Darussyifa' Online

Darussyifa' Online
klik pada imej untuk ke link

BIC Smart Shop

BIC Smart Shop
klik pada imej untuk ke pautan

Boikot Zionis La'natuLLAH!

Boikot Zionis La'natuLLAH!
klik pada imej untuk ke link

klik pada imej untuk ke link

klik pada imej untuk ke link

Selamatkan Gaza!

Selamatkan Gaza!
klik pada imej untuk ke link

Tuesday, June 23, 2009

Rukun Bai'ah Ke-10: Thiqah Menuntut 'Jangan Menggelabah'!

Assalamu’alaikum warahmatuLLAHi wabarakatuh,


AlhamduliLLAHi rabbil ‘alameen ‘alaa kulli haal,
Segala puji bagi ALLAH SWT Yang Maha Mentadbir Sekalian ke atas segala-galanya,
Selawat dan Salam tanda kecintaan ke hadrat Al-Rasul SAW, ahlul bayt serta para sahabat Baginda.


Kebelakangan ini semenjak duduk di rumah setelah dengan jayanya menamatkan pengajian selama 4 tahun, saya merasakan ‘salah satu daripada nikmat duduk di kampus hijau suatu ketika dahulu’ telah ‘ditarik balik/diambil semula’ oleh ALLAH SWT. Di kampus dengan line wi-fi yang free, jika dibandingkan dengan di rumah, memang agak sukar untuk saya mendapatkan capaian internet ketika ini. Maka susah juga nak update blog, nak baca paper online dan segala macam benda melibatkan line internet. Bukan tak nak apply line Streamyx kat rumah, tapi line telefon pun tiada! – (dulu ada line, tapi pernah ada tunggakan mencecah RM7,000 lebih, maka putus line).

Saya ada juga melanggan SMS Mobile Harakah untuk mengikuti serba sedikit perkembangan yang ada di dalam Harakah, tak dapat baca semua tahu sedikit isu-isu pun jadilah.
Apa pun, walaupun dalam keadaan tidak berapa mengikuti perkembangan ini, saya pasti antara salah satu topic yang masih hangat dibincangkan ialah isu kerajaan perpaduan yang ditimbulkan oleh Ayah Chik.


Dalam SMS-SMS yang saya terima, ada yang memandang baik cadangan kerajaan perpaduan itu, dan ada juga yang tetap dengan pendirian untuk tidak berkompromi dengan UMNO/BN dan membentuk kerajaan dengan mereka. Dalam keadaan begini, sudah pasti wujud dua atau lebih camp ataupun puak, team A dan team B. Kadangkala, ada ahli jamaah yang cukup beremosi lantas menyalahkan dan mencela Ayah Chik kerana menimbulkan isu ini. Wal ‘iyya dzubiLLAH!

Maka, di sinilah ujian ALLAH SWT menguji kita @ sesiapa sahaja yang merasakan dirinya ahli gerakan Islam iaitu PAS untuk melihat sejauhmana iltizam kita dengan perjuangan ini, adakah kita mudah dihambat dan mudah menggelabah apabila dicuit dengan isu remeh seperti ini.


Kalau ditanya, secara peribadi saya katakan bahawa dalam suasana dalaman parti mengalami percanggahan pendapat ini, perkara ini tidaklah perlu dilihat sebagai situasi negatif yang berlaku di dalam parti. Perselisihan pendapat mengenai sesuatu perkara, lebih-lebih lagi apabila ulama’-ulama’ terlibat di dalamnya perlu dilihat oleh ahli harakah Islam sebagai suatu perselisihan yang sihat dan positif.

Yakinlah apabila perselisihan berlaku di kalangan pimpinan, maka perselisihan itu berlaku atas dasar kefahaman dan ilmu, dan penyelesaiannya juga tidaklah dengan cara lain melainkan melalui kaedah yang ilmiah juga. Kita tentu tidak expect Tok Guru Nik Aziz dan Ayah Chik serta pimpinan lain akan bermasam muka antara satu sama lain, dan terus bersengketa atas khilaf pandangan seperti ini, dan insyaALLAH perkara seperti ini tidak akan berlaku.
Dua orang tokoh ummat yang sifatnya umpama ayah kepada jamaah tentulah lebih matang dan tenang menghadapi provokasi murahan seperti ini, dan tidaklah mudah menggelabah seperti kita yang diibaratkan anak-anak dan cucu-cucu di dalam jamaah.

