Darussyifa' Online

Darussyifa' Online
klik pada imej untuk ke link

BIC Smart Shop

BIC Smart Shop
klik pada imej untuk ke pautan

Boikot Zionis La'natuLLAH!

Boikot Zionis La'natuLLAH!
klik pada imej untuk ke link

klik pada imej untuk ke link

klik pada imej untuk ke link

Selamatkan Gaza!

Selamatkan Gaza!
klik pada imej untuk ke link

Thursday, December 31, 2009

Tahniah PTS! : 'Universal'kan Penterjemahan Al-Qur'an!


Assalamu’alaikum warahmatuLLAHi wabarakatuh,


AlhamduliLLAHi ‘alaa kulli haal,

Segala puja-puji kepada Al-Khaliq, Yang Maha Menciptakan ke atas segala-galanya,

Selawat dan salam isyarat kecintaan kepada HabibuLLAH Ar-Rasul SAW, ahli keluarga serta para sahabat baginda.


AlhamduliLLAH, satu berita baik buat rakyat Sarawak khususnya bagi masyarakat Iban.

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Petikan dari Malaysiakini: “Terjemahan pertama al-Quran dalam bahasa Iban akan mula diterbitkan tahun depan bagi membantu golongan penutur bahasa tersebut memahami kitab suci Islam itu.

Projek penerbitan itu dimulakan dengan terjemahan edisi muqaddam, kemudian diikuti teks lengkap al-Quran pada 2011, kata pengerusi kumpulan syarikat PTS.

Terjemahan itu berpandukan naskhah terjemahan paling popular dalam bahasa Melayu Pimpinan al-Rahman terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), kata Ainon Mohd lagi.

Beliau juga berkata terjemahan tersebut akan menjadi naskhah lengkap terjemahan al-Quran dalam bahasa etnik terbesar di Sarawak.

"Terjemahan ini menggunakan bahasa Iban laras halus, sebagaimana yang digunakan oleh penutur aslinya. Belum ada lagi naskhah sedemikian," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

"Justeru, individu keturunan Iban yang berminat mengetahui isi kandungan al-Quran memang mengalami masalah tiada bahan rujukan.

"Bukan semua orang Iban mampu membaca dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris. Lagipun membaca dalam bahasa ibunda lebih mudah difahami," kata bekas pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu lagi.

Tambahnya, sasaran utama bagi penerbitan yang diusahakan PTS Darul Furqan Sdn Bhd itu antaranya golongan muallaf yang bertutur dalam bahasa tersebut.

"Iban adalah bahasa kaum bumiputera yang terbesar di Sarawak, oleh itu kami dapati ada pasaran niche bagi buku-buku dalam bahasa Iban," katanya dalam wawancara melalui emel.

"Golongan yang akan mendapat manfaat paling baik daripada penerbitan buku ini nanti adalah individu keturunan Iban yang sudah memeluk Islam, atau mereka yang mungkin akan memeluk Islam kerana mempunyai rancangan berkahwin dengan pasangan Islam.

"Namun kita yakin, masyarakat Iban yang tidak berminat dengan Islam pun tetap akan mendapat manfaat apabila membacanya kerana mereka akan dapat memahami dengan betul perbezaan-perbezaan pelbagai aliran agama di Malaysia."

Ainon menunjukkan satu contoh terjemahan al-Quran itu seperti dimuatkan di blog peribadinya Universiti PTS.

Ayat 1 dan 2 surah al-Asr dalam bahasa itu berbunyi: "Enggau nama Allah petara ti pemadu manah serta ti pemadu penyayau. Allah petara ti siko besumpah enggau ari. Semua anak mensia nyadi rugi."

Ainon menjelaskan, projek dengan kos percetakan RM30,000 itu akan meluaskan penyebaran al-Quran dalam apa juga bahasa di dunia.

Tambahnya, 3,000 naskah muqaddam dan 3,000 lagi teks al-Quran bagaimanapun belum diluluskan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan juga Jakim.

"Pihak KDN dan Jakim boleh menubuhkan kumpulan penyemak dengan menggunakan khidmat guru agama keturunan Iban, ahli akademik, dan pendakwah lulusan aliran pengajian Islam yang boleh membaca dan mamahani bahasa Iban," katanya lagi.

Naskhah terjemahan tersebut akan dihantar kepada KDN dan Jakim untuk semakan sebelum proses percetakan, tambahnya.”

