Darussyifa' Online

Darussyifa' Online
klik pada imej untuk ke link

BIC Smart Shop

BIC Smart Shop
klik pada imej untuk ke pautan

Boikot Zionis La'natuLLAH!

Boikot Zionis La'natuLLAH!
klik pada imej untuk ke link

klik pada imej untuk ke link

klik pada imej untuk ke link

Selamatkan Gaza!

Selamatkan Gaza!
klik pada imej untuk ke link
Showing posts with label Baitul Muslim. Show all posts
Showing posts with label Baitul Muslim. Show all posts

Thursday, October 1, 2009

Baitul Muslim: Payahkah Beragama?


Assalamu’alaikum warahmatuLLAHi wabarakatuh,


AlhamduliLLAHi rabbil ‘alameen ‘alaa kulli haal,

Segala puji bagi ALLAH SWT Yang Maha Mentadbir Sekalian ke atas segala-galanya,

Selawat dan Salam tanda kecintaan ke hadrat Al-Rasul SAW, ahlul bayt serta para sahabat Baginda.


Mungkin kita selalu dengar rungutan orang tentang sukarnya beramal dengan Islam, banyak sangat pantang larang, haram itu ini, dan kadangkala kita juga hairan ada orang yang tidak melaksanakan tuntutan agama. Sehingga kadang-kadang kita tertanya-tanya, benarkah agama sampai sebegitu rupa sehinggakan orang rasa tidak mampu untuk beramal dengannya?

Saya yakin banyak faktor-faktor yang mendorong kepada corak pemikiran seperti ini.


Mungkin salah satunya seperti yang sentiasa disebut oleh Dr Yusuf Al-Qaradhawi bahawa kecenderungan orang yang berfatwa untuk memberikan fatwa yang bersifat Al-Ahwat yang agak memperberatkan berbanding fatwa bersifat Al-Aysar yang mudah dan amat menenangkan golongan yang mahukan agama dan golongan yang mahu berjinak-jinak dengan agama ataupun yang mahu bertaubat. Saya setuju.

Salah satu lagi faktor ialah kesalahan orang yang memegang kuasa kerana terlalu bertoleransi dengan banyak perkara-perkara yang menyanggahi ma’ruf dan syari’at. Contohnya, awal-awal lagi generasi ICT One-Malaysia zaman sekarang dilahirkan dalam keadaan pub dan arak sudah wujud di sekelilingnya, maka perkara itu nampak normal untuk diwujudkan. Maka tidak mustahil mungkin ada yang memandangnya seolah-olah perkara-perkara tersebut terwujud kerana maslahat manusia sedangkan ianya jauh daripada kebenaran. Saya juga setuju.

Manakala, ada satu lagi faktor yang mungkin kurang diberi perhatian iaitu peranan keluarga dalam mendidik anak-anak untuk hidup dengan agama. Maksud saya, hadith Nabi SAW sudah menjelaskan bahawa agama itu mudah dan tidak ada yang disusahkan oleh agama melainkan dia sendiri tidak faham agama lantas menyusahkan diri dalam perkara-perkara tertentu kerana menganggap itulah realiti Islam.

"Anak soleh penyejuk mata"


Sebab itu sesetengah orang merasakan agama ini payah. Itulah natijah apabila tidak dididik awal-awal dengan Islam, kemudian ditambah pula dengan keadaan fatwa yang kadangkala menyusahkan tanpa mengambil kira realiti kehidupan umat akhir zaman yang lemah iman, serta keadaan di mana haram jauh berlambak.

Maka di sinilah institusi Baitul Muslim (BM) memainkan peranannya. Kita didik anak-anak kita awal-awal lagi dengan agama, agar apabila dia sudah biasa hidup dengan melaksanakan tuntutan agama sedari kecil, tidak melampau untuk saya katakan bahawa anak itu nanti merasakan untuk melaksanakannya setakat hujung kuku dan tidak merasa leceh dan terbeban untuk melakukannya.

Sebab itu jangan hairan apabila orang dihadapkan dengan salah satu pendapat mazhab Syafie bahawa bacaan yang rosak dalam solat boleh membatalkan solat, dia terus rasa terbeban dan timbul was-was di dalam bacaannya. Maka terwujudlah rasa susah untuk membaca di dalam solat, kerana dia jarang membaca Al-Qur’an, kerana tidak dibiasakan dari kecil untuk mengamalkannya. Itu satu contoh kecil.

Contoh lain ialah puasa. Kita hairan ada yang ponteng puasa hanya kerana dakwaan gastrik yang murahan dan pening kepala, hanya kerana lapar dan dahaga tidak seberapa. Masalahnya ialah dia tidak dilatih dari kecil untuk puasa.


Begitu juga contoh-contoh lain. Solat terasa berat dan leceh, sedangkan ia mudah. Tutup aurat terutamanya muslimat akan terasa sangat memayahkan dan leceh sedangkan ianya mengandungi hikmah yang besar, dan tidak pula menyusahkan.

