Tuesday, November 4, 2008
Dedikasi Untuk Murabbi-ku...
Melihatkan kepada keadaan Ustaz Halim yang saya sendiri kirakan agak kritikal, saya rasa memang sangat baik dan sudah sampai masanya untuk beliau menjalani pembedahan.
Rasanya, kebanyakan pelajar Ustaz Halim perasan akan cara Ustaz Halim yang menampakkan bahawa beliau tidak sihat, cuma mungkin ramai yang tidak tahu sakit apa?....
Pada 13 november ni, Ustaz Halim akan menjalani pembedahan pada bahagian tulang belakang beliau yang (sebenarnya) telah lama sakit sebagai kesan daripada kemalangan yang beliau pernah lalui semasa di zaman mudanya dulu (jangan salah anggap. Ustaz Halim memang masih muda).
Pernah juga beliau ceritakan kepada saya tentang sakit dan kemalangan yang pernah dialaminya itu. Patutlah sebelum ini apabila saya solat di belakang beliau, seolah-olah beliau berada dalam keadaan yang tidak sihat (time rukuk dan sujud). Perkara tersebut cuma saya sedari dan ketahui semasa saya berada di semester 4.
Apa-apa pun, tujuan saya memasukkan entri ini tidak lain sebagai dedikasi kepada Ustaz Halim yang akan menjalani pembedahan tidak lama lagi.
Saya memohon kepada saudara pengunjung sekalian agar turut bersama mendoakan kesejahteraan dan keselamatan Ustaz Halim semasa pembedahan tersebut serta mendoakan kesembuhan untuknya.
Maaf, mungkin ayat-ayat dalam entri ini tidak tersusun...mungkin dirasakan urgent.
Saya mendoakan agar Ustaz selamat menjalani pembedahan tersebut dan semoga cepat sembuh.
Ibn 'AbdiLLAH As-Sarawaki
00:12 am, 5th November 2008, Wednesday.
Permantapkan Agenda Membendung keciciran
MUQADDIMAH
Beberapa bulan yang lalu, saya ada menyebut tentang perlunya gerakan Islam mempunyai perencanaan dan perancangan yang rapi dalam gerak kerjanya (rujuk entri : Gerakan Islam Memerlukan Perencanaan). Salah satu daripada aspek penting yang sangat teramat perlu diambil kira ialah dari segi perlaksanaan agenda tarbiyah itu sendiri yang mungkin perlu dipermantapkan lagi ataupun perlu ditekankan dan dijadikan sebagai fokus utama sebelum seseorang ahli gerakan Islam itu layak berdepan dengan lapangan ummat.
Hal ini demikian kerana wabak yang kronik ataupun acute akibat ‘tidak cukup’ tarbiyah (nak kata tarbiyah tidak cukup, hakikat tarbiyah itu berterusan sepanjang hayat) seringkali membawa kepada epidemic yang kita kenali sebagai Al-Mutassaqit dan Futur.
Al-Mutassaqitun bermaksud Golongan Yang Tercicir manakala Futur pula Hilang Semangat Dalam Perjuangan (apabila dibaca dengan huruf ta. Tapi apabila dibaca dengan huruf tho, ianya memberi makna breakfast ataupun boleh juga berbuka puasa – indahnya bahasa ‘Arab).
Antara symptom-simptom yang boleh dilihat pada penghidap penyakit-penyakit ini adalah:
- kurang aktif untuk melibatkan diri dalam usrah dan gerak kerja jamaah.
- Sering memberikan alasan apabila diajak untuk melibatkan diri dalam program-program ‘amal Islami.
- Wujud unsur escapism apabila diberikan suatu tugas
Sebelum sempat wabak-wabak ini menular kepada ahli yang lain, saya merasakan bahawa amat perlu untuk kita mengenali punca-punca ataupun asbab keciciran golongan yang berada di Tariq Ad-Da’wah / Jalan Da’wah ini sebagai langkah pertama bagi membendung gejala ini daripada terus merebak.
