Darussyifa' Online

Darussyifa' Online
klik pada imej untuk ke link

BIC Smart Shop

BIC Smart Shop
klik pada imej untuk ke pautan

Boikot Zionis La'natuLLAH!

Boikot Zionis La'natuLLAH!
klik pada imej untuk ke link

klik pada imej untuk ke link

klik pada imej untuk ke link

Selamatkan Gaza!

Selamatkan Gaza!
klik pada imej untuk ke link
Showing posts with label Tarbiyyah Harakiyyah. Show all posts
Showing posts with label Tarbiyyah Harakiyyah. Show all posts

Monday, December 28, 2009

Saya Tegaskan: Saya Katakan PAS Begini...

Assalamu’alaikum warahmatuLLAHi wabarakatuh,


AlhamduliLLAHi ‘alaa kulli haal,

Segala puja-puji kepada Al-Khaliq, Yang Maha Menciptakan ke atas segala-galanya,

Selawat dan salam isyarat kecintaan kepada HabibuLLAH Ar-Rasul SAW, ahli keluarga serta para sahabat baginda.


Sudah lama tidak menulis, segalanya kerana hambatan urusan kerja yang agak demanding kebelakangan ini. Isu-isu yang timbul di media massa juga tidak terfikir untuk diulas, mungkin minda agak tepu dengan segala program yang berlangsung kebelakangan ini.


Baru-baru ini, timbul pula spekulasi baru di Selangor, ada segelintir ahli PAS yang mendesak PAS agar keluar dari Pakatan Rakyat. Saya tidak mahu ulas banyak tentang isu ini. Jikalau betul mereka ahli PAS, saya cadangkan mereka meneliti semula silibus usrah berkaitan dengan Tahaluf Siyasi, kemungkinan ada yang terskip bab ini semasa mengikuti usrah. Mungkin perlu diberi pencerahan semula tentang wala’ dan thiqah, takut-takut kepercayaan terhadap pimpinan mula terhakis. Jikalau mereka diupah berlakon untuk menjadi ahli PAS yang mogok kepada pimpinan, saya ucapkan ‘tahniah’ kerana lakonan mereka berjaya meyakinkan peminat setia media arus perdana untuk terus percaya bahawa PAS seolah-olah menggadai prinsip PAS sebelum ini. Tahniah kerana terus berjaya dalam usaha anda untuk memutarbelitkan fakta dan memburuk-burukkan nama PAS dan Pakatan Rakyat. ALLAH SWT jua yang mampu ‘membalasnya’!


Dalam entri ini, saya berasa terpanggil untuk menerangkan semula peranan PAS sebagai sebuah harakah Islam (gerakan Islam, yang bukan hanya sekadar stand politik), sebuah jamaah Islam yang berdiri di atas prinsip yang kukuh dan jelas. Pendirian yang akan menjelaskan bahawa ahli PAS bukanlah bersandar kepada nama PAS, tetapi menjadikan syariat Islam sebagai sandaran.


Pertama, jikalau dirujuk semula pada perlembagaan PAS, awal-awal lagi PAS menyatakan pendiriannya menjadikan Islam sebagai perlembagaan. Sudah termaktub akan hasrat PAS untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia. Bidang politik merupakan wasilah bagi PAS mendapatkan kekuasaan, agar apabila kuasa berjaya diraih, execution kepada perlaksanaan syariat akan jadi lebih mudah, atau sekurang-kurangnya dipermudahkan / dikurangkan kesulitan perlaksanaannya.

Saya tegaskan bahawa PAS bukan menjadikan nama Parti Islam Se-Malaysia sebagai sandaran dan umpan untuk meraih sokongan, akan tetapi dasarnya yang dijadikan perkara pokok. Secara peribadi, saya menyokong PAS bukan kerana istilah Islam pada nama yang didaftarkan, tetapi pada agenda perjuangan yang dibawanya. Andaikata esok lusa PAS lari daripada jalan perjuangan sebenar, apa perlunya saya bersama dengan PAS? Inilah juga prinsip yang dinyatakan sendiri oleh Tok Guru Nik Aziz. Beliau sendiri juga turut menyatakan bahawa dasar PAS ialah Islam. Sekiranya esok lusa UMNO meninggalkan ideologi ala jahiliyah yang melebihkan sentimen perkauman, lantas mengambil Islam yang tulen sebagai dasar mereka, Tok Guru berbesar hati menerimanya. Bab nama UMNO untuk ditukarkan kepada Parti Islam atau sebagainya, itu perbahasan di tangga kedua atau seterusnya. Apa yang penting, andaikata UMNO sudi menggadaikan prinsip utamakan (terlalu melebihkan) Melayu dan meletakkan Islam di depan, maka insyaALLAH PAS tidak akan berkompromi untuk bergabung. Itu andai Islam yang dijadikan dasar dan dikedepankan dalam semua perkara.


