Darussyifa' Online

Darussyifa' Online
klik pada imej untuk ke link

BIC Smart Shop

BIC Smart Shop
klik pada imej untuk ke pautan

Boikot Zionis La'natuLLAH!

Boikot Zionis La'natuLLAH!
klik pada imej untuk ke link

klik pada imej untuk ke link

klik pada imej untuk ke link

Selamatkan Gaza!

Selamatkan Gaza!
klik pada imej untuk ke link

Thursday, November 26, 2009

Talbis Iblis: Merasuk Di Dalam Gerakan!

Assalamu’alaikum warahmatuLLAHi wabarakatuh,


AlhamduliLLAHi rabbil ‘alameen ‘alaa kulli haal,

Segala puji bagi ALLAH SWT Yang Maha Mentadbir Sekalian ke atas segala-galanya,

Selawat dan Salam tanda kecintaan ke hadrat Al-Rasul SAW, ahlul bayt serta para sahabat Baginda.

Saya masih lagi suka membuka topik mengenai penyakit-penyakit di dalam gerakan. Kalau sebelum ini, saya sebut mengenai politik dalaman yang bisa menghancurkan ukhuwwah ahli dan juga seterusnya menghancurkan gerakan itu sendiri. Kali ini, saya ingin membawa anda untuk melihat perkara ini dari sudut pandangan yang lebih umum, bolehkah istilah world view digunakan di sini? Perbetulkan jika tersilap.


Baru-baru ini, saya berkesempatan untuk menyelak semula muka-muka di dalam kitab Talbis Iblis (Jerat Syaitan) yang ada dalam simpanan saya. Saya kira ramai yang tidak asing dengan nama kitab karangan Ibnul Jauzy ini, hanya tinggal sudah dibaca dan ditelah ataupun belum.

Secara jujur, kadangkala membaca kitab-kitab seperti ini saya dirundung kerisauan. Khuatir salah faham kalau-kalau kitab seperti ini pun perlu sessi talaqqi juga. Walau apapun, saya yakin bahawa mafhumnya yang paling utama adalah satu, iaitu di dalam segenap kehidupan manusia memang akan sentiasa berhadapan dan bertarung dengan talbis Iblis ini.

Kalau di’sekali imbas’kan untuk penilaian ringan dalam glosari bab-bab yang terdapat di dalam kitab ini, kita akan dapati bahawa tidak ada golongan pun yang akan terlepas daripada hambatan hantu syaitan bernama Iblis ini. Bukankah kita juga biasa mendengar bahawa bisikannya sangat halus sehinggakan kebenaran dan kebathilan tercampur aduk dan semuanya seakan-akan benar dan betul.

Dia telah berjanji akan menyesatkan kalau boleh semua anak-anak Adam. Kita juga telah menyaksikan di dalam firman ALLAH SWT di dalam kitab-Nya bagaimana Iblis menipu isteri Tok Adam a.s kita, maka apatah lagi darjat kita yang awwam ini. Maka sangat mudah untuk ditipu.


Telah menulis Ibnul Jauzy di dalam kitab Talbis Iblis yang masyhur itu bahawa antara golongan-golongan yang diperdayakan termasuklah golongan zuhhad (sufi), ahli ibadah, sehinggalah ke peringkat orang awwam.

Diganggu manusia itu pada aqidah dan keyakinannya, dipersulitkan urusan ibadahnya, itulah kerja-kerja natijah Talbis Iblis.


Apabila sudah disebutkan bahawa semua akan cuba untuk diheret oleh Iblis ke neraka, apatah lagi yang berjuang di dalam harakah, sekalipun perjuangannya suci, akan tetapi di dalam cabang-cabang pergerakannya pasti akan ada pengaruh Talbis Iblis. Sebab itulah munculnya isu seperti yang saya sebutkan sebelum ini, pimpinan boleh sahaja menyalahgunakan kuasa dan memutarbelitkan konsep wala’ ahli kepadanya, ahli boleh sahaja menggulingkan pimpinan yang tidak disukainya, dan begitulah seterusnya.


Baru-baru ini saya menerima SMS daripada seorang sahabat saya, bahawa apabila perjuangan itu dikemudikan dengan nafsu dan tidak dengan iman, maka lain jadinya.


Nafsu bukan nafsu syahwat sahaja, tetapi termasuk juga perkiraan nafsu ialah kita terlalu isti’jal (gopoh) untuk menang, terlalu yakin dengan pertolongan ALLAH SWT tanpa kita betul-betul berusaha mengatur strategi di dalam gerakan, ahli yang begitu khayal dengan siasah sehingga aspek tarbiyyah lupa di’nombor-satu’kan, dan ada yang masih lagi di tahap status quo-nya yang tidak mahu berfikir langsung walaupun sedikit untuk kebaikan harakah, sebaliknya lebih selesa goyang kaki dan berpangku lengan. Banyak lagi contoh-contoh yang menandakan kerosakan di dalam harakah akibat Talbis Iblis ini.