Adapun, apa yang saya tuliskan dalam entri ini dan juga entri-entri berkaitan pada masa akan datang merupakan rumusan kepada tulisan Ustaz Fathi Yakan. Untuk mendapatkan garapan yang lebih lanjut dan mendalam, saya suggest anda untuk dapatkan sahaja buku ini.
Menurut Ustaz Fathi Yakan di dalam bukunya “Al-Mutasaqitun ‘ala Tariq al-Da’wah” / Golongan Yang Tercicir Di Sepanjang Jalan Da’wah, sebab-sebab yang membawa kepada keguguran bukanlah satu tetapi banyak. Adakalanya disebabkan oleh gerakan itu sendiri, adakalanya disebabkan oleh anggota gerakan Islam itu sendiri dan ada pula
yang bersebab dari suasana yang memberikan tekanan.
Bermula pada bab pertama yang menyatakan (ewah, macam bahasa kitab kuning pulak!) akan dia sebab-sebab berhubung dengan gerakan itu sendiri.
Faktor-faktor berhubung dengan gerakan
- Kelemahan Dari Sudut Tarbiyyah
- Tidak Meletakkan Seseorang Di Tempat Yang Sesuai
- Tidak Membahagi-bahagikan Kerja Kepada Anggota
- Tidak Mengambil Berat Hal Ahli
- Tidak Menyelesaikan Persoalan Dengan Segera
- Pertikaian Dalaman
- Pimpinan Tidak Layak
Faktor #1: Kelemahan Dari Sudut Tarbiyah
Tarbiyah merupakan satu faktor kritikal dalam survival seorang ahli gerakan Islam. Tarbiyah yang mantap, maka dia mempunyai bekalan dalam membawa da’wah dan berjuang dalam lapangan ummat. Sebaliknya jika lemah tarbiyah, kemungkinan besar dia akan hanyut mengikut aliran-aliran menyesatkan yang kuat memerangi pemikiran ummat masa ini.
Berkemungkinan juga dia akan gagal dalam menilai-banding yang mana satu antara pilihan di depan matanya yang lebih awla/utama.
Mengambil contoh yang praktikal dalam konteks perjuangan Islam seperti PAS, risiko keciciran ahli gerakan boleh berlaku sekiranya sudut atau bidang tarbiyah hanya mengambil ruang yang kecil berbanding dengan pentadbiran, penyusunan dan politik di mana bidang-bidang ini hampir mengambil keseluruhan ruang.
Apabila seseorang ahli itu lebih prihatin terhadap agenda siasah dan lebih banyak mementingkan hal-hal semasa mengatasi kepentingan tarbiyah, maka dia lebih cenderung untuk menjerumuskan dirinya ke dalam lembah futur dan mutassaqit.
Menurut Ustaz Fathi Yakan, perkara ini jelas sekali dapat dilihat dalam cara hidup para pemimpin gerakan, para pentadbir dan para mas’ul (orang yang diberi tanggungjawab) menguruskan soal-soal politik dan kemasyarakatan yang tidak prihatin terhadap urusan-urusan tarbiyah samada dari segi teori ataupun ‘amali.
Natijah daripada para pemimpin yang bersikap ignorant terhadap hal ini ialah tindakan dan cara mu’amalah (perhubungan) mereka jauh sekali dari berpedomankan akhlak Islamiyyah. Cara mu’amalah mereka jauh dari berbentuk rabbaniyyah dan ‘uzubah ar-ruhaniyyah (kesedaran rohani).
Mas’ul dalam politik dan pentadbiran, kemasyarakatan atau lain-lain berdasarkan tanggungjawabnya boleh jadi berpuas hati dengan kedudukannya – berpuas hati dia telah mencapai tahap menjadi pucuk pimpinan tanpa merasakan apa-apa lagi kekurangan diri, rohani dan tarbiyyah. Tanpa merasakan kepada perlunya makanan iman dalam hidupnya.