Kedua, kepada penyokong PAS, kita perlu ingat bahawa PAS adalah sebuah gerakan Islam. Kita mengambil jalan politik dan pilihanraya bagi meraih sokongan dan autoriti untuk turut sama memerintah Negara. Maka apabila kita mengakui kita adalah ahli kepada gerakan Islam, sudah semestinya akhlaq ahli menjadi tuntutan dan akan menjadi perhatian pihak lain. Maka apabila orang PAS (sebuah gerakan Islam) mudah sangat menggelabah lantas memberontak apabila di’jentik’ dengan isu-isu ciptaan pihak yang suka baling batu sembunyi tangan, kita akan mudah memberikan first impression yang negative terhadap orang luar.


Situasi yang lebih mengecewakan lagi ialah apabila perbuatan biadap sesetengah pro-UMNO yang suka mengedit gambar-gambar Tok Guru dan sebagainya, kita balas dengan perbuatan tidak bermoral yang sama! Saya yakin di dalam mana-mana silibus usrah, Islam tidak pernah mengajarkan perkara seperti ini. Kadangkala, apabila melihat gambar-gambar pemimpin UMNO diedit dengan keadaan yang tidak wajar, saya berasa amat malu, saya khuatir andaikata ada yang mempertikaikan PAS kerana adab-adab ahlinya : “Beginikah yang diajarkan oleh PAS kepada ahlinya?”. Kita sebagai ahli atau penyokong PAS ada jawapannya. Kita yang bertanggungjawab menjawab pertikaian seperti itu! Itu baru bab edit-mengedit gambar,belum cerita bab lain! Kita seolah-olah tidak matang dari segi emosi apabila diuji dalam hal ini. Sebagai ahli gerakan Islam ataupun orang yang cintakan Islam, be professional!

Kita mengharapkan orang lain memberikan sokongan kepada PAS, tetapi hakikat akhlaq sesetengah ahli boleh menyebabkan terhakis kepercayaan orang terhadap gerakan Islam. Yang lebih teruk lagi, sampai ke extent golongan non-muslim mempertikaikan akhlaq Muslim! Kita berdosa!


Bagi yang menyokong perjuangan PAS dan ingin menyumbang bakti dan tenaga di dalam PAS, saya katakan PAS adalah gerakan yang sangat syumul menyeluruh. Wajib kita berpegang dengan dalil dari firmanuLLAHu Ta’ala, dari Surah Al-Baqarah ayat 208 yang lebih kurang bermaksud :

“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara menyeluruh. Dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan, Sesungguhnya dia bagi kamu adalah musuh yang nyata”.

PAS bukan hanya sebuah gerakan yang berqiblatkan political mileage semata-mata. Sebenarnya banyak lajnah-lajnah ataupun unit-unit di dalam PAS yang belum pernah kita maklum akan kewujudannya sebelum ini. PAS ialah parti politik, ia juga adalah badan da’wah, ia juga adalah seberani-berani badan islah (agen pembaikan), ia juga jamaah yang mengiktiraf setiap tenaga dan bakat yang ingin menyumbang untuk kemenangan Islam.


Ingatlah bahawa PAS bukan suatu badan yang hanya tahu membangkang dan terus membangkang (hakikatnya ia ingin membawa kemajuan dan perubahan selaras dengan kehendak Islam, cuma sering berhadapan dengan sekatan, baik dari segi kuasa mahupun ekonomi), akan tetapi ianya merupakan suatu gerakan yang akan terus bertarung untuk survivalnya mengharungi zaman, dan akan sentiasa mendapat nusrah (bantuan) daripada ALLAH SWT, selagi pendokong dan ahlinya berjuang dengan ikhlas fi sabiliLLAH!


Andai perjuangan kita jauh daripada keikhlasan dan lari daripada berqiblatkan ALLAH sebagai matlamat, maka tunggulah ALLAH datangkan kehancuran kepada kita semua!


P/S: Beramal Kerana ALLAH!


Ibn ‘AbdiLLAH As-Sarawaki,

11.57pm,

Isnin, 28 Disember 2009,

Kuching, Sarawak.

Thursday, November 26, 2009

Talbis Iblis: Merasuk Di Dalam Gerakan!

Assalamu’alaikum warahmatuLLAHi wabarakatuh,


AlhamduliLLAHi rabbil ‘alameen ‘alaa kulli haal,

Segala puji bagi ALLAH SWT Yang Maha Mentadbir Sekalian ke atas segala-galanya,

Selawat dan Salam tanda kecintaan ke hadrat Al-Rasul SAW, ahlul bayt serta para sahabat Baginda.

