Setelah rungutan demi rungutan saya terima daripada sahabat-sahabat seperti “Ana dah 3 tahun duduk kat Sarawak ni, tapi cakap Sarawak sepatah pun tak reti”, “Enta la ni, cuba la cakap Sarawak sikit ngan kitorang, jangan bawak cakap Semenanjung sangat”, dan sebagainya, maka saya mengambil inisiatif untuk membuka ruangan belajar bahasa Sarawak di dalam blog ni. Ju, kita belajar sama-sama ju/ Jom, kita belajar sama-sama.
(minta maaf banyak-banyak, tak tersusun sikit. Takde kategori, heheh (mintak maap banyak-banyak. sik tersusun ckit. Sikda kategori, heheh) – As-Sarawaki)
Mun – jika, kalau. jikalau
Camya / Macam ya – Camtu/ Macam tu
Camtok / Macam tok – Camni/ Macam ni
Kamek – Saya/Kawe/Ambo/Ambe
Kitak – Awak/Demo/Awok/Mung
Sidak / Sidaknya – Mereka/Sek Ye
Kitak orang – Korang / Anda semua/Sek-sek mu/Pok-pok mu
Kamek orang– Kami
Gerek – kekasih, ‘kasih, gewe
Sik (dibaca si’ dengan hamzah di belakangnya) – Tidak
Sik mok / Sik maok – Tak nak / Tok se/Tak mboh
Maok / Mok – Nak / Hendak
Sine (bukan dibaca dengan ‘sain’ tapi si-ney) – Mana / hok mano
Ya – Itu / hok tu
Tok – Ini / hok ni
Kelaka – Bercakap / berkecek
Madah – Bagitau/ Royak / Kabo
Pastok – Pasni / Lepas ni / Lepah ni/ kek gi
Majoh/Makan – Makan gak
Sik hal – Takpe
Iboh / Sik boh – tak payah/tok soh
Palak – Kepala (anggota tubuh badan yang lain semua sama)
Kelai (disebut kela-ie) – gaduh / kelahi
Molah olah / Berolah – buat hal / buat onar
Kinek tok – Sekarang
Kelak – Karang / Kemudian (in terms of masa)
Akan bersambung di masa akan datang, insyaALLAH…. (kelak nyambung gik. Cukup lok sengan tok, okey. Hehehe)
Betapa sayang nya Allah pada kita sehingga di dalam al-Quran diselitkan dengan motivasi supaya hamba-hambaNya ini tabah dalam menghadapi segala dugaan sebelum menuju ke mahattoh terakhir yang kekal abadi...
Kenapa AKU DIUJI?
"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta." -Surah Al-Ankabut ayat 2-3
KENAPA AKU TAK MENDAPAT APA YANG AKU IDAM-IDAMKAN?
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." -Surah Al-Baqarah ayat 216
KENAPA UJIAN SEBERAT INI? "Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya." Surah Al-Baqarah ayat 286
KENAPA MERASA KECEWA
"janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati,padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman." - Surah Al-Imran ayat 139
BAGAIMANA HARUS AKU MENGHADAPINYA?
"Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan)." -Surah Al-Imran ayat 200 "Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk" -Surah Al-Baqarah ayat 45
APA YANG AKU DAPAT DARIPADA SEMUA INI?
"Sesungguhnya Allah telah membeli dr orang-orang mu'min, diri, harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka... .. -Surah At-Taubah ayat 111
KEPADA SIAPA AKU BERHARAP?
"Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dariNya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal." -Surah At-Taubah ayat 129
AKU DAH TAK DAPAT BERTAHAN LAGI!!!!
"... ..dan janganlah kamu berputus asa dr rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dr rahmat Allah melainkan kaum yang kafir." -Surah Yusuf ayat 12 Semoga ianya menjadi melahirkan rasa keinsafan dalam diri kita….
ALLAH SANGAT SAYANG KEPADA KITA..
BAGAIMANA KITA????
* saya ambil dari blog "hati insan" - http://ain-insan.blogspot.com/. Karya asal di halaqah.net.
P/S: Walaupun perkongsian macam ni dah banyak kali kita jumpa, kadang-kadang kita lupa gak ngan perkara-perkara macam ni. Jadi, untuk ingat banyak kali saya masukkannya di sini. Semoga sentiasa menjadi ingatan, pedoman dan pelajaran buat kita dalam menempuh liku-liku kehidupan insyaALLAH.
