Concern affects influence. You concern about other people, you influence people!
Keprihatinan mendatangkan kesan terhadap pengaruh. Anda prihatin, anda berpengaruh!
Salam’alaikum warahmatuLLAHi wabarakatuh,
Setelah hampir sebulan lebih yang lalu saya tampilkan beberapa rencana menyentuh soal tarbiyyah harakiyyah, saya merasakan sudah sampai masanya untuk balik semula ke persoalan pendidikan dalam gerakan ini. Mungkin ada yang mengikuti siri-siri tulisan berikut, saya berharap agar ada manfaat yang dapat diperolehi untuk faedah bersama.
Pada entri yang lepas, faktor ketiga yang menyebabkan keciciran anggota dakwah adalah disebabkan kegagalan harakah (gerakan) untuk membahagi-bahagikan kerja kepada anggota, yang mana mengakibatkan berlakunya situasi one-man show di kalangan ahli. Lantas, apabila tenaga dikerah berlebihan lantaran bekerja seorang diri ataupun suatu tugas dibebankan ke atas kuantiti ahli yang sedikit, maka akan terasa bahang penat lelah yang seterusnya menjerumuskan mereka ke dalam lembah al-Futur dan al-Mutossaqit.
Faktor seterusnya yang membawa kepada keciciran anggota harakah adalah disebabkan kegagalan harakah untuk mengambil berat terhadap hal-ehwal ahli.
Di dalam kitab “Al-Mutosaqitun ‘ala Tariqud Da’wah / Golongan Yang Tercicir Di Sepanjang Jalan Da’wah” susunan Ustaz Fathi Yakan, faktor keempat itu ialah “Tidak Mengambil Berat Hal Ahli”.
Ketiadaan perhatian terhadap kedudukan ahli dan suasana yang mereka hadapi adalah merupakan salah satu faktor kejatuhan ahli dari harakah. Seseorang ahli kadangkala mengalami kesempitan seperti orang lain juga. Mungkin masalah sekitar kewangan, masalah keluarga, masalah spiritual kejiwaan dan sebagainya. Andai ada individu-individu dari harakah yang menghulurkan bantuan kepadanya di masa susahnya, maka perasaan husnul-thiqah / kepercayaan yang baik terhadap mereka (orang-orang yang membantunya) dan juga harakah akan terbit di sudut hatinya. Cetusan rasa percaya tersebut akan membangkitkan semangatnya untuk terus berjuang bersama harakah.
Bagi membolehkan suatu harakah mengambil perhatian terhadap anggotanya, ia mestilah mampu melakukan pertimbangan di antara keupayaan memberi layanan sama-rata dengan jumlah bilangan dan di antara persediaan, kepimpinan dan pengganti, yang sekira-kiranya layak diserap untuk menjadi pimpinan, dalam apa jua suasana, berupaya memahami seluruh asas kaedah dan memenuhi keperluannya. Pendek kata, harakah perlu bersikap cakna (prihatin) terhadap semua ahli harakah dari peringkat pimpinan sehinggalah ke akar jundinya, tanpa melakukan sebarang elemen bias.
Sesungguhnya hubungan ataupun ikatan yang diwajibkan oleh Islam ke atas kumpulan ataupun jamaah orang Islam supaya bersatu dari sudut pemikiran (wihdatul-fikr), rohani, dan perasaan hendaklah dirasakan dan dihayati laksana sebatang tubuh, selaras dengan firman ALLAH SWT dalam Surah As-Saff ayat 4 yang bermaksud
“Sesungguhnya ALLAH menyukai orang-orang yang berperang pada jalan-Nya dengan barisan yang teratur rapi seakan-akan mereka satu bangunan yang kukuh”.
Dan juga sabdaan Nabi Muhammad SAW KhaliluLLAH yang bermaksud
“Bandingan orang-orang mukmin dalam kasih sayang dan kasihan belas mereka antara satu sama lain ibarat satu tubuh yang apabila salah satu anggotanya mengadu sakit, maka seluruh anggota yang lain turut berjaga malam dan merasai kesakitan”. –Hadith riwayat Muslim.