Saya amat meyakini akan sikap keterbukaan pimpinan dalam hal-hal seperti ini. PAS mempunyai banyak pengalaman menghadapi situasi seperti ini.

Di masa pemerintahan Tun Abdul Razak dahulu, PAS pernah ditawarkan untuk menyertai Kerajaan Campuran dengan Barisan Nasional dan berlakulah konflik yang menyebabkan kita kehilangan beberapa orang pimpinan termasuk Presiden PAS waktu itu iaitu Dato’ Asri Muda. Pengalaman itu telah mengajarkan PAS agar lebih berhati-hati di dalam catur politiknya, agar perjuangan yang matlamatnya lebih besar dan jelas tidak mudah digadai dengan dagangan harga murahan yang bernama kompromi dengan seteru.

Begitu juga dengan berbagai pengalaman termasuk isu melaga-lagakan ulama’ dan profesional baru-baru ini yang peranannya dimainkan oleh pihak media tertentu yang sudah sedia ada tidak bersikap bertanggungjawab dalam tulisan mereka, isu kafir-mengkafir dan sebagainya. Percayalah, jamaah kita sudah lali dan berpengalaman di dalam menghadapi situasi ini.


Sebagai peringatan semula buat semua yang mendakwa dirinya ahli harakah Islam, saya ingin membawa kita untuk mengingati semula antara salah satu rukun baiah yang terdapat di dalam baiah yang pernah sama-sama kita lafazkan semasa kita meletakkan diri kita di dalam perjuangan ini.

Pasti ramai yang ingat akan rukun baiah yang ke-10 iaitu Thiqah (Percaya). Di dalam karya ALLAHyarham Ustaz Fathi Yakan, Kitab Madza Ya’ni Intima’I Lil Islam, Thiqah ini didefinisikan sebagai “kepercayaan seorang tentera (jund) yang mendalam terhadap kemampuan dan keikhlasan pimpinannya sehingga menimbulkan rasa kasih, menghargai, menghormati dan memberi ketaatan penuh kepadanya”.

Maka, apabila mahu diselaraskan definisi ini dengan konteks semasa seperti yang berlaku sekarang berkisar isu kerajaan perpaduan dan perselisihan pimpinan mengenainya, saya rasa kita patut kembali semula kepada rukun yang ke-10 ini.

Mahu tidak mahu, thiqah itu adalah kewajipan kita terhadap urusan pimpinan jamaah dan kita wajib taat kepada mereka selagi tiada perlanggaran syara’ dalam ‘titah’ mereka.
Telah berkata Ibn Juzi Al-Maliki apabila mentafsirkan maksud ‘Kami berjanji mendengar dan mentaati (Rasul SAW) dalam perkara yang kami sukai atau kami benci, dalam keadaan kami susah dan senang, tidak mementingkan diri sendiri, tidak membantah terhadap ketua dalam urusan-urusan kecuali kami melihat kekufuran terhadap ALLAH secara nyata dengan bukti yang terang dan jelas’ di dalam bai’ah para sahabat kepada RasuluLLAH SAW : “Kita tidak harus menentang kerajaan (yakni kerajaan Islam) sekalipun (pimpinannya) melakukan kezaliman sehinggalah ternyata pada mereka kekufuran yang jelas, ketaatan mestilah diberikan kepada mereka samada dalam perkara yang disukai mahupun dibenci kecuali mereka memerintahkan supaya mengerjakan maksiat, maka dalam keadaan demikian tidak ada ketaatan kepada makhluk yang bermaksiat kepada ALLAH” – Ibn Juzi Al-Maliki, Qawaniyyin Fiqhiyyah 14.


Pada hemat saya, tanda kebijaksanaan seorang ahli harakah Islam itu ialah dia meletakkan setinggi-tinggi kepercayaannya kepada pimpinan dan menyerahkan segala urusan berkenaan isu ini kepada kebijaksanaan pimpinan. Kita sebagai ahli-ahli di tahap jundi ini tidaklah perlu menggelabah. Cara bacaan politik pimpinan sememangnya berlainan daripada cara kita membaca situasi politik sekarang.