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Ibn ‘AbdiLLAH As-Sarawaki:

AlhamduliLLAHi ‘alaa kulli haal, dengan usaha kristianisasi dan pemurtadan yang semakin hebat di Pulau Borneo ini, wujud usaha ke arah membuka dan memberikan kefahaman terhadap masyarakat Iban di Sarawak berkaitan Al-Qur’an dan Islam seluruhnya. Saya optimis dengan usaha ini, mengharapkan agar naskhah terjemahan yang dikeluarkan dapat dimiliki oleh masyarakat Iban baik yang beragama Islam, ataupun yang berminat untuk mengkaji tentang Islam, ataupun yang sedang mencari kebenaran ataupun bagi yang ingin mengetahui intipati di dalam Al-Qur’an. Semoga yang telah beroleh hidayah menjadi semakin kuat pegangan terhadap imannya, manakala yang sedang mencari kebenaran akan berjumpa dengan kebenaran yang dicari, dan bagi yang mengkaji, semoga ALLAH SWT campakkan hidayah kepadanya.

Inilah da’wah kita kepada mereka, keberhasilan da’wah itu, buah hidayah itu, kita serahkan kepada ALLAH SWT, namun sekurang-kurangnya inilah permulaan usaha kita sebagai counter-act kepada usaha kristianisasi dan pemurtadan di Sarawak. FirmanuLLAHu Ta’ala:

“Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi ALLAH member petunjuk kepada orang yang dikehendaki-Nya, dan ALLAH lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk” Al-Qasas ayat 56.


Adapun, usaha ini saya kira merupakan langkah pertama ke arah menterjemahkan lebih banyak lagi kitab-kitab ilmu yang bermanfaat untuk tujuan da’wah kepada masyarakat pribumi Sarawak. Mungkin tidak mustahil esok lusa PTS mampu mengeluarkan Buku Asas Fardhu Ain dalam Bahasa Iban, Melanau dan Ba’ie pula selepas ini, malah menerbitkan Himpunan Hadith-Hadith Sahih Bukhari dan Muslim dalam Bahasa Iban ataupun lebih hebat lagi, kitab Fiqhud Daulah (Fiqh Kenegaraan) ke dalam Bahasa Iban.


Ruang penulisan buku-buku introduction kepada Islam untuk non-Muslim Sarawak sebenarnya sangat banyak, dan peluang ini seharusnya dimanfaatkan sepenuhnya bagi individu-individu yang berbakat dalam bidang penulisan. Di kedai-kedai buku, terdapat lambakan novel-novel cinta, baik yang berunsur ‘cinta Islamik’ ataupun cinta tidak terarah. Alangkah baiknya kalau ruang-ruang ini boleh diisikan dengan lebih banyak lagi buku-buku pengenalan Islam kepada non-Muslim khususnya di Sarawak, yang ditulis ke dalam bahasa yang mudah untuk mereka fahami.


Usaha menterjemahkan Al-Qur’an ke dalam Bahasa Iban ini merupakan permulaan ke arah masyarakat Iban untuk mendekati Islam. Kita tanya kepada diri kita pula, adakah kita yang berbangsa Melayu ataupun yang sangat fasih berbahasa Melayu ini berusaha ke arah untuk menghayati dan memahami, justeru mengamalkan apa yang termaktub di dalam Al-Qur’an, di dalam keadaan di hadapan kita terdapat lambakan terjemahan Al-Qur’an dalam Bahasa Melayu? Sama-sama kita muhasabah.


P/S: Sesiapa yang berhasrat untuk menulis buku, dan mencari-cari penulis pembantu, saya berminat untuk bersama-sama dengan anda. (“,)


Ibn ‘AbdiLLAH As-Sarawaki,

10.37pm,

31 Disember 2009, Khamis,

Kuching, Sarawak.

Monday, December 28, 2009

Saya Tegaskan: Saya Katakan PAS Begini...

Assalamu’alaikum warahmatuLLAHi wabarakatuh,


AlhamduliLLAHi ‘alaa kulli haal,

Segala puja-puji kepada Al-Khaliq, Yang Maha Menciptakan ke atas segala-galanya,

Selawat dan salam isyarat kecintaan kepada HabibuLLAH Ar-Rasul SAW, ahli keluarga serta para sahabat baginda.