Banyak ayat-ayat ALLAH SWT yang menerangkan betapa iman dalam dada manusia itu boleh bertambah dan boleh berkurang (al-yazid wa yankus):
4. (Tuhan Yang membuka jalan kemenangan itu) Dia lah Yang menurunkan semangat tenang tenteram ke Dalam hati orang-orang Yang beriman (semasa mereka meradang terhadap angkara musuh) supaya mereka bertambah iman dan yakin beserta Dengan iman dan keyakinan mereka Yang sedia ada; pada hal Allah Menguasai tentera langit dan bumi (untuk menolong mereka); dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. (Surah Al-Fath ayat 4)
13. Kami ceritakan kepadamu (Wahai Muhammad) perihal mereka Dengan benar; Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda Yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahi mereka Dengan hidayah petunjuk. (Surah Al-Kahfi ayat 13)
17. dan (sebaliknya) orang-orang Yang menerima petunjuk (ke jalan Yang benar), Allah menambahi mereka Dengan hidayah petunjuk, serta memberi kepada mereka (dorongan) untuk mereka bertaqwa.
Dan juga sabda Rasul-Nya yang bermaksud:
“Sesungguhnya iman yang berada di dalam hati kamu menjadi lusuh seperti mana lusuhnya pakaian. Oleh itu mohonkanlah dari ALLAH Taala supaya Dia memperbaharui iman di dalam hati kamu” (HR at-Thabrani dan al-Hakim).
Maka, dengan realiti ini seorang ahli gerakan itu baik dari peringkat qiyadi (pimpinan) sehinggalah ke peringkat barisan pejuang (jundiyyah) mestilah mengikuti tarbiyyah biar betapa sibuk atau dalam apa jua keadaan sekalipun. Malah dalam keadaan da’wah menghadapi suasana yang buruk, tarbiyyah lebih perlu diberi perhatian. Manusia perlu kepada riayah dan mengingati ALLAH SWT, terutama lagi dalam keadaan yang tegang seperti itu.
Contoh praktikal: ada ahli yang hanya fokus kepada sudut siasah dan isu-isu semasa. Sikap cakna seperti ini memang patut dipuji – kerana dia sensitif terhadap persekitarannya. Masalahnya ialah tempang dari sudut tarbiyyah; tarbiyah yang memastikan dirinya pada landasan yang betul dalam tindakannya sebagai seorang ahli gerakan Islam. Maka apabila ada musibah yang melanda jemaah, dia cenderung untuk membuat keputusan sendiri dan tidak mahu akur dengan keputusan jemaah, malah berbantah-bantahan dengan golongan qiyadah (pemimpin) dalam soal keputusan jemaah. Sedangkan dalam proses tarbiyyah, seseorang itu dilatih untuk menjadi seorang yang taat kepada pemimpin (wala’).
Sebuah gerakan yang daya tarbiyyahnya lemah dan tidak dapat mentarbiyyah seluruh anggotanya akan menyebabkan kecacatan gerakan itu sendiri. Analoginya seperti tubuh badan seseorang yang tidak bersenam, akan lebih mudah mendapat serangan penyakit (termasuk otak yang kurang cerdas). Berbeza pula dengan seseorang yang memang rapi penjagaan kesihatannya, perkara sebaliknya yang berlaku.
Oleh itu, Manhaj Tarbiyyah perlu sentiasa dikemaskini dan dikaji sesuai dengan keperluan dan suasana. Kegiatan tarbiyyah tidak boleh terputus kerana sesuatu darurat atau program (‘amal).
