Darussyifa' Online

Darussyifa' Online
klik pada imej untuk ke link

BIC Smart Shop

BIC Smart Shop
klik pada imej untuk ke pautan

Boikot Zionis La'natuLLAH!

Boikot Zionis La'natuLLAH!
klik pada imej untuk ke link

klik pada imej untuk ke link

klik pada imej untuk ke link

Selamatkan Gaza!

Selamatkan Gaza!
klik pada imej untuk ke link

Wednesday, September 24, 2008

Ramadhan : Kita Belum Terlambat...

As-Salamu’alaikum Wa RahmatuLLAHi Wa Barakatuh dan Salam Ramadhan kepada tetamu ziarah sekalian.

Pejam celik pejam celik, secara sedar ataupun tidak, sudah 25 hari kita berada di dalam Bulan Ramadhan ini, justeru semakin cepat rasanya Ramadhan akan meninggalkan kita. Maka, ini juga menandakan bahawa semakin dekatlah juga Aidilfitri datang kepada kita, tak tersangka-sangka dan tidak terasa – rupa-rupanya hanya beberapa hari sahaja lagi Hari Raya ‘Eidul Fitri bakal tiba.

Girang juga rasa di hati. Mana taknya, meriah di pasar-pasar sekarang dengan promosi-promosi itu ini, dengan lagu-lagu raya yang berkumandang di sana-sini, dengan keadaan orang ramai yang berpusu-pusu membawa plastic bag dan lain-lain beg penuh dengan ‘barang-barang’ raya (maka secara automatiknya jari-jemari manusia seolah-olah terkena sumpahan dan menjadi hanger-hanger yang mampu membawa sehingga 5 beg plastik setiap tangan!! Betapa hebatnya orang Malaysia!!) – semuanya membangkitkan rasa ‘nak sangat beraya’.


Sebak dan Insaf
Namun, di satu sisi yang lain - jauh di sanubari terasa sebak dan terkadang insaf dengan realiti bahawa semakin hari semakin Ramadhan ingin pergi meninggalkan kita.

Sebak dan insaf mengenangkan adakah pada hari-hari yang berlalu telahpun kita manfaatkan dengan sebaik-baiknya peluang keemasan untuk mengejar promosi-promosi yang ALLAH SWT telah tawarkan kepada kita.


Kenapa??

Special Offer Orang Lain Tak Boleh Chelen……
MasyaALLAH!!! Jikalau dibandingkan ganjaran pahala atas amal soleh kita pada bulan ini dengan bulan-bulan yang lain, dan jika ganjaran itu adalah dalam suatu bentuk yang tangible ataupun bahasa orang kampung saya suatu benda yang nampak dan boleh dirasa, saya dengan amat pasti merasakan bahawa tawaran-tawaran hebat di Parkson Grand, Giant, SOGO, Farley (di Bintulu), MDS (di Bintulu), ParkCity Mall (juga di Bintulu) dan lain-lain tempat tidak mampu menjadikan kita rambang mata. Hatta apabila ditawarkan potongan harga 99% sekalipun tidak akan mampu meliurkan dan melekakan kita kerana kita tahu akan nilai amal soleh pada Bulan Ramadhan, Shahrul ‘Ibaadah ini – jikalau kita nampak dan kita sedar akan kelebihan-kelebihan di dalamnya.

Jikalau di pasaraya dan gedung-gedung membeli belah, tawaran-tawaran ataupun diskaun-diskaun hebat mampu meliurkan kita, kenapa pula tawaran-tawaran menarik daripada ALLAH SWT tidak mampu menggerakkan ataupun memotivasikan kita untuk lebih beramal dalam bulan ini? Walhal sudahpun diterangkan dalam banyak hadith-hadith dan ayat Al-Qur’an berkenaan dengan fadhilat ataupun kelebihan bulan ini, antaranya:

“Telah tiba kepada kamu bulan Ramadhan iaitu bulan yang penuh keberkatan. ALLAH telah mewajibkan ke atas kamu agar berpuasa pada bulan itu.”
-Hadith Riwayat Imam Ahmad, no 9133.

“Apabila datang bulan Ramadhan, pintu-pintu syurga akan dibuka”
Hadith Riwayat al-Bukhari, no 1898.

