"Ibunda, sebuah bangsa yang KUAT dan TERHORMAT, adalah wanita-wanita yang DICINTAI dan DIMULIAKAN. SAYANGI IBU".....
Assalamu'alaikum warahmatuLLAHi wabarakatuh,
AlhamduliLLAHi 'alaa kulli haal...
Segala puja-puji bagi ALLAH SWT, kecintaan orang-orang yang beriman selama-lamanya,
Serta kalimah al-Hubb/ cinta As-Shalawat, selawat ke atas Rasul SAW, kekasih-Nya yang amat dirindui seluruh umat, ahlul bayt serta sahabat-sahabat Baginda.
Minggu ini, di seluruh dunia - Perayaan Hari Ibu / Mother's Day disambut dengan hebatnya. Pastinya berjuta-juta telefon bimbit menerima mesej sambutan perayaan berkenaan dalam pelbagai versi ucapan. Semuanya atas tujuan untuk meraikan Hari Ibu.
Ibu...
Siapa yang tidak sayangkan ibu?
Perit jerih menanggung 9 bulan anak di dalam kandungan - membesarkannya menjadi salah seorang manusia yang di hidup di atas muka bumi ini selayaknya.
Tatkala anak menangis, dia memujuknya.
Tatkala anak terasa sakit, dia setia mendampingi sepanjang masa.
Di kala usia pertama menjengah alam tumbuhnya gigi susu dahulu, ketika anak itu menangis angkara kepedihan gusi, ibu menjadi peneman setia dan doktor pertama yang sampai tampil membantu.
Mungkin ada yang ingat betapa ibu sanggup menemani anaknya di hari pertama menjejakkan kaki ke sekolah. Setibanya waktu rehat, dia masih setia menunggu untuk menyuap anaknya yang baru bersekolah itu.
Mahu diceritakan jasa para ibu, terlalu banyak tidak terkata.
Maka, bukankah jasa-jasa yang banyak itu perlu dihargai sebanyak-banyaknya....
Maaf terpanjang pula muqaddimah.
Apa-apa pun, yang ingin dibincangkan di sini ialah beberapa perkara yang rasanya patut diketahui dan dimaklumkan mengenai hakikat sambutan Hari Ibu ini.
Di sini, saya tidak bermaksud untuk merosakkan mood Hari Ibu kita semua. Baguslah niat nak meraikan Hari Ibu itu sebagai tanda penghargaan kepada ibu kita.
Tetapi perlu juga dipesan agar kita berpada-pada dalam menerima dan menghadamkan serta menerapkan unsur-unsur sambutan perayaan seperti ini di dalam masyarakat kita.
Bukan apa, yang ditakuti ialah attitude taklid buta kepada apa-apa sahaja pekerjaan orang ramai boleh membawa kita kepada suatu implikasi yang tidak diinginkan.
"Apa dia ni? Tak fahamlah!.... Attitude taklid buta...Implikasi yang tidak diinginkan....apa sebenarnya yang kau nak ceritakan ni? Jangan berbelit-belitlah!"
Baiklah.
Mungkin ramai yang pernah mendengar isu pertikaian ulama' mengenai Sambutan Hari Ibu ini. Pernah kedengaran ramai ulama' yang mengatakan perayaan ini haram diraikan oleh orang Islam. Kenapa?
Ada sejarah di sebaliknya.
Menurut apa yang dicatatkan Wikipedia:
“One school of thought claims this day emerged from a custom of mother worship in ancient Greece, which kept a festival to Cybele, a great mother of Greek gods. This festival was held around the Vernal Equinox around Asia Minor and eventually in Rome itself from the Ides of March (15 March) to 18 March. The ancient Romans also had another holiday, Matronalia, that was dedicated to Juno, though mothers were usually given gifts on this day. In some countries Mother’s Day began not as a celebration for individual mothers but rather for christians.”