Dengan hikmah yang ALLAH berikan kepada ulama’, mereka mampu berijtihad dan memberikan hujjah yang kadangkala tidak sampai ke fikiran kita. Itulah salah satu daripada kelebihan berpemimpinkan ulama’, segala tindakan dipandu sesuai dengan wahyu. Malangnya masih ramai yang enggan memperakui hakikat ini.


Seperti yang saya telah katakan di awal tulisan ini tadi, ini juga merupakan ujian daripada ALLAH SWT yang juga merupakan sebagai proses tapisan untuk menyingkirkan mana-mana anggota jamaah yang terpesong daripada matlamat sebenarnya, persis peristiwa yang berlaku di mana ramai daripada anggota tentera pimpinan Talut menarik diri daripada peperangan dengan Raja Jalut, yang hakikatnya merupakan tapisan daripada ALLAH SWT untuk menyingkirkan mana-mana individu yang tersasar daripada matlamatnya.

Ianya adalah ujian untuk menguji sejauh mana keyakinan kita kepada jamaah dan perjuangannya, serta memastikan agar penyertaan kita di dalamnya bukanlah semata-mata untuk mendapatkan projek mega juta ringgit ataupun mendapatkan kemasyhuran dan kedudukan. Di sinilah pentingnya untuk berpegang teguh dengan prinsip-prinsip di dalam jamaah.

Percayalah bahawa konflik yang berlaku di dalam jamaah ketika ini (andaikata ianya sesuai diistilahkan sebagai konflik) tidaklah seserius mana, kerana umat Islam pernah mengalami khilaf yang lebih besar lagi daripada itu iaitu ketika berlaku perselisihan antara Muawiyah dan Saidina Ali mengenai jawatan khalifah dan kematian Saidina Uthman ibn Affan. Tetapi dapat sahaja masalah itu diselesaikan secara damai melalui Peristiwa Tahkim. Jadi bagaimana pula dengan isu kecil seperti ini?

Sebagai menutup tulisan ini, saya sarankan agar ahli jamaah sekalian tidak mudah menggelabah apabila ada pihak luar mahupun dari dalam cuba melaga-lagakan ahli dengan permainan isu seperti ini dan berpegang teguh dengan baiah yang telah diikat itu, serta meletakkan thiqah yang tinggi dan bersangka baik terhadap pimpinan, menyerahkan urusan ini kepada kebijaksanaan mereka.

InsyaALLAH, selamat jamaah kita!


WaLLAHuta’ala a’lam,


Ibn ‘AbdiLLAH As-Sarawaki,
10.52 am,
Jumaat, 19 Jun 2009,
Kuching, Sarawak.

ALLAH Is My CEO, Mad'u Pula Customernya!

Assalamu’alaikum warahmatuLLAHi wabarakatuh,

AlhamduliLLAHirabbil ‘aalameen ‘alaa kulli haal,
Segala puja-puji buat Sang Pencinta ALLAHurabbi Pentadbir Sekalian Alam ke atas segala-galanya,
Selawat dan salam ke hadrat Al-Rasul SAW, ahlul bayt serta para sahabat Baginda.

“GOD is My CEO”..sudah beberapa kali juga saya terserempak dan dengar orang mengulas tentang buku ini. Tapi saya belum berkesempatan lagi untuk menatap apatah lagi membacanya. Yang pasti, buku ini perlu saya masukkan dalam list bacaan saya, insyaALLAH.

Cuba memahami maksud Tuhan adalah CEO-ku, yang mungkin cuba difahamkan daripada ungkapan tersebut, ALLAH SWT selaku boss yang akan menilai prestasi mutu kerja kita, sedikit sebanyak mengingatkan kepada saya tentang konsep ihsan.

Sekadar ingatan semula, ihsan yang saya pelajari di sekolah dahulu menurut skema jawapannya ialah ‘melakukan sesuatu seolah-olah kita melihat ALLAH SWT ataupun paling tidak ALLAH SWT melihat kita’. Lebih kurang begitu bunyi definisinya… merasakan ALLAH melihat ataupun rasa muraqabah, akan memastikan kerja yang dilaksanakan dilakukan sebaik mungkin.

ALLAH sebagai CEOku, Tuhan yang akan menilai segala pekerjaan (da’wah)ku dan balasan daripadaNya ke atasku berdasarkan KPI (Key Performance Index) yang telah ditetapkan ke atasku…. Saya rasa amat wajar untuk menjadi pegangan setiap orang yang merangkul gelaran da’ie.

