Darussyifa' Online

Darussyifa' Online
klik pada imej untuk ke link

BIC Smart Shop

BIC Smart Shop
klik pada imej untuk ke pautan

Boikot Zionis La'natuLLAH!

Boikot Zionis La'natuLLAH!
klik pada imej untuk ke link

klik pada imej untuk ke link

klik pada imej untuk ke link

Selamatkan Gaza!

Selamatkan Gaza!
klik pada imej untuk ke link

Tuesday, April 21, 2009

Fiqh Mazhab Syafi'e: Kadar Najis Yang Dimaafkan

Assalamu’alaikum warahmatuLLAHi wabarakatuh kepada tetamu ziarah sekalian,


AlhamduliLLAHirabbil ‘alameen ‘alaa kulli haal,

Segala puji bagi ALLAH SWT Tuhan Sekalian ‘Alam ke atas segala-galanya,

Selawat dan Salam ke atas RasuluLLAH SAW serta keluarga Baginda, para sahabat, tabiin serta itba’ tabi’in.


Untuk entri kali ini, saya ingin membawakan salah satu bab kecil daripada Fiqh Thaharah (Bersuci) Mazhab Syafi’e sebagai perkongsian ilmu. Bagi yang tidak mengetahui, ianya merupakan satu pertambahan ilmu yang bermanfaat. Bagi yang sudah tahu pula, anggaplah perkongsian kerdil ini sebagai revision/ulangkaji ataupun sekadar sebuah revisit untuk mengingat semula perkara-perkara yang pernah kita pelajari.

Rata-rata penganut Mazhab Syafi’e di Malaysia, apabila sudah masuk ke dalam bab Najis ini – merekalah yang paling sensitif. Kadangkala untuk bersolat di tengah padang ataupun di tepi jalan pun sudah merasa ragu sedangkan sifat najis langsung tidak zahir ataupun tidak jelas kewujudannya di situ. Sikap ini seolah-olah membawa kepada sikap berlebih-lebihan lantas ditakuti membuahkan perasaan was-was. Kaedah fiqh menyatakan “Keraguan tidak dapat dihilangkan/dihapuskan dengan syak”.

Mungkin apa yang bakal dinaqalkan/dipindah kata di sini bakal sukar diterima oleh sesetengah daripada kita, kerana mungkin dirasakan pendapat itu seperti asing dan pelik. Walau apapun, hakikatnya terserah kepada ALLAH SWT. Apa yang penting, pendapat-pendapat para ulama’ lebih-lebih lagi di dalam Mazhab Syafi’e boleh diterima pakai selagi tidak ada percanggahan dengan Al-Qur’an dan Sunnah, apatah lagi di dalam Mazhab Syafi’e yang hanya membataskan suatu hukum itu disandarkan kepada 4 sumber sahaja, iaitu Al-Qur’an dan As-Sunnah, dituruti pula oleh Ijma’ dan kemudiannya Qias.


Kaedah Pengambilan Hukum Dalam Mazhab Syafi’e

Sedikit maklumat tambahan mengenai kaedah pengambilan hukum oleh Imam Syafi’e, beliau hanya berpegang kepada 4 perkara:

1. Al-Qur’an

2. As-Sunnah

3. Ijma’

4. Qias

Beliau tidak mengambil pendapat para sahabat sebagai sumber mazhabnya kerana dikhuatiri ia berkemungkinan ijtihad yang salah. Beliau juga tidak beramal dengan istihsan yang diterima oleh golongan mazhab Hanafi dan Maliki. Dalam hal mengambil istihsan ini, beliau berpendapat “Sesiapa yang melakukan istihsan bererti dia membuat syari’at”. Beliau juga telah menolak masalih mursalah dan tidak bersetuju menjadikan ‘amal Ahlul Madinah (perbuatan penduduk Madinah) sebagai hujjah.

Maka tidak hairanlah Imam Syafi’e mendapat nama jolokan “Nasir As-Sunnah” yang bermaksud Penolong Sunnah.


