Assalamu’alaikum warahmatuLLAHi wabarakatuh,
Entri kali ini bersifat loose sedikit, mungkin juga tidak mempunyai dalil-dalil pengukuh. Ianya lebih bersifat emosional yang terkawal, melontarkan pandangan melalui mata hati yang diharap tidak dikaburi oleh was-was syaitan.
Baru tadi, semasa menuju ke watercooler untuk mengambil air sejuk, saya lihat beberapa batang tubuh student-student yang saya kenalpasti dalam lingkungan semester dua tengah sibuk memasang poster dan juga mengikat tali-tali untuk menggantung poster berkenaan pada tiang-tiang di susur gajah di antara blok K dan L. Saya lihat pada poster tersebut, “Monday Night Fever”. Bisik hati “bersungguh-sungguh juga diorang buat benda ni, sampai 4-5 orang nak gantung poster. Benda-benda lagha macam ni boleh pula bersungguh-sungguh.”.
Memang benar, sudahpun diakui di dalam wahyu ALLAH SWT yang menyebut bahawa setiap yang memagari syurga itu adalah perkara yang tidak disenangi oleh nafsu buta manusia. Akan tetapi, yang dicintai syahwat itu adalah perkara-perkara memusnahkan yang membawa kepada neraka. Kasihan saya lihat adik-adik ini, muda-muda lagi sudah menjadi mangsa alat penyebar di’ayah hedonisme di kampus. Siapa lagi kalau bukan senior yang memberikan paksaan ke atas adik-adik ini untuk terlibat sekali. Senior pun, kalau pihak kolej tidak benarkan – saya rasa benda ini tidak akan dianjurkan.
Monday Night Fever seolah-olah telah menjadi satu program yang wajib bagi blok K dan sudah diraikan sejak beberapa tahun yang lalu. Pengisiannya tidak banyak berbeza dari tahun ke tahun. Sketsa, kugiran, selepas itu selit nasyid sedikit. Begitulah hakikat perjalanan programnya. Selepas itu, kalau ada aksi-aksi best sedikit, mulalah bertempik seperti tidak kenal hakikat malamnya, bak kata Ustaz Azhar Idrus “bertempik melolong kali”.
Saya sebut blok K ini tidak bermakna saya tujukan kepada semua penghuninya, tidak! Sebenarnya ada juga yang baik dan sememangnya tidak redha akan program seperti ini, malangnya mereka juga terpaksa terlibat sekali. Ada antara adik-adik yang merungut tidak suka dan tidak setuju, tetapi hakikat dipaksa itu memaksa - memaksa mereka untuk terlibat sekali. Kasihan juga ada yang bercampur-baur perasaannya – nak kata tak suka, rasa seronok pun ada juga. Tapi nak kata redha, tak boleh pula, Tuhan tak suka. Ada juga yang celaru seperti ini!
Saya sebutkan di sini bahawa bukanlah perayaan tahunan blok K itu yang (satu-satunya) saya condemn. Terdapat beberapa lagi perkara menyedihkan yang sepatutnya merobek hati-hati manusiawi yang serba prihatin terhadap keadaan ummah, yang istilahnya ialah ummatic concern. Contohnya, tentang seni tarian yang diadakan di sini. Di sini bukan seni tari itu yang saya condemn. waLLAHua’lam, saya kurang arif tentang hukum dari segi seni tari bagi kaum lelaki. Biasanya kalau dalam perkara seperti ini, mungkin mudah sedikit untuk kaum Adam (qias dengan nyanyian- WaLLAHua’lam. Harap betulkan jika statement ini tidak benar).