serta ada e-mail yang pernah diterima yang menyebut:
"Kepada semua baca kisah asal usul pengertian "HARI IBU" yang sebenar. Kalau kita sambut hari ibu bermakna kita juga merayakan hari "IBU PADA TUHAN" yang menjadi amalan orang GREECE terdahulu. Ini semua sumber dari kristian dan sudah tentu memesongkan akidah kita. Kalau dulu saya juga terikut ikut merayakan hari ibu tapi sekarang bila dah tahu tak akan saya buat begitu lagi dan juga pada anak anak akan saya beritahu. Jadi kewajipan saya adalah untuk beritahu semua agar JANGAN SAMBUT HARI IBU, kalau kita kasih sayang dan ingat jasa ibu sebaiknya sentiasa mendoakannya tak perlu cuma pada hari hari tertentu saja, setiap hari mendoakannya adalah sebaiknya dan dituntut."
Adakah proklamasi-proklamasi di atas ada kebenarannya? Saya sendiri pun tidak pasti. Mahu dikatakan Haram, ianya suatu yang belum sampai ke tahap ijma' ulama' yang mengharamkannya. Mahu dikata harus, takut berdosa kerana memandai-mandai menghukum pula.
Walau bagaimanapun, saya rasa elok juga ditampilkan beberapa perbincangan yang sempat saya cari, untuk perkongsian bersama:
"Memang ada pendapat sesetengah ulama yang mengharamkan sambutan hari ibu kerana asal usul sejarahnya. Namun, di Singapura pada pengamatan saya pendirian umum mengenainya di sisi asatizah ialah ianya harus. Banyak masjid-masjid di Singapura turut menganjurkan majlis dan program bagi menghargai ibu pada hari ibu. Jika sambutan ini dikira sebagai kemunkaran yang serius, pastinya Majlis Ugama Islam Singapura dan badan ulama akan mengeluarkan pernytaan untuk menegur masyarakat Islam. Alasan-alasan keharusannya, di sisi saya, ialah:
1. Amalan manusia tidak statik, ia selalunya melaluis proses evolusi. Apa yang bermula sebagai tidak betul, tidak semestinya kekal tidak betul sepanjang zaman dan apa yang mulanya betul, tidak semestinya sampai bila-bila tetap betul.
2. Dalam kes hari ibu, ia telah melalui evolusi yang pada hari ni sudah tiada kena mengena pun dengan mitos atau dewa orang Yunani. Hakikat ini tidak boleh dinafikan dalam menetapkan hukum. kalau tidak, hukum akan bersifat statik dan tidak tepat.
3. Sambutan hari ibu berbeza sama sekali dgn hari Valentine kerana pada hari ibu, kita tidak lagi memperingati dewa, simbol atau tokoh agama tertentu, tetapi yang diperingati ialah semua kaum ibu. Selain itu, menghargai jasa ibu ialah anjuran agama. Manakala, budaya hari Valentine umumnya ialah bersifat jalinan kasih antara pasangan yang bercinta yang melibatkan golongan yang belum kahwin, berunsur "romen-romen" dll, adalah sesuatu yang lebih dekat dengan larangan agama. Maka, eloklah ia dilarang untuk tutup pintu kejahatan.
4. Kalau diperhatikan, sebahagian dari nama-nama bulan-bulan tahun Gregorian ialah nama-nama dewa orang-orang Rom dan Yunani dahulu kala (sila rujuk mereka yang arif dalam hal ni) tapi kita tidak dengar pendapat para ulama yang mengharamkannya kecuali mungkin oleh golongan yang kecil (ultra-ortodoks) di kalangan umat Islam kerana penggunaan nama-nama bulan ni pada hari ni sudah hilang pada pemikiran umum sebagai pendewaan terhadap dewa Rom atau Yunani. "
Sumber: Klik di sini
"Dr. Yusuf al-Qaradhawi pernah berkata, “Hari ibu ini timbul kerana pihak orentalis/doktrin barat memikirkan bahawa inilah cara yang terbaik untuk mereka menarik minat anak-anak remaja barat agar menghormati orang tua mereka. Umumnya kita tahu bahawa masyarakat barat amat tipis dengan adab tatasusila, jadi dengan mengadakan/mengkhususkan hari-hari tertentu sekaligus dapat memupuk remaja mereka agar menyayangi dan menghormati orang tua mereka.”