Sudah lama tidak menulis, segalanya kerana hambatan urusan kerja yang agak demanding kebelakangan ini. Isu-isu yang timbul di media massa juga tidak terfikir untuk diulas, mungkin minda agak tepu dengan segala program yang berlangsung kebelakangan ini.


Baru-baru ini, timbul pula spekulasi baru di Selangor, ada segelintir ahli PAS yang mendesak PAS agar keluar dari Pakatan Rakyat. Saya tidak mahu ulas banyak tentang isu ini. Jikalau betul mereka ahli PAS, saya cadangkan mereka meneliti semula silibus usrah berkaitan dengan Tahaluf Siyasi, kemungkinan ada yang terskip bab ini semasa mengikuti usrah. Mungkin perlu diberi pencerahan semula tentang wala’ dan thiqah, takut-takut kepercayaan terhadap pimpinan mula terhakis. Jikalau mereka diupah berlakon untuk menjadi ahli PAS yang mogok kepada pimpinan, saya ucapkan ‘tahniah’ kerana lakonan mereka berjaya meyakinkan peminat setia media arus perdana untuk terus percaya bahawa PAS seolah-olah menggadai prinsip PAS sebelum ini. Tahniah kerana terus berjaya dalam usaha anda untuk memutarbelitkan fakta dan memburuk-burukkan nama PAS dan Pakatan Rakyat. ALLAH SWT jua yang mampu ‘membalasnya’!


Dalam entri ini, saya berasa terpanggil untuk menerangkan semula peranan PAS sebagai sebuah harakah Islam (gerakan Islam, yang bukan hanya sekadar stand politik), sebuah jamaah Islam yang berdiri di atas prinsip yang kukuh dan jelas. Pendirian yang akan menjelaskan bahawa ahli PAS bukanlah bersandar kepada nama PAS, tetapi menjadikan syariat Islam sebagai sandaran.


Pertama, jikalau dirujuk semula pada perlembagaan PAS, awal-awal lagi PAS menyatakan pendiriannya menjadikan Islam sebagai perlembagaan. Sudah termaktub akan hasrat PAS untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia. Bidang politik merupakan wasilah bagi PAS mendapatkan kekuasaan, agar apabila kuasa berjaya diraih, execution kepada perlaksanaan syariat akan jadi lebih mudah, atau sekurang-kurangnya dipermudahkan / dikurangkan kesulitan perlaksanaannya.

Saya tegaskan bahawa PAS bukan menjadikan nama Parti Islam Se-Malaysia sebagai sandaran dan umpan untuk meraih sokongan, akan tetapi dasarnya yang dijadikan perkara pokok. Secara peribadi, saya menyokong PAS bukan kerana istilah Islam pada nama yang didaftarkan, tetapi pada agenda perjuangan yang dibawanya. Andaikata esok lusa PAS lari daripada jalan perjuangan sebenar, apa perlunya saya bersama dengan PAS? Inilah juga prinsip yang dinyatakan sendiri oleh Tok Guru Nik Aziz. Beliau sendiri juga turut menyatakan bahawa dasar PAS ialah Islam. Sekiranya esok lusa UMNO meninggalkan ideologi ala jahiliyah yang melebihkan sentimen perkauman, lantas mengambil Islam yang tulen sebagai dasar mereka, Tok Guru berbesar hati menerimanya. Bab nama UMNO untuk ditukarkan kepada Parti Islam atau sebagainya, itu perbahasan di tangga kedua atau seterusnya. Apa yang penting, andaikata UMNO sudi menggadaikan prinsip utamakan (terlalu melebihkan) Melayu dan meletakkan Islam di depan, maka insyaALLAH PAS tidak akan berkompromi untuk bergabung. Itu andai Islam yang dijadikan dasar dan dikedepankan dalam semua perkara.


Kedua, kepada penyokong PAS, kita perlu ingat bahawa PAS adalah sebuah gerakan Islam. Kita mengambil jalan politik dan pilihanraya bagi meraih sokongan dan autoriti untuk turut sama memerintah Negara. Maka apabila kita mengakui kita adalah ahli kepada gerakan Islam, sudah semestinya akhlaq ahli menjadi tuntutan dan akan menjadi perhatian pihak lain. Maka apabila orang PAS (sebuah gerakan Islam) mudah sangat menggelabah lantas memberontak apabila di’jentik’ dengan isu-isu ciptaan pihak yang suka baling batu sembunyi tangan, kita akan mudah memberikan first impression yang negative terhadap orang luar.