Nak cerita tentang seni tari ini, apa yang menyedihkan bagi saya ialah apabila yang ramai di kalangan perempuan, perempuan bertudung yang ramai. Lebih dari 50% barangkali saya boleh katakan. Kasihan! Apa sudah jadi dengan kokurikulum lain yang ada di UBMKB ini? Adakah PBSM sudah dimansuhkan ataupun terlebih korum? Adakah Kelab Nasyid sudah terlalu ramai ahli sehinggakan seni tari dianggap satu alternative? Ataupun Kelab Keusahawanan dan Kerjaya sudah menutup ruang keahlian? Saya yakin ada banyak lagi kelab-kelab yang boleh disertai, yang bebas daripada unsur-unsur pendedahan kepada maksiat. Sekali lagi saya katakan, yang saya condemn ialah siswi-siswi yang seolah-olah tidak nampak jalan lain untuk memenuhi kredit kokurikulum melainkan dengan menyertai kelab seni tari. Saya cabar mereka yang tidak berpuas hati dengan statement saya itu untuk jawab soalan ini – adakah wajar ataupun realistik untuk kita gadaikan prinsip Islam hanya kerana atas dasar memenuhi minat peribadi? Kita akui kita beriman, maka hendaklah kita pegang kata-kata itu!
Kontra pula hakikatnya dengan program-program berunsur tazkiyah ataupun pembentukan peribadi. Amat sedikit yang sanggup untuk meluangkan masa untuk berpartisipasi di dalamnya. Saya ambil beberapa contoh.
Saya kirakan bahawa Majlis Ramah Tamah Kelab Nasyid / Raya Rakan Masjid tahun lepas sebagai salah satu program yang paling ‘menyedihkan’ dan yang paling ‘kesian’ dalam sejarah. Berapa kerat sahaja yang hadir untuk memeriahkan program tersebut! Itupun yang ramainya adalah dari kalangan senior. Entah ke mana perginya adik-adik junior yang lain. waLLAHua’lam, ‘mungkin kurang publisiti’ kot. Kalau ada yang keberatan, saya hairan kenapa pula keberatan nak datang? Sedangkan bukannya suruh datang untuk bernasyid satu dua lagu, kita suruh datang makan je! Dengar ucapan, tazkirah dan bacaan al-Quran sedikit, lepas tu dengar nasyid sebarang-dua. Itu pun ada juga yang tidak mahu turut serta. Apa sudah jadi dengan mahasiswa di UBMKB ini? Tertutup daripada pendedahan isu-isu luar sudah satu masalah. Selepas itu pula, perangai melayan rasa malas nak duduk dengar ilmu agama pun jadi masalah juga! Sedangkan makan selesai tamat program pun dah dibagi free! Terbalik habis student UBMKB ni.
Ada pula penganjuran satu program ini yang berbentuk pembinaan jati diri. Umum tahu program seperti ini sudah pasti membawa banyak manfaat. Nama pun sudah digelar program jati diri. Takkanlah balik program hancur terus akhlaq pesertanya. Saya simpati dengan AJK-AJK yang terlibat terutamanya yang ditugaskan untuk mengambil nama-nama pelajar yang berminat menjadi peserta untuk program berkenaan. “Ana tak mampu nak cari lagi, setiap yang ana jumpa ada saja alasannya.” Kasihan! Sudahlah berhempas pulas menyiapkan kertas kerja yang berulang-kali ditolak yang kadang-kadangnya gara-gara terlebih birokrasi, dengan berbesen-besen keringat di kepala pengarah program memikirkan lokasi yang sesuai – simple-simple sahaja alasan untuk tidak menyertai kem tersebut. Ada itu, ada ini. Tetapi boleh pula terlibat dengan program lain, contohnya Monday Night Fever tadi! Saya AJK itu, AJK ini. Padahal peranannya bukanlah besar sangat pun. Selepas itu pula, melebihkan elemen kelaghaan berbanding elemen pembaikan (maksud saya, rela memperhambakan diri menjadi AJK majlis lagha berbanding menjadi peserta kem pembinaan kendiri). Saya tanya - apa sebenarnya yang dikehendaki oleh hatimu itu?