Kadar Najis Yang Dimaafkan Dalam Mazhab Syafi’e

Menurut pendapat ulama’ Mazhab Syafi’e tidak ada najis yang dimaafkan kecuali najis-najis berikut:

Najis yang tidak dapat dilihat oleh mata yang sederhana seperti darah yang sedikit dan percikan air kencing yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar. Ini termasuk jikalau ianya percikan kencing anjing dan juga babi. Ini selagi mana zatnya tidak jelas pada penglihatan mata kasar. Tidak perlu diteliti sehingga ke tahap diperiksa dan dibelek-belek di kawasan yang disyaki ini. Ini akan lebih menyusahkan. Sedangkan syara’ tidak membebankan sehingga ke tangga tersebut.


Dari Hal Darah

Kadar yang sedikit dan banyak daripada darah jerawat atau bintit-bintit, darah pijat, darah bisul, darah kudis atau kurap dan nanah adalah di antara najis yang dimaafkan. Begitu juga darah kutu babi, kutu manusia, nyamuk, agas, pijat dan seumpamanya yang terdiri daripada binatang yang darahnya tidak mengalir. Dimaafkan juga tempat berbekam dan hisapan darah, najis lalat, air kencing kelawar, kencing tidak lawas, darah isithadhah, air kurap atau kudis dan air-air bisa lain yang mempunyai bau dan yang tidak mempunyai bau menurut pendapat yang azhar/kuat. Kesemuanya dimaafkan kerana sulit untuk mengelakkan diri daripadanya. Ruang kemaafan yang diberikan adalah luas, selagi mana ianya berlaku dengan tidak disengajakan.

Contohnya, jika kesan luka itu mengalir tidak disengajakan maka ianya dimaafkan. Tetapi apabila keruping luka itu digaru misalnya sehingga menyebabkan darah mengalir dengan banyak, maka ianya tidak dimaafkan dan tidak boleh dibawa untuk solat. Apabila berada di dalam solat, maka batallah solatnya itu. Walau bagaimanapun, perkara tersebut adalah dimaafkan jika kadarnya adalah sedikit.

Kadar sedikit dan banyak ini adalah bergantung kepada uruf ataupun adat, kerana tidak ada di dalam mana-man nas yang menyentuh bagaimana yang dikatakan kadar sedikit dan banyak. Ianya adalah semata-mata ijtihad para ulama’.

Jika dipicit jerawat, bintit-bintit ataupun bisul ataupun dibunuh kutu ataupun membentangkan kain ataupun membawa kain yang terdapat najis yang dimaafkan itu, maka yang dimaafkan adalah yang kadarnya sedikit sahaja kerana amat sulit untuk mengelakkan diri daripadanya. Tidak dimaafkan kulit kutu anjing dan seumpamanya. Begitu juga dimaafkan menurut pendapat yang azhar (lebih jelas) kadar yang sedikit daripada darah ajnabi selain daripada anjing dan babi. Antara contoh darah ajnabi ialah darah yang telah terpisah daripada badan seseorang kemudian kembali mengenainya semula. Darah anjing dan seumpamanya tidak dimaafkan biarpun sedikit kadarnya disebabkan hukumnya yang berat.

Adalah jelas bahawa asas kemaafan yang diberikan kepada darah-darah lain selain anjing dan babi selama mana ia tidak bercampur dengan darah ajnabi. Jika ia bercampur dengannya biarpun ia (iaitu darah ajnabi) berasal daripada darahnya sendiri dari bahagian anggota yang lain, maka kesemuanya tetap tidak dimaafkan.


Kesan Istinja’, Darah Sembelihan Pada Pakaian Dan Sekitar Kenajisan Tanah

Dimaafkan kesan najis di tempat istinja’ yang menggunakan batu bagi diri orang yang berkenaan sahaja, tidak bagi diri orang lain, sekalipun tempat itu berpeluh dan lembap, tetapi belum berpindah ke tempat yang lain.

Dimaafkan juga najis yang sukar untuk dielakkan pada kebiasaannya seperti tanah jalanraya yang memang diyakini kenajisannya, dengan beberapa syarat:

  1. Najis itu tidak jelas di tempat-tempat itu
  2. Orang yang berkenaan telah berusaha mengelakkan diri daripadanya seperti dia tidak membiarkan hujung bawah ataupun kaki pakaiannya terlepas ke bawah sehingga mencecah tanah tersebut.
  3. Najis itu mengenainya semasa dia sedang berjalan ataupun menunggang, bukannya semasa dia terjatuh ke atas tanah.