“Apabila tiba bulan Ramadhan, maka dibuka pintu-pintu rahmat”.
Hadith Riwayat Muslim, no 1079.

“Apabila masuk bulan Ramadhan, pintu-pintu langit dibuka dan pintu-pintu neraka jahannam ditutup.’
Hadith Riwayat al-Bukhari, no 1899.

Dan di dalamnya ada suatu malam yang membawa fadhilat amal melebihi seribu bulan iaitu, Lailatul Qadr.:

FirmanuLLAHu Ta’ala fil kitabil azhim yang lebih kurang bermaksud:
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Qur’an itu) pada malam al-Qadar. Apakah cara yang membolehkan engkau mengetahui kebesaran lailatulqadr itu? Lailatul Qadr ialah malam yang paling baik berbanding 1000 bulan. Pada malam itu, para malaikat dan malaikat Jibril turun dengan izin Tuhan mereka membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun berikutnya). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar,”
Surah Al-Qadr ayat 1-5.

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Qur’an itu pada malam yang penuh berkat. (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (agar hamba-hamba Kami tidak ditimpa azab). (Kami menurunkan al-Qur’an) pada malam yang berkat itu, di samping menjelaskan (kepada malaikat) semua perkara yang mengandungi hikmah serta takdir yang akan berlaku”.
Surah Ad-Dukhaan ayat 3-4.

Dan sabdaan Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:
“Carilah lailatulqadr pada malam-malam yang ganjil daripada sepuluh malam terakhir di bulan Ramadhan”- Hadith Riwayat Al-Bukhari no 2017.

“Carilah (lailatulqadr) pada sepuluh malam terakhir. Jika seseorang kamu lemah atau tidak mampu, janganlah dia kalah (putus asa) mencarinya pada baki tujuh malam terakhir.”
Hadith Riwayat Muslim no 1165.

Aisyah r.a berkata:
“RasuluLLAH SAW bersungguh-sungguh melakukan ibadah pada sepuluh hari terakhir yang tidak pernah dilakukannya pada waktu lain.”
Hadith Riwayat Muslim no 1174.

Nah! Bukankah sudah terbukti dengan dalil-dalil yang telah disebutkan tadi tentang kelebihan-kelebihan di dalam Bulan Ramadhan.

Melalui keterangan-keterangan yang telah diperjelaskan itu, saya merasakan dan menyeru bahawa di saat-saat terakhir baki hari-hari di dalam bulan Ramadhan ini harus kita manfaatkan dengan semaksimum mungkin. Istilahnya semakin kuat kita press minyak pada masa-masa terakhir yang semakin kesuntukan ini. Sepatutnya, apabila semakin berlalu hari-hari dalam bulan Ramadhan, semakin meningkat ataupun sekurang-kurangnya konsisten bilangan saf di masjid untuk menunaikan solat berjemaah (especially tarawikh), bukanlah seperti realiti di mana graf bilangan manusia vs hari dalam bulan Ramadhannya seperti inverted bell-curve shaped ataupun dalam bahasa lain, bentuk kubah loceng yang terbalik.

Di samping merenung realiti tersebut, lihatlah juga bagaimana ALLAH SWT sangat mengetahui sifat-sifat hambaNya yang lemah di mana apabila semakin hari menuju akhir Ramadhan semakin kita terasa lemah untuk meneruskan perjuangan kita – maka lalu diberikanNya kelebihan satu malam yang mana ganjaran amal di dalamnya melebihi seribu bulan @ 83.4 tahun (sampaikah umur kita ke situ??)

Belum Terlambat…
Kalau dikira-kira, sebenarnya kita masih mempunyai masa untuk meraih keuntungan di dalam saki-baki beberapa hari lagi dalam bulan Ramadhan ini. Istilahnya, it’s never too late. Mungkin telah berlalu malam lailatulqadr yang penuh keberkatan itu, tetapi tidaklah bermaksud kita sudah tidak boleh mengambil manfaat dari baki-baki hari yang seterusnya, jangan bimbang! Kita masih lagi dalam bulan Ramadhan dan insyALLAH, kita masih sempat untuk meraih peluang-peluang keemasan yang ada. Jika ditakdirkan oleh ALLAH SWT, mungkin kita akan bertemu dengan lailatul mubarakah itu- siapa tahu / who knows?