Saya masih lagi suka membuka topik mengenai penyakit-penyakit di dalam gerakan. Kalau sebelum ini, saya sebut mengenai politik dalaman yang bisa menghancurkan ukhuwwah ahli dan juga seterusnya menghancurkan gerakan itu sendiri. Kali ini, saya ingin membawa anda untuk melihat perkara ini dari sudut pandangan yang lebih umum, bolehkah istilah world view digunakan di sini? Perbetulkan jika tersilap.


Baru-baru ini, saya berkesempatan untuk menyelak semula muka-muka di dalam kitab Talbis Iblis (Jerat Syaitan) yang ada dalam simpanan saya. Saya kira ramai yang tidak asing dengan nama kitab karangan Ibnul Jauzy ini, hanya tinggal sudah dibaca dan ditelah ataupun belum.

Secara jujur, kadangkala membaca kitab-kitab seperti ini saya dirundung kerisauan. Khuatir salah faham kalau-kalau kitab seperti ini pun perlu sessi talaqqi juga. Walau apapun, saya yakin bahawa mafhumnya yang paling utama adalah satu, iaitu di dalam segenap kehidupan manusia memang akan sentiasa berhadapan dan bertarung dengan talbis Iblis ini.

Kalau di’sekali imbas’kan untuk penilaian ringan dalam glosari bab-bab yang terdapat di dalam kitab ini, kita akan dapati bahawa tidak ada golongan pun yang akan terlepas daripada hambatan hantu syaitan bernama Iblis ini. Bukankah kita juga biasa mendengar bahawa bisikannya sangat halus sehinggakan kebenaran dan kebathilan tercampur aduk dan semuanya seakan-akan benar dan betul.

Dia telah berjanji akan menyesatkan kalau boleh semua anak-anak Adam. Kita juga telah menyaksikan di dalam firman ALLAH SWT di dalam kitab-Nya bagaimana Iblis menipu isteri Tok Adam a.s kita, maka apatah lagi darjat kita yang awwam ini. Maka sangat mudah untuk ditipu.


Telah menulis Ibnul Jauzy di dalam kitab Talbis Iblis yang masyhur itu bahawa antara golongan-golongan yang diperdayakan termasuklah golongan zuhhad (sufi), ahli ibadah, sehinggalah ke peringkat orang awwam.

Diganggu manusia itu pada aqidah dan keyakinannya, dipersulitkan urusan ibadahnya, itulah kerja-kerja natijah Talbis Iblis.


Apabila sudah disebutkan bahawa semua akan cuba untuk diheret oleh Iblis ke neraka, apatah lagi yang berjuang di dalam harakah, sekalipun perjuangannya suci, akan tetapi di dalam cabang-cabang pergerakannya pasti akan ada pengaruh Talbis Iblis. Sebab itulah munculnya isu seperti yang saya sebutkan sebelum ini, pimpinan boleh sahaja menyalahgunakan kuasa dan memutarbelitkan konsep wala’ ahli kepadanya, ahli boleh sahaja menggulingkan pimpinan yang tidak disukainya, dan begitulah seterusnya.


Baru-baru ini saya menerima SMS daripada seorang sahabat saya, bahawa apabila perjuangan itu dikemudikan dengan nafsu dan tidak dengan iman, maka lain jadinya.


Nafsu bukan nafsu syahwat sahaja, tetapi termasuk juga perkiraan nafsu ialah kita terlalu isti’jal (gopoh) untuk menang, terlalu yakin dengan pertolongan ALLAH SWT tanpa kita betul-betul berusaha mengatur strategi di dalam gerakan, ahli yang begitu khayal dengan siasah sehingga aspek tarbiyyah lupa di’nombor-satu’kan, dan ada yang masih lagi di tahap status quo-nya yang tidak mahu berfikir langsung walaupun sedikit untuk kebaikan harakah, sebaliknya lebih selesa goyang kaki dan berpangku lengan. Banyak lagi contoh-contoh yang menandakan kerosakan di dalam harakah akibat Talbis Iblis ini.


Kita tidak boleh menafikan bahawa jamaah itu sebenarnya adalah rahmat. Di dalamnya terkandung ukhuwwah sesama ahli manifestasi mahabbah. Itulah kerangka yang memperkuatkan jamaah dan harakah.

Tetapi pada masa yang sama, kita juga tidak dapat menolak hakikat bahawa walau bagaimanapun kita meletakkan Islam itu sebagai dasar di dalam buku atau statut perlembagaan harakah yang kita cintai ini, ianya (harakah) masih lagi mempunyai sirna tanda kelemahan manusia / hamba yang mengemudinya. Itulah ujiannya, bahkan itulah ujian yang sangat hebat.


Kita meletakkan dasar Islam, maka ujiannya adalah sejauh mana kita betul-betul berpegang dengan prinsip itu.

Maka dalam usaha kita mendaulatkan Islam itu, kita sangat berhajat kepada muraqabah dan juga muqarabah (taqarrub/mendekatkan diri) kepada ALLAH SWT, agar langkah perjuangan sentiasa di atas petunjuk yang benar.