Dalam siri yang lepas , faktor kedua yang saya sebutkan ialah “kegagalan dalam sebuah harakah/gerakan Islamiyyah untuk meletakkan seseorang anggota itu di tempat yang sesuai.”. Maka pada entri yang kali ini, faktor seterusnya yang ingin dibincangkan ialah Tidak Membahagikan Kerja Kepada Anggota”.
Menurut Ustaz Fathi Yakan di dalam bukunya “Golongan Yang Tercicir Di Sepanjang Jalan Dakwah”, pembahagian kerja dengan betul kepada anggota gerakan adalah suatu perkara yang amat mustahak kerana tanpa pengagihan tugas yang betul, gerak kerja hanya tertumpu kepada sekelompok kecil dalam gerakan itu tanpa melibatkan lebih dari separuh lagi anggota lain yang tidak mempunyai tugas. Istilahnya, “one man show”.
Situasi ini boleh memberikan kesan yang buruk di dalam sebuah gerakan Islam. Natijah daripada hal ini ialah hubungan antara anggota saban hari semakin lemah dan goyah. Masing-masing mempunyai pendapat dan pendirian sendiri, masing-masing dengan kepalanya sendiri. Lebih malang lagi, hubungan anggota dengan gerakan itu sendiri semakin lama semakin longgar, dan akhirnya putus hubungan antara keduanya.
Dalam situasi ini, anggota gerakan ada yang akan terpengaruh dengan tarikan-tarikan luaran dan akhirnya masing-masing membuat pilihan; ada yang terus bersama perjuangan harakah dan ada pula yang terus cabut lari bersama dengan jalan yang lain.
Sesungguhnya kejayaan sebuah gerakan Islam itu dalam memberi dan membahagi-bahagikan tugas kepada anggotanya merupakan permulaan dan pembuka pintu kepada kejayaan.
Sebuah gerakan yang mempunyai tenaga yang berbagai mestilah menyusun program-program yang sesuai dan mampu dilaksanakan dengan sempurna.
Gerakan itu mestilah mengetahui kecenderungan anggota-anggotanya dan menggunakan kecenderungan mereka itu untuk kepentingan Islam mengikut perencanaan yang dibuat oleh gerakan itu.
Setiap anggota mestilah merasakan bahawa dirinya mempunyai tanggungjawab. Dia mestilah merasakan yang dirinya adalah anggota yang aktif, dengan tidak mengambil kira kerja dan kedudukannya. Pemberian tugas yang betul ialah pemberian tugas yang tidak mengenepikan mana-mana tenaga samada ianya kecil ataupun besar.
Analoginya, bagaikan sebuah kereta yang tidak akan menjadi sempurna tanpa mana-mana bahagiannya. Hilang sebelah tayar, hilang fungsinya untuk bergerak. Hilang sterengnya, ke mana hendak ditujunya?, hilang side-mirror, risiko kemalangan pula menanti. Hilang skru, tertanggal pula plate-numbernya.Begitulah digambarkan betapa vital-nya perencanaan dalam sesebuah gerakan melalui pembahagian tugas kepada para anggotanya.
Semua tenaga hendaklah digunakan, sama seperti penggunaaan batu-bata untuk pembinaan bangunan oleh jurubina yang berpengalaman yang meletakkan setiap batu-bata itu di tempat yang sesuai (hmm, hebat lagi analogi Ustaz Fathi Yakan ni). Bangunan berkenaan itu walaupun dibina dengan batu-bata yang tidak sama ukurannya tetapi apabila bangunan itu telah siap, maka ia akan menjadi sebuah bangunan yang kemas dan kuat.
Ustaz Fathi Yakan merujuk kepada waqi’/ keadaan di tempatnya dengan memberikan contoh yang benar-benar berlaku:
“Di sesetengah negeri, pemberian tugas kepada ahli hanya dibuat di peringkat awal (peringkat murid dan peringkat muda). Tetapi apabila masa berlalu dan setiap ahli itu bertukar dari peringkat murid kepada peringkat pekerja, atau dari peringkat muda ke peringkat tua (matang) dan terus menjadi ketua keluarga atau ketua masyarakat maka mulalah hubungannya dengan gerakan / harakah menjadi renggang. Kerenggangan ini berlaku kerana kesibukannya dan juga kerana kesilapan harakah memilih tugas yang tidak sesuai untuknya. Kadang-kadang bukan sahaja setakat renggang tetapi memutuskan terus hubungannya dengan harakah/gerakan.”