Kita tidak boleh menafikan bahawa jamaah itu sebenarnya adalah rahmat. Di dalamnya terkandung ukhuwwah sesama ahli manifestasi mahabbah. Itulah kerangka yang memperkuatkan jamaah dan harakah.

Tetapi pada masa yang sama, kita juga tidak dapat menolak hakikat bahawa walau bagaimanapun kita meletakkan Islam itu sebagai dasar di dalam buku atau statut perlembagaan harakah yang kita cintai ini, ianya (harakah) masih lagi mempunyai sirna tanda kelemahan manusia / hamba yang mengemudinya. Itulah ujiannya, bahkan itulah ujian yang sangat hebat.


Kita meletakkan dasar Islam, maka ujiannya adalah sejauh mana kita betul-betul berpegang dengan prinsip itu.

Maka dalam usaha kita mendaulatkan Islam itu, kita sangat berhajat kepada muraqabah dan juga muqarabah (taqarrub/mendekatkan diri) kepada ALLAH SWT, agar langkah perjuangan sentiasa di atas petunjuk yang benar.


Mungkin itulah salah satu aspek yang kurang pada kita. Kita terlalu sibuk berprogram yang sentiasa dengan retorika ‘kita buat kerana ALLAH’ tetapi hakikatnya adakah kita betul-betul mengambil sedikit daripada masa kita untuk betul-betul meletakkan diri kita memohon petunjuk daripada-Nya dalam menelusuri jalan perjuangan ini? Kita terlalu ghairah berprogram sehinggakan kita hampir melewati batasan ikhtilat yang sepatutnya dijaga. Kita terlalu syok sendiri berprogram kerana mahu menaikkan nama jamaah dan harakah. Natijahnya, apabila niat seolah-olah sedikit terpesong, berqiblatkan mahu menaikkan nama jamaah, pimpinan dan sebagainya, kesan akhir program yang dijalankan seolah-olah tidak nampak. Akhirnya program nampak syok sendiri, tiada da’wah yang muntajih (berkesan) dan tidak mustahil sudut kemungkaran pula wujud tanpa kita menyedarinya.


Di dalam al-Quran juga Iblis dengan jelas telah memperakui akan peranannya yang akan menyesatkan semua manusia kecuali bagi golongan yang ikhlas, maka kata kuncinya mudah sahaja – Ikhlas. Tetapi saya akui, ikhlas itulah yang paling payah untuk dikecapi martabatnya. Kadangkala semasa berprogram ataupun hanya datang usrah sahaja ataupun sekadar solat sunat dua rakaat pun kita sudah rasa kitalah yang paling hebat. “orang lain ada ke yang rajin attend usrah macam kau? Solat sunat macam kau? Wah, gahnya program yang kau buat, mesti orang respectlah kat kau”, mungkin antara dua-tiga bisikan yang terlintas. Ya, sungguh halus bisikannya sehingga yang bathil dipakej kelihatan molek-molek belaka.


Seperti yang disebutkan tadi, penglibatan kita di dalam gerakan tidak lain amat mementingkan aspek tarbiyyah, terutamanya tarbiyyah ruhiyyah. Kadangkala amat menakutkan apabila melihat situasi ahli yang lebih cenderung melontarkan isu siasah secara berlebihan tetapi meminggirkan tarbiyah yang kurang padanya. Dia memang suka mencari kesalahan yang dilakukan oleh pemerintah dan bersangatan dalam membawa logo cap pembangkang di dahinya dan juga darah hijau putih yang mengalir di dalam dirinya.

Ada juga yang setelah melafazkan ikrar bai’ah tetapi nampaknya lebih suka duduk ‘memegun’kan diri pada status semasanya yang tidak mahu berfikir untuk da’wah dan jamaah. Dia tidak bergerak, dan kadangkala dia terlibat dalam gejala escapism, dia tidak datang usrah atau mana-mana program jamaah. Mungkin inilah natijah apabila kurang memikirkan nasib yang akan menimpanya akibat keengganannya melaksanakan tuntutan bai’ah yang dilafazkannya dahulu. Ketahuilah sesungguhnya ALLAH menuntut janji-janji yang engkau lafazkan itu. Apabila kau cuaikan, sesungguhnya seksa-Nya amat pedih.