Maka sebagai khulasah kepada entri yang pendek dan ringkas ini, hanya ada dua mesej yang ingin saya sampaikan:

1. Marilah kita sama-sama rebut ganjaran dan special offer dari ALLAH SWT dalam Shahrur Ramadhan, Shahrul ‘Ibaadah wa Shahrus Shiam ini. Bulan Ramadhan : Bulan Karnival Ibadah Yang Sure Heboh!!! Di dalamnya terdapat tiga pakej menawan hati orang-orang yang beriman : 3 Fasa – 10 fasa pertama sebagai pengurniaan rahmat, 10 fasa pertengahan sebagai fasa pengampunan dosa-dosa lalu, dan fasa ketiga yang kini kita berada di dalamnya iaitu fasa pelepasan dari api neraka.

2. Belum terlambat untuk kita mengubah rentak (jikalau kita slow pada mulanya dalam bulan Ramadhan ini) lantas mengubah cara ataupun mungkin nasib kita dalam bulan ini. Masih ada baki beberapa hari lagi dalam fasa Pelepasan Dari Api Neraka ini. Ayuh, marilah sama-sama angkat diri masing-masing dari kerusi ataupun sofa yang empuk itu, dan mulakanlah langkah pertama kita untuk meraih janji-janji ALLAH SWT.

WaLLAHua’lam.

Ghulam As-Sarawaki

Khamis, 7.49 AM
25 September 2008 / 25 Ramadhan 1429H

P/S : Ber’ibadah dan kejarlah peluang ini sekadar kemampuan. Jangan memaksa diri untuk melakukan ‘amal-‘amal yang dirasakan berat untuk diri. Tubuh badan kita juga ada hak yang perlu kita tunaikan terhadapnya. ‘Amal yang sedikit tetapi istiqamah adalah lebih baik di sisi ALLAH SWT berbanding ‘amal yang banyak tetapi terputus-putus dan tiada konsistensi.

Sunday, August 24, 2008

Fiqh LAGU RAYA??!!



"Bergema suara takbir di angkasa….selembut bayu meresap ke dalam jiwa.." ..ahh.. begitu indah sekali nyanyian saudara Aman Shah. Lagu ‘Kepulangan Yang Dinanti" – lagu raya yang saya kira memang tidak boleh ditinggalkan untuk dimainkan setiap kali Syawal tiba. Terkadang ada semacam satu semangat yang bangkit dalam diri apabila terdengar kumandang lagu tersebut. Terasa ‘aroma’ kesegaran yang refreshing setiap kali mendengar lagu tersebut. Bermotivasi sungguh saya pada pagi itu, menyiapkan tugasan sambil mendengar lagu raya.

"Aiseh, ape ni Hafeez??!! Dengar lagu raya time ni?? Bulan puasa pun tak masuk lagi.." tiba-tiba keluar suara sumbang tersebut seraya daun pintu bilik saya dibuka secara tiba-tiba. Kurang beradab sungguh rakan saya yang seorang ini. Sudahlah masuk tanpa mengetuk pintu, apatah lagi nak memberi salam. Selepas itu, begitu pula perlinya terhadap saya. Apa salah saya??!! Apa masalah saya??

Salah saya - Saya dengar lagu raya.


Mentaliti
Mendengar kalimah sumbang seperti itu keluar dari mulut rakan saya tadi, terus saya capai mouse dan saya klik ‘stop’ pada Winamp di laptop saya. Terhenti separuh jalan lagu Aman Shah tadi. Saya terfikir – salahkah mendengar lagu raya di waktu bukan Hari Raya? Ada masalahkah mendengarnya bukan pada Hari Raya? Tidak pernah pun saya mendengar atau terbaca wujudnya Fiqh berkenaan lagu – lagu raya ataupun mana-mana tulisan Dr Yusuf Al-Qaradhawi berkenaan tidak boleh mendengar lagu Raya bukan pada masanya.

Itu semua bukan masalahnya. Masalah di sini ialah mentaliti. Bukan mentaliti orang yang mendengar, tetapi mentaliti yang menegur dan menegah, seolah-olah tidak boleh mendengar lagu raya bukan pada Hari Raya.