WaLLAHua’alam.
Dipetik terus dari buku “Golongan Yang Tercicir Di Sepanjang Jalan Dakwah” tulisan Ustaz Fathi Yakan, dengan sedikit penambahan dan pengubahsuaian oleh Ibn ‘AbdiLLAH As-Sarawaki.
“Tidak meletakkan seseorang ‘amilin itu di tempat yang sesuai.”
Dalam siri yang lepas (rujuk “Permantapkan Agenda Membendung Keciciran”), telah disebutkan bahawa terdapat beberapa faktor yang mendorong kepada keciciran seorang anggota harakah Islamiyyah di dalam perjalanan da’wah. Faktor pertama yang saya sebutkan pada entri yang lalu ialah “Kelemahan Dari Sudut Tarbiyyah”. Maka pada entri yang kali ini, faktor seterusnya yang ingin dibincangkan ialah kegagalan dalam sebuah harakah/gerakan Islamiyyah untuk meletakkan seseorang anggota itu di tempat yang sesuai. Menurut Ustaz Fathi Yakan di dalam bukunya “Golongan Yang Tercicir Di Sepanjang Jalan Dakwah”, faktor ini terus-menerus menyebabkan kegagalan kerja (tugas) serta menyebabkan kerugian para ‘amilin (pekerja da’wah). Dalam istilah lain, sebuah gerakan itu akan kerugian man-power.
Sesuatu gerakan yang sedar lagi matang ialah yang mengetahui keupayaan anggotanya, kecenderungan dan kebolehan mereka, serta juga mengetahui titik-titik kelemahan mereka. Berdasarkan inilah gerakan itu seharusnya memilih dan memberi tugas kepada seseorang anggotanya itu mengikut apa yang sesuai dengan kebolehannya, kecenderungan, tabi’e dan kedudukannya. Kalaulah gerakan tidak dapat mengetahui secara terperinci tentang keupayaan-keupayaan setiap anggotanya maka gerakan itu tidak akan dapat memilih tugas yang munasabah untuk mereka (para ‘amilin) laksanakan. Kalaulah gerakan itu tidak mengetahui apa yang diperlukan oleh setiap keadaan kerja maka dia (anggota harakah) tidak akan berupaya memenuhi keperluan kerja itu dengan sempurna dan baik.
Analogi mudah, kalau kita nak buka kedai makan masakan Melayu, mestilah kita pilih tukang masak itu dari kalangan tukang masak yang reti masak masakan Melayu. Bukannya seorang chef hotel dari Itali yang cuma reti masak masakan Itali, sudah tentu dia tidak arif dalam masakan Melayu.
Begitu juga dengan sebuah gerakan Islam itu. Contohnya apabila sebuah gerakan Islam itu mengambil keputusan untuk menyertai pilihanraya sebelum ianya mempunyai persediaan yang cukup, iaitu tidak mempunyai wakil-wakil yang berkeupayaan untuk membentangkan fikrah / buah fikirannya, maka wakil yang dihantarnya itu tidak lain merupakan seorang wakil yang tidak mampu – yang tidak syak lagi akan membawa kegagalan kepada sebuah gerakan Islam itu.
Apabila sesuatu kerja yang dibuat oleh sesebuah gerakan Islam tidak mengikut kaedah dan dasar yang dipelajari / metodologi yang betul, dan apabila tidak diketahui apa tugas yang patut diberikan keutamaan untuk dilakukan pada hari ini dan apa yang perlu ditangguhkan untuk keesokan harinya, serta apabila tidak dibezakan yang mana lebih penting serta tidak diketahui urutan kerja, maka kecacatan akan berlaku. Jika situasi ini berlaku di dalam sesebuah gerakan Islam, maka gerakan itu tidak lain hanyalah memenuhkan ruang dengan “nama”, bukan memenuhkannya dengan orang-orang yang berkebolehan dan keupayaan. Inilah yang dinamakan “suatu penyerahan kuasa kepada orang yang bukan ahlinya”.