Lebih merbahaya lagi, apabila Talbis Iblis juga boleh sahaja merasuk pimpinan. Maka ada yang menyalahgunakan kuasa untuk memanipulasikan istilah wala’ agar kepentingan peribadinya terjaga. Ada juga yang akan berusaha memegang seberapa banyak portfolio tugas agar dia dapat menguasai kesemuanya, dan begitulah seterusnya.


Saya tidak mahu mengundang kebosanan bagi yang sedang membaca, mungkin agak berat juga tajuk ini untuk terus dibincangkan. Ibarat kata student IPT, boleh jadi tepu otak kerana memikirkannya. Namun, saya yakin bahawa mesej yang utama di dalam tulisan ini dapat dihadam, iaitu walau di ceruk manapun kita berada, Talbis Iblis sentiasa ada. Talbis Iblis tidak pernah mengenal anda berada di dalam tarikat mana, jamaah mana, ataupun parti mana. Selagi bergelar manusia, anda dan juga saya akan sentiasa menjadi sasaran dan mangsa tipu dayanya.


Maka, aktifkanlah tarbiyyah ruhiyyah kita. Ambillah seberapa banyak masa yang ada untuk melakukan muqarabah (mendekatkan diri kepada ALLAH SWT) dan muhasabah serta sentiasa meletakkan diri di dalam muraqabah (sentiasa diperhatikan oleh ALLAH SWT).

Semoga ALLAH SWT melindungi kita semua yang berjuang untuk Islam ini daripada bahaya Talbis Iblis, insyaALLAH.


Ibn ‘AbdiLLAH As-Sarawaki,

12.41am,

27 November 2009, Jumaat

Kuching, Sarawak.

Salam Eidul Adha Mubarak 1430H.

Saturday, November 14, 2009

Transisi Pasca Siswazah: Awas! Anda Bisa Terkeliru...

Assalamu’alaikum warahmatuLLAHi wabarakatuh,


AlhamduliLLAHi rabbil ‘alameen ‘alaa kulli haal,

Segala puji bagi ALLAH SWT Yang Maha Mentadbir Sekalian ke atas segala-galanya,

Selawat dan Salam tanda kecintaan ke hadrat Al-Rasul SAW, ahlul bayt serta para sahabat Baginda.


Setelah sekian lama menyepi dan blog kelihatan agak membisu, saya gagahkan juga untuk menulis semula. Sekarang ini, saya sedang mengumpul segala kekuatan untuk menulis semula. Maka, kalau tetamu ziarah sekalian merasakan entri kali ini kurang menyengat dan agak lemau, anggaplah ianya ibarat pemain bola yang patah kaki menunggu setahun untuk sembuh lalu terpaksa mula balik starting from the scratch untuk mengembalikan skill-skill lamanya, kalau perumpamaan itu valid untuk situasi ini.


‘Alaa kulli haal, semenjak berhijrah dari dunia kemahasiswaan dan memasuki dunia pasca pengajian, saya telah mempelajari beberapa azimat yang bermakna dalam kehidupan bekerja untuk harakah Islamiyah ini.


Secara jujur, tarbiyyah di kampus adalah idealistik berbanding dengan apa yang dialami di luar kampus. Bukan saya pertikaikan tarbiyyah kampus (kalau baca dengan nada salah, bahaya statement ni), tetapi yang dimaksudkan di sini ialah, latihan bergerak dalam organisasi harakah di kampus adalah jauh lebih selesa berbanding di luar. Itu hakikat yang perlu diterima. Apa tidaknya, semasa di kampus, peluang untuk bertemu dengan politik dalaman agak kurang jika dibandingkan apabila kita sudah terlibat dengan kawasan atau peringkat-peringkat yang seumpama dengannya. Maka jangan terkejut apabila ada yang dahulunya pegang amanah di dalam Majlis Tertinggi di kampus tetapi tercicir apabila diletakkan untuk berfungsi dalam suasana harakah yang sebenar. Maka tidak kurang yang tercicir dan menarik diri, sedangkan harakah di negeri masih memerlukan ramai tenaga penggerak.


Sebagai individu harakah yang terdidik dengan tarbiyyah yang mantap, dengan tamrin pengukuhan yang memakan masa sampai seminggu, maka sudah semestinya kita yang lebih faham dengan konsep amal jama’I di dalam harakah ini berusaha bersungguh-sungguh daripada terpengaruh dengan mana-mana team ataupun camp di dalam harakah. Mungkin ada yang bertanya, wujudkah team-team ataupun camp di dalam harakah, bukankah itu tandanya hampir berpecah?

