesat. Namun jika mereka berbeza pandangan, lalu seorang memakai satu pandangan dan seorang yang lain memakai satu pandangan lain, maka terdapat keluasan/kelonggaran bagi urusan tersebut”.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah, jil. 3.
2. Bidayatul-Mujtahd, Imam Ibnu Ruysd, jil. 1.
3. Rahmatul-Ummah Fi Ikhtilaf al-A,immah, Syeikh Abi Abdillah Muhammad bin Abdirrahman ad-Dimasyqi.
4. Fiqh al-Ibadat, Syeikh Hasan Ayyub.
5. Al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu, Dr. Wahbah az-Zuhaili, jil. 2.
6. Al-Wajiz Fi al-Fiqh al-Islami, jil. 1.
7. Panduan Puasa, Us. Ahmad Adnan Fadzil.

Nota Kaki;

[1] Bidayatul-Mujtaihid, 1/381.
[2] Fiqh al-‘Ibadat, Hasan Ayyub, hlm. 436.
[3] Al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah, 3/77.
[4] Al-Fiqh al-Islami, Wahbah az-Zuhaili, 2/657, al-Wajib, Wahbah Zuhaili, 1/342, Al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah, 3/77.
[5] Rahmatul-Ummah, hlm. 92, Fiqh al-Ibadat, hlm. 436, Al-Fiqh al-Islami, 2/658.
[6] Al-Mughni, 2/78.
[7] Al-Mughni, 2/78.
[8] Al-Fiqh al-Islami, 2/657.
[9] Al-Wajiz, 1/343, al-Fiqh Islami, 2/657.
[10] Al-Wajiz, 1/339, al-Fiqh al-Islami, 2/636, 638.
[11] Al-Fiqh al-Islami, 2/637.
[12] Al-Fiqh al-Islami, 2/637, 640.

dipetik dari blog http://ilmudanulamak.blogspot.com

----------------------------------------------------------------------

WaLLAHuta'ala a'lam,

Ibn 'AbdiLLAH As-Sarawaki,
8.58 am,
Rabu, 26 Ogos 2009 / 5 Ramadhan 1430
Kuching, Sarawak.

Friday, August 14, 2009

Taqarrub IlaLLAH: Iktikaf Alternatif Penzuhudan Jiwa!


Assalamu’alaikum warahmatuLLAHi wabarakatuh,


AlhamduliLLAHi rabbil ‘alameen ‘alaa kulli haal,

Segala puji bagi ALLAH SWT Yang Maha Mentadbir Sekalian ke atas segala-galanya,

Selawat dan Salam tanda kecintaan ke hadrat Al-Rasul SAW, ahlul bayt serta para sahabat Baginda.


Semakin hampir kita dengan Ramadhan ini, saya yakin banyak persediaan yang dilakukan. Bagi yang pernah tertinggal puasa maka inilah masanya untuk berkejar menggantikan kembali puasa-puasa yang pernah tertinggal selama ini. Ramadhan juga mengingatkan kepada kita bahawa inilah masanya yang paling baik untuk mempertingkatkan ketaqwaan serta ketaatan kita kepada ALLAH SWT, dengan kuatnya signal ALLAH SWT terhadap hambaNya, di samping ganjaran-ganjaran yang tidak kita temui di bulan-bulan lain. banyak sekali bentuk amalan yang disyorkan untuk dilakukan pada bulan Ramadhan, dan salah satu daripada amalan yang mampu mendekatkan diri kita kepada ALLAH SWT ialah amalan beriktikaf.


Takrifan Iktikaf

Dari sudut bahasa: Tinggal dan melazimi sesuatu perkara.

Dari sudut syara’: Berada dalam masjid dengan niat yang khusus.


Dalil Pensyariatan Iktikaf

Firman ALLAH SWT yang bermaksud

“Dan janganlah kamu setubuhi mereka ketika kamu sedang beriktikaf di masjid” (Al-Baqarah ayat 187)


Imam Al-Bukhari dan Muslim juga meriwayatkan daripada Saidatina ‘Aisyah r.a

“Nabi SAW telah beriktikaf pada sepuluh akhir bulan Ramadhan. Kemudian isteri-isteri Baginda beriktikaf selepasa kewafatannya.”

Amalan iktikaf ini juga terdapat di dalam syariat-syariat terdahulu. Ia telah dikenali sebelum Islam berdasarkan firman ALLAH SWT:

“Dan Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail (dengan berfirman): Bersihkanlah Rumah-Ku (dari apa yang diharamkan) untuk orang-orang yang bertawaf dan yang beriktikaf serta yang ruku’ dan sujud (padanya).” Al-Baqarah ayat 125.