Seluruh anggota gerakan, tanpa kecuali mestilah mengikuti tarbiyyah dari masa ke semasa. Hubungan anggota dengan harakah hendaklah berasaskan kepada asas hubungannya dengan ALLAH dan Islam. Perlu diingatkan bahawa gerakan ataupun jemaah hanyalah wasilah (alat) dan bukan ghayah (matlamat). Ianya adalah wasilah untuk melaksanakan perintah ALLAH dan usaha memperolehi keredhaanNya; bukan untuk mencapai kepentingan diri.
Jemaah tidak mahu ahlinya hanya tahu mengibarkan bendera time kempen, berdemo dan berprotes sahaja tanpa pengisian yang membentuk akhlak-akhlak Islamiyyah yang sebenar-benarnya di kalangan ahli. So, kalau ada tamrin – jangan lari dari tamrin, kalau ada usrah, jangan lari dari usrah.
Ibn ‘AbdiLLAH As-Sarawaki
Ahad, 2 November 2008, 10:58 am.
Wednesday, September 24, 2008
Perutusan 'Aidilfitriku / Kad Raya Untuk Anda
Ada orang kata, bagus juga kalau ada yang terkena, kerana memang tujuan nak bagi kena supaya sedar. Walau bagaimanapun, itu semua saya dan sahabat-sahabat lain lakukan atas dasar dakwah dan kasih sayang sesama Muslim. Menegur bukan kerana benci, tetapi atas dasar mencintai saudara-saudara Muslim yang lain – agar sama-sama kita berjaya di akhirat nanti dan dijauhkan dari azabNya, insyaALLAH.
Sekali lagi, saya memohon maaf seandainya pernah terkasar dan tersilap salah tutur bicara dalam menyusun kata serta tersalah dalam apa-apa jua muamalat dan fi’il-fi’il yang lalu.
Selamat Hari Raya Maaf Zahir dan Batin, semoga berbahagia beraya di samping keluarga anda.
Wassalamu’alaik,
Ghulam As-Sarawaki,
Khamis, 8.15 AM,
25 September 2008 / 25 Ramadhan 1429H.
Ramadhan : Kita Belum Terlambat...
Pejam celik pejam celik, secara sedar ataupun tidak, sudah 25 hari kita berada di dalam Bulan Ramadhan ini, justeru semakin cepat rasanya Ramadhan akan meninggalkan kita. Maka, ini juga menandakan bahawa semakin dekatlah juga Aidilfitri datang kepada kita, tak tersangka-sangka dan tidak terasa – rupa-rupanya hanya beberapa hari sahaja lagi Hari Raya ‘Eidul Fitri bakal tiba.
Girang juga rasa di hati. Mana taknya, meriah di pasar-pasar sekarang dengan promosi-promosi itu ini, dengan lagu-lagu raya yang berkumandang di sana-sini, dengan keadaan orang ramai yang berpusu-pusu membawa plastic bag dan lain-lain beg penuh dengan ‘barang-barang’ raya (maka secara automatiknya jari-jemari manusia seolah-olah terkena sumpahan dan menjadi hanger-hanger yang mampu membawa sehingga 5 beg plastik setiap tangan!! Betapa hebatnya orang Malaysia!!) – semuanya membangkitkan rasa ‘nak sangat beraya’.
Sebak dan Insaf
Namun, di satu sisi yang lain - jauh di sanubari terasa sebak dan terkadang insaf dengan realiti bahawa semakin hari semakin Ramadhan ingin pergi meninggalkan kita.
Sebak dan insaf mengenangkan adakah pada hari-hari yang berlalu telahpun kita manfaatkan dengan sebaik-baiknya peluang keemasan untuk mengejar promosi-promosi yang ALLAH SWT telah tawarkan kepada kita.
Kenapa??