Situasi yang lebih mengecewakan lagi ialah apabila perbuatan biadap sesetengah pro-UMNO yang suka mengedit gambar-gambar Tok Guru dan sebagainya, kita balas dengan perbuatan tidak bermoral yang sama! Saya yakin di dalam mana-mana silibus usrah, Islam tidak pernah mengajarkan perkara seperti ini. Kadangkala, apabila melihat gambar-gambar pemimpin UMNO diedit dengan keadaan yang tidak wajar, saya berasa amat malu, saya khuatir andaikata ada yang mempertikaikan PAS kerana adab-adab ahlinya : “Beginikah yang diajarkan oleh PAS kepada ahlinya?”. Kita sebagai ahli atau penyokong PAS ada jawapannya. Kita yang bertanggungjawab menjawab pertikaian seperti itu! Itu baru bab edit-mengedit gambar,belum cerita bab lain! Kita seolah-olah tidak matang dari segi emosi apabila diuji dalam hal ini. Sebagai ahli gerakan Islam ataupun orang yang cintakan Islam, be professional!

Kita mengharapkan orang lain memberikan sokongan kepada PAS, tetapi hakikat akhlaq sesetengah ahli boleh menyebabkan terhakis kepercayaan orang terhadap gerakan Islam. Yang lebih teruk lagi, sampai ke extent golongan non-muslim mempertikaikan akhlaq Muslim! Kita berdosa!


Bagi yang menyokong perjuangan PAS dan ingin menyumbang bakti dan tenaga di dalam PAS, saya katakan PAS adalah gerakan yang sangat syumul menyeluruh. Wajib kita berpegang dengan dalil dari firmanuLLAHu Ta’ala, dari Surah Al-Baqarah ayat 208 yang lebih kurang bermaksud :

“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara menyeluruh. Dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan, Sesungguhnya dia bagi kamu adalah musuh yang nyata”.

PAS bukan hanya sebuah gerakan yang berqiblatkan political mileage semata-mata. Sebenarnya banyak lajnah-lajnah ataupun unit-unit di dalam PAS yang belum pernah kita maklum akan kewujudannya sebelum ini. PAS ialah parti politik, ia juga adalah badan da’wah, ia juga adalah seberani-berani badan islah (agen pembaikan), ia juga jamaah yang mengiktiraf setiap tenaga dan bakat yang ingin menyumbang untuk kemenangan Islam.


Ingatlah bahawa PAS bukan suatu badan yang hanya tahu membangkang dan terus membangkang (hakikatnya ia ingin membawa kemajuan dan perubahan selaras dengan kehendak Islam, cuma sering berhadapan dengan sekatan, baik dari segi kuasa mahupun ekonomi), akan tetapi ianya merupakan suatu gerakan yang akan terus bertarung untuk survivalnya mengharungi zaman, dan akan sentiasa mendapat nusrah (bantuan) daripada ALLAH SWT, selagi pendokong dan ahlinya berjuang dengan ikhlas fi sabiliLLAH!


Andai perjuangan kita jauh daripada keikhlasan dan lari daripada berqiblatkan ALLAH sebagai matlamat, maka tunggulah ALLAH datangkan kehancuran kepada kita semua!


P/S: Beramal Kerana ALLAH!


Ibn ‘AbdiLLAH As-Sarawaki,

11.57pm,

Isnin, 28 Disember 2009,

Kuching, Sarawak.

Thursday, November 26, 2009

Talbis Iblis: Merasuk Di Dalam Gerakan!

Assalamu’alaikum warahmatuLLAHi wabarakatuh,


AlhamduliLLAHi rabbil ‘alameen ‘alaa kulli haal,

Segala puji bagi ALLAH SWT Yang Maha Mentadbir Sekalian ke atas segala-galanya,

Selawat dan Salam tanda kecintaan ke hadrat Al-Rasul SAW, ahlul bayt serta para sahabat Baginda.

Saya masih lagi suka membuka topik mengenai penyakit-penyakit di dalam gerakan. Kalau sebelum ini, saya sebut mengenai politik dalaman yang bisa menghancurkan ukhuwwah ahli dan juga seterusnya menghancurkan gerakan itu sendiri. Kali ini, saya ingin membawa anda untuk melihat perkara ini dari sudut pandangan yang lebih umum, bolehkah istilah world view digunakan di sini? Perbetulkan jika tersilap.