Hikmah Di Sebalik Pensyariatan Iktikaf

Perbuatan mengekang hawa nafsu terhadap perkara yang diharuskan merupakan tanggungjawab seorang Muslim dari masa ke semasa. Ini bertujuan agar perintah ALLAH dapat ditaati dan menyediakan waktu yang khusus untuk beribadah kepadaNya, agar dia dapat membiasakan diri mencintai ALLAH SWT, mengutamakan keredhaanNya dengan meninggalkan perkara haram yang ingin dilakukan dan memudharatkan hawa nafsunya. Nafsu sentiasa mengajak tuannya melakukan perkara-perkara yang buruk dan mengheretnya ke lembah kemaksiatan.

Firman ALLAH SWT:

“Kerana sesungguhnya nafsu itu benar-benar menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah dia daripada hasutan nafsu itu)” Surah Yusuf ayat 53.

Tenggelam di dalam nikmat keduniaan akan menambahkan lagi kecintaan kepada dunia dan usaha untuk mendapatkan dunia. Maka inilah faktor munculnya penyakit hati yang banyak menimpa kaum Muslimin, iaitu penyakit cintakan dunia. Jauh sekali dapat menghalang atau menjauhkannya daripada mencintai dunia, kecuali jika dia sentiasa dididik dalam suasana terasing (berkhalwat/mengasingkan diri - melalui iktikaf) untuk mencintai ALLAH SWT dan menjauhi perkara yang diharamkan.

Maka, iktikaf disyariatkan untuk menjadi usaha bagi mengumpul segala niat yang baik dan menyucikan hati, juga mendidik jiwa supaya zuhud terhadap syahwat (keinginan) yang dibenarkan dan menjauhkan diri daripada melakukan sebarang perlanggaran dan dosa.


Hukum Iktikaf

Hukumnya adalah sunat dilakukan pada setiap masa. Ianya lebih disunatkan lagi apabila di bulan Ramadhan. Hukumnya akan menjadi sunat muakkad (sunat yang dituntut untuk melakukannya)apabila berada di dalam sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan. Bagi yang bernazar melakukannya, ianya menjadi wajib. Dengan itu, hukum iktikaf terbahagi kepada 3:

1. Sunat iaitu sepanjang masa.

2. Sunat Muakkad iaitu pada sepuluh malam terakhir di bulan Ramadhan. Hikamhnya di sini ialah sebagai usaha untuk memperolehi Lailatul Qadar, sebaik-baik malam dalam satu tahun berdasarkan firmanuLLAHu Ta’ala

“Malam Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan” (Al-Qadr ayat 3)

Jumhur ulama’ (Sepakat ulama’) menyatakan bahawa Lailatul Qadar jatuh pada sepuluh terakhir bulan Ramadhan.

3. Wajib di dalam keadaan ia dinazarkan.


Syarat Sah Iktikaf

Sepertimana ibadat-ibadat lain yang dilakukan sebagai jalan taqarrub ilaLLAH, iktikaf mempunyai beberapa syarat tertentu. Dua syarat asasinya ialah:

1. Niat

Dilakukan pada permulaan iktikaf. Ini bermakna orang yang berada di dalam masjid dalam tempoh masa tertentu hendaklah berniat iktikaf untuk melakukan ibadat. Ini dilakukan sebagai memenuhi perkara yang disunatkan. Sekiranya dia masuk ke masjid dengan tujuan keduniaan ataupun tidak terlintas apa-apa niat yang boleh dianggap sebagai niat iktikaf, maka dia berada dalam masjid pada waktu itu tidak dianggap sebagai iktikaf yang disyariatkan.

2. Berada di dalam masjid

Dia hendaklah berada secara berterusan dalam masjid sehingga ke suatu tempoh yang pada adatnya dinamakan sebagai iktikaf.


Syarat ini merangkumi syarat-syarat berada di dalam masjid iaitu mestilah bersih pakaian dan tubuh badan daripada najis yang mungkin mengotorkan masjid, serta suci daripada junub, haid dan nifas.

Sekiranya dia keluar dari masjid tanpa keuzuran, maka iktikafnya terputus atau batal. Sekiranya dia keluar kerana keperluan, maka iktikafnya tidak terputus dan ia termasuk ke dalam hukum iktikaf yang berterusan.


Untuk mendapatkan sunat iktikaf, tidak disyaratkan berpuasa. Tetapi disunatkan ia disertakan dengan puasa. Dalilnya ialah hadith yang diriwayatkan oleh Al-Hakim (1/439) daripada Ibn Abbas r.a bahawa


Nabi SAW bersabda:


“Orang yang beriktikaf tidak wajib berpuasa melainkan apabila ia telah mewajibkan ke atas dirinya”.


Iktikaf Yang Dinazarkan

Jika seseorang bernazar untuk beriktikaf dalam tempoh tertentu secara berturut-turut, maka dia tidak boleh keluar dari masjid kecuali dengan tujuan tertentu seperti untuk membuang air, berwudhu’, dan seumpamanya. Sekiranya dia keluar kerana perkara ini, ia tidak diharamkan dan iktikafnya dikira masih bersambung.