Special Offer Orang Lain Tak Boleh Chelen……
MasyaALLAH!!! Jikalau dibandingkan ganjaran pahala atas amal soleh kita pada bulan ini dengan bulan-bulan yang lain, dan jika ganjaran itu adalah dalam suatu bentuk yang tangible ataupun bahasa orang kampung saya suatu benda yang nampak dan boleh dirasa, saya dengan amat pasti merasakan bahawa tawaran-tawaran hebat di Parkson Grand, Giant, SOGO, Farley (di Bintulu), MDS (di Bintulu), ParkCity Mall (juga di Bintulu) dan lain-lain tempat tidak mampu menjadikan kita rambang mata. Hatta apabila ditawarkan potongan harga 99% sekalipun tidak akan mampu meliurkan dan melekakan kita kerana kita tahu akan nilai amal soleh pada Bulan Ramadhan, Shahrul ‘Ibaadah ini – jikalau kita nampak dan kita sedar akan kelebihan-kelebihan di dalamnya.
Jikalau di pasaraya dan gedung-gedung membeli belah, tawaran-tawaran ataupun diskaun-diskaun hebat mampu meliurkan kita, kenapa pula tawaran-tawaran menarik daripada ALLAH SWT tidak mampu menggerakkan ataupun memotivasikan kita untuk lebih beramal dalam bulan ini? Walhal sudahpun diterangkan dalam banyak hadith-hadith dan ayat Al-Qur’an berkenaan dengan fadhilat ataupun kelebihan bulan ini, antaranya:
“Telah tiba kepada kamu bulan Ramadhan iaitu bulan yang penuh keberkatan. ALLAH telah mewajibkan ke atas kamu agar berpuasa pada bulan itu.”
-Hadith Riwayat Imam Ahmad, no 9133.
“Apabila datang bulan Ramadhan, pintu-pintu syurga akan dibuka”
Hadith Riwayat al-Bukhari, no 1898.
“Apabila tiba bulan Ramadhan, maka dibuka pintu-pintu rahmat”.
Hadith Riwayat Muslim, no 1079.
“Apabila masuk bulan Ramadhan, pintu-pintu langit dibuka dan pintu-pintu neraka jahannam ditutup.’
Hadith Riwayat al-Bukhari, no 1899.
Dan di dalamnya ada suatu malam yang membawa fadhilat amal melebihi seribu bulan iaitu, Lailatul Qadr.:
FirmanuLLAHu Ta’ala fil kitabil azhim yang lebih kurang bermaksud:
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Qur’an itu) pada malam al-Qadar. Apakah cara yang membolehkan engkau mengetahui kebesaran lailatulqadr itu? Lailatul Qadr ialah malam yang paling baik berbanding 1000 bulan. Pada malam itu, para malaikat dan malaikat Jibril turun dengan izin Tuhan mereka membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun berikutnya). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar,”
Surah Al-Qadr ayat 1-5.
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Qur’an itu pada malam yang penuh berkat. (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (agar hamba-hamba Kami tidak ditimpa azab). (Kami menurunkan al-Qur’an) pada malam yang berkat itu, di samping menjelaskan (kepada malaikat) semua perkara yang mengandungi hikmah serta takdir yang akan berlaku”.
Surah Ad-Dukhaan ayat 3-4.
Dan sabdaan Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:
“Carilah lailatulqadr pada malam-malam yang ganjil daripada sepuluh malam terakhir di bulan Ramadhan”- Hadith Riwayat Al-Bukhari no 2017.
“Carilah (lailatulqadr) pada sepuluh malam terakhir. Jika seseorang kamu lemah atau tidak mampu, janganlah dia kalah (putus asa) mencarinya pada baki tujuh malam terakhir.”
Hadith Riwayat Muslim no 1165.
Aisyah r.a berkata:
“RasuluLLAH SAW bersungguh-sungguh melakukan ibadah pada sepuluh hari terakhir yang tidak pernah dilakukannya pada waktu lain.”
Hadith Riwayat Muslim no 1174.
Nah! Bukankah sudah terbukti dengan dalil-dalil yang telah disebutkan tadi tentang kelebihan-kelebihan di dalam Bulan Ramadhan.