Datang usrah pun akan nampak susah dan payah. Padahal peringkat paling cabuk pun sekadar menadah telinga untuk mendengar diskusi masalah umat manusia zaman ini.

“Nak datang usrah? Err, ramai sangat yang alim-alim dan semuanya pakai tudung labuh. Rasa rimas pulak, lagipun sekarang cuaca panas, takut berpeluh pulak.” Itulah antara alasan pandir yang biasa didengar.

Semuanya akibat kurang praktis dari kecil.


Maka terzahirlah di mata manusia bahawa…

“susah untuk tinggalkan karaoke, sebab saya minat menyanyi. Susah nak tinggalkan seluar pendek, sebab saya biasa pakai seluar pendek. Time keluar je pakai seluar panjang. Saya bukan tak nak solat, tapi tak sampai seru lagi. Apa salahnya AF dan Mentor? Mereka hanya menyanyi, bukan berzina! Err, hukum hudud ko kate? Eii, susahla gitu. Ramai la yang kena potong tangan“. Inilah dia realiti yang menjangkiti hati baik rakyat biasa sampailah ke peringkat yang ada kuasa dan segala-galanya.

“Hudud belum lagi relevan, kita di Malaysia masyarakat majmuk”..Wal ‘iyya dza biLLAH. Saya berlepas diri daripada slogan seperti ini.


Maka untuk mengatasi masalah ini, sekurang-kurangnya untuk mengelakkan ia daripada menjangkiti generasi kita ialah dengan membiasakan anak-anak dengan amalan beragama sejak kecil lagi. Psikologi pendidikan anak-anak mengatakan bahawa peribadi seseorang itu mudah dibentuk semasa mudanya berbanding masa tuanya.

Sebelum seketul daging bernama hati itu berubah menjadi batu kerana tidak dibentuk sejak awal, lebih baik bermula dari awal.

Pepatah Bahasa Inggeris berbunyi “Old Habits Die Hard & You Can’t Teach Old Dog New Tricks”, Pepatah Melayu pula “Melentur Buluh Biarlah Dari Rebungnya”.

Maka, mulakanlah dari awal demi pembentukan generasi aulad yang cinta dan faham Islam!


Semoga kita, samada yang sudah ataupun bakal bergelar ibu bapa berjaya mendidik anak-anak kita nanti, AMIN.


WaLLAHuta’al a’lam,


Ibn ‘AbdiLLAH As-Sarawaki,

8.07pm,

Khamis, 1 Oktober 2009,

Kuching, Sarawak.

Tuesday, July 14, 2009

Baitul Muslim: Di Persimpangan Yang Satu Lagi...


Assalamu’alaikum warahmatuLLAHi wabarakatuh,


AlhamduliLLAHi rabbil ‘alameen ‘alaa kulli haal,

Segala puji bagi ALLAH SWT Yang Maha Mentadbir Sekalian ke atas segala-galanya,

Selawat dan Salam tanda kecintaan ke hadrat Al-Rasul SAW, ahlul bayt serta para sahabat Baginda.


AlhamduliLLAH,

Tiba-tiba sahaja ilham datang menyapa untuk menulis entri sekitar BM ini. Tapi kali ini bukan cerita cintan-cintun indah yang dititi pasangan yang sudah mengikat janji untuk mendirikan rumahtangga. Ini cerita di simpang yang satu lagi! Ini cerita untuk mereka yang biasa orang labelkan sebagai berjiwa hampa! Ini untuk mereka yang pernah jatuh cinta tapi kemudian jatuh hampa!


Baru-baru ini, saya ada seorang sahabat yang baru sahaja clash dengan calon BM-nya itu. Kasihan juga saya mengenangkan nasibnya, tapi dia cover sahaja rasa yang terpendam di jiwanya dengan wajah cool, akur dan redha barangkali. Apa pun alasan muslimat yang diproposenya itu, bukan isu utama. Tetapi yang nak diceritakan di sini ialah bagaimana attitude apabila kita sudah berada di simpang empat yang bernama clash ini.

Saya akui, walau apapun nama yang diberikan dan macam mana pun approach kita dalam misi mendirikan rumahtangga, pasti ada lagi flaw ataupun kelemahannya. Itu semua perancangan manusia, biar BM, orang tengah, ,melalui ustaz, matchmaking agency dan apa sahaja namanya belum tentu menjanjikan orang yang kita mahukan itu memang akan jadi suami atau isteri kita. Itulah tanda masih belum sempurna perancangan manusia berbanding qadha’ dan qadar ALLAH SWT.


Di dalam proses dan stages semasa BM ini, janganlah yang sudah diikat dan mengikat itu mengharapkan agar tidak ada badai yang akan menggoncang perhubungan itu. Setiap peringkat ada ujiannya.

Semasa proses propose/lamaran, kita berhadapan dengan dua kemungkinan. Samada dia akan terima ataupun bagi buah reject.

