Darussyifa' Online

Darussyifa' Online
klik pada imej untuk ke link

BIC Smart Shop

BIC Smart Shop
klik pada imej untuk ke pautan

Boikot Zionis La'natuLLAH!

Boikot Zionis La'natuLLAH!
klik pada imej untuk ke link

klik pada imej untuk ke link

klik pada imej untuk ke link

Selamatkan Gaza!

Selamatkan Gaza!
klik pada imej untuk ke link

Thursday, January 29, 2009

Perkongsian Ilmu Fiqh : Mazhab Syafie, Adakah Payah?

Salam’alaikum warahmatuLLAHi wabarakatuh,


Kira-kira sebulan yang lalu, saya ada berkongsi serba sedikit berkenaan dengan ilmu fiqh dengan tetamu ziarah sekalian, dengan entri yang bertajuk “Perkongsian Ilmu Fiqh : Bacaan Makmum”. Saya berharap dan mendoakan agar perbincangan yang dibawa sebelum ini mudah difahami serta dapat dihadamkan oleh para tetamu sekalian. Jadi, untuk entri kali ini saya tampil semula untuk membawakan satu lagi perbincangan sekitar ilmu fiqh.


Walau bagaimanapun, apa yang hendak dibincangkan kali ini bukanlah untuk mentarjihkan atau untuk menetapkan yang manakah suatu pendapat yang tepat, tetapi sebagai suatu perkongsian yang diharapkan dapat mengubah persepsi ataupun mindset kita – mengubah corak pemikiran kita dari tingkat yang sebelumnya ke peringkat yang lebih tinggi dan lebih baik lagi.


Beberapa ketika kebelakangan ini (walaupun sebenarnya usaha tajdid ini sudah lama digerakkan – dari zaman Ibn Taimiyyah, Ibnul Qayyim, Al-Banna dan lain-lain lagi namun zaman kemuncaknya adalah dewasa ini), kita dapat lihat betapa banyaknya usaha yang dijalankan oleh para penggerak da’wah, khususnya para ilmuan yang berperanan sebagai mujaddid dalam menyebarkan suatu corak pemikiran yang baru dan agak sukar untuk diterima oleh sesetengah golongan (kadangkala digelar juga sebagai “kaum tua”) iaitu memberi kefahaman kepada masyarakat bahawa pintu ijtihad itu sentiasa terbuka dan tidak ada keraguan dan kerisauan lagi untuk seseorang itu mengambil pendapat-pendapat dari mazhab lain di luar mazhabnya – contohnya seseorang yang bermazhab A dibolehkan untuk mengambil pendapat mazhab B, C, ataupun D – dengan syarat bahawa dia tahu akan sandaran bagi pendapat ulama’ yang diikutinya itu. Istilah lebih popularnya ialah talfiq ataupun mengadakan percampuran daripada pelbagai mazhab.


Namun, ada sesetengah pihak yang amat sensitif dan tidak dapat menerima pendapat keterbukaan ini maka golongan ini menolak konsep talfiq ini. Bahkan ada juga yang mengharamkan konsep bermazhab ini. Secara overviewnya, dikatakan terdapat tiga golongan yang mempunyai pandangan yang berbeza terhadap isu bermazhab ini :


  1. Golongan mewajibkan untuk beriltizam hanya dengan satu mazhab.
  2. Golongan yang mengharuskan untuk pertukaran mazhab dengan syarat-syarat tertentu.
  3. Golongan yang mengharamkan bermazhab. Hanya Al-Qur’an dan As-Sunnah yang wajib diikuti.


*Pembahagian ini tidak setakat di sini sahaja. Terdapat beberapa lagi jenis pembahagian lain yang saya tidak sebutkan di sini. Apa yang penting ialah terdapat pendirian yang berbeza terhadap perkara ini.


Terdapat banyak kekhilafan yang kita dapat lihat dalam etika bermazhab ini. Walau bagaimanapun, semua pendapat itu adalah diraikan kerana namanya sahaja pun sudah khilaf / perbezaan pandangan maka apa yang wajar ialah toleransi antara sesama golongan yang mengamalkan pendapat yang berbeza itu. Yang penting ialah biar mazhab mana pun yang diamalkannya, tetapi yang penting ialah kemahuannya untuk beramal dengan pendapat itu dengan tujuan tidak lain hanya untuk mencapai keredhaan ALLAH SWT.


Pada perbincangan kali ini, saya ingin membawa satu perbincangan yang diharap dapat membantu mengubah persepsi kita terhadap mazhab Imam Syafie yang mana menurut kebanyakan orang merupakan mazhab yang sangat teliti dan agak memayahkan.


Sekali lagi diingatkan bahawa saya tidak bermaksud untuk melakukan tarjih tetapi sekadar untuk menimbulkan perbincangan yang sihat, insyaALLAH.


Seringkali kita dengar ngomelan orang bahawa mazhab Syafie yang dipegang itu agak memayahkan. Contohnya, dari soal batal wudhu’ kerana menyentuh wanita bukan mahram, perlu disucikan kesan terkena anjing dan babi dengan basuhan air tanah, bab air musta’mal dan beberapa lagi pendapat mazhab Syafie yang dilihat seolah-olah terlalu berat dan syadid / tegas.


Memang tidak nafikan bahawa sememangnya ada sesetengah pendapat dalam mazhab anutan majoriti rakyat Malaysia ini yang agak teliti dan tegas. Malah ada yang tidak dapat digunakan di dalam waqi’/ suasana di Malaysia. Contohnya dalam bab zakat, Mazhab Syafi’e hanya membenarkan zakat ditunaikan dengan memberikan makanan asasi suatu tempat itu sahaja, contohnya gandum ataupun beras. Manakala menurut mazhab Hanafi pula, zakat dapat ditunaikan dengan wang tunai. Maka jikalau dinilai dari sudut suasana dan juga hajat / keperluan penduduk di Malaysia, di mana dalam suasana hendak menyambut lebaran dan orang berkehendak kepada pakaian, maka pendapat mazhab Hanafi itulah yang paling praktikal untuk diamalkan di Malaysia. Jadi bukankah itu menunjukkan bahawa tidak 100% pendapat Mazhab Syafie di Malaysia sekaligus menunjukkan talfiq?