Di masjid pula sekarang ini AlhamduliLLAH kuliah-kuliah Maghrib giat dijalankan pada hujung minggu. Kuliah Tafsir Al-Qur’an dan juga Kuliah Fardhu ‘Ain. Ustaz-ustaz yang mengajar pun mantap-mantap juga, lulusan dari Madinah dan Mesir belaka. Itupun ramai lagi yang tidak sanggup datang! Daripada lebih 650 orang pelajar muslim di UBMKB ni, hanya lebih kurang 30 orang sahaja yang datang nak menadah telinga dan menadah kitab! Ke mana perginya pelajar Muslim yang lain?! Adakah yang lain sudah pandai belaka?! Adakah sudah ‘alim-‘alim belaka?! Adakah terlalu sukar untuk menjejakkan kaki ke masjid hanya untuk solat berjemaah dan mendengar kuliah, sedangkan caj bayaran pula tiada? Bak kata Ustaz Azhar Idrus (lagi) “Cube tanye bab selama mana haid, tempoh suci antara dua haid, bab tajwid, dok reti dier. Tu pun tak mboh jugok nok gi mengaji. Tapi giler doh nok menikoh. Ma’rifat dok kenal, ALLAH dok kenal. Orang lain bahang awaluddin ma’rifatuLLAH (awal agama itu ialah mengenal ALLAH), dier bahang awaluddin ma’rifatussekolah (awal agama itu ialah mengenal sekolah).”
Sebenarnya ada banyak lagi isu kalau nak diungkitkan, tetapi memandangkan sudah larut malam dan mata menjadi berat dipujuk rayu rasa mengantuk, saya sudahi contoh-contoh tersebut di sini.
Apa pun, kesimpulannya amat mudah – kita lihat bagaimana sekarang ini gelombang hedonisme mengombak masuk ke dalam hati-hati muslim, meranapkan perasaan dan kesedaran untuk mencukupkan atau memenuhi fitrah tuntutan agama di dalam dirinya, sehinggakan kampus UBMKB di hulu dunia ini pun turut dibahangi dengan tempias gelombang hedonisme yang maha celaka tersebut!
Semoga ALLAH SWT memberikan kesedaran dan memberi petunjuk jalan kepada kita agar tidak tersalah pilih jalan. Mudah-mudahan ALLAH SWT menyelamatkan kita semua daripada dihijab pandangan mata hati kita tidak dapat melihat dunia melalui kanta iman, lantaran isu keimanan di hujung zaman sudah ala-ala picisan.
AMIN Ya Rabb, selamatkan kami.
Ibn ‘AbdiLLAH As-Sarawaki,
1.42am,
18 Mac 2009, Rabu
Bintulu, Sarawak.
3 comments:
memang tak dinafikan kat mane2 kalo bab prog keagamaan ni,masyaAllah mmg sikit yg hadir. tp kt jgn jadikan itu sbg satu yg melemahkan semangat utk terus berusaha utk tegakkan kalimah Allah di muka bumi ni. teringat satu kata,ana tak pasti hadis ka apa :'Islam dtg dlm keadaan dagang n akan kembali dlm keadaan dagang,berbahagiala org dlm keadaan asing itu' (wallahualam)..
mungkin kita bole buat prog yg dorang suka ckit n selitkan unsur agama cth perlawanan futsal n dlm pada tu kita critala ckit ttg bab2 agama (tazkirah ckit)b4 game. wallahualam.
Salam,budaya hedonisme yg meruncing juga sedang berlaku dengan giatnya di semua IPTA termasuklah di Universiti Malaya.Kalau mcm kat kolej saya,kalau ada acara yang berkaitan hedonisme seprti nyanyian n etc,mesti penuh satu dewan.Kalau ada ceramah agama,1/8 pon belum tentu ada.Rata2 ramai ada pendidikan agama,tp tiada kesedaran dan telah dirabuni dengan keindahan dunia .Sekarang ni tengah hangat ngan Festival Seni.Sambutan seperti biasa amat menggalakkan.Program Intelektual,semua maleh nak gi.Ada kerja la,ade assignmentla,meeting la.Huhu.Wallahualam
salam...akhi...mun ada apa2 program islamik kt sarawak..inforn kmk juak...mun boleh mo juak ikut bah
Post a Comment