Jawapan saya, ya. Istilah-istilah sebegini memang akan sentiasa wujud selagimana fikrah tidak dimurnikan dan tarbiyyah tidak diselarikan. Kita perlu ingat bahawa apabila kita bercerita tentang harakah di peringkat negeri atau kawasan, tidak semua yang terlibat merupakan lepasan IPT. Kalau ada pun, tidak semua juga yang sempat mengikut tarbiyah kampus. Maka, pasti ada yang tercelaru pada pemahamannya dalam konsep ‘amal jama’I dalam harakah ini.


Maka di sinilah terzahir lompang yang menunjukkan peranan yang boleh kita ambil untuk memperbaiki keadaan ini. Kita yang terdidik dengan tarbiyyah dengan silibus yang kemas dan tamrin yang intensif, perlu cuba untuk mengambil bahagian di dalam mana-mana peringkat di dalam harakah sesuai dengan kemampuan kita, dengan hasrat untuk memulihkan semula keadaan yang keruh di dalamnya. Dan perkara ini tidak lain memerlukan perancangan yang agak panjang dan melibatkan percaturan-percaturan yang strategik. Ini saya serahkan kepada yang lebih arif mengenai perancangan strategik.


Melihat keadaan yang berlaku di dalam harakah sekarang ini, saya pelajari bahawa politik dalaman harakah itu adalah lebih menakutkan jika dibandingkan dengan siasah kita dengan parti-parti lain. Jangan disangka tiada istilah makan dalam, tikam belakang, boikot-memboikot dan sebagainya. Apa isu-isunya? Rasanya tidak perlu kepada ulasan. Cukup sekadar memberikan tasawwur/overview yang awal kepada kita semua bahawa kehidupan ‘berharakah’ di luar kampus lebih besar cabarannya – cabaran keliru tentang siapa yang perlu diserahkan wala’, keliru isu dan sebagainya. Kadangkala kita tersepit antara dua pihak, siapa yang perlu kita ikut dan percaya? Agak sukar membina stand tersendiri (iaitu bersikap berlepas tangan daripada pihak-pihak yang clash dalam harakah) dalam keadaan seperti ini.


Kita sendiri juga biasa baca di dalam buku-buku haraki tentang 5 perkara yang menjanjikan hambatan dalam perjuangan. Ianya berlegar 5 perkara dan daripadanya adalah hawa nafsu dan juga mukmin yang dengki kepada kita.

Walaupun bunyinya agak menakutkan, tetapi kalau dipandang dari sudut positif, itulah dia nikmat berjamaah. Hadith Nabi SAW menyatakan dengan mafhum bahawa kekeruhan ataupun krisis yang berlaku di dalam jamaah itu adalah lebih baik berbanding kita mufaraqah dengan alasan agar dapat lari daripada kekeruhan tersebut, sedangkan rahmat ALLAH SWT bersama dengan jamaah.


Sebagai tashji’, yakinlah bahawa kekeruhan yang berlaku di dalam harakah, walau pada tahap kritikal manapun ia, hakikatnya ujian dan teguran kasih sayang daripada ALLAH SWT agar kita berusaha mencari keharmonian dalam berhadapan dengan perbezaan latar fikrah dan tarbiyyah, agar pergerakan harakah dapat maju ke peringkat seterusnya dalam kita menuju kejayaan mendaulatkan syariat Islam di atas muka bumi ini.

Renungi sedalam-dalamnya Surah Al-Baqarah ayat 30;

“Dan ingatlah ketika Tuhan berfirman kepada malaikat, “Sesungguhnya Aku akan melantik seorang khalifah di muka bumi”

Maka, perkasakanlah peranan kita dalam menjernihkan semula kekeruhan dalaman yang ada!


P/S: Adapun, tulisan ini merupakan penilaian saya secara peribadi. Ianya tidak betul, lemparkan ia ke dinding!

Kepada S.B-S.B yang baca blog ni, engkau nak baca, engkau bacalah! Itu pun kalau engkau faham dengan apa yang engkau baca!!!


WaLLAHuta’al a’lam,


Ibn ‘AbdiLLAH As-Sarawaki,

1.45am,

Ahad, 15 November 2009,

Kuching, Sarawak.

Katakan "TAK NAK" Kepada Tabarrujul Jahiliyah!

Katakan "TAK NAK" Kepada Tabarrujul Jahiliyah!
klik pada imej untuk ke link

klik pada imej untuk ke link

klik pada imej untuk ke link

Alternatif Fesyen Islami

Alternatif Fesyen Islami
klik pada imej untuk ke link

Jom Belajar Bahasa Arab

Jom Belajar Bahasa Arab
klik pada imej untuk ke link

Video-video Pilihan

Ustaz Ismail Kamus - Nafsu Makan Ustaz Ismail Kamus - Alam Jin Ustaz Azhar Idrus - Banduan Akhirat Ustaz Azhar Idrus - Tidur 20 Tahun