“As GOD is my CEO, I shall serve Him just as the way workers would serve their CEOs.”

Ya! Menjadikan ALLAH sebagai big boss yang akan menilai setiap daya usaha pekerjaan, sepertimana pekerja-pekerja akan bekerja dengan menjaga sepenuhnya kualiti kerja tersebut agar puas hati si CEO.

Kalau ALLAH SWT adalah CEO, da’ie adalah pekerja atau pegawai perkhidmatan, maka mad’u ataupun sasaran da’wah sudah pasti merupakan pelanggan.

Maka apabila mad’u dikatakan sebagai pelanggan, kita sebagai da’ie yang menjadi pegawai perkhidmatan tidak dapat tidak perlu entertain pelanggan dengan sebaik mungkin agar pelanggan kita dapat diyakinkan untuk membeli produk perkhidmatan kita.

Produk kita tidak lain ialah da’wah Islamiyyah itu sendiri. Tidak kiralah apa jua yang ingin kita jaja sebagai produk permulaan, samada dalam bentuk siasah Islam bagi yang kaki siasah, akhlaq Islam, hiburan Islam dan sebagainya, yang penting ia membawa pelanggan kita kepada kenal Islam seterusnya mencintai Islam.

Adapun analogi yang saya timbulkan ini adalah sekadar muhasabah untuk mengingatkan kembali tentang peranan sebagai da’ie, tentang perlunya da’ie itu bersifat dengan sifat-sifat yang mahmudah. Ayat ‘bersifat dengan sifat-sifat mahmudah’ ini saya akui memang skema dan agak cliché bagi sesetengah pihak. Ayat buku teks..tapi hakikat hendak melaksanakannya tidaklah semudah itu.

Berapa ramai kita lihat ada sesetengah pihak yang menjadi da’ie tetapi apabila dicuit dengan sedikit provokasi, mereka mudah melenting dan menggelabah. Contohnya, antara perkara yang sering dipromosikan di dalam Islam ialah bersikap sabar. Produknya sudah elok dengan bermacam-macam packaging. Iklan mengenai sabar itupun sudah banyak diceritakan tentang kelebihannya di dalam Al-Quran dan Hadith.

Tetapi apabila promoternya iaitu da’ie pun tidak dapat berakhlak dengan sifat sabar yang dipromosikannya – mungkin pelanggan ingin menguji keberkesanan produk maka diciptakan provokasi lantas terus melenting si da’ie yang ingin mempromosikan Islam ini tadi, cuba fikirkan adakah akan laku jualannya nanti?

Ceritanya lebih kurang sama seperti promoter yang ingin menjual ubat jerawat, tetapi wajahnya sendiri ada banyak jerawat – adakah yakin pembeli untuk membeli produk yang dijual itu nanti?

Ada satu ungkapan lazim dalam bahasa Inggeris yang berbunyi “The customer is always right”. Di satu sudut, apabila diambil daripada pendekatan customer itu adalah mad’u, kadangkala tepat juga istilah ini untuk digunapakai. Ada sudut yang kadangkala betul juga mad’u ini berbanding orang yang hendak berda’wah kepadanya. Betul itu dari sudut memperbetulkan balik ataupun dalam bahasa kasarnya menempelak keadaan da’ie yang ingin menyerukan da’wah kepadanya itu.

Contohnya hampir sama juga seperti tadi. Kadangkala yang bergelar da’ie sibuk melaungkan slogan menjauhi zina, tetapi bab bercouple pun boleh juga dia! Memang ada perkara ini berlaku, dan perkara seperti inilah yang biasanya akan menjadi modal pertikaian kredibiliti da’ie. Jual ubat jerawat, tetapi perihal wajah sendiri yang banyak berjerawat batu tidak mahu diperhatikan terlebih dahulu.

Kadangkala si mad’u itupun lebih faham soal ikhtilat daripada dia.

Maka, dalam tulisan yang luar biasa pendek ini, mesej yang ingin saya serukan sangat ringkas, iaitu agar para da’ie lebih-lebih lagi diri sendiri ini yang bisa menulis tetapi cukup jauh untuk muhasabah diri, melakukan recheck terhadap segala pekerjaan dalam seharian kita, adakah prestasinya sebanding seolah-olah amal yang dilakukan itu ibarat ALLAH itu CEO kita, serta melihat kembali segala pekerjaan termasuklah adab perangai kita agar kekurangan padanya dapat kita perbaiki, agar kredibiliti kita itu mencapai mutu yang mampu meningkatkan saham para da’ie justeru meningkatkan keberkesanan da’wah ilaLLAH.