Semasa setelah berjaya melalui proses propose pula, besar lagi ujiannya. Tempoh menunggu ini, yang kadangkala berisiko tinggi untuk menyebabkan hubungan itu putus lebih banyak memerlukan kesabaran. Kalau dulu time propose, kita tak rungsing mana. Tapi sekarang dia dah kata ‘on’, kita pula yang kadangkala berhadapan dengan ujian bernama kesetiaan. Kalau tidak kita yang ada masalah berhubung kesetiaan, mungkin si dia di sebelah sana sudah jumpa marka lain. itu berhubung kesetiaan. Kadangkala komitmen terhadap tanggungjawab yang terbeban ke atas diri masing-masing juga menjadi punca putus hubungan. Banyak ujiannya.

Sesudah kahwin pula, pasti timbul satu demi satu kerenah luar jangka daripada pasangan kita itu. Apatah lagi jikalau kita bertemu dengan perangai yang memang kita anti sungguh sebelum berkahwin.

Pendek kata, BM ini banyak dugaan dan ujiannya!


Berbalik semula kepada cerita clash sebelum sempat kahwin ini tadi, saya teringat akan buku yang ditulis oleh Dr ‘Aidh AbduLLAH Al-Qarni yang terkenal itu, “La Tahzan / Don’t Be Sad / Jangan Bersedih”.

Di dalam buku itu, ada satu tajuk yang berbunyi “Jangan Bersedih, Dunia Ini Tidak Selayaknya Ditangisi”.

Ya! Jangan terlalu bersedih. Jangan ditangisi akan dunia ini. Harga seorang pejuang agama adalah terlalu mahal lantas tidak perlu dia berurai air mata andai ditinggalkan calon BM-nya. Lagipun, apa yang terlalu disesalkan sangat sedangkan kedua-duanya belum lagi mempunyai apa-apa ikatan yang sah.


Maka janganlah dikecam muslimat ataupun muslimin yang memutuskan hubungan itu, sebaliknya berdoalah untuk kebaikan mereka. Jangan dipendam dendam terhadap mereka, kerana sesungguhnya kaum muslimin itu sentiasa berkasih sayang! Lebih-lebih lagi kita yang berjuang di jalan ALLAH SWT ini, solusi yang paling baik ialah redha dan berlapang dada terhadap ketentuan ALLAH SWT.


Jangan pula akibat masalah clash ini, Baitul Muslim yang sepatutnya menjadi platform menambah pejuang agama menjadi kilang produksi golongan mutasaqit / yang tercicir di jalan da’wah. Memang ada kes orang yang mulanya kuat berjuang pada mulanya, tetapi selepas diserang virus clash ini, dia terus mufaraqah daripada jamaah Islam dan terus meninggalkan perjuangan. Wal ‘iyya dzubiLLAH!

"Kita selalu bertanya; kenapa rasa KECEWA?

Al-Qur'an Menjawab; Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati,

padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya,

jika kamu orang-orang yang beriman Ali-'Imran ayat 139"


Mungkin ada yang akan mempersoalkan, kenapa boleh clash pula sedangkan jalan yang dilalui adalah begitu baik, dan insyaALLAH direstui dan diredhai ALLAH SWT berbanding couple? Bukankah itu tanda kelemahan sistem BM ini yang nampaknya agak mengekang berbanding couple-mouple, dan kekangan ini nampaknya menjadi penyebab kepada clashnya hubungan insan-insan yang menggunakan UBM ini.

Untuk menjawab persoalan ini, cukuplah frasa ‘jodoh, maut, rezeki itu di tangan ALLAH SWT’ sebagai buah kilas. Walau macam manapun perancangan itu dibuat dalam menuju ke alam rumahtangga, itu masih lagi di dalam skala perancangan manusia! ALLAH sendiri telah berkata bahawa perancangan-Nya melebihi perancangan manusia. Kita sekadar berusaha dan berikhtiar sahaja, dan nilainya dilihat di peringkat ikhtiar itu. Jika batasan-batasan Tuhan tidak dilanggari, di samping menghormati prinsip calon yang ingin dikahwini itu, berusaha mencapai persefahaman antara satu sama lain, dan lain-lainnya, itulah yang akan menjadi point-point untuk mendapat redha ALLAH SWT itu.


Selain daripada cerita sahabat saya ini tadi, saya pernah dengar banyak lagi cerita golongan jiwa terluka ini.

Ada satu kes yang mana sudah tinggal sehari lagi berkahwin, dengan sudah merata kad jemputan walimah diedar, tiba-tiba muslimat itu pula meminta diputuskan hubungan kerana belum bersedia. Betapa hancurnya hati muslimin itu, sehingga sekarang pun masih lagi belum berkahwin. Semoga dia cepat dipertemukan jodoh. Seorang ustaz pernah cuba dua-tiga kali juga, tetapi gagal juga dalam menggunakan unit BM ini. syukur jodoh beliau adalah pada kali keempat percubaannya.


Moralnya, walaupun sudah ada persetujuan daripada kedua-dua belah pihak, jangan terlalu cepat panjang angan-angan! Anda bukan lagi berada di zon selesa, tetapi di zon banyak dugaan yang ‘merbahaya’!