Mungkin itulah salah satu aspek yang kurang pada kita. Kita terlalu sibuk berprogram yang sentiasa dengan retorika ‘kita buat kerana ALLAH’ tetapi hakikatnya adakah kita betul-betul mengambil sedikit daripada masa kita untuk betul-betul meletakkan diri kita memohon petunjuk daripada-Nya dalam menelusuri jalan perjuangan ini? Kita terlalu ghairah berprogram sehinggakan kita hampir melewati batasan ikhtilat yang sepatutnya dijaga. Kita terlalu syok sendiri berprogram kerana mahu menaikkan nama jamaah dan harakah. Natijahnya, apabila niat seolah-olah sedikit terpesong, berqiblatkan mahu menaikkan nama jamaah, pimpinan dan sebagainya, kesan akhir program yang dijalankan seolah-olah tidak nampak. Akhirnya program nampak syok sendiri, tiada da’wah yang muntajih (berkesan) dan tidak mustahil sudut kemungkaran pula wujud tanpa kita menyedarinya.


Di dalam al-Quran juga Iblis dengan jelas telah memperakui akan peranannya yang akan menyesatkan semua manusia kecuali bagi golongan yang ikhlas, maka kata kuncinya mudah sahaja – Ikhlas. Tetapi saya akui, ikhlas itulah yang paling payah untuk dikecapi martabatnya. Kadangkala semasa berprogram ataupun hanya datang usrah sahaja ataupun sekadar solat sunat dua rakaat pun kita sudah rasa kitalah yang paling hebat. “orang lain ada ke yang rajin attend usrah macam kau? Solat sunat macam kau? Wah, gahnya program yang kau buat, mesti orang respectlah kat kau”, mungkin antara dua-tiga bisikan yang terlintas. Ya, sungguh halus bisikannya sehingga yang bathil dipakej kelihatan molek-molek belaka.


Seperti yang disebutkan tadi, penglibatan kita di dalam gerakan tidak lain amat mementingkan aspek tarbiyyah, terutamanya tarbiyyah ruhiyyah. Kadangkala amat menakutkan apabila melihat situasi ahli yang lebih cenderung melontarkan isu siasah secara berlebihan tetapi meminggirkan tarbiyah yang kurang padanya. Dia memang suka mencari kesalahan yang dilakukan oleh pemerintah dan bersangatan dalam membawa logo cap pembangkang di dahinya dan juga darah hijau putih yang mengalir di dalam dirinya.

Ada juga yang setelah melafazkan ikrar bai’ah tetapi nampaknya lebih suka duduk ‘memegun’kan diri pada status semasanya yang tidak mahu berfikir untuk da’wah dan jamaah. Dia tidak bergerak, dan kadangkala dia terlibat dalam gejala escapism, dia tidak datang usrah atau mana-mana program jamaah. Mungkin inilah natijah apabila kurang memikirkan nasib yang akan menimpanya akibat keengganannya melaksanakan tuntutan bai’ah yang dilafazkannya dahulu. Ketahuilah sesungguhnya ALLAH menuntut janji-janji yang engkau lafazkan itu. Apabila kau cuaikan, sesungguhnya seksa-Nya amat pedih.

Lebih merbahaya lagi, apabila Talbis Iblis juga boleh sahaja merasuk pimpinan. Maka ada yang menyalahgunakan kuasa untuk memanipulasikan istilah wala’ agar kepentingan peribadinya terjaga. Ada juga yang akan berusaha memegang seberapa banyak portfolio tugas agar dia dapat menguasai kesemuanya, dan begitulah seterusnya.


Saya tidak mahu mengundang kebosanan bagi yang sedang membaca, mungkin agak berat juga tajuk ini untuk terus dibincangkan. Ibarat kata student IPT, boleh jadi tepu otak kerana memikirkannya. Namun, saya yakin bahawa mesej yang utama di dalam tulisan ini dapat dihadam, iaitu walau di ceruk manapun kita berada, Talbis Iblis sentiasa ada. Talbis Iblis tidak pernah mengenal anda berada di dalam tarikat mana, jamaah mana, ataupun parti mana. Selagi bergelar manusia, anda dan juga saya akan sentiasa menjadi sasaran dan mangsa tipu dayanya.


Maka, aktifkanlah tarbiyyah ruhiyyah kita. Ambillah seberapa banyak masa yang ada untuk melakukan muqarabah (mendekatkan diri kepada ALLAH SWT) dan muhasabah serta sentiasa meletakkan diri di dalam muraqabah (sentiasa diperhatikan oleh ALLAH SWT).

Semoga ALLAH SWT melindungi kita semua yang berjuang untuk Islam ini daripada bahaya Talbis Iblis, insyaALLAH.