Ketegasan Mazhab Muhammad bin Idris al-Syafie juga dapat dalam pendapatnya sekitar pemerintahan Islam di mana jika terdapat kes bunuh contohnya seorang Muslim membunuh orang kafir dzimmi (kafir yang menunjukkan ta’at setia kepada pemerintah Islam), maka tidak ada kes bunuh balas. Akan tetapi jikalau kafir dzimmi itu membunuh seorang Muslim, maka boleh dikenakan hukuman bunuh balas. Begitu juga jikalau dalam kes lelaki membunuh perempuan, lelaki itu tidak akan dikenakan hukuman bunuh balas. Akan tetapi jikalau perempuan membunuh lelaki, perempuan itu akan dikenakan hukuman bunuh balas. Sedangkan dalam hal ini, pendapat dalam mazhab Hanafi lebih menunjukkan keseimbangan dan mampu memupuk minat orang bukan Islam untuk bernaung di bawah kerajaan Islam yang melaksanakan pemerintahan Islam sepenuhnya.


Akan tetapi, perlu diingat bahawa kita cuma melihat dari dalam lingkungan mazhab Syafie sahaja dan kita belum lagi melihat contoh-contoh di dalam mazhab lain. Sudah pasti ada sesetengah perkara yang menuntut penganut sesuatu mazhab itu untuk menggunakan pendapat mazhab yang lain lantaran kesulitan untuk mengamalkan suatu pendapat dalam mazhabnya, jikalau tidak bagaimana pula kaedah talfiq ataupun percampuran mazhab ini boleh timbul? Maksudnya, pasti ada pandangan-pandangan dari mazhab lain tentang suatu perkara yang mana pandangan mazhab Syafie adalah lebih memudahkan berbanding mazhab-mazhab lain dalam perkara tersebut.


Adapun, kebanyakan kritikan ataupun ngomelan yang kita dengari itu biasanya datang dari permasalahan yang agak kecil sahaja dan bukan suatu perkara yang besar. Contohnya dalam bab wudhu’, solat, mandi dan lain-lain, setakat itu. Jadi inilah antara tujuan sebenar saya menulis entri ini, iaitu untuk memperbetulkan persepsi sesetengah pihak tentang kesukaran melaksanakan ibadah menurut mazhab Syafie. Saya ingin membuktikan bahawa adalah tidak benar proklamasi sesetengah pihak yang mengatakan mazhab Syafie adalah mazhab yang paling cermat, teliti, tegas, memayahkan dan sebagainya. Saya ingin menjelaskan bahawa ada lagi kemudahan dan keringanan yang mungkin tidak terlihat oleh mereka yang merasakan bahawa mazhab Syafie paling payah di antara mazhab-mazhab yang ada.


Contoh-contoh yang saya tampilkan di sini adalah sedikit sahaja yang sempat saya kongsikan berkenaan beberapa perkara berkaitan dengan asas-asas dalam ibadah, antaranya dari bab Wudhu’, Mandi, Menyapu Khuf dan juga Solat secara serba sedikit.


Antara contoh-contoh keringanan dalam mazhab Syafie yang mengatasi pendapat-pendapat dari mazhab-mazhab yang lain:


Dari perkara yang membatalkan wudhu’, merujuk kepada Kitab Fiqhul Islami Wa Adillatuhu Jilid 1 tulisan Dr Wahbah Zuhaili (ulama fiqh dari Damsyik, Syria yang baru sahaja menerima anugerah tokoh Maal Hijrah dari Malaysia baru-baru ini) muka surat 262-268, dengan rumusan bahawa:


Di dalam mazhab Hanafi : 12 perkara yang membatalkan wudhu’.

Di dalam mazhab Maliki : 3 perkara yang membatalkan wudhu’.

Di dalam mazhab Syafie : 4/5 perkara yang membatalkan wudhu’.

Di dalam mazhab Hanbali : 8 perkara yang membatalkan wudhu’.


Jadi, bukankah menurut fakta di atas dapat difahami bahawa ada lagi pendapat yang lebih berat berbanding dengan pendapat di dalam mazhab Syafie ?


Dari perkara syarat-syarat untuk mengharuskan menyapu khuf, daripada kitab yang sama pada muka surat 308-310:


Di dalam mazhab Hanafi : 7 syarat untuk mengharuskan menyapu khuf.

Di dalam mazhab Maliki : 11 syarat untuk mengharuskan menyapu khuf.

Di dalam mazhab Syafie : 2 syarat untuk mengharuskan menyapu khuf.

Di dalam mazhab Hanbali : 7 syarat untuk mengharuskan menyapu khuf.


Dari perkara fardhu / perkara wajib dilakukan dalam mandi wajib, merujuk kitab yang sama pada muka surat 348-349:


Di dalam mazhab Hanafi : 11 perkara wajib di dalam mandi wajib.

Di dalam mazhab Maliki : 5 perkara wajib di dalam mandi wajib.

Di dalam mazhab Syafie : 2 atau 3 sahaja perkara wajib di dalam mandi wajib.

Di dalam mazhab Hanbali : Lebih daripada 5-6 perkara wajib di dalam mandi wajib.


Dari kitab yang sama, merujuk kepada perkara-perkara wajib/rukun di dalam solat:


Di dalam mazhab Hanafi : 18 perkara rukun di dalam solat.

Di dalam mazhab Maliki : 14 perkara rukun di dalam solat.

Di dalam mazhab Syafie : 13 perkara rukun di dalam solat.

Di dalam mazhab Hanbali : 14 perkara rukun di dalam solat


Di dalam kitab yang sama juga, merujuk kepada perkara-perkara sunat wudhu’:


Di dalam mazhab Hanafi : 18 perkara sunat di dalam wudhu’.

Di dalam mazhab Maliki : 8 perkara sunat di dalam wudhu’.