Dengan itu, penentuan kadar sedikit yang dimaafkan adalah berdasarkan keadaan orang yang terlibat apabila dia tidak terjatuh ke atas sesuatu najis itu ataupun tersembam mukanya ke atas najis. Maksud di sini ialah kadar itu bergantung kepada kadar najis yang terlekat padanya, dengan syarat najis itu terlekat padanya bukan disebabkan dia terjatuh atau terpijak najis itu.

Maknanya, apabila dia terpijak, tersembam mukanya ke atas najis itu ataupun terjatuh ke atas najis itu, maka najis tersebut tidak dimaafkan dan menuntut seseorang itu melakukan thaharah.

Walau bagaimanapun, di dalam kes tanah ini apabila tidak diyakini tentang kenajisannya tetapi hanya berdasarkan zan (berat sangkaan) sahaja seperti kebanyakan jalan raya, maka kedudukan tanah itu dan seumpamanya samalah seperti pakaian tukang pembuat arak, pakaian kanak-kanak, penyembelih atau penjual daging dan ikan dan juga pakaian orang kafir yang mempercayai bahawa agamanya menuntut penggunaan najis, maka menurut pendapat yang asah (lebih sah)- ia adalah suci berdasarkan asalnya. Tetapi jika tidak ada sangkaan tentang kenajisannya, maka ia dihukum bersih, sama seperti air pancuran bumbung rumah yang disangkanya najis tetapi ia masih tetap dihukum bersih.

Mengenai pakaian tukang sembelih, penjual daging dan seumpama dengannya, kemaafan hanyalah ke atas mereka yang bergelumang dalam keadaan tersebut setiap hari. Ini jikalau kadarnya adalah sedikit. Contohnya, tukang sembelih dan penjual daging sememangnya akan sentiasa terdedah kepada percikan darah dan sukar untuk dielakkan.


Beberapa jenis lagi najis yang dimaafkan dalam mazhab Syafi’e.

Dimaafkan bangkai ulat buah-buahan, ulat cuka dan keju yang terjadi daripada bahan-bahan itu selama ia tidak keluar daripada dalamnya, yang kemudiannya dimasukkan semula ke dalamnya sesudah ia mati, dan selama mana ia tidak merubahkannya.

Dimaafkan juga *Al-Infihah (iaitu sejenis bahan berbentuk enzim yang digunakan sebagai penggumpal dalam pembuatan keju. Zaman sekarang ianya dikenali dengan beberapa nama iaitu pepsin, rennet ataupun whey) yang digunakan untuk keju, serta alkohol yang digunakan di dalam ubat-ubatan dan berbagai jenis pewangi

Dimaafkan juga asap najis (najis yang dibakar), wap air najis yang jatuh atau menitik dengan sebab api, roti yang dipanaskan ataupun yang ditanam di dalam abu najis biarpun sebahagiannya terlekat pada roti itu.

Juga dimaafkan pakaian yang disidai di atas dinding yang dibina daripada abu najis kerana sulit untuk mengelakkannya.

Dimaafkan tahi burung yang terdapat di atas tanah lapang ataupun di atas tanah jika sulit untuk dielakkannya yang tidak disengajakan berjalan di atasnya kecuali kerana terpaksa seperti ia menjadi tempat laluan yang mesti dilalui, dan di kiri kanannya tidak terdapat rumput yang lembap.

Dimaafkan bulu najis yang sedikit yang bukan daripada anjing dan babi, umpamanya bulu kucing, arnab, dan yang selainnya. Dimaafkan juga bulu yang banyak daripada binatang yang ditunggangi kerana sulit untuk mengelakkannya.

Ini adalah selagi bulu tersebut bukan berasal daripada babi ataupun anjing ataupun anak daripada kedua-duanya ataupun salah satu daripadanya dengan binatang lain. Jika bulu tersebut berasal daripada binatang-binatang ini, maka tidak dimaafkan walaupun sedikit.


Dimaafkan juga:

Kesan cacahan (tatu)

Tahi ikan yang terdapat di dalam air selagi mana ianya tidak mengubah sifat air itu.

Darah yang masih terdapat pada tulang ataupun daging.

Air liur yang keluar daripada usus seorang pesakit yang sedang tidur.