Ibn ‘AbdiLLAH As-Sarawaki,

12.41am,

27 November 2009, Jumaat

Kuching, Sarawak.

Salam Eidul Adha Mubarak 1430H.

Saturday, November 14, 2009

Transisi Pasca Siswazah: Awas! Anda Bisa Terkeliru...

Assalamu’alaikum warahmatuLLAHi wabarakatuh,


AlhamduliLLAHi rabbil ‘alameen ‘alaa kulli haal,

Segala puji bagi ALLAH SWT Yang Maha Mentadbir Sekalian ke atas segala-galanya,

Selawat dan Salam tanda kecintaan ke hadrat Al-Rasul SAW, ahlul bayt serta para sahabat Baginda.


Setelah sekian lama menyepi dan blog kelihatan agak membisu, saya gagahkan juga untuk menulis semula. Sekarang ini, saya sedang mengumpul segala kekuatan untuk menulis semula. Maka, kalau tetamu ziarah sekalian merasakan entri kali ini kurang menyengat dan agak lemau, anggaplah ianya ibarat pemain bola yang patah kaki menunggu setahun untuk sembuh lalu terpaksa mula balik starting from the scratch untuk mengembalikan skill-skill lamanya, kalau perumpamaan itu valid untuk situasi ini.


‘Alaa kulli haal, semenjak berhijrah dari dunia kemahasiswaan dan memasuki dunia pasca pengajian, saya telah mempelajari beberapa azimat yang bermakna dalam kehidupan bekerja untuk harakah Islamiyah ini.


Secara jujur, tarbiyyah di kampus adalah idealistik berbanding dengan apa yang dialami di luar kampus. Bukan saya pertikaikan tarbiyyah kampus (kalau baca dengan nada salah, bahaya statement ni), tetapi yang dimaksudkan di sini ialah, latihan bergerak dalam organisasi harakah di kampus adalah jauh lebih selesa berbanding di luar. Itu hakikat yang perlu diterima. Apa tidaknya, semasa di kampus, peluang untuk bertemu dengan politik dalaman agak kurang jika dibandingkan apabila kita sudah terlibat dengan kawasan atau peringkat-peringkat yang seumpama dengannya. Maka jangan terkejut apabila ada yang dahulunya pegang amanah di dalam Majlis Tertinggi di kampus tetapi tercicir apabila diletakkan untuk berfungsi dalam suasana harakah yang sebenar. Maka tidak kurang yang tercicir dan menarik diri, sedangkan harakah di negeri masih memerlukan ramai tenaga penggerak.


Sebagai individu harakah yang terdidik dengan tarbiyyah yang mantap, dengan tamrin pengukuhan yang memakan masa sampai seminggu, maka sudah semestinya kita yang lebih faham dengan konsep amal jama’I di dalam harakah ini berusaha bersungguh-sungguh daripada terpengaruh dengan mana-mana team ataupun camp di dalam harakah. Mungkin ada yang bertanya, wujudkah team-team ataupun camp di dalam harakah, bukankah itu tandanya hampir berpecah?

Jawapan saya, ya. Istilah-istilah sebegini memang akan sentiasa wujud selagimana fikrah tidak dimurnikan dan tarbiyyah tidak diselarikan. Kita perlu ingat bahawa apabila kita bercerita tentang harakah di peringkat negeri atau kawasan, tidak semua yang terlibat merupakan lepasan IPT. Kalau ada pun, tidak semua juga yang sempat mengikut tarbiyah kampus. Maka, pasti ada yang tercelaru pada pemahamannya dalam konsep ‘amal jama’I dalam harakah ini.


Maka di sinilah terzahir lompang yang menunjukkan peranan yang boleh kita ambil untuk memperbaiki keadaan ini. Kita yang terdidik dengan tarbiyyah dengan silibus yang kemas dan tamrin yang intensif, perlu cuba untuk mengambil bahagian di dalam mana-mana peringkat di dalam harakah sesuai dengan kemampuan kita, dengan hasrat untuk memulihkan semula keadaan yang keruh di dalamnya. Dan perkara ini tidak lain memerlukan perancangan yang agak panjang dan melibatkan percaturan-percaturan yang strategik. Ini saya serahkan kepada yang lebih arif mengenai perancangan strategik.


Melihat keadaan yang berlaku di dalam harakah sekarang ini, saya pelajari bahawa politik dalaman harakah itu adalah lebih menakutkan jika dibandingkan dengan siasah kita dengan parti-parti lain. Jangan disangka tiada istilah makan dalam, tikam belakang, boikot-memboikot dan sebagainya. Apa isu-isunya? Rasanya tidak perlu kepada ulasan. Cukup sekadar memberikan tasawwur/overview yang awal kepada kita semua bahawa kehidupan ‘berharakah’ di luar kampus lebih besar cabarannya – cabaran keliru tentang siapa yang perlu diserahkan wala’, keliru isu dan sebagainya. Kadangkala kita tersepit antara dua pihak, siapa yang perlu kita ikut dan percaya? Agak sukar membina stand tersendiri (iaitu bersikap berlepas tangan daripada pihak-pihak yang clash dalam harakah) dalam keadaan seperti ini.