Melalui keterangan-keterangan yang telah diperjelaskan itu, saya merasakan dan menyeru bahawa di saat-saat terakhir baki hari-hari di dalam bulan Ramadhan ini harus kita manfaatkan dengan semaksimum mungkin. Istilahnya semakin kuat kita press minyak pada masa-masa terakhir yang semakin kesuntukan ini. Sepatutnya, apabila semakin berlalu hari-hari dalam bulan Ramadhan, semakin meningkat ataupun sekurang-kurangnya konsisten bilangan saf di masjid untuk menunaikan solat berjemaah (especially tarawikh), bukanlah seperti realiti di mana graf bilangan manusia vs hari dalam bulan Ramadhannya seperti inverted bell-curve shaped ataupun dalam bahasa lain, bentuk kubah loceng yang terbalik.
Di samping merenung realiti tersebut, lihatlah juga bagaimana ALLAH SWT sangat mengetahui sifat-sifat hambaNya yang lemah di mana apabila semakin hari menuju akhir Ramadhan semakin kita terasa lemah untuk meneruskan perjuangan kita – maka lalu diberikanNya kelebihan satu malam yang mana ganjaran amal di dalamnya melebihi seribu bulan @ 83.4 tahun (sampaikah umur kita ke situ??)
Belum Terlambat…
Kalau dikira-kira, sebenarnya kita masih mempunyai masa untuk meraih keuntungan di dalam saki-baki beberapa hari lagi dalam bulan Ramadhan ini. Istilahnya, it’s never too late. Mungkin telah berlalu malam lailatulqadr yang penuh keberkatan itu, tetapi tidaklah bermaksud kita sudah tidak boleh mengambil manfaat dari baki-baki hari yang seterusnya, jangan bimbang! Kita masih lagi dalam bulan Ramadhan dan insyALLAH, kita masih sempat untuk meraih peluang-peluang keemasan yang ada. Jika ditakdirkan oleh ALLAH SWT, mungkin kita akan bertemu dengan lailatul mubarakah itu- siapa tahu / who knows?
Maka sebagai khulasah kepada entri yang pendek dan ringkas ini, hanya ada dua mesej yang ingin saya sampaikan:
1. Marilah kita sama-sama rebut ganjaran dan special offer dari ALLAH SWT dalam Shahrur Ramadhan, Shahrul ‘Ibaadah wa Shahrus Shiam ini. Bulan Ramadhan : Bulan Karnival Ibadah Yang Sure Heboh!!! Di dalamnya terdapat tiga pakej menawan hati orang-orang yang beriman : 3 Fasa – 10 fasa pertama sebagai pengurniaan rahmat, 10 fasa pertengahan sebagai fasa pengampunan dosa-dosa lalu, dan fasa ketiga yang kini kita berada di dalamnya iaitu fasa pelepasan dari api neraka.
2. Belum terlambat untuk kita mengubah rentak (jikalau kita slow pada mulanya dalam bulan Ramadhan ini) lantas mengubah cara ataupun mungkin nasib kita dalam bulan ini. Masih ada baki beberapa hari lagi dalam fasa Pelepasan Dari Api Neraka ini. Ayuh, marilah sama-sama angkat diri masing-masing dari kerusi ataupun sofa yang empuk itu, dan mulakanlah langkah pertama kita untuk meraih janji-janji ALLAH SWT.
WaLLAHua’lam.
Ghulam As-Sarawaki
Khamis, 7.49 AM
25 September 2008 / 25 Ramadhan 1429H
P/S : Ber’ibadah dan kejarlah peluang ini sekadar kemampuan. Jangan memaksa diri untuk melakukan ‘amal-‘amal yang dirasakan berat untuk diri. Tubuh badan kita juga ada hak yang perlu kita tunaikan terhadapnya. ‘Amal yang sedikit tetapi istiqamah adalah lebih baik di sisi ALLAH SWT berbanding ‘amal yang banyak tetapi terputus-putus dan tiada konsistensi.