Baru-baru ini, saya berkesempatan untuk menyelak semula muka-muka di dalam kitab Talbis Iblis (Jerat Syaitan) yang ada dalam simpanan saya. Saya kira ramai yang tidak asing dengan nama kitab karangan Ibnul Jauzy ini, hanya tinggal sudah dibaca dan ditelah ataupun belum.

Secara jujur, kadangkala membaca kitab-kitab seperti ini saya dirundung kerisauan. Khuatir salah faham kalau-kalau kitab seperti ini pun perlu sessi talaqqi juga. Walau apapun, saya yakin bahawa mafhumnya yang paling utama adalah satu, iaitu di dalam segenap kehidupan manusia memang akan sentiasa berhadapan dan bertarung dengan talbis Iblis ini.

Kalau di’sekali imbas’kan untuk penilaian ringan dalam glosari bab-bab yang terdapat di dalam kitab ini, kita akan dapati bahawa tidak ada golongan pun yang akan terlepas daripada hambatan hantu syaitan bernama Iblis ini. Bukankah kita juga biasa mendengar bahawa bisikannya sangat halus sehinggakan kebenaran dan kebathilan tercampur aduk dan semuanya seakan-akan benar dan betul.

Dia telah berjanji akan menyesatkan kalau boleh semua anak-anak Adam. Kita juga telah menyaksikan di dalam firman ALLAH SWT di dalam kitab-Nya bagaimana Iblis menipu isteri Tok Adam a.s kita, maka apatah lagi darjat kita yang awwam ini. Maka sangat mudah untuk ditipu.


Telah menulis Ibnul Jauzy di dalam kitab Talbis Iblis yang masyhur itu bahawa antara golongan-golongan yang diperdayakan termasuklah golongan zuhhad (sufi), ahli ibadah, sehinggalah ke peringkat orang awwam.

Diganggu manusia itu pada aqidah dan keyakinannya, dipersulitkan urusan ibadahnya, itulah kerja-kerja natijah Talbis Iblis.


Apabila sudah disebutkan bahawa semua akan cuba untuk diheret oleh Iblis ke neraka, apatah lagi yang berjuang di dalam harakah, sekalipun perjuangannya suci, akan tetapi di dalam cabang-cabang pergerakannya pasti akan ada pengaruh Talbis Iblis. Sebab itulah munculnya isu seperti yang saya sebutkan sebelum ini, pimpinan boleh sahaja menyalahgunakan kuasa dan memutarbelitkan konsep wala’ ahli kepadanya, ahli boleh sahaja menggulingkan pimpinan yang tidak disukainya, dan begitulah seterusnya.


Baru-baru ini saya menerima SMS daripada seorang sahabat saya, bahawa apabila perjuangan itu dikemudikan dengan nafsu dan tidak dengan iman, maka lain jadinya.


Nafsu bukan nafsu syahwat sahaja, tetapi termasuk juga perkiraan nafsu ialah kita terlalu isti’jal (gopoh) untuk menang, terlalu yakin dengan pertolongan ALLAH SWT tanpa kita betul-betul berusaha mengatur strategi di dalam gerakan, ahli yang begitu khayal dengan siasah sehingga aspek tarbiyyah lupa di’nombor-satu’kan, dan ada yang masih lagi di tahap status quo-nya yang tidak mahu berfikir langsung walaupun sedikit untuk kebaikan harakah, sebaliknya lebih selesa goyang kaki dan berpangku lengan. Banyak lagi contoh-contoh yang menandakan kerosakan di dalam harakah akibat Talbis Iblis ini.


Kita tidak boleh menafikan bahawa jamaah itu sebenarnya adalah rahmat. Di dalamnya terkandung ukhuwwah sesama ahli manifestasi mahabbah. Itulah kerangka yang memperkuatkan jamaah dan harakah.

Tetapi pada masa yang sama, kita juga tidak dapat menolak hakikat bahawa walau bagaimanapun kita meletakkan Islam itu sebagai dasar di dalam buku atau statut perlembagaan harakah yang kita cintai ini, ianya (harakah) masih lagi mempunyai sirna tanda kelemahan manusia / hamba yang mengemudinya. Itulah ujiannya, bahkan itulah ujian yang sangat hebat.