Sesebuah gerakan Islam – mahu tidak mahu, mesti menyusun unsur-unsur tenaganya mengikut pengkhususan masing-masing. Ada kumpulan yang menguruskan soal tarbiyyah, ada kumpulan yang menguruskan soal politik, ada yang menguruskan soal ekonomi, ada juga di bahagian riadah dan seterusnya…..
Di samping itu, gerakan hendaklah menentukan program-programnya menurut kemampuannya dalam semua bidang. Kalau ia lakukan lain dari ini maka gerakan itu akan kehilangan keupayaan dan kehilangan wibawanya dalam mengendalikan program serta pemilihan anggota yang sesuai untuk menjalankan tugas yang sesuai untuknya. Keadaan ini tidak ubah seperti suatu rombongan yang kehilangan pemandu.
Ustaz Fathi Yakan memberikan satu contoh yang benar-benar berlaku: “Saya pernah menemui seorang yang telah dipilih untuk menganggotai suatu badan; tetapi sebelum dia memegang jawatan itu, orang lain sedar tentang kedudukannya - orang sedar bahawa dia telah disalah pilih. Maka dia pun membuat pertimbangan semula dan akhirnya mengemukakan surat perletakan jawatan dan terus meninggalkan tugas tanpa kembali lagi”.
Sesungguhnya proses memilih tempat ataupun tugas yang sesuai untuk seseorang adalah suatu proses yang mesti dihalusi dan dilakukan dengan teliti, tidak mungkin boleh dibuat secara mendadak dan tergesa-gesa.
Gerakan itu mestilah pertama sekali menentukan tabi’e marhalah (peringkat) yang dilaluinya. Juga menentukan apakah daya dan keupayaan yang diperlukan pada setiap marhalah itu. Sebelum memasuki suatu marhalah, gerakan itu mestilah mempunyai keupayaan-keupayaan, sebab perlaksanaan suatu program yang belum sempurna persediaannya pasti akan memerlukan kepada bantuan-bantuan. Dengan ketiadaan bantuan maka bermulalah kecacatan. Natijah daripada itu, kecacatan itu akan menjadi semakin besar dan mengancam para ‘amilin (barisan pekerja) dan juga ‘amal (kerja) itu sendiri dengan berbagai natijah yang buruk.
WaLLAHua’alam.
P/S: Keyword yang paling baik untuk dijadikan pedoman kepada kejayaan dan juga survival sesebuah gerakan Islam itu ialah – MULTI-TASKING.
Dipetik terus dari buku “Golongan Yang Tercicir Di Sepanjang Jalan Dakwah” tulisan Ustaz Fathi Yakan, dengan sedikit penambahan dan pengubahsuaian oleh Ibn ‘AbdiLLAH As-Sarawaki.
Khamis, 4 Disember 2008 3.18 pm, Kuching, Sarawak.
Ustaz Ismail Kamus - Nafsu Makan
Ustaz Ismail Kamus - Alam Jin
Ustaz Azhar Idrus - Banduan Akhirat
Ustaz Azhar Idrus - Tidur 20 Tahun
Sekapur Sirih
Assalamu'alaikum wbt dan Salam Sejahtera
Selamat Datang ke Blog Ibn 'AbdiLLAH as-Sarawaki
Semoga Dengan Kunjungan Anda Di Sini Ada Manfaatnya Untuk Kita Bersama InsyaALLAH......
Sudi-sudi tinggalkan komen atau pesanan anda di blog ini.
Juga, jemput menonton video-video pilihan yang boleh ditonton di bahagian paling bawah paparan blog ini. Semoga melalui perkongsian video-video tersebut, terdapat nilai tambah ke dalam pengetahuan kita bersama, insyaALLAH.
Sebarang aktiviti melibatkan 'copy-paste' dari blog ini adalah sangat digalakkan, namun jasa baik tetamu ziarah sekalian yang mengambil tulisan dari blog ini untuk meletakkan asal-usul artikel tersebut beserta blog asalnya amatlah diharapkan.
Terima kasih atas kunjungan anda. Jemput datang lagi, Wassalam