Bagi yang pernah kecundang pula, jangan putus asa! InsyaALLAH, redha ALLAH bersama dengan orang yang berusaha untuk melaksanakan rukun agamanya!


Maka, bagi yang berjuang agama yang telahpun mendapat label kecundang ini, jangan jadikan peristiwa itu sebagai pematah semangat berjuang! Janganlah menjadi seperti penghijrah Ummu Qa’is yang berhijrah untuk wanita yang ingin dikahwininya.


Sebagai sekalung taujihat buat mereka yang pernah kecundang dalam menggunakan unit Baitul Muslim ini, Tahniah! Tahniah kerana anda telah menggunakan saluran yang terhormat dan yang sebaiknya, menghormati muslimat yang ingin anda kahwini itu kerana and melamarnya secara terhormat. Tahniah kerana tidak memilih jalan berpasangan penuh noda untuk mengambil si anak dara dan teruna ! Anda telah berjaya menjaga batas-batas dalam beragama!

BarakaLLAHufiikum!


WaLLAHuta’ala a’lam,


Ibn ‘AbdiLLAH As-Sarawaki,

9.45am,

Rabu, 15 Julai 2009,

Kuching, Sarawak.

Wednesday, May 20, 2009

Taujihah Perjuangan: Hargailah Para Isteri!

Assalamu’alaikum warahmatuLLAHi wabarakatuh,


AlhamduliLLAHi ‘alaa kulli haal,

Segala puja-puji ke hadrat ALLAH SWT Rabb Al-‘Alim, Dia Tuhan Yang Paling Mengetahui.

Selawat dan salam ke hadrat Penghulu Segala Pembawa Risalah Hanif, Al-Rasul Muhammad Habibina Al-Mustoffa, ahlul bayt serta para sahabat Baginda.


Entri kali ini bukanlah hasil tulisan saya. Saya cuma bertindak meng-copy-paste-kan artikel ini sebagai suatu renungan dan pedoman bagi sesiapa yang berkenaan.


Saya optimis apabila saya katakan tidak hanya golongan muda-mudi mahasiswa sahaja yang sudi membaca entri di blog ini, mungkin juga ada di kalangan pembaca yang terdiri daripada kalangan orang dewasa, baik yang sudah berkahwin, yang belum berkahwin, yang bakal berkahwin ataupun yang masih belum terfikir nak kahwin.


“Apa cerita sebut ‘kahwin-kahwin’ ni?”

Baca dulu sampai habis. Rugi tak baca!


Di sini saya tampilkan tulisan Saudara Herman Shamsudeen, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (jangan lihat pada label platform perjuangannya, lihat pada moral ceritanya!).

Saya syorkan agar semua membacanya, bukan untuk syok-syok sendiri membayangkan bahawa betapa seronoknya dunia selepas berkahwin, tetapi message yang ingin saya stresskan – pentingnya peranan isteri @ zaujah di dalam kehidupan seorang pejuang. Jadi, mungkin selepas ini ramai yang akan mempertimbangkan untuk mempercepatkan urusan berumahtangga.

Bukan berkahwin untuk suka-suka semata-mata ya, tetapi demi maslahat perjuangan yang murni!

-----------------------------------

Terlibat dalam Jamaah adalah suatu perkara yang paling baik yang pernah ana lakukan kerana di sinilah bermulanya erti kehidupan ana yang sebenar. Diperingkat awal penglibatan memang banyak dugaan. Hatta, hingga ke hari ini pun masih ada lagi ujian yang harus dihadapi.

Memang letih untuk terlibat aktif dan memegang beberapa amanah berbentuk jawatan atau tugasan. Dalam hal ini memang sukar menolak bila sahabat memerlukan khidmat dari ana. Tapi kudrat ini terbatas, hanya Allah sahaja yang tahu. Namun ana bersyukur kerana Allah menganugerahkan seorang Zaujah yang rajin dan prihatin untuk menjaga ana.

Walaupun kerap keluar malam dan kembali ketika saat dinihari, namun kesabarannya berjaya menyejukkan hati. Berkat dari pembacaan dan tunjuk ajar dari orang-orang tua, bahtera yang baru setahun jagung ini tetap utuh walaupun sesekali dipukul ombak. Pelbagai ilmu cuba ana praktikkan bagi menjaga hubungan suami isteri, mana yang lebih kami kongsikan mana yang kurang kami tambahkan.

Masing-masing ada keburukkan dan keistimewaan. Dan peristiwa DEMAM PANAS sabtu lalu benar-benar menunjukan keistimewaan zaujah ana.

Pada Jumaat malam 22 Jun lepas, selepas sahaja mesyuarat bulanan bersama pemuda Titiwangsa kira-kira jam 12.00 tengah malam, ana terus menghantar seorang sahabat lama ke rumahnya di Padang Balang. Hujan renyai-renyai baru sahaja turun. Ketika sampai dirumah jam menunjukan masanya, 1.45 pagi. Keadaan sekitar Taman Batu Permai masih lagi bergelap, termasuklah rumah ana. Sejak jam 8.30 malam lagi, semua talian letrik sekitar Taman Batu Permai terputus, entah kenapa.