Sumber: Klik di sini
Selain hari lahir dan hari perkahwinan, diharuskan juga kita menyambut hari-hari bersama dalam Negara dan masyarakat. Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi menegaskan dalam fatwanya; “…Adapun perayaan-perayaan Negara seperti sambutan kemerdekaan atau penyatuan atau perayaan-perayaan kemasyarakatan seperti sambutan hari ibu, hari kanak-kanak, hari buruh, hari pemuda dan sebagainya, harus bagi seorang muslim untuk mengucapkan tahniah (kepada orang lain) bersempena hari tersebut dan harus ia menyertainya atas dasar ia salah seorang penduduk atau pemastautin di Negara tersebut dengan syarat ia hendaklah menjauhi perkara-perkara yang diharamkan oleh Syari’at yang berlaku semasa sambutan-sambutan tersebut”.
Sumber: Klik di sini
Saya amat mengesyorkan tetamu ziarah sekalian untuk berkunjung ke link tersebut untuk mendapatkan versi perbincangan yang lebih lengkap.
Kesimpulannya, WaLLAHua'lam. Saya pun tidak pasti akan hukum kedudukan yang sebenarnya. Khilaf / Perbezaan pendapat masih berlaku di situ.
Walau bagaimanapun, pada pandangan peribadi saya - adalah lebih aslam / selamat untuk *saya tidak menyambutnya. Saya guna "saya" kerana itu saya peruntukkan khas kepada diri saya. Takut orang kata saya memandai-mandai bagi hukum kepada orang lain. Maka saya gunakan "saya".
Nabi SAW pun tidak pernah menganjurkan perayaan khusus seperti ini, pesan baginda hanyalah mengasihi dan berbakti kepada ibu bapa - selagi tiada perlanggaran syari'at dalam mentaati titah kedua-duanya. Begitu juga dalam Al-Qur'an, suruhan ALLAH SWT adalah mentaati kedua-duanya tidak mengira masa - selagi syara' bukan gadaian dalam ketaatan.
Nabi SAW pernah bersabda "Tiga perkara yang mana apabila dengannya, suatu pekerjaan / 'amal tiada bermanfaat : 1. Mensyirikkan ALLAH SWT, 2. Menderhakai kedua ibu bapa, dan lari dari medan perjuangan."
Tidaklah patut keraian untuk orang yang banyak berjasa di dalam hidup kita hanya dikhususkan pada suatu tarikh tertentu sahaja. Bukankah sepatutnya hari-hari di dalam hidup kita adalah hari Ibu, hari Bapa, hari suami, hari isteri dan macam-macam lagi? Bagi saya tidak layak penghargaan itu hanya dalam sehari sahaja.
Oleh itu, raikanlah ibu ayah kita selagi hayat kita masih ada!
Mari!
Mari Kasihi dan Sayangi Ibu dan Ayah Kita Setiap Masa!
"Ya ALLAH, Ampunilah bagi kami segala dosa kami dan juga dosa kedua ibu bapa kami, serta kasihanilah mereka sebagaimana mereka memelihara dan mendidik kami di masa kami kecil. Ya ALLAH, terimalah daripada kami amalan kami. Ya ALLAH, makbulkanlah doa kami" Amin, Ya Rabbal 'Alameen.
Wassalam
Ibn 'AbdiLLAH As-Sarawaki,
4.44pm,
9 Mei 2009, Sabtu,
Bintulu, Sarawak.
2 comments:
prnah jugak terfikir pasal asal-usul kewujudan hari ibu...
terima kasih untuk informasinya...
keluaran mastika sebelum ni pernah menceritakan kaitan dengan besday...
tapi cerita awk ni memang tak rosak mood pun...
hehee...
nice sharing...
Post a Comment