Salam’alaikum warahmatuLLAHi wabarakatuh,
AlhamduliLLAHi rabbil ‘alameen ‘alaa kulli haal…
Segala pujian bagi ALLAH Pentadbir Sekalian Alam,
Rabbil ‘Arsyil ‘Azhim…
Tuhan Yang Mempunyai ‘Arasy Yang Agung…
Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, keluarga baginda serta para sahabatnya…
AlhamduliLLAH, setelah membelek-belek kitab Madza Ya’ni Intima’I Lil Islam karangan Ustaz Fathi Yakan, saya didatangi ilham untuk menulis ataupun mungkin lebih sesuai diistilahkan sebagai menaqalkan / memindah kata serba sedikit tulisan Ustaz Fathi Yakan yang saya rasa amat baik untuk dijadikan sebagai taujihah ataupun tashji’ ataupun dalam Bahasa Melayu disebut sebagai motivasi pembakar semangat dan juga sebagai muhasabah penilaian diri, khas dihidangkan untuk setiap yang meletakkan dirinya di dalam lingkungan pejuang Islam, da’ie, dan sebagainya – para peruntun jalan da’wah, para penyantun akhlaq RasuluLLAH.
Firman ALLAH SWT yang bermaksud:
“Dan sesiapa yang berjihad sesungguhnya (ganjaran) ia berjihad adalah untuk dirinya sendiri. Sesungguhnya ALLAH Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari alam semesta” (Surah al-Ankabut 29 ayat 6).
Setiap petugas di jalan da’wah merupakan golongan yang seharusnya memahami secara mendalam bahawa mereka sebenarnya amat perlu kepada Islam, lantas mereka berasa dipertanggungjawabkan untuk memperjuangkannya. Sewaktu mereka bekerja, setiap tindak-tanduk mereka di dalam berjihad dan berjuang merupakan pembersihan diri dan jiwa mereka di samping menunaikan sebahagian daripada hak-hak ALLAH SWT ke atas mereka supaya mereka memperoleh ganjaran dari ALLAH SWT di akhirat kelak.
SubhanaLLAH, betapa beruntungnya mereka sekiranya mereka beramal, akan tetapi mereka jugalah yang rugi sekiranya mereka menarik diri dan berpaling tadah.
Firman ALLAH SWT yang bermaksud:
“Dan jika kamu berpaling nescaya Dia akan menggantikan (kamu) dengan kaum yang lain dan mereka tidak akan seperti kamu” (Surah Muhammad ayat 38).
Ahli da’wah ini juga seharusnya memahami bahawa hakikat kemuliaan dan harga diri mereka di sisi ALLAH SWT hanyalah kerana natijah mereka berpegang dengan Islam. Saidina Umar Ibn Khattab Abu Hafs pernah melaungkan slogan yang berbunyi:
“Kita adalah suatu kaum yang dimuliakan oleh ALLAH SWT dengan Islam. Jika kita cari kemuliaan selain daripada Islam, maka ALLAH SWT akan jadikan kita sebagai golongan yang hina.”
MasyaALLAH,
Betapa kita melihat kelebihan yang diberikan oleh ALLAH SWT kepada orang yang berpegang dengan Islam, apatah lagi jikalau dibandingkan dengan faedah yang bakal diperolehi kerana memperjuangkan agama-Nya.
Ingatlah, bahawa tiada nilai ke atas kita sekiranya kita tidak bersama-sama dengan Islam, malahan seperti binatang, bahkan lebih sesat daripada itu!
Kemuliaan dan ketinggian ahli da’wah sebenarnya tidak akan dapat dicapai melainkan mereka berjihad sepenuh tenaga dan melibatkan diri dengan jama’ah Islam serta terus kekal dalam jama’ah berkenaan. Kenangkanlah sabda Rasul SAW:
“Hendaklah kamu berada dalam jamaah kerana sesungguhnya tangan ALLAH bersama dengan jamaah. Maka sesiapa yang mengasingkan diri daripada jamaah, dia di dalam neraka”.
Mafhumnya mudah – sesiapa yang mengasingkan diri ia akan keseorangan di dalam azab neraka. Akan tetapi, barangsiapa yang menyatukan dirinya dengan jamaah bererti dia telah mengikat dirinya dengan suatu nasab keturunan yang sangat mulia, bersama dengan golongan yang mendapat petunjuk, yang menuruti jalan para Nabi dan syuhada’.