Walaupun hujan semakin kuat diluar, namun bahang panas dalam rumah amat terasa. Memang sedikit terganggu kehidupan dibandaraya ini bila letrik tiada, kipas pun tak dapat dihidupkan. Ketika masuk ke bilik, Kelihatan zaujah ana sedang tidur dalam keadaan berpeluh. Ana amat memahami kerana sejak berbadan dua ini suhu badannya memang berbeza. Lantaran itu, ana menyelakkan sedikit kain langsir dan membuka ’sliding door’ untuk membenarkan untuk sejuk diluar menyelinap masuk ke dalam bilik.

Selepas bersihkan diri dan menyalin pakaian, ana terus tidur. Tidur yang cukup lena diiringi oleh rintikan hujan yang kian lebat diluar.

Ketika zaujah ana kejutkan untuk bersolat subuh, memang berat nak bangun, badan terasa lemah. Namun untuk menunaikan tanggungjawab sebagai hamba Allah, ana kuatkan juga. Selepas solat subuh ana tidur semula. Zaujah ana kehairanan sebab petang semalam ana bagitau dia bahawa pagi ini ada program bersama PASTI di Cheras dan perlu keluar awal.

Zaujah ana kejutkan semula. Bila melihat ana mengigil dan memegang dahi ana yang panas barulah dia faham. Ana kena demam panas.

Alhamdulillah, dia tidak panik. Ana diselimutkan dengan selimut tebal dan dibiarkan tidur sebentar. Dalam pukul 8.30 pagi, dia mengejutkan ana lagi. Ketika ana bangun memang terasa lemah

Kelihatan bilik telah dikemas, kain baju telah dibasuh dan disidai.

Dia memimpin ana ke tandas dan terus memandikan suaminya yang amat dicintai ini. Dia mengosok tubuh ana sambil memberikan kata-kata semangat. “Ini adalah ujian Allah, Allah nak bagi pahala” ujar zaujah ana.

Bila melihat kesungguhannya disaat memandikan ana, memang terasa terharu. Inilah dia Isteri Solehah kurniaan Allah, pagi petang tidak lupa baca Al-Quran, sentiasa memahami dan menjalankan tanggungjawabnya pada Allah dan suami.

Selesai sahaja mandi dan lengkap berpakaian, kami ke Klinik yang berhampiran. Doktor di klinik tersebut sedikit terkejut bila melihat termometer yang menyukat suhu badan ana. “over 100 itulah yang terkeluar dari mulutnya. Suhu badan ana lebih dari 100 darjah Celcius. Ana diberikan satu injection dan ubat.

Sampai dirumah, zaujah ana terus menyediakan makanan berupa bubur. Ana disuapkan, dan sepintas lalu ana terkenangkan saat ketika zaman bujang dikampus dahulu. Seorang sahabat karib pernah menyuapkan makanan ke mulut ana ketika ana dimasukkan ke dalam wad di HKL. Tapi kali ini rasanya berbeza. Walaupun tekak terasa perit untuk menelan makan dan air, berkat keikhlasan seorang wanita yang bergelar zaujah ini segalanya mampu ana hadapi. Walaupun cuma beberapa sudut tetapi ia cukup untuk mengenyangkan perut ana.

Ana terpaksa batalkan dan tarik diri dari semua program sepanjang hujung minggu ini kerana tidak terdaya. Ana hanya mampu terbaring di atas katil merenungkan kekerdilan diri sebagai hamba Allah. Dua hari ana terbaring dan tak mampu buat apa-apa. Semua kerja rumah, zaujah ana terpaksa lakukan bersendirian.

Selalunya jika ada masa dihujung minggu ana akan membantunya membasuh kain atau bersihkan rumah. Kali ini ana tak berdaya langsung. Service kereta pun zaujah ana terpaksa uruskan. Inilah dugaan Allah dan ana redha takdirNya ini.

Sesungguhnya Allah Maha Hebat dan Agung. Ia Maha Pemurah dan Menyayangi. DiberikanNya kita penyakit tetapi dalam masa yang sama dosa kita dihapuskan, pahala kita ditambah. Dianugerahi kita dengan kasih sayang dan kenikmatan hidup.

Hidup suami isteri memang menarik. Kita bersahabat banyak mana pun, tetapi dengan adanya seorang isteri yang solehah sudah cukup untuk membuatkan kita bahagia. Berkat seorang Isteri yang selalu mendoakan suaminya, InsyaAllah kita akan lebih maju kehadapan, asal sahaja kita tidak lupa pada tanggungjawab.

Kehidupan ini adalah satu tanggungjawab. Sebaik sahaja kita buka mata disubuh hari kita sudah ada tanggungjawab yang harus dilaksanakan. Kita tidak mampu hidup bersendirian, kita perlukan teman untuk kita meneruskan kehidupan ini.