Lebih baik dengar lagu Raya…
Pada saya, adalah lebih baik saya mendengar lagu raya daripada saya mendengar lagu-lagu lagha, lagu-lagu cintan-cintun, lagu-lagu rock memaki hamun. Motivasi yang meresap ke dalam diri apabila mendengarnya ialah motivasi beraurakan semangat yang positif. Saya dengar lagu raya saya teringat suasana kampung, saya teringat kenangan raya-raya masa kecil dulu, saya teringat mak ayah, saya teringat ALLAH SWT, saya teringatkan NabiNya. Semuanya menyegarkan diri saya. Semuanya memberikan kekuatan semasa saya melakukan kerja-kerja saya. Semuanya seolah-olah meringankan beban saya apabila saya disibukkan dengan berbagai perkara. Ianya sudah menjadi semacam kerehatan minda. Jadi, apa salahnya mendengar lagu raya??

Bagi saya, lagu raya boleh dijadikan sebagai alternatif kepada mereka yang telinganya sangat sensitif tidak dapat menerima lagu-lagu nasyid. Di dalam lagu raya terkandung kalimah takbir memuji ALLAH, terselit mesej-mesej memohon kemaafan (contohnya lagu "Dari Jauh Ku Pohon Maaf dendangan ALLAHyarham Sudirman), terkandung kalimah-kalimah cinta kepada ibu bapa dan sanak saudara, terkandung mesej mahu berbakti (lagu Aman Shah tadi contohnya). Semuanya perkara-perkara yang ma’ruf. Tidak ada unsur-unsur mabuk cinta yang berlebihan, tiada lenggok seperti dangdut di dalamnya, tiada ‘gerudi’ seperti Inul ratu dangdut di dalamnya, tiada unsur maki hamun, tiada unsur seks dan nafsu syahwat. Semuanya mesej-mesej yang baik. Malah ada peringatan tentang sembahyang pula.

Tidak saya nafikan ada juga lagu Raya yang menyelitkan unsur cintan-cintun, namun tidak banyak di dalam kebanjiran lagu raya yang ada sekarang. Dalam kes lagu raya + cintan cintun ini, gunakanlah kelebihan akal dan yang paling penting sekali- iman- untuk menilainya. Ambil yang jernih, buang yang keruh. Yang buruk dijadikan sempadan.


Al-Khulasah…
Sebagai khulasah/kesimpulannya, saya rasa tiada salahnya kita dengar lagu raya bukan pada hari raya. Isi-isinya baik untuk kita hadam. Semangat cetusan daripada mendengarnya amat positif sekali. Di kala iman manusia akhir zaman yang kebanyakannya diserang penyakit dan mengalami serangan dari pelbagai pihak yang ingin menghancurkan Islam, lagu raya adalah seringan-ringan lagu yang boleh menggantikan nasyid dalam berda’wah kepada masyarakat umum dan sekurang-kurangnya boleh dijadikan sebagai medium untuk mengembalikan masyarakat, terutamanya golongan muda-mudi ke pangkal adat dan tatacara budaya Melayu kita.

Apabila saya menyebut lagu raya boleh dijadikan sebagai pengganti nasyid, bukanlah bermaksud lagu raya dimainkan setiap masa tidak kira masa-tidak kira Hari Raya ataupun tidak. Bukan bermakna dimansuhkan lagu nasyid. Bukan!! Itu sudah keluar dari adab—adab yang sepatutnya. Apa yang saya maksudkan tadi adalah lebih kepada personal entertainment, atau dengar sendiri-sendiri. Maksud saya, adalah lebih baik kita memasang lagu raya (jikalau kita ni ada penyakit alahan terhadap nasyid) daripada memasang lagu-lagu lagha semasa membuat kerja ataupun sebagainya.

Dengarlah pada bila-bila masa sahaja kita suka, cuma janganlah dimainkan kuat sangat dengan memasang lagu-lagu tersebut sekuat hati sehingga berdentum speaker di computer, sehingga satu kolej mendengarnya. Rasionallah sedikit dalam hal ini.