Perasaan kasih sayang dan kesatuan ini merupakan salah satu key aspect penting yang perlu ada pada ahli harakah terhadap harakah yang dianggotainya dan juga sahabat-sahabat seperjuangannya. Perasaan ini bukan terjadi dengan sendirinya, akan tetapi tercetus sebagai natijah daripada hubungan terus-menerus yang diasaskan kepada pentingnya persatuan dan perpaduan. Ia tercetus sebagai akibat daripada wujudnya jaminan diri, perasaan, dan kebendaan yang diberikan dan juga kerana adanya perhatian berat yang diberikan oleh harakah dan sahabat seperjuangan kepadanya.
Ustaz Fathi Yakan menyebut “Saya teringat peristiwa yang berlaku selepas kekalahan tahun 1948 di mana selepas kekalahan ini, timbul berbagai-bagai reaksi di negeri-negeri Arab. Antara reaksi itu ialah munculnya harakah Islamiyyah di salah sebuah ibu negeri (‘Arab) yang dapat menarik berpuluh-puluh pemuda Islam. Akan tetapi, oleh kerana harakah ini tidak dapat memberikan perhatian kepada anggotanya menyebabkan anggota-anggotanya itu tercicir beramai-ramai.”
Perhatian yang boleh diberikan oleh harakah terhadap anggotanya boleh dilakukan dari dua sudut:
- Melalui program-program yang dijalankan oleh badan-badan tertentu dalam harakah.
- Melalui sikap persaudaraan dan bantu-membantu oleh kedua belah pihak (anggota dan harakah).
Hakikatnya, inilah keistimewaan masyarakat Islam yang saling bantu-membantu di antara kerajaan dan individu-individu dalam bidang pengawasan rakyat dan bantuan kemasyarakatan. Bantuan kemasyarakatan yang diberikan oleh golongan Ansar kepada golongan Muhajirin menjadi bukti dalam hal ini.
Segala mehnah dan tribulasi yang dihadapi dalam perjalanan da’wah tidak akan menjadi ringan atau dilenyapkan melainkan dengan keikhlasan yang sebenarnya kepada ALLAH SWT dan dengan wujudnya ikatan ukhuwwah sesama anggota harakah. Harakah Islamiyyah yang berjaya mengeratkan tali persaudaraan kerana ALLAH (ukhuwwah fiLLAH) akan berjaya menyelesaikan timbunan masalah, baik yang dihadapi oleh harakah mahupun anggotanya sendiri.
Ringkasnya, walau sehebat manapun anggota harakah Islamiyyah itu, realitinya dia bukanlah robot yang tidak mempunyai perasaan. Hatta kereta Mercedes Benz mata belalang yang hebat itu, yang tidak mempunyai akal, perasaan dan nyawa sekalipun, perlu sentiasa diambil berat soal maintenance enjinnya. Maka apatah lagi anggota harakah Islamiyyah yang hidup selayaknya sebagai manusia biasa tanpa spare part, maka lebih lagi memerlukan maintenance dan juga perhatian sepanjang masa!
+
Mercedes + Mata Belalang = Mercedes Mata Belalang?
Hayati sabdaan Saiyidul Anbiya’ SAW ini sebagai renungan bersama,
“Bukanlah dari kalangan kami orang yang tidur sedangkan jirannya lapar”.
Marilah sama-sama berusaha ke arah mewujudkan daya sensitiviti yang tinggi!
WaLLAHuta’ala a’lam.
Dipetik dari buku “Golongan Yang Tercicir Di Sepanjang Jalan Dakwah” tulisan Ustaz Fathi Yakan, dengan penambahan dan pengubahsuaian oleh penulis.
Ibn ‘AbdiLLAH As-Sarawaki,
12.07 am,
20 Februari 2009, Jumaat,
Bintulu,
No comments:
Post a Comment