Kita sendiri juga biasa baca di dalam buku-buku haraki tentang 5 perkara yang menjanjikan hambatan dalam perjuangan. Ianya berlegar 5 perkara dan daripadanya adalah hawa nafsu dan juga mukmin yang dengki kepada kita.

Walaupun bunyinya agak menakutkan, tetapi kalau dipandang dari sudut positif, itulah dia nikmat berjamaah. Hadith Nabi SAW menyatakan dengan mafhum bahawa kekeruhan ataupun krisis yang berlaku di dalam jamaah itu adalah lebih baik berbanding kita mufaraqah dengan alasan agar dapat lari daripada kekeruhan tersebut, sedangkan rahmat ALLAH SWT bersama dengan jamaah.


Sebagai tashji’, yakinlah bahawa kekeruhan yang berlaku di dalam harakah, walau pada tahap kritikal manapun ia, hakikatnya ujian dan teguran kasih sayang daripada ALLAH SWT agar kita berusaha mencari keharmonian dalam berhadapan dengan perbezaan latar fikrah dan tarbiyyah, agar pergerakan harakah dapat maju ke peringkat seterusnya dalam kita menuju kejayaan mendaulatkan syariat Islam di atas muka bumi ini.

Renungi sedalam-dalamnya Surah Al-Baqarah ayat 30;

“Dan ingatlah ketika Tuhan berfirman kepada malaikat, “Sesungguhnya Aku akan melantik seorang khalifah di muka bumi”

Maka, perkasakanlah peranan kita dalam menjernihkan semula kekeruhan dalaman yang ada!


P/S: Adapun, tulisan ini merupakan penilaian saya secara peribadi. Ianya tidak betul, lemparkan ia ke dinding!

Kepada S.B-S.B yang baca blog ni, engkau nak baca, engkau bacalah! Itu pun kalau engkau faham dengan apa yang engkau baca!!!


WaLLAHuta’al a’lam,


Ibn ‘AbdiLLAH As-Sarawaki,

1.45am,

Ahad, 15 November 2009,

Kuching, Sarawak.

Monday, July 20, 2009

Sewarkah Buatmu: Oh Dr. Asri-ku...


Assalamu’alaikum warahmatuLLAHi wabarakatuh,


AlhamduliLLAHi rabbil ‘alameen ‘alaa kulli haal,

Segala puji bagi ALLAH SWT Yang Maha Mentadbir Sekalian ke atas segala-galanya,

Selawat dan Salam tanda kecintaan ke hadrat Al-Rasul SAW, ahlul bayt serta para sahabat Baginda.


Saya serius apabila saya katakan saya cukup minat dengan Dr Mohd Asri Zainul Abidin. Saya dahulunya merupakan peminat setia beliau, mula mengenalinya yang pada masa itu merupakan salah seorang kolumnis di dalam Majalah i sehinggalah sekarang pada usia pasca era kemuftian beliau. Saya pun terkejut juga rupanya ustaz yang saya minati ini rupa-rupanya bukan calang-calang orangnya. Secara jujurnya, dialah merupakan orang yang bertanggungjawab memperkenalkan saya kepada dunia fiqh yang tidak terbatas kepada satu mazhab sahaja dan menjadi seorang yang sekurang-kurangnya mempunyai minat dan prihatin dalam bidang ilmu hadith.


Siapa tidak kenal akan perwatakannya yang cukup kontroversial dari isu bida’ah sehinggalah isu menegur pemerintah. Beliau memang petah berhujjah dan pidatonya tidak kurang hebatnya. Masakan tidak, ribuan mahasiswa di kebanyakan IPT seolah-olah merasai akan revolusi ‘Asri’sme yang dicetuskannya itu.

Pernah sekali semasa saya masih lagi mengikuti pentarbiyahan JIM, saya ke muktamar anjuran Kelab Rakan Islah Malaysia (KARISMA) pada tahun 2006, tahun yang sama Dr Asri dilantik menjadi mufti negeri Perlis. Sana-sini ada sahaja siswa-siswa yang menyebut nama beliau. Seorang sahabat saya dari USM ketika amat memuji-mujinya. Hebatnya aura Dr Asri seolah-olah menyebabkan tercetusnya revolusi cakna ilmu di kalangan mahasiswa.