Sebagai mengakhiri entri ini, bersamaan semakin hampirnya Ramadhan Al-Mubarak, saya ingin memohon atas segala silap dan salah yang pernah saya lakukan kepada semua yang mengenali saya dan juga kepada sesiapa yang pernah membaca tulisan-tulisan saya. Kadangkala mungkin ada yang tersindir dan terkecil hati, maka di sini saya menghulurkan dan menyusun sepuluh jari memohon kemaafan. Sama-sama kita doakan agar Ramadhan yang bakal menjelang menjadi medan untuk perubahan ke arah yang lebih baik untuk kita semua, semoga menjadi hamba-hambaNya yang soleh, insyaALLAH. AMEEN, Ya Rabbal ‘Alameen.



8.23 am, Ahad
24 Ogos 2008

Ghulam As-Sarawaki

P/S: Saya pun tengah mendengar lagu raya ketika ini. Dengar-dengar lagu raya boleh, tapi jangan tak puasa sudahlah (tersenyum).

Kalau Tak Sibuk, Bukan Studentlah Namanya!!!



Assalamu’alaikum warahmatuLLAHi wabarakatuh…

AlhamduliLLAH, setelah sekian lama ‘menyepikan diri’ tanpa khabar, tanpa entri terbaru untuk dikongsi bersama, akhirnya saya berjaya juga untuk ‘meloloskan diri’ daripada jadual kehidupan yang agak padat lantas mengambil sedikit masa untuk menulis entri ini. Sebenarnya sudah lama terbuku nian di hati untuk menulis, tetapi apakan daya…kehidupan sebagai mahasiswa tahun akhir memaksa saya untuk akur dengan jadual yang agak padat, diisi dengan temujanji bersama dengan supervisor untuk kajian saintifik projek tahun akhir, tugasan-tugasan tambahan, penglibatan dalam program-program anjuran pihak luar UPM Kampus Bintulu, serta secara tidak langsung turut terlibat dengan program-program anjuran pihak kolej sendiri, lebih-lebih lagi program kemerdekaan yang sedang berlangsung (sila lawat www.wiraislam.blogspot.com untuk pembacaan selanjutnya) yang dikendalikan oleh akhi Izzuddin – syabas ya akhi atas kejayaan anta dalam menganjurkan program Forum Kemerdekaan dan Keamanan baru-baru ini!


Memang sibuk!
Saya akui bahawa sememangnya kombinasi antara peranan sebagai pelajar tahun akhir dan sebagai individu yang beriltizam mengikat diri dengan perjuangan menjanjikan seribu satu kesibukan. Tugasan akan bertimbun setiap minggu, ditambah dengan term paper yang menjadi kewajipan untuk setiap pelajar tahun akhir yang mengambil kursus elektif. Tidak cukup dengan itu, pelawaan menjadi fasilitator untuk program-program -yang sememangnya merupakan peluang yang baik untuk da’wah, da’wah, da’wah!!- di hujung minggu.

Walau bagaimanapun, saya yakin bahawa apa yang saya alami sekarang bukanlah kesibukan di tahap maksimas!! Kalau dinilai semula, pasti ada lompong kekosongan yang mungkin telah diisi dengan perkara-perkara yang tidak membawa sebarang faedah dalam diari hidup kebelakangan ini.

Itulah yang menjadi ketakutan bagi saya – kalau-kalau kesibukan yang dialami saat ini sebenarnya kesibukan yang tidak membawa apa-apa manfaat kepada diri, kesibukan yang sepatutnya tidak menjadikan kita sibuk, tetapi kesibukan yang lebih menjauhkan diri daripada ALLAH SWT dan jalan-jalan menuju keredhaanNya. Wal ‘iyyadzabiLLAH!!!... Saya pun sudah mula pening melihat banyaknya perkataan ‘sibuk’ dalam tulisan ini.