Ana pernah hidup membujang, tetapi bila sudah berkahwin terasa banyak kelainan. Ringan bahu dan makin bersemangat untuk berjuang.

Kepada sahabat-sahabat yang belum berkahwin, ana nasihatkan untuk berkahwin segera. Jika tidak mampu berkahwin 4, kahwinlah 3, jika tak mampu, ambillah 2, jika tak mampu juga, cukuplah dengan 1. Kahwin ini satu amanah, tetapi dengan satu amanah ini, banyak amanah lain akan menjadi ringan dibahu kita. Terpulanglah pada kita untuk menjaga dan menguruskannya.

Dibelakang seorang lelaki yang hebat itu, pasti ada seorang wanita solehah yang menyokongnya. Jadi janganlah abaikan wanita yang bernama Zaujah ini, jagalah ia sebagai mana kita menjaga rusuk-rusuk yang ada dalam tubuh kita. Dekat dihati, menenangkan rohani.

Artikel ini sengaja ana nukilkan sebagai menterjemahkan sedikit keindahan alam rumahtangga dan penghargaan buat Zaujah ana yang tercinta serta zaujah para pejuang yang tabah, ikhlas dan taat pada suami mereka di seluruh dunia ini. Teruskan kebaktian anda pada suami, demi Allah doakan semoga mereka akan terus gagah berjuang kerana Allah

Entri asal di sini

--------------------------

Jadi, bagaimana dengan pendapat tetamu ziarah sekalian, lebih-lebih lagi yang sudah hampir ke era berumahtangga?

Pasti rasanya mahu sahaja tarikh keramat itu dipercepatkan! Yang belum ada calon pun, mungkin selepas ini terfikir juga untuk mengerjakan solat istikharah dengan persoalan “Ya ALLAH, dah patut ke aku kahwin sekarang?”


Bagi yang sudah selamat berumahtangga pula, terutamanya yang terlibat dalam perjuangan yang suci ini – mungkin sudah sampai masanya untuk kita tunjukkan apresiasi kita kepada insan yang menjadi tulang belakang, motivator dan penguat perjuangan kita!


Hargailah para isteri! Hargailah para srikandi penguat perjuangan ini!


P/S: Di sini juga saya ingin mengucapkan selamat berwalimah dan selamat menuju ke fasa berumahtangga kepada abang-abang dan kakak-kakak yang bakal mendirikan rumahtangga tidak lama lagi. Semoga bahagia kekal abadi!


Wassalam,


Ibn ‘AbdiLLAH As-Sarawaki,

1.00am,

21 Mei 2009, Khamis,

Bintulu, Sarawak.

Saturday, May 9, 2009

Ibu/Mak/Ummi/Mummy/Mama: Kasih dan Sayang Selamanya!

"Ibunda, sebuah bangsa yang KUAT dan TERHORMAT, adalah wanita-wanita yang DICINTAI dan DIMULIAKAN. SAYANGI IBU".....

Assalamu'alaikum warahmatuLLAHi wabarakatuh,


AlhamduliLLAHi 'alaa kulli haal...

Segala puja-puji bagi ALLAH SWT, kecintaan orang-orang yang beriman selama-lamanya,

Serta kalimah al-Hubb/ cinta As-Shalawat, selawat ke atas Rasul SAW, kekasih-Nya yang amat dirindui seluruh umat, ahlul bayt serta sahabat-sahabat Baginda.


Minggu ini, di seluruh dunia - Perayaan Hari Ibu / Mother's Day disambut dengan hebatnya. Pastinya berjuta-juta telefon bimbit menerima mesej sambutan perayaan berkenaan dalam pelbagai versi ucapan. Semuanya atas tujuan untuk meraikan Hari Ibu.



Ibu...


Siapa yang tidak sayangkan ibu?

Perit jerih menanggung 9 bulan anak di dalam kandungan - membesarkannya menjadi salah seorang manusia yang di hidup di atas muka bumi ini selayaknya.


Tatkala anak menangis, dia memujuknya.



Tatkala anak terasa sakit, dia setia mendampingi sepanjang masa.

Di kala usia pertama menjengah alam tumbuhnya gigi susu dahulu, ketika anak itu menangis angkara kepedihan gusi, ibu menjadi peneman setia dan doktor pertama yang sampai tampil membantu.

Mungkin ada yang ingat betapa ibu sanggup menemani anaknya di hari pertama menjejakkan kaki ke sekolah. Setibanya waktu rehat, dia masih setia menunggu untuk menyuap anaknya yang baru bersekolah itu.


Mahu diceritakan jasa para ibu, terlalu banyak tidak terkata.

Maka, bukankah jasa-jasa yang banyak itu perlu dihargai sebanyak-banyaknya....




Maaf terpanjang pula muqaddimah.


Apa-apa pun, yang ingin dibincangkan di sini ialah beberapa perkara yang rasanya patut diketahui dan dimaklumkan mengenai hakikat sambutan Hari Ibu ini.