Di dalam mazhab Syafie : 30 perkara sunat di dalam wudhu’.

Di dalam mazhab Hanbali : 20 perkara sunat di dalam wudhu’.


Jadi, bukankah dengan lebih banyak perkara sunat itu bahawa semakin ringan perkara wajib di dalamnya, dan bukankah pada masa yang sama dapat dilihat sebagai pintu kepada peluang untuk mendapatkan lebih banyak lagi faedah wudhu’? (maksudnya, lebih banyak sunat yang dilakukan, maka lebih banyak bonus).


Di dalam bab solat pula, merujuk kepada Kitab Fiqhul Islami Wa Adillatuh Jilid Kedua ada disebutkan tentang perkara-perkara yang membatalkan solat menurut keempat-empat mazhab tersebut, di mana pada muka surat 21-34 dikupaskan perkara-perkara ini, dengan rumusan:


Di dalam mazhab Hanafi : Terdapat 68 perkara yang membatalkan solat.

Di dalam mazhab Maliki : Terdapat 30 perkara yang membatalkan solat.

Di dalam mazhab Syafie : Terdapat 27 perkara yang membatalkan solat.

Di dalam mazhab Hanbali : Terdapat 36 perkara yang membatalkan solat.


Nah! Bukankah jikalau dibandingkan antara keempat-empat mazhab mengenai perkara yang membatalkan solat ini, dapat dilihat bahawa pandangan dalam mazhab Syafie masih lagi boleh dikira ringan dan boleh dikira jauh lebih mudah berbanding mazhab yang lain.


Di atas adalah antara contoh-contoh yang boleh saya ambil untuk dijadikan sebagai misalan dan perbandingan dalam perkara ini sebagai perkongsian buat masa yang singkat ini.


Saya memfokuskan perbincangan kali ini setakat bab mandi, solat, dan wudhu’ sahaja kerana saya dapati sebenarnya apa yang menjadi punca pertikaian yang biasa berlaku di kalangan masyarakat umum adalah di sekitar perkara-perkara basic ini sahaja. Jarang sekali kita dengar orang awam mengomentari tentang perkara-perkara yang lebih besar seperti penegakkan hukum Islam dalam pemerintahan bernegara, jihad saudara kita di Palestin, isu keruntuhan ‘aqidah dan lain-lain lagi.


Jadi, apa yang saya ingin lakukan di sini ialah untuk menunjukkan bahawa masih ada lagi sinar kemudahan dan pendapat yang lebih ringan yang terdapat di sana, serta menunjukkan bahawa sebenarnya mazhab Syafie tidaklah bersifat memayahkan dan memberatkan secara mutlak seperti dakwaan sesetengah golongan. Barangkali yang dilihat adalah sekadar skop kecil sekitar sembahyang, cuci, tayammum sahaja dan masih berada di dalam lingkungan satu mazhab sahaja yang menyebabkan mereka gagal untuk melihat pandangan-pandangan di dalam mazhab lain untuk dijadikan sebagai kayu ukur sebelum justifikasi bernada “Mazhab Syafie adalah yang paling berat dan memayahkan antara semua mazhab” itu dikeluarkan dan dijadikan sebagai kenyataan yang mampu mengubah mindset orang lain untuk melihat mazhab Syafie dengan persepsi yang sama, iaitu memayahkan.


Apa yang mendorong saya untuk menulis entri ini adalah disebabkan realiti yang saya sebutkan tadi – mindset yang sebegitu rupa lantaran kurang mengenali pendapat-pendapat lain di luar mazhabnya lantas mengeluarkan statement “susah dan payah” itu, serta untuk serba sedikit memurnikan persepsi sesetengah golongan terhadap mazhab Syafie yang sebenarnya.


Kadangkala apa yang menyebabkan kepayahan itu bukanlah disebabkan apa yang terdapat di dalam mazhab itu sendiri tetapi disebabkan salah faham dalam memahami apa yang hendak disampaikan oleh mazhab itu sendiri lantaran mengaji tidak berguru.


Rujukan:


  1. Kitab Fiqhul Islami Wa Adillatuhu al-Juz’ al-Awwal / Fiqh dan Perundangan Islam jilid 1 susunan Dr. Wahbah Zuhaili, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur 1999.
  2. Kitab Fiqhul Islami Wa Adillatuhu al-Juz’ al-Thani / Fiqh dan Perundangan Islam jilid 2 susunan Dr. Wahbah Zuhaili, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur 1999.
  3. Amalan Bermazhab : Perlu atau Tidak? tulisan Ustaz Mazlee Malik, Karya Bestari 2007.


P/S : Saya bukanlah seorang ustaz yang berautoriti untuk melakukan ijtihad, menerangkan pendapat yang mana satu yang menghampiri kebenaran, mendatangkan fatwa. Saya hanya memindahkan fakta-fakta dari kitab-kitab fiqh hasil susunan pengarang yang selayaknya mengenai masalah ini, dan fakta-fakta ini saya gunakan untuk melontarkan serba sedikit idea berkenaan dengan tajuk entri ini. Kedudukan benar atau salah di dalam tulisan ini, saya serahkan kepada yang lebih arif untuk membuat penilaian tersebut, dengan harapan agar kesilapan tersebut boleh diperbetulkan untuk faedah semua. Saya mendoakan agar entri ini ada manfaatnya untuk kita semua, insyaALLAH.


WaLLAHuta’ala a’lam,


Ibn ‘AbdiLLAH As-Sarawaki,

3.59pm,

29 Januari 2009, Khamis,

Bintulu, Sarawak.

Monday, January 26, 2009

HUDUD : Apa Yang Hendak Ditakutkan?

Salam'alaikum warahmatuLLAHi wabarakatuh kepada tetamu ziarah sekalian,

Untuk entri kali ini, saya ingin menarik perhatian para tetamu sekalian untuk melihat kepada salah satu daripada isu yang boleh dikira akan sentiasa valid sehingga hari kiamat, isu yang tidak pernah ada expiry date dan tidak akan basi serta tidak akan luput daripada pemikiran kita walau macam mana sekalipun pihak-pihak tertentu berusaha menolak, mempertikai malah menghapuskannya.