Saya rasa tidak salah juga kalau saya katakan kita boleh revise semula risalah tulisan ALLAHyarham Ustaz Mustafa Masyhur iaitu Da’wah Fardiah dan juga Fiqh Da’wah untuk memperbaiki semula andaikata terdapat kesilapan dalam approach kita, insyaALLAH mungkin kita boleh perbaiki semula cara kita entertain customer @ mad’u kita. Mudah-mudahan kualiti da’wah kita menepati piagam pelanggan @ piagam mad’u kita. Semoga berjaya dagangan kita, insyaALLAH!


WaLLAHu ta’ala a’lam.


Ibn ‘AbdiLLAH As-Sarawaki,
10.52 pm,
Rabu, 17 Jun 2009,
Kuching, Sarawak.

Terapi IMAN: Kembalilah Kepada Agamamu!

Assalamu’alaikum warahmatuLLAHi wabarakatuh,

AlhamduliLLAHirabbil ‘alameen ‘alaa kulli haal,
Segala puja-puji bagi Sang Kekasih Yang Maha Mengasihani,
Selawat dan Salam ke hadrat Al-Rasul SAW, ahlul bayt serta para sahabat Baginda.

AlhamduliLLAH!
Setelah sejam lebih berada di dalam kapal terbang, akhirnya saya sampai juga ke Kota Kinabalu. Ini kali yang ketiga atau keempat.

Sementara berada di dalam perjalanan, sempat juga saya membelek-belek semula kitab Madza Ya’ni Intimai Lil Islam karangan ALLAHyarham Ustaz Fathi Yakan yang telah sekian lama berada di dalam simpanan. Berguna juga membawa beberapa buah buku sebagai teman time tengah bercuti bersama keluarga ni. Adalah juga suluhan ilmu sedikit sebanyak, semoga bermanfaat juga masa yang bakal berlalu, insyaALLAH.

Merevisi semula bab pertama (Bab 1: Saya Mestilah Muslim Di Sudut ‘Aqidah) yang saya kirakan agak crucial juga untuk distudi semula, saya tertarik dengan salah satu statement di dalam buku ini yang berbunyi “Sebenarnya para doktor penyakit jiwa menyedari bahawa keimanan yang kukuh dan pegangan yang teguh terhadap ajaran agama oleh seseorang adalah satu jaminan untuk menyembuhkan mereka dari penyakit gelisah, tegang perasaan, penyakit saraf dan lain-lain”.

Secara jujur, tidak ada kata lain yang boleh saya katakan melainkan memang statement itu benar sekali kenyataannya.

Ya! Manusia zaman ini sememangnya ramai yang diserang penyakit jiwa! Tidak salah juga kalau saya katakan bahawa orang zaman ini semakin ramai ditimpa bala yang boleh menjerumuskan mereka kepada penyakit gila! Tidak juga penyakit gila yang kotor, tapi dikhuatiri penyakit gila yang boleh membawa mereka kepada tidak mengenali hakikat kehidupan bertuhan yang mereka telah anuti sebelum ini.

Politik wang, rasuah, merampas kuasa bukan pada haknya, buang anak, bohsia, hiburan tanpa batasan dan macam-macam, bukankah gila semua itu?

Bahana tidak mengenali Tuhan dan Iman telah meletakkan manusia terutamanya di zaman ini kepada kedudukan yang lebih rendah daripada hakikat yang sepatutnya.
Ideologi yang sekian banyaknya menjadi anutan di bawah sedar, pada mulanya rasa manis juga dinikmati untuk beberapa penggal dalam kehidupan – nampaknya semakin hari semakin menekan-nekan manusia dari setiap penjuru, memaksanya untuk kembali kepada fitrah beragama yang sebenar-benarnya. Ada yang sempat bertemu jalan pulang kepada agama, ada yang terus sesat dalam pencariannya, ada juga yang masih tercari-cari jalan dan ada juga yang masih selesa duduk di dalam kesesatan tidak mahu mencari jalan pulang. Semoga ALLAH SWT memberikan hidayah kepada mereka ini.