Kalau tak sibuk, bukan studentlah namanya!!!
Seringkali terdengar di telinga saya keluhan teman-teman "Entah ape-ape sibuk minggu ni!!", "Hai, sibuknya!! Rasa macam nak mati sibuk macam ni!!", "Huh! Busy, busy. Pah ceroh (rujuk translator Bahasa Kelantan) busy!!" dan lain-lain lagi lafaz yang senada dengannya. Bertenanglah syeikh.. itu baru beberapa kerat assignment yang perlu dibuat. Ada lagi orang yang jauh lebih busy daripada kita di luar sana. Lagipun kalau dah namanya student, apalagi yang boleh kita harapkan selain daripada menanti tugasan-tugasan yang bakal menghujan dan menjadi seorang yang sangat busy. Kalau nak duduk rilek santai-santai gitu jer, lebih baik berhenti belajar duduk rumah tengok TV!!! Relaxlah bro! Kalau tak sibuk, bukanlah student namanya!!! Makcik cleaner pun busy.


Sinar cahaya di sebalik ke-busy-an…
AlhamduliLLAH
, saya baru sahaja selesai sesi pembentangan proposal untuk projek tahun akhir pada petang tadi. Syukur kepada ALLAH SWT, segala-galanya dipermudahkan sedangkan semua persiapan dibuat dalam keadaan yang tergesa-gesa dan di saat-saat akhir. Sekurang-kurangnya ringanlah sedikit beban dalam kepala yang beruban ini. Kalau sebelum ini, saya dan seorang sahabat karib saya asyik terkejar-kejar ke sana ke mari, terkontang-kanting mahu menyiapkan draft untuk proposal dan menghantar draft tersebut untuk disemak. Itu pun dua-tiga kali dihantar dan pada masa yang sama direject. Belum masuk handouts untuk slideshow untuk pembentangan lagi. MasyaALLAH…memang sibuk!

Hari-hari sebelumnya, draft masih lagi belum diluluskan sedangkan pembentangan hanya tinggal dua tiga hari sahaja lagi. Nak prepare untuk bentang pun belum berkesempatan lagi. Mujurlah melalui penglibatan dalam usrah sedikit sebanyak telah melatih diri untuk bercakap di khalayak ramai – cuma bezanya pembentangan adalah dalam Bahasa Inggeris, SubhanaLLAH!!!
Itu dua tiga hari sebelum presentation. Tetapi beberapa hari lagi sebelum itu (termasuk dua minggu sebelumnya), banyak program-program yang dilaksanakan termasuk persembahan nasyid (saya main bongo), kemudian menjadi fasilitator untuk kem kepimpinan Islam untuk pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bintulu, tidak cukup dengan itu ditambah lagi dengan ‘tugasan’ membantu untuk program Forum Kemerdekaan dan Keamanan secara bidan terjun, dan di bilik pula – draft proposal menanti, empat lab report menanti untuk disiapkan. Ditambah lagi dengan usrah serta group discussion. Ya Rabbi, memang sibuk!





Walau bagaimanapun, apa yang saya ceritakan tadi – saya bawakan bukanlah untuk mengeluh kerana sibuk. Secara jujur, daripada kesibukan ini saya ambil semuanya secara positif. Bagi saya inilah masanya untuk mempertingkatkan produktiviti dalam diri. Kita perlu bijak mencari peluang seperti ini!

Di sebalik kesibukan itu, saya temui sinar cahaya. Walaupun busy dengan jadual yang padat sebegitu, saya cuba terapkan konsep ibadah dalam kerja-kerja tersebut –"Aku buat ini kerana ALLAH!! Al-‘AmaluliLLAH!! Kita tolong ALLAH, maka ALLAH akan tolong kita!!!". Itulah antara kata-kata yang sentiasa saya bisikkan kepada diri ketika hati mula hendak mengeluh kerana sibuk. Dengan sepenuh hati saya yakini bahawa setiap yang saya lakukan ketika itu, jika semuanya berlandaskan "Al-‘AmaluliLLAH/Beramal kerana ALLAH", maka ALLAH akan permudahkan pula urusan saya.