Artikel asal dari blog http://suaradarigunung.blogspot.com/2009/01/hudud-apa-yang-nak-ditakutkan.html

____________________________________________________________________

Salam Sejahtera untuk semua.

Sudah begitu lama saya tidak berkesempatan menulis. Di dalam fikiran, begitu banyak yang hendak ditulis tetapi jari-jemari ketiadaan masa untuk mengetuk kekunci komputer. Pilihan Raya Kecil Kuala Trengganu dan isu Hudud yang hangat diperkatakan selepas debat antara Naib Presiden Pas dan calon Ketua Pemuda UMNO begitu menghambat perasaaan saya. Media menggambarkan seolah-olah Pakatan Rakyat akan pecah akibat isu Hudud.

Dengan diri yang serba kekurangan, saya menggunakan kemudahan maya ini untuk menyampaikan suara hati, juga membantu Pas dan Pakatan Rakyat dalam PRK Kuala Terengganu, bahawa Hudud bukan isu yang perlu ditakuti. Saya ingin menyampaikan dalam ayat yang paling mudah kepada semua orang bukan Islam dan juga orang Islam di Malaysia tidak kira apa partinya MCA, MIC, DAP, PKR, KP PAS, UMNO dan lain-lain bahawa tiada apa yang perlu dibimbangkan terhadap Hudud, bahkan orang bukan Islam sangat wajar menyokong Hudud sebagai sokongan moral kepada kawan-kawan mereka yang beragama Islam.













____________________________________________________________________

Jadi, melalui penjelasan demi penjelasan yang telah dipaparkan tadi pihak-pihak tertentu boleh berfikir dua kali sebelum menolak cadangan perlaksanaan hudud di Malaysia, malah mungkin boleh dijadikan sebagai pedoman buat salah seorang bekas peguam yang kini bergelar ahli politik yang dulunya pernah cuba untuk menyaman perlaksanaan hudud ini, masyaALLAH - semoga ALLAH memberikan taufiq wal hidayah kepada beliau.

Semoga melalui sedikit penjelasan ini, sedikit sebanyak masyarakat Islam dan bukan Islam terutamanya di Sarawak ini dapat menerima perlaksanaan hudud hukum ALLAH SWT di negara tercinta Malaysia. Sebagai penutup untuk entri ringkas ini, saya membawa para tetamu sekalian untuk merenung dan menghayati firman ALLAH yang bermaksud

Wahai orang-orang Yang beriman! masuklah kamu ke Dalam ugama Islam (dengan mematuhi) Segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; Sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu Yang terang nyata. maka kalau kamu tergelincir (dan jatuh ke Dalam kesalahan disebabkan tipu daya Syaitan itu), sesudah datang keterangan-keterangan Yang jelas kepada kamu, maka ketahuilah bahawasanya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Q.S Al-Baqarah 208-209)".

WaLLAHuta'ala a'alam,

*entri asal di http://suaradarigunung.blogspot.com/2009/01/hudud-apa-yang-nak-ditakutkan.html

Ibn 'AbdiLLAH As-Sarawaki,
10.49pm,
26 Januari 2009, Isnin,
Bintulu, Sarawak.

Friday, January 23, 2009

Konsert Rihanna : Wajarkah Ia?

Assalamu’alaikum warahmatuLLAHi wabarakatuh..


AstaghfiruLLAHal’azhim... itulah lafaz yang saya rasakan tepat untuk diucapkan apabila membaca headline beberapa buah e-news seketika tadi. Saya akui saya agak terlambat sedikit untuk mengetahui tentang berita ini, tapi saya yakin isu ini masih lagi valid dan panas untuk dijadikan sebagai topik perbincangan ringkas serta patut dijadikan sebagai pentas muhasabah.


Membaca beberapa tajuk berkenaan isu ini, saya terkesima dan terkeliru seketika – lantas timbul beberapa persoalan di minda, antaranya:

  1. betulkah negara Malaysia ini negara Islam?
  2. Adakah perkara ini selaras dengan prinsip Islam Hadhari? Atau adakah ini sesuatu isu yang lain, yang mungkin bagi sesetengah individu perkara ini tidak perlu dikaitkan dengan Islam Hadhari?

Untuk lebih jelas lagi, saya lampirkan beberapa petikan akhbar yang sempat saya baca sebentar tadi.

____________________________________________________________________________________


Petikan dari Bernama:


Kerajaan Luluskan Juga Konsert Rihanna


Kerajaan meluluskan penganjuran Konsert Rihanna, yang akan diadakan 13 Feb ini di Stadium Putra Bukit Jalil, walaupun Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan membantah konsert itu.

Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Mohd Shafie Apdal berkata: "Mereka (Dewan Pemuda PAS) boleh bantah tapi keputusan akhir di tangan kementerian."

Beliau berkata apa yang penting ialah pihak penganjur telah memenuhi semua syarat yang ditetapkan kementerian.

"Perkara utama yang kami lihat ialah sama ada konsert itu selaras dengan budaya Malaysia, tetapi memandangkan industri hiburan sangat dinamik dan kreatif, kita perlu membenarkan rakyat kita mendapat akses untuk itu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan sambutan Tahun Baru China 2009 di sini hari ini.

Selasa lepas, Dewan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan menyuarakan rasa kesal terhadap syarikat komunikasi tempatan menganjurkan konsert 'Rihanna Live in Kuala Lumpur'.


link ke berita asal: di sini

Versi Bahasa Inggeris (Bernama):

Government Approves Rihanna Concert On Feb 13

KUALA LUMPUR, Jan 23 (Bernama) -- The government has approved the Rihanna Concert, scheduled for Feb 13 at Stadium Putra in Bukit Jalil, despite the Federal Territory PAS Youth's objection to it.

Unity, Culture, Arts and Heritage Minister Datuk Mohd Shafie Apdal said: "They (PAS Youth) can always protest, but the ministry has the final say."