Di sini, saya tidak bermaksud untuk merosakkan mood Hari Ibu kita semua. Baguslah niat nak meraikan Hari Ibu itu sebagai tanda penghargaan kepada ibu kita.

Tetapi perlu juga dipesan agar kita berpada-pada dalam menerima dan menghadamkan serta menerapkan unsur-unsur sambutan perayaan seperti ini di dalam masyarakat kita.

Bukan apa, yang ditakuti ialah attitude taklid buta kepada apa-apa sahaja pekerjaan orang ramai boleh membawa kita kepada suatu implikasi yang tidak diinginkan.

"Apa dia ni? Tak fahamlah!.... Attitude taklid buta...Implikasi yang tidak diinginkan....apa sebenarnya yang kau nak ceritakan ni? Jangan berbelit-belitlah!"

Baiklah.


Mungkin ramai yang pernah mendengar isu pertikaian ulama' mengenai Sambutan Hari Ibu ini. Pernah kedengaran ramai ulama' yang mengatakan perayaan ini haram diraikan oleh orang Islam. Kenapa?


Ada sejarah di sebaliknya.


Menurut apa yang dicatatkan Wikipedia:

“One school of thought claims this day emerged from a custom of mother worship in ancient Greece, which kept a festival to Cybele, a great mother of Greek gods. This festival was held around the Vernal Equinox around Asia Minor and eventually in Rome itself from the Ides of March (15 March) to 18 March. The ancient Romans also had another holiday, Matronalia, that was dedicated to Juno, though mothers were usually given gifts on this day. In some countries Mother’s Day began not as a celebration for individual mothers but rather for christians.”
serta ada e-mail yang pernah diterima yang menyebut:

"Kepada semua baca kisah asal usul pengertian "HARI IBU" yang sebenar. Kalau kita sambut hari ibu bermakna kita juga merayakan hari "IBU PADA TUHAN" yang menjadi amalan orang GREECE terdahulu. Ini semua sumber dari kristian dan sudah tentu memesongkan akidah kita. Kalau dulu saya juga terikut ikut merayakan hari ibu tapi sekarang bila dah tahu tak akan saya buat begitu lagi dan juga pada anak anak akan saya beritahu. Jadi kewajipan saya adalah untuk beritahu semua agar JANGAN SAMBUT HARI IBU, kalau kita kasih sayang dan ingat jasa ibu sebaiknya sentiasa mendoakannya tak perlu cuma pada hari hari tertentu saja, setiap hari mendoakannya adalah sebaiknya dan dituntut."

Adakah proklamasi-proklamasi di atas ada kebenarannya? Saya sendiri pun tidak pasti. Mahu dikatakan Haram, ianya suatu yang belum sampai ke tahap ijma' ulama' yang mengharamkannya. Mahu dikata harus, takut berdosa kerana memandai-mandai menghukum pula.


Walau bagaimanapun, saya rasa elok juga ditampilkan beberapa perbincangan yang sempat saya cari, untuk perkongsian bersama:

"Memang ada pendapat sesetengah ulama yang mengharamkan sambutan hari ibu kerana asal usul sejarahnya. Namun, di Singapura pada pengamatan saya pendirian umum mengenainya di sisi asatizah ialah ianya harus. Banyak masjid-masjid di Singapura turut menganjurkan majlis dan program bagi menghargai ibu pada hari ibu. Jika sambutan ini dikira sebagai kemunkaran yang serius, pastinya Majlis Ugama Islam Singapura dan badan ulama akan mengeluarkan pernytaan untuk menegur masyarakat Islam. Alasan-alasan keharusannya, di sisi saya, ialah:

1. Amalan manusia tidak statik, ia selalunya melaluis proses evolusi. Apa yang bermula sebagai tidak betul, tidak semestinya kekal tidak betul sepanjang zaman dan apa yang mulanya betul, tidak semestinya sampai bila-bila tetap betul.


2. Dalam
kes hari ibu, ia telah melalui evolusi yang pada hari ni sudah tiada kena mengena pun dengan mitos atau dewa orang Yunani. Hakikat ini tidak boleh dinafikan dalam menetapkan hukum. kalau tidak, hukum akan bersifat statik dan tidak tepat.

3. Sambutan hari ibu berbeza sama sekali dgn hari Valentine kerana pada hari ibu, kita tidak lagi memperingati dewa, simbol atau tokoh agama tertentu, tetapi yang diperingati ialah semua kaum ibu. Selain itu, menghargai jasa ibu ialah anjuran agama. Manakala, budaya hari Valentine umumnya ialah bersifat jalinan kasih antara pasangan yang bercinta yang melibatkan golongan yang belum kahwin, berunsur "romen-romen" dll, adalah sesuatu yang lebih dekat dengan larangan agama. Maka, eloklah ia dilarang untuk tutup pintu kejahatan.