Tanah dan kotoran yang terkena kepada diri pengembala ataupun pemandu.

Tahi binatang yang termasuk ke dalam susu yang diperah daripadanya selagi tidak berubah keadaan susu tersebut dan kuantiti najis tersebut adalah sedikit. Kes ini kemungkinan berlaku apabila diperah susunya, dan pada masa yang sama ianya terkencing dan dilibas-libaskan ekornya, sehingga terdapat sedikit serpihan ataupun percikan daripadanya sehingga termasuk ke dalam labu susu perahan berkenaan.

Tahi ataupun kencing binatang yang terkena biji-bijian ketika ia memijaknya. Ini merujuk kepada konteks di mana binatang seperti lembu ataupun kerbau digunakan untuk memecahkan biji padi ataupun jerami ataupun lainnya.

Kesan tahi binatang berkaki empat yang bercampur dengan tanah.

Najis yang terkena madu lebah. Apa yang dimaksudkan di sini ialah kebiasaannya sarang lebah diperbuat daripada tanah dan juga sedikit najis binatang sepeti tahi lembu. Maka madu itu boleh digunakan dan kenajisannya adalah dimaafkan.

Kenajisan mulut kanak-kanak ketika memberi susuannya ataupun ketika mengucupnya.


Penutup

Daripada perkongsian ini, saya mengharapkan agar ada manfaatnya kepada tetamu ziarah sekalian. Sekurang-kurangnya mungkin terubat kemusykilan-kemusykilan yang timbul.

Saya amat mengesyorkan agar pembaca sekalian untuk merujuk kembali kepada ustaz, tok guru ataupun orang alim lain yang arif mengenai hal ini. Saya tidak menggalakkan pembaca hanya mengambil pendapat-pendapat di sini tanpa merujuk kepada guru, ditakuti pembaca tersilap dalam memahami penyataan-penyataan yang telah disebutkan di atas.

Walau bagaimanapun, apa yang dinaqalkan di sini semuanya bersifat telus/direct/straight to the point dan bahasanya telah dipermudahkan untuk memudahkan pembaca untuk memahaminya. Semuanya telah disampaikan tanpa kiasan untuk memudahkan pemahaman pembaca.

Semoga ada keberkatan dan manfaat dari ALLAH SWT atas usaha yang Maha Kerdil ini, agar memudahkan lagi masyarakat tentang hukum-hukum Islam berkaitan Fiqh Thaharah ini serta ruang lingkup kemaafan yang luas di dalam Islam, bersandarkan Fiqh Mazhab Syaf’ie yang diamalkan umum penduduk Malaysia dan Asia Tenggara.


WaLLAHua’lam.


Rujukan:

Kitab Fiqhul Islami Wa Adillatuhu Al-Juz’ Al- Awwal/ Fiqh Dan Perundangan Islam Jilid 1 susunan Dr Wahbah Zuhaili, Dalam Bab Kadar Najis Yang Dimaafkan: Mazhab Syafi’e, halaman 155-157. Terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka Cetakan 1997.

Kuliah Agama Fiqh Thaharah Ustaz Azhar Idrus dengan judul kuliah “Penawar Lalat”.

*Istilah Al-Infihah : Rujuk Munir Ba’alBakkiy, Al-Maurid cetakan 1997 dan Majalah Ummat no. 39, 20 April 1998, halaman 77.


Ibn ‘AbdiLLAH As-Sarawaki,

9.10pm,

Selasa, 21 April 2009,

Bintulu, Sarawak.

No comments:

Katakan "TAK NAK" Kepada Tabarrujul Jahiliyah!

Katakan "TAK NAK" Kepada Tabarrujul Jahiliyah!
klik pada imej untuk ke link

klik pada imej untuk ke link

klik pada imej untuk ke link

Alternatif Fesyen Islami

Alternatif Fesyen Islami
klik pada imej untuk ke link

Jom Belajar Bahasa Arab

Jom Belajar Bahasa Arab
klik pada imej untuk ke link

Video-video Pilihan

Ustaz Ismail Kamus - Nafsu Makan Ustaz Ismail Kamus - Alam Jin Ustaz Azhar Idrus - Banduan Akhirat Ustaz Azhar Idrus - Tidur 20 Tahun