He said what was important was that the organiser had fulfilled all the conditions set by the ministry.

"Our main concern is whether the concert is in line with Malaysian culture, but as the entertainment industry is a very dynamic and creative industry, we must allow our people to have access to it," he told reporters after launching the Chinese New Year celebration at the Central Market here today.

Last Tuesday, Federal Territory PAS Youth expressed its disappointment over the organising of the 'Rihanna Live in Kuala Lumpur' concert by a local company.

Link ke berita asal : di sini

Petikan dari Berita Harian 6 Januari 2009:

Konsert sulung Rihanna di Kuala Lumpur 13 Feb.

KUALA LUMPUR 5 Jan. - Penyanyi terkenal antarabangsa kelahiran Barbados, Rihanna mengesahkan kehadirannya untuk beraksi buat pertama kalinya di negara ini pada 13 Februari depan.

Penghibur yang cukup popular dengan lagu Umbrella dan Unfaithful itu dijadualkan mengadakan konsert sulungnya di Stadium Putra di sini bermula pukul 8.30 malam.

Konsert yang diberi nama Rihanna Live In KL 2009 itu merupakan siri konsert jelajah dunianya sebagai rangka promosi album ketiganya, Good Girl Gone Bad.

Menurut penganjur konsert berkenaan, Pineapple Concerts Sdn. Bhd., Malaysia merupakan negara pertama yang dipilih dalam siri jelajah konsert berkenaan untuk tahun 2009 selepas kejayaan konsertnya di Singapura dan Filipina tahun lalu.

''Kami percaya dengan populariti dan kehebatan Rihanna di atas pentas mampu menarik perhatian penonton untuk menyaksikan konsert sulungnya di negara ini,'' kata Pineapple Concerts dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pineapple Concerts sebelum ini menganjurkan beberapa siri konsert hebat antaranya Konsert 3 Diva dan Live and Loud 2008 yang menampilkan penyanyi terkenal, John Legend.

Kehadiran Rihanna ke negara ini pastinya ditunggu-tunggu kerana dia antara penyanyi terkenal dunia yang sering kali menampilkan persembahan bertenaga dalam setiap konsertnya.

Tiket-tiket yang berharga RM128 hingga RM328 sudahpun mula dijual dan sebarang pertanyaan dan tempahan, boleh menghubungi talian 03-7711 5000.”

Link ke berita asal: di sini

____________________________________________________________________________________

Membaca artikel-artikel di atas membuatkan saya tertanya-tanya, terutamanya dengan salah satu statement yang dinyatakan oleh Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Mohd Shafie Apdal itu, : "Perkara utama yang kami lihat ialah sama ada konsert itu selaras dengan budaya Malaysia, tetapi memandangkan industri hiburan sangat dinamik dan kreatif, kita perlu membenarkan rakyat kita mendapat akses untuk itu,". Saya terfikir,:

1. apa rasionalnya mengadakan konsert bercorak kebaratan seperti ini dikaitkan dengan realiti bahawa semakin dinamik dan kreatifnya industri hiburan itu?

2. dan pada masa yang sama – saya juga turut mempersoalkan, kalau namanya sahaja pun sudah menggambarkan portfolionya untuk menjaga hal ehwal kesenian, kebudayaan dan warisan, apakah motif untuk membawa masuk konsert artis Barat seperti ini, yang jelas sekali jika dinilai dari sudut moral – akhlaknya amat rendah dan tajuk konsert itu sendiri yang menggambarkan suatu akhlak yang tidak baik (perlu diingatkan bahawa tajuknya Good Girl Gone Bad)?

Lihat pada visi, misi, objektif dan peranan Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW) pada link ini : di sini

Di sini juga saya sertakan dua URL berkenaan dua prinsip Islam Hadhari yang ingin saya ambil sebagai kayu pengukur, samada tindakan meluluskan konsert itu selaras dengan dua prinsip Islam Hadhari tersebut:

Prinsip Pertama
KEIMANAN DAN KETAKWAAN KEPADA ALLAH

di sini

Prinsip Ke Lapan

KEUTUHAN BUDAYA DAN MORAL

di sini

Daripada dua URL di atas, suka untuk saya highlightkan beberapa petikan berikut, untuk menilai sejauh mana tindakan meluluskan konsert tersebut menepati prinsip-prinsip berkenaan. Antaranya:

Dari Prinsip Pertama:

“Mengikut Hamka, keimanan bermakna kepercayaan iaitu pengakuan hati yang dibuktikan dengan amalan perbuatan yang dilafazkan oleh lidah, akhirnya menjadi keyakinan hidup manusia. Sementara ketakwaan, ianya mengandungi makna seperti berikut:

  1. memelihara hubungan yang baik dengan Pencipta
  2. *memelihara diri daripada perbuatan yang tidak diredhai oleh Pencipta
  3. memelihara dan melaksanakan segala perintah Pencipta untuk diamalkan.”

“Manusia yang beriman dan bertakwa adalah manusia yang sentiasa optimistik, berfikiran terbuka dan memiliki kekuatan jiwa dan emosi yang terkawal untuk mengerjakan yang terbaik bagi diri, keluarga, masyarakat, negara dan makhluk sejagat. *Disamping itu, mereka juga memiliki kemampuan menyaring dan menapis semua perkara atau budaya yang bercanggah dengan norma dan nilai agamanya. Kerana iman dan takwanya kepada Allah membimbingnya ke jalan yang lurus bagi melakukan perkara-perkara yang bermanfaat, oleh sebab keimanan itulah menjadi sumber pelbagai kebaikan.”