Kita meletakkan dasar Islam, maka ujiannya adalah sejauh mana kita betul-betul berpegang dengan prinsip itu.

Maka dalam usaha kita mendaulatkan Islam itu, kita sangat berhajat kepada muraqabah dan juga muqarabah (taqarrub/mendekatkan diri) kepada ALLAH SWT, agar langkah perjuangan sentiasa di atas petunjuk yang benar.


Mungkin itulah salah satu aspek yang kurang pada kita. Kita terlalu sibuk berprogram yang sentiasa dengan retorika ‘kita buat kerana ALLAH’ tetapi hakikatnya adakah kita betul-betul mengambil sedikit daripada masa kita untuk betul-betul meletakkan diri kita memohon petunjuk daripada-Nya dalam menelusuri jalan perjuangan ini? Kita terlalu ghairah berprogram sehinggakan kita hampir melewati batasan ikhtilat yang sepatutnya dijaga. Kita terlalu syok sendiri berprogram kerana mahu menaikkan nama jamaah dan harakah. Natijahnya, apabila niat seolah-olah sedikit terpesong, berqiblatkan mahu menaikkan nama jamaah, pimpinan dan sebagainya, kesan akhir program yang dijalankan seolah-olah tidak nampak. Akhirnya program nampak syok sendiri, tiada da’wah yang muntajih (berkesan) dan tidak mustahil sudut kemungkaran pula wujud tanpa kita menyedarinya.


Di dalam al-Quran juga Iblis dengan jelas telah memperakui akan peranannya yang akan menyesatkan semua manusia kecuali bagi golongan yang ikhlas, maka kata kuncinya mudah sahaja – Ikhlas. Tetapi saya akui, ikhlas itulah yang paling payah untuk dikecapi martabatnya. Kadangkala semasa berprogram ataupun hanya datang usrah sahaja ataupun sekadar solat sunat dua rakaat pun kita sudah rasa kitalah yang paling hebat. “orang lain ada ke yang rajin attend usrah macam kau? Solat sunat macam kau? Wah, gahnya program yang kau buat, mesti orang respectlah kat kau”, mungkin antara dua-tiga bisikan yang terlintas. Ya, sungguh halus bisikannya sehingga yang bathil dipakej kelihatan molek-molek belaka.


Seperti yang disebutkan tadi, penglibatan kita di dalam gerakan tidak lain amat mementingkan aspek tarbiyyah, terutamanya tarbiyyah ruhiyyah. Kadangkala amat menakutkan apabila melihat situasi ahli yang lebih cenderung melontarkan isu siasah secara berlebihan tetapi meminggirkan tarbiyah yang kurang padanya. Dia memang suka mencari kesalahan yang dilakukan oleh pemerintah dan bersangatan dalam membawa logo cap pembangkang di dahinya dan juga darah hijau putih yang mengalir di dalam dirinya.

Ada juga yang setelah melafazkan ikrar bai’ah tetapi nampaknya lebih suka duduk ‘memegun’kan diri pada status semasanya yang tidak mahu berfikir untuk da’wah dan jamaah. Dia tidak bergerak, dan kadangkala dia terlibat dalam gejala escapism, dia tidak datang usrah atau mana-mana program jamaah. Mungkin inilah natijah apabila kurang memikirkan nasib yang akan menimpanya akibat keengganannya melaksanakan tuntutan bai’ah yang dilafazkannya dahulu. Ketahuilah sesungguhnya ALLAH menuntut janji-janji yang engkau lafazkan itu. Apabila kau cuaikan, sesungguhnya seksa-Nya amat pedih.

Lebih merbahaya lagi, apabila Talbis Iblis juga boleh sahaja merasuk pimpinan. Maka ada yang menyalahgunakan kuasa untuk memanipulasikan istilah wala’ agar kepentingan peribadinya terjaga. Ada juga yang akan berusaha memegang seberapa banyak portfolio tugas agar dia dapat menguasai kesemuanya, dan begitulah seterusnya.


Saya tidak mahu mengundang kebosanan bagi yang sedang membaca, mungkin agak berat juga tajuk ini untuk terus dibincangkan. Ibarat kata student IPT, boleh jadi tepu otak kerana memikirkannya. Namun, saya yakin bahawa mesej yang utama di dalam tulisan ini dapat dihadam, iaitu walau di ceruk manapun kita berada, Talbis Iblis sentiasa ada. Talbis Iblis tidak pernah mengenal anda berada di dalam tarikat mana, jamaah mana, ataupun parti mana. Selagi bergelar manusia, anda dan juga saya akan sentiasa menjadi sasaran dan mangsa tipu dayanya.