Sekiranya dia keluar tanpa keuzuran seperti sekadar berjalan-jalan atau untuk memenuhi perkara yang bukan dharuri, maka hukumnya haram dan iktikafnya dikira terputus. Dia wajib memulakan semula iktikafnya.

Sekiranya dia bernazar untuk beriktikaf dalam keadaan berpuasa, maka dia mesti melakukannya kerana inilah iktikaf yang paling baik. Apabila dia mewajibkan dirinya melakukannya (beriktikaf dalam keadaan berpuasa), maka dia wajib melakukannya.

Sekiranya orang yang bernazar itu menentukan masjid tertentu untuk beriktikaf, hukumnya dia tidak wajib beriktikaf di masjid yang dimaksudkan itu. Sah baginya beriktikaf di mana-mana masjid walaupun masjid yang ditentukannya itu lebih utama daripada selainnya, kecuali Masjidil Haram, Masjid Nabawi dan Masjid Al-Aqsa. Ini kerana apabila dia telah menentukan salah satu daripada masjid ini, maka dia wajib pergi ke masjid tersebut kerana keutamaannya dan ganjaran yang berlipat kali ganda padanya. Dalam masalah ini, Masjidil Haram boleh menggantikan tempat kedua-dua masjid tadi tetapi tidak boleh pula sebaliknya. Manakala, Masjid Madinah boleh menggantikan tempat Masjid Al-Aqsa tetapi tidak boleh sebaliknya.


Adab Iktikaf

1. Orang yang beriktikaf disunatkan memenuhkan masanya dengan melakukan ketaatan kepada ALLAH SWT seperti berdzikir, membaca Al-Quran dan perbincangan ilmu kerana semua ini akan mencapai maksud iktikaf.

2. Berpuasa kerana iktikaf sambil berpuasa adalah lebih afdhal dan lebih mampu mematahkan syahwat jiwa dan mendatangkan kebersihan hati dan perasaan.

3. Iktikaf hendaklah dilakukan di masjid jamik iaitu masjid yang dilakukan solat Jumaat padanya.

4. Tidak bercakap melainkan perkara yang baik, tidak mencela, tidak mengumpat, tidak memfitnah dan tidak bercakap kosong.


Perkara Makruh Ketika Iktikaf

1. Berbekam, apabila perbuatan ini tidak mengotorkan masjid. Sekiranya ia mengotorkan masjid maka diharamkan.

2. Terlalu banyak melakukan pekerjaan lain seperti menenun bulu, menjahit dan sebagainya. begitu juga jual beli walaupun sedikit.


Perkara Yang Merosakkan Iktikaf

1. Berjimak (bersetubuh) dengan sengaja walaupun tidak keluar air mani. Ini berdasarkan firman ALLAH SWT : Dan janganlah kamu setubuhi mereka ketika kamu sedang beriktikaf di masjid” (Al-Baqarah ayat 187)


Adapun pergaulan tanpa jimak seperti sentuhan dan ciuman maka ia tidak membatalkan iktikaf kecuali apabila keluar air mani.

2. Keluar daripada masjid dengan sengaja tanpa hajat.

3. Murtad, mabuk atau gila.

4. Keluar haid atau nifas kerana perkara-perkara ini menghalang seseorang itu daripada berada di dalam masjid.

Orang yang beriktikaf dibolehkan untuk menghentikan iktikafnya dan keluar dari masjid apabila dia mahu. Apabila dia mahu masuk semula ke dalam masjid, dia hendaklah memperbaharui niat iktikafnya.


Semoga dengan perkongsian ilmu ini, perspektif kita terhadap amalan beriktikaf ini dapat diubah. Semoga iktikaf ini mampu kita sama-sama selitkan di dalam diari amalan harian terutamanya menjelang Ramadhan yang bakal tiba nanti. Rebutlah peluang keemasan yang ada!


WaLLAHuta’ala a’lam.


Rujukan:

Kitab Fiqh Mazhab Syafie: Fiqhul Manhaji Jilid 2. Bab Iktikaf, M/S 460-465. Susunan Dr Mustofa Al-Khin, Dr Mustofa Al-Bugha dan Ali As-Syarbaji. Cetakan Pustaka Salam 2005.


Ibn ‘AbdiLLAH As-Sarawaki,

11.07pm,

Jumaat, 14 Ogos 2009,

Kuching, Sarawak.

Katakan "TAK NAK" Kepada Tabarrujul Jahiliyah!

Katakan "TAK NAK" Kepada Tabarrujul Jahiliyah!
klik pada imej untuk ke link

klik pada imej untuk ke link

klik pada imej untuk ke link

Alternatif Fesyen Islami

Alternatif Fesyen Islami
klik pada imej untuk ke link

Jom Belajar Bahasa Arab

Jom Belajar Bahasa Arab
klik pada imej untuk ke link

Video-video Pilihan

Ustaz Ismail Kamus - Nafsu Makan Ustaz Ismail Kamus - Alam Jin Ustaz Azhar Idrus - Banduan Akhirat Ustaz Azhar Idrus - Tidur 20 Tahun