“Konsep “Ibadu Rahman” (hamba Allah), dalam al-Quran adalah elemen penting menjana model sumber manusia yang unggul yang menjadi idaman setiap masyarakat membangun. Di antara ciri-ciri manusia ibadu rahman, ialah:

  1. Hidup sederhana, tidak membazir dalam kehidupannya.
  2. Sopan-santun dalam pergaulan dan berkomunikasi
  3. Mentaati segala perintah Tuhannya
  4. Memiliki rasa pertimbangan yang adil dan saksama
  5. Tidak membazir dalam menggunakan rezeki yang dimilikinya
  6. *Menjauhi perkara yang membawa kepada kederhakaan seperti ingkar kebaikan, pembaziran dan;
  7. *Tidak bersekongkol dengan usaha dan perkara mungkar serta tidak terpengaruh dengan budaya negatif sekeliling.
  8. Menjaga dan memelihara kerukunan rumahtangga, menghormati yang lebih tua dan mengasihi yang lebih muda.
  9. Menjaga hak dan maruahnya disamping menghormati hak-hak orang lain.”

Dari Prinsip Kelapan:


“Budaya adalah sesuatu yang berubah mengikut perubahan masa dan tempat. Ada budaya yang menjadi penghalang kepada kemajuan masyarakat dan ada budaya yang membawa kepada kebaikan, kecemerlangan dan ketinggian bangsa dan negara. Budaya yang baik yang perlu kita suburkan sehingga ia menjadi benar-benar utuh dan mewarnai identiti positif umat Islam dan menaikkan imej negara Malaysia ialah budaya yang mengandungi ciri-ciri berikut:-


4.9 Kegiatan kesusasteraan yang mendukung nilai-nilai murni, positif, membangun minda dan memajukan pemikiran rakyat; kemajuan dalam bidang puisi, novel, cerpen dan drama berjalan selari dengan wawasan kemanusiaan yang beradab dan kesucian agama.


4.10 Kesenian yang mengekalkan keaslian yang murni sambil mencari manifestasi-manifestasi baru dan kreatif tanpa mengorbankan nilai-nilai atau bentuk-bentuk asli yang indah dan bermakna; tidak wujudnya penggiat seni yang hidup di luar batas-batas kesusilaan atau budaya yang beretika.


4.11 Budaya pakaian yang menghormati batas-batas agama dan kesusilaan tradisional; aliran-aliran fesyen yang merupakan tiruan dunia fesyen barat atau timur untuk kepentingan kebendaan pereka-pereka fesyen yang tidak mengindahkan nilai-nilai moral atau agama tidak digalakkan; bagi orang Islam fesyen-fesyen pakaian yang menepati kehendak agama dan moral umat Islam boleh dipopularkan atau dipasarkan di dalam dan di luar negeri.


4.13 Budaya hiburan melalui muzik, tarian dan pementasan yang tidak melampaui batas kewajaran yang dibenarkan agama dan moral; kecenderungan pemuda pemudi beragama Islam untuk terlibat dalam budaya hiburan melalui konsert-konsert yang terlalu bebas kerana mengikuti aliran dan gaya baru Barat yang bersifat terlalu liberal dan memberangsang nafsu seks tidak harus dibiarkan merebak dan merosakkan tata susila dan norma-norma umat Islam; stesen-stesen TV milik kerajaan tidak wajar memberi galakan atau ruang dan masa yang istimewa kepada aliran-aliran atau program-program hiburan yang merendahkan akal budi generasi muda dan secara tidak langsung menggalakkan pergaulan bebas lepas antara lelaki dan perempuan walaupun program-program itu berhasil membawa keuntungan besar kepada pihak penaja dari luar atau dalam; mengekalkan budaya hiburan yang sederhana lagi mendidik minda dan tidak menjolok mata adalah penting dalam mengejar kemajuan mengikut “acuan kita sendiri” dan membenteras gejala sosial yang melanda golongan remaja Malaysia hari ini.


4.16 Kesenian tradisional atau moden yang tidak bercanggah dengan dasar iman dan akhlak mulia serta menyerlahkan identiti positif sesuatu kaum atau bangsa; kepelbagaian adat dan tradisi pelbagai kaum dan umat beragama dalam masyarakat Malaysia yang berinteraksi secara aman dan harmonis dipertahankan; aktiviti kebudayaan atau kesenian yang mengandungi unsur syirik, khurafat atau tahyul tidak dibenarkan kepada orang-orang yang beragama Islam.”


Keputusannya, saya serahkan kepada tetamu ziarah sekalian untuk menilai sejauh manakah tindakan meluluskan konsert tersebut selaras dengan dasar-dasar yang diperkenalkan di dalam Islam Hadhari.


Entri ini tidak bermaksud untuk membuat sebarang provokasi ataupun menyerang mana-mana pihak, tetapi ianya adalah lebih kepada pertanyaan daripada seorang rakyat Malaysia yang kebingungan memikirkan kewajaran konsert tersebut diluluskan, yang lebih kurang bernada “Saya ada beberapa persoalan yang ingin diajukan. Saya masih kurang faham berkenaan dengan ……. Jadi, saya mohon jasa baik pihak tuan untuk memberikan penjelasan dan kedudukan sebenar mengenai isu ini”.


WaLLAHuta’ala a’lam,


Ibn ‘AbdiLLAH As-Sarawaki,

11.52pm,

Jumaat, 23 Januari 2009,

Bintulu, Sarawak.

Mahu Perjuangkan Islam? : Sertailah Jama'ah Islam!


Assalamu’alaikum warahmatuLLAHi wabarakatuh..

Firman ALLAH SWT:
Wahai orang-orang Yang beriman! masuklah kamu ke Dalam ugama Islam (dengan mematuhi) Segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; Sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu Yang terang nyata. maka kalau kamu tergelincir (dan jatuh ke Dalam kesalahan disebabkan tipu daya Syaitan itu), sesudah datang keterangan-keterangan Yang jelas kepada kamu, maka ketahuilah bahawasanya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Q.S Al-Baqarah 208-209)

Sabda RasuluLLAH SAW:
Diwajibkan ke atas kamu berjemaah kerana sesungguhnya serigala akan makan kambing yang jauh dari kumpulannya”.

Lagi sabda RasuluLLAH SAW:
Kamu hendaklah bersama jemaah muslimin dan pemimpin mereka.”

Serta:
Kamu hendaklah bersama jemaah, kerana tangan ALLAH bersama jamaah, dan sesiapa yang mengasingkan diri (daripada jamaah), maka dia mengasingkan diri ke dalam api neraka.