Di dalam menempuhi keadaan masyarakat yang penuh dengan fitnah, golongan penda’wah mestilah memahami bahawa syarat bagi mendapat pendirian teguh ialah dengan terus kekal bersama jamaah Islam. Ini kerana, apabila mereka menempuh keadaan serba mencabar di luar sana mereka juga akan mudah hanyut bersama dengan fitnah yang datang dalam berbagai. Maka faedah bersama jamaah Islam ialah ada orang di sekeliling mereka dari lingkungan jamaah yang akan memberi peringatan dan nasihat kepadanya.
Firman ALLAH SWT yang bermaksud:
“Dan berilah peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat bagi orang-orang yang beriman.” (Surah Az-Dzariyat ayat 55).
Dan juga:
“Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan sentiasa nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat-menasihati menepati kebenaran” (Surah Al-‘Asr ayat 1-3).
Serta:
“Dan sabarlah diri kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya dari pagi dan senja hari dengan mengharapkan keredhaannya dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (kerana) mengharapkan perhiasan dunia ini dan janganlah kamu mengikut orang-orang yang hatinya telah kami lalaikan dari mengingati Kami dan menurut hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batas.” (Surah Al-Kahfi ayat 28).
Para petugas da’wah ini juga mestilah memahami bahawa mereka beramal dengan bekerja semata-mata kerana ALLAH SWT dan berjihad di jalannya, maka jalan yang ditempuhi adalah sangat jauh destinasi perhentiannya, panjang perjalanannya dan dipenuhi dengan kesukaran, dipagari oleh segala perkara yang dibenci oleh nafsu.
Jalan da’wah ini bukanlah suatu titian yang sanggup dilalui oleh jiwa yang hidup dalam kemewahan, jiwa yang bimbang akan kesempitan hidup. Jalan mulia ini sebenarnya bukanlah jalan bagi mereka yang bersangatan rehatnya (mementingkan kerehatan) dan terlalu dibuai hawa nafsu, tidak akan sanggup dilalui oleh mereka yang sempit dada dan tidak memiliki kekuatan, yang tidak sabar dalam menghadapi cemuhan dan cacian apatah lagi bagi yang tidak sanggup mengorbankan wang ringgit dan harta benda.
Para juru da’wah ini juga hendaklah bersedia berlapang dada dan tidak berkeras dengan pendapat diri sendiri, serta ia pula sanggup tunduk kepada keputusan jamaah walaupun perkara tersebut amat tidak berselari dengan kehendak hatinya. Mereka juga mestilah orang yang sanggup beriltizam dengan pandangan-pandangan jamaah.
Ketahuilah, wahai saudaraku yang turut sama berjuang menegakkan kalimatul haq – bahawa sesungguhnya jalan ini adalah jalan pembersihan jiwa, penyucian hati, jalan penuh tazkiyah an-nafs, jalan kerahmatan dan penuh kemuliaan, jalan kesabaran dan ketetapan, jalan kebebasan, kebenaran dan keikhlasan. Ianya merupakan runtunan jalan bagi orang mu’min yang hati-hati mereka mempunyai ikatan yang kukuh dengan ALLAH SWT, orang-orang yang menggantungkan harapan dan pertolongan hanya kepada-Nya.
Ketahuilah bahawa inilah hakikat jalan jihad! Kau penuhi ia, maka syurga itu bagimu!
Renungkanlah firman ALLAH yang berikut:
“Barangsiapa yang bertawakkal kepada ALLAH nescaya ALLAH akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya ALLAH melaksanakan urusan (yang dikehendakinya). Sesungguhnya ALLAH telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.”(Surah Al-Talaq ayat 3).
Serta
“Dan barangsiapa yang melanggar janjinya nescaya akibat pelanggarannya itu akan menimpakan dirinya sendiri dan barangsiapa yang menepati janjinya kepada ALLAH SWT maka ALLAH akan memberinya pahala yang besar.” (Surah Al-Fath ayat 10).
Rujuk : Madza Ya'ni Intima'i Lil Islam : Bab 2, subtopik: Ganjaran Jihad Adalah Untuk Mujahid Itu Sendiri.
Entri berkaitan :
Mahu Perjuangkan Islam? : Sertailah Jama'ah Islam!
Muslimat dan Perjuangan
Sarawak, Islam dan Da'wah
Ibn ‘AbdiLLAH As-Sarawaki,
7.44am,
13 Mac 2009, Jumaat,
Bintulu, Sarawak.
Yeahhh PUASA LAGI,SYUKUR.
11 years ago
No comments:
Post a Comment