Walaupun begitu, beliau tidak sunyi daripada menerima pelbagai tohmahan yang menyanggah beliau sebagai tidak menghormati Nabi SAW, tidak menghormati imam-imam terdahulu, berfahaman wahabi, menentang sistem pondok dan sebagainya. Tidak kurang juga kontroversi yang beliau cetuskan terutamanya dalam isu-isu sensitive yang menyentuh pegangan masyarakat. Pada masa itu, perbincangan ilmiah mengenai bida’ah itu ini berlaku dengan rancak. Saya pun turut terpengaruh juga ketika itu. Kadang-kadang sana sini tak boleh nak tengok orang baca talkin dan yasin sikit, saya sudah rasa lain macam. Tapi itu cerita dulu, alhamduliLLAH sekarang ALLAH telah berikan sedikit lagi peningkatan pada pemahaman saya terhadap Islam yang tercinta ini.


Di sini, saya bukan nak cerita tentang bagaimana pengaruh beliau terhadap saya apatah lagi mahu bercerita tentang biodata peribadi beliau. Tetapi saya sekadar menyuarakan hajat ataupun pandangan saya kepada beliau, itupun kalau beliau baca entri ini. kalau tidak pun, harap ada yang sudi menyampaikan mesej ini kepadanya.


Selama saya bergerak di dalam gerakan Islam ini, saya sering tertanya-tanya sebenarnya Dr Asri orang mana (jamaah mana)? Tetapi, bagi saya perkiraan jamaah mana itu tidaklah menjadi soal pokok kerana semuanya menuju ke arah matlamat yang sama, kayu perbandingannya adalah pada pendekatan jamaah masing-masing untuk bawa Islam kepada masyarakat.

Persoalan yang paling utama ialah, adakah sebenarnya Dr Asri benar-benar bernaung bersama jamaah? Ataupun adakah beliau sekadar bergerak secara lone ranger, kemudian ditemani oleh beberapa sahabat-sahabat beliau yang lain yang sinonim fikrah tajdid mereka dengan Dr Asri,seperti Ustaz Maszlee Malik, Dr Juanda Jaya?


Di sini saya tidak bermaksud untuk mengatakan beliau adalah seorang yang mufaraqah (mengasingkan diri) daripada mana-mana jamaah, tetapi pada masa yang sama saya pun tidak dapat membuat confirmation samada beliau bergerak dengan haluan sendiri ataupun sememangnya bernaung di bawah gerakan Islam. Jawapan itu hanya pada beliau, dan mungkin juga bagi sesiapa yang betul-betul mengenalinya.


Awal penglibatan beliau bersama dengan kerajaan negeri Perlis sebagai Mufti Kerajaan Negeri telah menimbulkan andaian daripada sesetengah pihak bahawa beliau kaki ampu kerajaan. Disusuli selepas dakwaan itu, ada pihak yang mengatakan beliau pengecut kerana tidak menyuarakan bantahan terhadap konsert Jom Heboh malah memberikan cadangan untuk men’soleh’kan lagi keadaan di dalam konsert tersebut.

Setelah beberapa lama, barulah nampak taring beliau dalam misi beliau untuk memperbaiki keadaan di dalam institusi pemerintahan itu sendiri. Beliau berani menyuarakan pandangan tidak puas hati terhadap pemerintah walaupun teguran beliau itu agak berlapik. Kemudian, muncul pula karya-karya beliau, salah satu daripadanya ‘Aku Bukan Musuh Harta’ yang kemudiannya dijadikan sebagai lagu untuk Kumpulan Algebra. Lagu tersebut di’ban’ daripada memasuki corong radio, entah apa alasannya.

Pada waktu ini, apabila penilaian secara kasar dibuat, menampakkan seolah-olah Dr Asri tidak duduk di mana-mana antara dua sisi tersebut; sokong kerajaan 100% tidak sekali, tetapi nak kata bernaung di bawah gerakan Islam seperti PAS, JIM, ABIM dan sebagainya, identit beliau seolah-olah tidak selari dan tidak ngam untuk dikaitkan dengan mana-mana harakah-harakah yang sekian banyak itu. Lagipun, beliau pernah turut hadir di dalam program anjuran PKR yang saya tidak ingat namanya. Itu sahaja sudah cukup menimbulkan kontroversi dan sedikit sebanyak menimbulkan rasa syak di pihak kerajaan tentang identiti Dr Asri yang sebenarnya.


Jujur saya katakan, saya rasa simpati terhadap Dr Asri. Ke hulu ditohmah, ke hilir dikutuk pula. Seolah-olah serba tak kena segala tindakannya. Duduk di atas kerusi kerajaan, orang kata sokong thaghut, duduk di sisi yang menegur, dikatakan sebagai pembangkang pula. Serba ‘ditelan mati emak, diluah mati bapa’.