Ayat Al-Qur’an di atas serta beberapa hadith yang dikemukakan di atas menerangkan beberapa intipati penting, iaitu:
1. Bahawasanya wajib seseorang yang bergelar Muslim untuk beriltizam seratus peratus kepada ajaran Islam. Saidina Umar r.a pernah menyebut lafaz yang kira-kira berbunyi “Kita dahulunya adalah satu bangsa yang hina, tetapi telah ALLAH SWT muliakan dengan Islam. Jikalau kita menolak Islam, maka hilanglah kemuliaan itu daripada kita.”

2. Kewajipan setiap muslim untuk menyertai jamaah yakni jamaah Islam, dan kewajipan ini ditaklifkan ke atas setiap individu muslim berdasarkan kemampuannya (Firman ALLAH SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 286: ALLAH tidak membebani seseorang, kecuali sesuai dengan kemampuannya..). Salah satu daripada hadith di atas juga menegaskan bahawa kewajipan untuk ta’at kepada pimpinan jamaah Islam, selagi mana ia tidak melanggar batasan syariat. Ini diperkuatkan lagi dengan firman ALLAH SWT dalam al-Qur’an yang bermaksud “…taatilah ALLAH dan taatilah Rasul-Nya, dan ulil amri (pemimpin) di antara kamu..” serta salah satu hadith Nabi SAW yang bermaksud “Barangsiapa ta’at kepada aku, maka dia sudah ta’at kepada ALLAH dan sebahagian daripada ta’at kepada aku mentaati ialah mentaati amir (ketua atau pimpinan).”

Daripada beberapa intipati di atas dan apabila dalil-dalil di atas dihubungkaitkan antara satu dengan yang lain, dapat dibuat beberapa kesimpulan yang mudah iaitu:
1. Tidak cukup seseorang muslim itu jika hanya beriltizam kepada beberapa perkara seperti menunaikan solat, puasa dan haji serta beberapa perkara lain sahaja manakala sebahagian daripada ajaran Islam yang lain ditinggalkan, salah satu daripadanya ialah menggabungkan diri dengan jamaah Islam.

2. penggabungan diri ke dalam jamaah Islam adalah wajib ke atas setiap muslim, dan melalui penggabungan ini maka salah satu daripada untaian yang mengikat seseorang itu kepada Islam sudahpun tersimpul erat.

3. penggabungan ke dalam jamaah Islam adalah sesuatu yang syar’I dan bukanlah semata-mata rekaan manusia, tetapi merupakan perintah ALLAH SWT melalui lisan Rasul-Nya.

Beberapa kesimpulan tersebut adalah antara dalil-dalil yang boleh dikemukakan sebagai hujjah bahawa wajib untuk setiap Muslim beriltizam kepada jamaah Islam. Beriltizam kepada jamaah Islam yang mana secara langsung bermaksud mengikat diri kepada perjuangan Islam. Secara simbol matematikanya,

Menyertai jamaah Islam = Menyertai perjuangan Islam = Kesempurnaan Islam & Iman



Walau bagaimanapun, malangnya masih ramai yang tidak menyedari hakikat bahawa hidup sebagai seorang Muslim tidak cukup hanya dengan solat, puasa, haji dan zakat sahaja. Lebih malang lagi kerana ada yang sampai ke tahap solat pun belum dilaksanakan sepenuhnya.

Ketahuilah, bahawa Islam itu adalah luas skopnya. Ianya merupakan sebaik-baik dan semulia-mulia serta sebenar-benar pegangan hidup. Ianya mempunyai ruang lingkup yang luas di dalam kehidupan seorang Muslim. Islam bukan hanya setakat rukun iman yang enam, rukun Islam yang lima dan juga ihsan sepertimana yang ditulis dalam mana-mana buku teks Pendidikan Islam menurut sukatan pelajaran Pendidikan Islam peringkat PMR dan SPM Kementerian Pelajaran Malaysia.

Janganlah kita menganggap bahawa hidup di dunia ini tidak ada cabaran, ujian dan jerih payah. Dan jangan lupa bahawa di dalam Islam itu, salah satu daripada perkara pokok yang perlu diketahui ialah Islam itu merupakan perjuangan dan menuntut penganutnya untuk berjihad memperjuangkannya. Adakah kita lupa bahawa Nabi SAW pernah menyebut bahawa jika seseorang itu tidak pernah ada keinginan untuk syahid (ataupun dalam konteks lain, berjuang/berjihad di jalan ALLAH SWT) di dalam dirinya, maka tidak sempurna imannya?

Bukti keimanan dan keislaman yang sebenar adalah seseorang Islam itu bertekad dan berusaha memperjuangkan Islam, yang menunjukkan kesungguhannya menjadi hamba ALLAH SWT yang mendaulatkan agama-Nya. Sedarlah kita semua bahawa apabila menjadi seorang Islam, ianya menuntut suatu iltizam dan komitmen yang lengkap dan menyeluruh terhadap ajaran Islam, sesuai dengan maksud firman ALLAH SWT dalam ayat 208 Surah Al-Baqarah tadi. ALLAH SWT menegaskan bahawa tiada istilah masuk Islam itu separuh-separuh, melainkan hanya ada dua jalan iaitu samada seseorang itu menurut jalan kebenaran ataupun menelusuri kesesatan!!. Wal ‘iyyadzabiLLAH!

Muslim yang sejati ialah mereka yang sedia berangkat dan keluar berjuang untuk menegakkan cita-cita Islam dalam segala dimensinya yang mungkin. Muslim yang sebenar ialah muslim yang tidak terhalang daripada berjihad hanya disebabkan oleh kesempitan hidup yang menimpanya atau terlalai oleh kesenangan dan kebendaan. Mereka merupakan golongan yang sedia dan rela berkorban demi Allah dan Rasul-Nya, kerana mereka yakin dengan janji-janji ALLAH SWT, seperti yang diterangkan dalam Surah Al-Saff ayat 10.dan 11 yang bermaksud “Wahai orang-orang Yang beriman! mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan Yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa Yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan RasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah Dengan harta benda dan diri kamu; Yang demikian itulah Yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat Yang sebenarnya).