4. Kalau diperhatikan, sebahagian dari nama-nama bulan-bulan tahun Gregorian ialah nama-nam
a dewa orang-orang Rom dan Yunani dahulu kala (sila rujuk mereka yang arif dalam hal ni) tapi kita tidak dengar pendapat para ulama yang mengharamkannya kecuali mungkin oleh golongan yang kecil (ultra-ortodoks) di kalangan umat Islam kerana penggunaan nama-nama bulan ni pada hari ni sudah hilang pada pemikiran umum sebagai pendewaan terhadap dewa Rom atau Yunani. "

Sumber: Klik di
sini


"Dr. Yusuf al-Qaradhawi pernah berkata, “Hari ibu ini timbul kerana pihak orentalis/doktrin barat memikirkan bahawa inilah cara yang terbaik untuk mereka menarik minat anak-anak remaja barat agar menghormati orang tua mereka. Umumnya kita tahu bahawa masyarakat barat amat tipis dengan adab tatasusila, jadi dengan mengadakan/mengkhususkan hari-hari tertentu sekaligus dapat memupuk remaja mereka agar menyayangi dan menghormati orang tua mereka.”


Sumber: Klik di
sini


Selain hari lahir dan hari perkahwinan, diharuskan juga kita menyambut hari-hari bersama dalam Negara dan masyarakat. Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi menegaskan dalam fatwanya; “…Adapun perayaan-perayaan Negara seperti sambutan kemerdekaan atau penyatuan atau perayaan-perayaan kemasyarakatan seperti sambutan hari ibu, hari kanak-kanak, hari buruh, hari pemuda dan sebagainya, harus bagi seorang muslim untuk mengucapkan tahniah (kepada orang lain) bersempena hari tersebut dan harus ia menyertainya atas dasar ia salah seorang penduduk atau pemastautin di Negara tersebut dengan syarat ia hendaklah menjauhi perkara-perkara yang diharamkan oleh Syari’at yang berlaku semasa sambutan-sambutan tersebut”.

Sumber: Klik di
sini


Saya amat mengesyorkan tetamu ziarah sekalian untuk berkunjung ke link tersebut untuk mendapatkan versi perbincangan yang lebih lengkap.


Kesimpulannya, WaLLAHua'lam. Saya pun tidak pasti akan hukum kedudukan yang sebenarnya. Khilaf / Perbezaan pendapat masih berlaku di situ.
Walau bagaimanapun, pada pandangan peribadi saya - adalah lebih aslam / selamat untuk *saya tidak menyambutnya. Saya guna "saya" kerana itu saya peruntukkan khas kepada diri saya. Takut orang kata saya memandai-mandai bagi hukum kepada orang lain. Maka saya gunakan "saya".


Nabi SAW pun tidak pernah menganjurkan perayaan khusus seperti ini,
pesan baginda hanyalah mengasihi dan berbakti kepada ibu bapa - selagi tiada perlanggaran syari'at dalam mentaati titah kedua-duanya. Begitu juga dalam Al-Qur'an, suruhan ALLAH SWT adalah mentaati kedua-duanya tidak mengira masa - selagi syara' bukan gadaian dalam ketaatan.


Nabi SAW pernah bersabda "Tiga perkara yang mana apabila dengannya, suatu pekerjaan / 'amal tiada bermanfaat : 1. Mensyirikkan ALLAH SWT, 2. Menderhakai kedua ibu bapa, dan lari dari medan perjuangan."

Tidaklah patut keraian untuk orang yang banyak berjasa di dalam hidup kita hanya dikhususkan pada suatu tarikh tertentu sahaja. Bukankah sepatutnya hari-hari di dalam hidup kita adalah hari Ibu, hari Bapa, hari suami, hari isteri dan macam-macam lagi? Bagi saya tidak layak penghargaan itu hanya dalam sehari sahaja.


Oleh itu, raikanlah ibu ayah kita selagi hayat kita masih ada!


Mari!


Mari Kasihi dan Sayangi Ibu dan Ayah Kita Setiap Masa!


"Ya ALLAH, Ampunilah bagi kami segala dosa kami dan juga dosa kedua ibu bapa kami, serta kasihanilah mereka sebagaimana mereka memelihara dan mendidik kami di masa kami kecil. Ya ALLAH, terimalah daripada kami amalan kami. Ya ALLAH, makbulkanlah doa kami"
Amin, Ya Rabbal 'Alameen.


Wassalam

Ibn 'AbdiLLAH As-Sarawaki,
4.44pm,
9 Mei 2009, Sabtu,
Bintulu, Sarawak.


Katakan "TAK NAK" Kepada Tabarrujul Jahiliyah!

Katakan "TAK NAK" Kepada Tabarrujul Jahiliyah!
klik pada imej untuk ke link

klik pada imej untuk ke link

klik pada imej untuk ke link

Alternatif Fesyen Islami

Alternatif Fesyen Islami
klik pada imej untuk ke link

Jom Belajar Bahasa Arab

Jom Belajar Bahasa Arab
klik pada imej untuk ke link

Video-video Pilihan

Ustaz Ismail Kamus - Nafsu Makan Ustaz Ismail Kamus - Alam Jin Ustaz Azhar Idrus - Banduan Akhirat Ustaz Azhar Idrus - Tidur 20 Tahun