Pada pandangan peribadi saya, Dr Asri lebih sesuai untuk duduk sekali bersama dengan jamaah Islam seperti PAS. Wadah siasah/politik yang ditelusuri oleh PAS dalam menegakkan syariat Islam di atas muka bumi Malaysia Darul 1-Malaysia ini seolah-olah selari dengan approach beliau. Suaranya yang lantang dan pedas menegur pemerintah dan berani menyatakan pendirian beliau yang kadangkala tidak selari dengan kerajaan melayakkan beliau untuk duduk sekali bersama PAS, ditambah pula dengan fikrah Islam yang beliau ada.

Bersama PAS, beliau bukan sahaja boleh mendedahkan penyelewengan yang dilakukan penulis-penulis buku terhadap penggunaan hadith-hadith, malah boleh berjihad lebih besar dari itu. Beliau boleh hentam isu penyelewengan di skala yang lebih besar lagi dan bersifat nasional seperti rampasan kuasa tanpa sebarang kewajaran, politik wang, rasuah, amalan kronisme, nepotisme serta pengamalan dasar nasionalisme di dalam pemerintahan.


Saya mengesyorkan PAS bukan kerana saya ahli PAS atau penyokong PAS, tetapi saya melihat akan kesungguhan Dr Asri yang begitu bersemangat dan berani dalam menegur kesalahan pemerintah seolah-olah parallel / selari dengan PAS selaku satu-satunya gerakan Islam di Malaysia yang sudi menerjah ke dalam bidang siasah demi kepentingan Islam seluruhnya.

Saya yakin, Dr Asri pada kapasitinya sebagai ahli akademik dan juga ahli di dalam bidang hadith serta berfikrah Islam, sangat memahami akan tuntutan untuk memperjuangkan Islam secara berjamaah.


Saidina Umar sangat masyhur dengan ungkapan beliau “Tiada Islam tanpa jamaah, tiada jamaah tanpa qiadah (kepimpinan), tiada kepimpinan tanpa ketaatan”.

RasuluLLAH SAW juga mewajibkan penyertaan ke dalam jamaah ini, dengan banyak hadith-hadith Baginda, antaranya:

“Wajiblah ke atas kamu berada di dalam jamaah. Sesungguhnya serigala tidak akan memakan kambing yang berada di dalam kumpulannya”-Hadith Sahih.

“Hendaklah kamu bersama jamaah kerana sesungguhnya tangan ALLAH itu bersama dengan jamaah. Sesiapa yang mengasingkan diri darinya, maka dia ke dalam neraka”. (Al-Hadith)

“Hendaklah kamu beriltizam bersama jamaah kaum muslimin serta pimpinan mereka” (Al-Hadith).

“Jamaah adalah rahmat, perpecahan adalah azab”(Al-Hadith)

“Kekeruhan yang ada di dalam jamaah adalah lebih baik daripada kejernihan yang ada pada individu” (Al-Hadith)


Lebih-lebih lagi dengan penguat segala hujjah mengenai kewajipan berjamaah, ALLAH SWT telah menerangkan di dalam kitab-Nya yang agung itu, dengan firman-Nya

“Sesungguhnya ALLAH menyukai orang-orang yang berperang pada jalan-Nya dengan barisan yang teratur rapi seakan-akan mereka satu bangunan yang kukuh” As-Saff ayat 4.


Maka, jalan yang terbaik untuk menegakkan kebenaran ialah hanya dengan penyertaan bersama jamaah Islam yang komited dalam perjuangannya.


Apapun, tulisan ini sekadar cadangan kepada Dr Asri agar bersama secara langsung dan mengikat terus diri bersama jamaah Islam untuk berjuang di jalan yang haq. Itupun kalau beliau memang tidak bersama dengan mana-mana gerakan Islam secara khusus. Ataupun mungkin juga beliau mempunyai interpretasi yang berlainan dalam memahami tuntutan berjamaah itu.


Nota: Saya berusaha bersungguh-sungguh untuk menjauhi sebarang provokasi terhadap mana-mana pihak di dalam tulisan ini. Saya tidak berniat untuk menyindir mana-mana jamaah, individu mahupun pihak kerajaan ataupun pembangkang.


WaLLAHuta’ala a’lam.


Ibn ‘AbdiLLAH As-Sarawaki,

1.36am,

21 Julai 2009, Selasa,

Kuching, Sarawak.

Katakan "TAK NAK" Kepada Tabarrujul Jahiliyah!

Katakan "TAK NAK" Kepada Tabarrujul Jahiliyah!
klik pada imej untuk ke link

klik pada imej untuk ke link

klik pada imej untuk ke link

Alternatif Fesyen Islami

Alternatif Fesyen Islami
klik pada imej untuk ke link

Jom Belajar Bahasa Arab

Jom Belajar Bahasa Arab
klik pada imej untuk ke link

Video-video Pilihan

Ustaz Ismail Kamus - Nafsu Makan Ustaz Ismail Kamus - Alam Jin Ustaz Azhar Idrus - Banduan Akhirat Ustaz Azhar Idrus - Tidur 20 Tahun