Golongan ini merupakan mereka yang sedar bahawa realiti sebagai seorang Islam itu perlu memperjuangkan agamanya lantaran ancaman dan fitnah yang tidak kunjung putus yang dilancarkan oleh musuh-musuh Islam ke atas agamanya serta mereka yakin bahawa mereka akan dipertanggungjawabkan oleh ALLAH SWT di akhirat nanti kerana tidak pernah mahu memperjuangkan agama-Nya.


Ingatlah bahawa hakikat di zaman RasuluLLAH SAW dahulu bahawa apabila seseorang itu enggan turut serta untuk memperjuangkan Islam dihukum sebagai munafiq dan kufur kepada ALLAH SWT. ALLAH SWT melarang Nabi SAW daripada mendoakankan mereka dengan berdiri di tepi kubur mereka serta melarang baginda daripada menyembahyangkan jenazahnya. Ini tentu sekali kerana perbuatan tidak ikut serta untuk berjuang menegakkan kedaulatan Islam merupakan suatu dosa besar yang membawa kepada terhapusnya kekuasaan dan kemegahan Islam.


Justeru, sebagai seorang muslim - adalah menjadi kewajipan untuk kita beriltizam serta berusaha mengukuhkan gerakan Islam dan meramaikan bilangan mereka (ahli jamaah Islam) agar kita berjaya di dunia dan di akhirat.

Menjadi ahli jamaah Islam tidak bermaksud bahawa semua ahlinya perlu mengangkat senjata menuju ke medan perang. Ingatlah bahawa sifat Islam itu yang luas dan universal, maka sudah tentu jamaah yang menjadikan Islam sebagai dasarnya mempunyai ruang lingkup perjuangan yang luas. Ketahuilah bahawa di dalam Jamaah Islam itu perlu adanya kekuatan ketenteraan, penganalisis politik, pakar ekonomi, pakar kesihatan, ahli seni, ahli muzik sehinggalah ke sekecil-kecil peranan, dari setinggi-tinggi pangkat sehinggalah ke serendah-rendah peringkat (pada hakikatnya, semua peranan di dalam suatu organisasi itu penting untuk menggerakkan organisasi itu menuju kejayaan!). Analogi yang cukup cantik untuk menggambarkan jamaah Islam ialah ianya bagaikan sebatang tubuh yang mana setiap anggota memainkan peranan yang penting. Apabila demam seseorang itu, maka seluruh tubuhnya merasakan kesakitan yang dialaminya. Alangkah indahnya suasana dalam berjamaah itu! Hubungan yang erat terbina di antara ahli-ahlinya bagaikan isi dengan kuku – apabila terpisah, maka cacat dan cederalah ia.

Sertailah Jamaah Islam! Masuklah ke dalamnya kerana di sana kebolehan dan potensi diri anda boleh digunakan sepenuhnya untuk Islam!

Oleh itu, wahai saudara sekeyakinan dan se’aqidahku, marilah kita bersama-sama terjun ke dalam arena perjuangan Islam dengan menyertai jamaah Islam, bersama-sama dengan golongan ulama’ dan cendekiawan – merintis jalan perjuangan yang pernah dilalui oleh RasuluLLAH dan para sahabat, golongan salafussoleh dan seterusnya.

Terdapat banyak jamaah-jamaah Islam yang terdapat di Malaysia ini yang boleh kita ikut serta bersama dengannya, antaranya Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Jemaah Islah Malaysia (JIM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), dan lain-lain lagi yang matlamatnya tidak lain – untuk menegakkan dan mendaulatkan ajaran dan syariat ALLAH SWT di muka bumi ini .


Semoga kita tidak dihukum oleh ALLAH S.W.T. seperti manusia-manusia yang menyimpang dari ajaran-Nya serta semoga kita sama-sama dipelihara dan dilindungi daripada mati dalam keadaan munafiq yang tidak mahu terlibat dan istiqamah dalam perjuangan, sekaligus menjadi asbab kepada partisipasi kita ke dalam neraka!

Wal ‘iyyadzabiLLAH!!!

Rujukan: Kertas kerja bertajuk “Kewajipan Menyertai Perjuangan Islam” oleh Ustaz Abdul Ghani Shamuddin bertarikh 21 Jun 2006.

Ibn ‘AbdiLLAH As-Sarawaki : Sertailah mana-mana Jamaah Islam yang mana dasarnya ialah perjuangan Islam, hatta tabligh sekalipun. Carilah mana-mana saluran yang di mana di situ bakat dan potensi kita boleh digunakan sepenuhnya untuk Islam! Cuma saya musykil dengan manhaj UMNO, keliru memikirkan samada ia boleh dilabel sebagai perjuangan Islam. Saya pernah ikut tabligh, saya pernah terlibat dengan tarbiyyah JIM, tapi setakat ini saya belum pernah terjumpa mana-mana usrah UMNO lagi. Mungkin tiada usrah UMNO di tempat-tempat yang saya pernah kunjungi sebelum ini barangkali…

Ibn ‘AbdiLLAH As-Sarawaki,
11.13pm,
Khamis, 22 Januari 2009,
Bintulu, Sarawak.

Katakan "TAK NAK" Kepada Tabarrujul Jahiliyah!

Katakan "TAK NAK" Kepada Tabarrujul Jahiliyah!
klik pada imej untuk ke link

klik pada imej untuk ke link

klik pada imej untuk ke link

Alternatif Fesyen Islami

Alternatif Fesyen Islami
klik pada imej untuk ke link

Jom Belajar Bahasa Arab

Jom Belajar Bahasa Arab
klik pada imej untuk ke link

Video-video Pilihan

Ustaz Ismail Kamus - Nafsu Makan Ustaz Ismail Kamus - Alam Jin Ustaz Azhar Idrus - Banduan Akhirat Ustaz Azhar Idrus - Tidur 20 Tahun