Maka, aktifkanlah tarbiyyah ruhiyyah kita. Ambillah seberapa banyak masa yang ada untuk melakukan muqarabah (mendekatkan diri kepada ALLAH SWT) dan muhasabah serta sentiasa meletakkan diri di dalam muraqabah (sentiasa diperhatikan oleh ALLAH SWT).

Semoga ALLAH SWT melindungi kita semua yang berjuang untuk Islam ini daripada bahaya Talbis Iblis, insyaALLAH.


Ibn ‘AbdiLLAH As-Sarawaki,

12.41am,

27 November 2009, Jumaat

Kuching, Sarawak.

Salam Eidul Adha Mubarak 1430H.

Saturday, November 14, 2009

Transisi Pasca Siswazah: Awas! Anda Bisa Terkeliru...

Assalamu’alaikum warahmatuLLAHi wabarakatuh,


AlhamduliLLAHi rabbil ‘alameen ‘alaa kulli haal,

Segala puji bagi ALLAH SWT Yang Maha Mentadbir Sekalian ke atas segala-galanya,

Selawat dan Salam tanda kecintaan ke hadrat Al-Rasul SAW, ahlul bayt serta para sahabat Baginda.


Setelah sekian lama menyepi dan blog kelihatan agak membisu, saya gagahkan juga untuk menulis semula. Sekarang ini, saya sedang mengumpul segala kekuatan untuk menulis semula. Maka, kalau tetamu ziarah sekalian merasakan entri kali ini kurang menyengat dan agak lemau, anggaplah ianya ibarat pemain bola yang patah kaki menunggu setahun untuk sembuh lalu terpaksa mula balik starting from the scratch untuk mengembalikan skill-skill lamanya, kalau perumpamaan itu valid untuk situasi ini.


‘Alaa kulli haal, semenjak berhijrah dari dunia kemahasiswaan dan memasuki dunia pasca pengajian, saya telah mempelajari beberapa azimat yang bermakna dalam kehidupan bekerja untuk harakah Islamiyah ini.


Secara jujur, tarbiyyah di kampus adalah idealistik berbanding dengan apa yang dialami di luar kampus. Bukan saya pertikaikan tarbiyyah kampus (kalau baca dengan nada salah, bahaya statement ni), tetapi yang dimaksudkan di sini ialah, latihan bergerak dalam organisasi harakah di kampus adalah jauh lebih selesa berbanding di luar. Itu hakikat yang perlu diterima. Apa tidaknya, semasa di kampus, peluang untuk bertemu dengan politik dalaman agak kurang jika dibandingkan apabila kita sudah terlibat dengan kawasan atau peringkat-peringkat yang seumpama dengannya. Maka jangan terkejut apabila ada yang dahulunya pegang amanah di dalam Majlis Tertinggi di kampus tetapi tercicir apabila diletakkan untuk berfungsi dalam suasana harakah yang sebenar. Maka tidak kurang yang tercicir dan menarik diri, sedangkan harakah di negeri masih memerlukan ramai tenaga penggerak.


Sebagai individu harakah yang terdidik dengan tarbiyyah yang mantap, dengan tamrin pengukuhan yang memakan masa sampai seminggu, maka sudah semestinya kita yang lebih faham dengan konsep amal jama’I di dalam harakah ini berusaha bersungguh-sungguh daripada terpengaruh dengan mana-mana team ataupun camp di dalam harakah. Mungkin ada yang bertanya, wujudkah team-team ataupun camp di dalam harakah, bukankah itu tandanya hampir berpecah?

Jawapan saya, ya. Istilah-istilah sebegini memang akan sentiasa wujud selagimana fikrah tidak dimurnikan dan tarbiyyah tidak diselarikan. Kita perlu ingat bahawa apabila kita bercerita tentang harakah di peringkat negeri atau kawasan, tidak semua yang terlibat merupakan lepasan IPT. Kalau ada pun, tidak semua juga yang sempat mengikut tarbiyah kampus. Maka, pasti ada yang tercelaru pada pemahamannya dalam konsep ‘amal jama’I dalam harakah ini.