AlhamduliLLAH, segala-galanya telah terbukti petang tadi. Walaupun dengan persediaan yang tidak seberapa, tapi saya cukup berpuas hati dan teman-teman sekuliah juga turut memberikan feedback yang amat memberangsangkan terhadap pembentangan saya. Saya amat bersyukur atas pertolongan ALLAH atas dipermudahkan urusan saya terutamanya petang tadi. Saya masih ingat lagi pada malam semalam sebelum hari pembentangan, saya dan sahabat-sahabat dipanggil untuk usrah mengejut pada pukul 11 malam sampai 1 pagi. Sedangkan slideshow untuk pembentangan belum siap, nak cakap apa untuk esok pun tak tahu lagi….kemudian di tengah-tengah sesi usrah, diuji pula dengan blackout (semakin susah hati saya ketika itu) – dengan keadaan slideshow masih dalam proses ketika itu, selepas itu perlu kepada pembacaan tambahan pula.. ketika itu saya hanya berserah kepada ALLAH, dan di dalam hati saya wujud keyakinan ALLAH akan bantu saya setelah pengorbanan yang saya lakukan sehingga di saat-saat akhir…

SubhanaLLAH! AlhamduliLLAH! ALLAHuakbar!

ALLAH SWT telah tolong saya.
Maka di sini, saya menadahkan tangan seraya berdoa….



Ya ALLAH, betapa besar nikmat yang telah Engkau kurniakan kepadaku. Segala puji hanya bagiMu, kepadaMu ku serahkan diriku, maka jadikanlah aku di kalangan hambaMu yang soleh yang meyakini segala ketentuan di tanganMu. Jadikanlah aku termasuk di kalangan orang yang berada lurus dalam agamaMu dan keluarkanlah aku dari golongan orang yang terkeluar dari jalanMu. Jadikanlah aku dari kalangan orang yang membela agamaMu. AMEEN, Ya Rabbal ‘Alameen.

11.50 pm, Sabtu
23 Ogos 2008

Ghulam As-Sarawaki

P/S: Tidak rugi kita beriltizam untuk berjuang membela agamaNya. Sebenarnya semakin kita diuji dengan cabaran sedemikian, maka semakin terasa kemanisan iman dan kemanisan dalam berjuang. Itulah yang akan menambahkan keyakinan dan keimanan kita kepada ALLAH SWT, insyaALLAH. WaLLAHua’lam.

Wednesday, August 6, 2008

ALLAHUMMA...



ALLAHUMMA…
Tika ini, daku mulai menghisab diri,
Adakah diriku layak digolongkan ke dalam HizbuLLAH-Mu,
Adakah diriku layak mengkalungkan diriku dengan gelaran pejuang,
Sedangkan semakin hari aku merasakan,
Hidup ini ku soroti sambil ku heret bersama dosa noda,
Kadangkala terlalai diriku dari menerima seruan-Mu.

ALLAHUMMA…
Bagaimanakah pandangan-Mu terhadapku di tika ini,
Iltizamku mahu istiqamah selalu dalam menuju redha-Mu,
Kadangkala ku rasakan seolah retorika semata,
Takutku ia tiada nilai di sisi-Mu,
Tidak sanggup aku diperlihatkan betapa jelik amalanku,
Pun begitu, daku masih lagi mengharapkan keampunan-Mu itu.

ALLAHUMMA…
Ku pohon kepada-Mu, Kau kuatkanlah diriku,
Dalam hidupku penuh mehnah ujian daripada-Mu,
Ku pinta kepada-Mu perasaan cinta terhadap-Mu,
Ku mohon kepada-Mu lindungan dari mengingkari perintah-Mu,
Ku rayu selamatkanlah aku dari mensyirikkan-Mu,
Ku pinta dengarkanlah rintihanku.

ALLAHUMMA…
Pintaku semangat juang membela agama-Mu,
Pintaku kekuatan menghadapi ujian-Mu,
Pintaku kabulkanlah permintaanku.
AMEEN YA RABBAL ‘ALAMEEN.
Ghulam As-Sarawaki

Katakan "TAK NAK" Kepada Tabarrujul Jahiliyah!

Katakan "TAK NAK" Kepada Tabarrujul Jahiliyah!
klik pada imej untuk ke link

klik pada imej untuk ke link

klik pada imej untuk ke link

Alternatif Fesyen Islami

Alternatif Fesyen Islami
klik pada imej untuk ke link

Jom Belajar Bahasa Arab

Jom Belajar Bahasa Arab
klik pada imej untuk ke link

Video-video Pilihan

Ustaz Ismail Kamus - Nafsu Makan Ustaz Ismail Kamus - Alam Jin Ustaz Azhar Idrus - Banduan Akhirat Ustaz Azhar Idrus - Tidur 20 Tahun