Sungguh, manusia hari ini tidak punya jalan penyelesaian lain yang boleh mengubat segala anxiety kecuali kembali kepada agamanya, dan agama itu tidak lain melainkan sebenarnya sudah lama berada di hakikatnya sebagai sebaik-baik terapi ataupun ubat untuk manusia mengubat penyakit jiwa!

Kembali kepada aqidah yang sebenar merupakan sebaik-baik jalan penyembuhan, maka kembalilah kepada aqidah yang sedia selamat dan sejahtera!

Hiburan berlebihan anjuran si malaun bernama hedonisme bukanlah pengubat kepada kegelisahan jiwa. Penumpukan harta sebanyak-banyaknya yang bisa mengenyangkan perut sekeluarga hasil ajakan si bodoh bernama kapitalisme bukanlah pengubat kepada kemiskinan jiwa. Pemisahan agama daripada urusan kehidupan anjuran si bengap bernama sekularisme bukanlah pilihan untuk menjalani kehidupan yang senang.
Sebutlah apa sahaja nama, asal selagi bukan daripada ajaran agama maka bukanlah pengubat sifatnya, malah bisa menambah penyakit pula. Penyakit fizikal tiadalah terlalu bermasalah, takut-takut penyakit mental dan jiwa sampai tidak kenal Tuhan pula jadinya.

Ayuh manusia hari ini! Janganlah takut untuk meludah ke wajah-wajah lembaga yang bernama sekular, hedonism, sosialis, dan sebagainya yang sebelum ini bersungguh-sungguh mahu mencuri iman daripada kalian! Mereka inilah perosak agamamu sebelum ini! Lemparkan batu ke kepala lembaga-lembaga ini! Biar pecah luka kepala mereka kesemuanya!

Sedarlah bahawa ALLAH SWT telah lama memberikan resepi ubat kepada penyembuhan sakit kemurungan dan segala macam penyakit kejiwaan, persis di dalam firmanNya :
“Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati ALLAH. Ingatlah hanya dengan ALLAH hati menjadi tenteram.” Surah Ar-Ra’d ayat 28.

Dan ALLAH SWT juga telah lama menyatakan racun yang makin merosakkan manusia yang tersilap dalam mencari jalan menyembuhkan tekanan jiwa dan perasaan, di dalam firmanNya:
“Barangsiapa berpaling dari pengajaran Tuhan Yang Maha Pemurah (Al-Quran), kami akan adakan baginya syaitan (yang menyesatkan) maka syaitan itulah yang menjadi teman yang selalu menyertainya dan sesungguhnya syaitan-syaitan itu benar-benar menghalangi mereka dari jalan yang benar dan mereka menyangka bahawa mereka mendapat petunjuk” Surah Az-Zukhruf ayat 36-37.

Sememangnya benar dan tidak lagi wujud penafian bahawa jalan kembali untuk merawat semula luka-luka di jiwa manusia itu ialah dengan mencari ketenangan yang tulen, dan ketenangan yang tulen itu tidak lain ialah dengan kembali kepada tuntutan nafsu mutma’innah, kembalilah kepada fitrah manusia yang mahu kepada agama, pulanglah semula kepada fitrah manusia yang mahu hidup dengan iman.


Maka, benarlah bahawa kembali kepada Islam dan Iman adalah sebaik-baik terapi dan jalan penyelesaian kepada penyakit akhir zaman!

WaLLAHuta’ala a’lam,

Ibn ‘AbdiLLAH As-Sarawaki,
11.18am,
Selasa, 2 Jun 2009,
Kota Kinabalu, Sabah.

Katakan "TAK NAK" Kepada Tabarrujul Jahiliyah!

Katakan "TAK NAK" Kepada Tabarrujul Jahiliyah!
klik pada imej untuk ke link

klik pada imej untuk ke link

klik pada imej untuk ke link

Alternatif Fesyen Islami

Alternatif Fesyen Islami
klik pada imej untuk ke link

Jom Belajar Bahasa Arab

Jom Belajar Bahasa Arab
klik pada imej untuk ke link

Video-video Pilihan

Ustaz Ismail Kamus - Nafsu Makan Ustaz Ismail Kamus - Alam Jin Ustaz Azhar Idrus - Banduan Akhirat Ustaz Azhar Idrus - Tidur 20 Tahun