Maka di sinilah terzahir lompang yang menunjukkan peranan yang boleh kita ambil untuk memperbaiki keadaan ini. Kita yang terdidik dengan tarbiyyah dengan silibus yang kemas dan tamrin yang intensif, perlu cuba untuk mengambil bahagian di dalam mana-mana peringkat di dalam harakah sesuai dengan kemampuan kita, dengan hasrat untuk memulihkan semula keadaan yang keruh di dalamnya. Dan perkara ini tidak lain memerlukan perancangan yang agak panjang dan melibatkan percaturan-percaturan yang strategik. Ini saya serahkan kepada yang lebih arif mengenai perancangan strategik.


Melihat keadaan yang berlaku di dalam harakah sekarang ini, saya pelajari bahawa politik dalaman harakah itu adalah lebih menakutkan jika dibandingkan dengan siasah kita dengan parti-parti lain. Jangan disangka tiada istilah makan dalam, tikam belakang, boikot-memboikot dan sebagainya. Apa isu-isunya? Rasanya tidak perlu kepada ulasan. Cukup sekadar memberikan tasawwur/overview yang awal kepada kita semua bahawa kehidupan ‘berharakah’ di luar kampus lebih besar cabarannya – cabaran keliru tentang siapa yang perlu diserahkan wala’, keliru isu dan sebagainya. Kadangkala kita tersepit antara dua pihak, siapa yang perlu kita ikut dan percaya? Agak sukar membina stand tersendiri (iaitu bersikap berlepas tangan daripada pihak-pihak yang clash dalam harakah) dalam keadaan seperti ini.


Kita sendiri juga biasa baca di dalam buku-buku haraki tentang 5 perkara yang menjanjikan hambatan dalam perjuangan. Ianya berlegar 5 perkara dan daripadanya adalah hawa nafsu dan juga mukmin yang dengki kepada kita.

Walaupun bunyinya agak menakutkan, tetapi kalau dipandang dari sudut positif, itulah dia nikmat berjamaah. Hadith Nabi SAW menyatakan dengan mafhum bahawa kekeruhan ataupun krisis yang berlaku di dalam jamaah itu adalah lebih baik berbanding kita mufaraqah dengan alasan agar dapat lari daripada kekeruhan tersebut, sedangkan rahmat ALLAH SWT bersama dengan jamaah.


Sebagai tashji’, yakinlah bahawa kekeruhan yang berlaku di dalam harakah, walau pada tahap kritikal manapun ia, hakikatnya ujian dan teguran kasih sayang daripada ALLAH SWT agar kita berusaha mencari keharmonian dalam berhadapan dengan perbezaan latar fikrah dan tarbiyyah, agar pergerakan harakah dapat maju ke peringkat seterusnya dalam kita menuju kejayaan mendaulatkan syariat Islam di atas muka bumi ini.

Renungi sedalam-dalamnya Surah Al-Baqarah ayat 30;

“Dan ingatlah ketika Tuhan berfirman kepada malaikat, “Sesungguhnya Aku akan melantik seorang khalifah di muka bumi”

Maka, perkasakanlah peranan kita dalam menjernihkan semula kekeruhan dalaman yang ada!


P/S: Adapun, tulisan ini merupakan penilaian saya secara peribadi. Ianya tidak betul, lemparkan ia ke dinding!

Kepada S.B-S.B yang baca blog ni, engkau nak baca, engkau bacalah! Itu pun kalau engkau faham dengan apa yang engkau baca!!!


WaLLAHuta’al a’lam,


Ibn ‘AbdiLLAH As-Sarawaki,

1.45am,

Ahad, 15 November 2009,

Kuching, Sarawak.

Katakan "TAK NAK" Kepada Tabarrujul Jahiliyah!

Katakan "TAK NAK" Kepada Tabarrujul Jahiliyah!
klik pada imej untuk ke link

klik pada imej untuk ke link

klik pada imej untuk ke link

Alternatif Fesyen Islami

Alternatif Fesyen Islami
klik pada imej untuk ke link

Jom Belajar Bahasa Arab

Jom Belajar Bahasa Arab
klik pada imej untuk ke link

Video-video Pilihan

Ustaz Ismail Kamus - Nafsu Makan Ustaz Ismail Kamus - Alam Jin Ustaz Azhar Idrus - Banduan Akhirat Ustaz Azhar Idrus - Tidur 20 Tahun