Pertama sekali, saya memohon jutaan kemaafan daripada tetamu ziarah sekalian, andai kebelakangan ini blog saya dilihat seolah-olah lebih banyak cerita tentang politik. Saya rasa tidak salah juga untuk berkongsi serba sedikit pandangan mengenai cerita politik ini, kerana:
- Saya sudah berusia 23 tahun. Umur mengundi paling kurang 21 tahun.
- Krisis politik Malaysia yang kian meruncing, terutamanya di Perak. Maka untuk mengelakkan daripada terkadang terkeliru akibat keracunan oleh media-media yang tidak bertanggungjawab, saya lebih suka untuk menilai keadaan sekarang berdasarkan penilaian secara peribadi.
- Ingatlah bahawa politik itu juga ada bahagiannya di dalam Islam. Maka saya cerita tentang politik, saya cerita tentang Islam. Renungi fatwa Syeikh Mustafa As-Sobri, Mufti Turki Uthmaniyyah : Memisahkan politik daripada agama adalah JALAN YANG PALING MUDAH UNTUK MENJADI KAFIR. Maka berhati-hatilah terhadap pandangan sekular yang murah-murahan di luar sana!
Ini cuma pandangan dan penilaian daripada saya yang tidak seberapa ini, seorang yang tidak terlibat secara langsung dengan siasah. Ini cuma komentar berdasarkan pandangan dan analisis kasar hasil pemerhatian keadaan politik zaman ini. Saya kongsikan kepada tetamu ziarah sekalian berdasarkan hak saya duduk di dalam negara demokrasi.
Kebelakangan ini kita dengar macam-macam cerita tentang di dalam PAS dan UMNO sendiri. Di dalam PAS, orang bikin huru-hara melabelkan ulama’ dan profesional ikut kelas masing-masing. Di dalam UMNO pula, ada team A dan team B.
Di Terengganu misalnya, UMNO ada krisis dalaman tersendiri. Wujudnya geng 10 yang pro-Idris Jusoh memboikot sidang DUN Terengganu baru-baru ini, yang mana DUN di sana adalah di bawah kepimpinan Dato’ Ahmad Said, yang dilabelkan oleh geng 10 tersebut sebagai ‘cap ayam’. Begitu juga dengan kepimpinan Kerajaan Negeri Terengganu yang lain yang setia duduk di bawah Ahmad Said, tidak terlepas daripada dilabel sebagai ‘cap ayam’ juga. Koman sepana, bak kata orang Terengganu.
Kadangkala, dalam suasana yang dikatakan kucar-kacir dalam parti-parti ini seolah-olah membuka peluang kepada kita untuk menyangkal akan kredibiliti parti-parti ini.
Maka di sini, saya membuat penilaian terhadap kedua-duanya untuk melihat yang mana satu adalah yang terbaik, pada pandangan peribadi saya – melalui kaedah yang kononnya saya istilahkan sebagai Fiqh Muqarran – Fiqh Perbandingan. Tapi ini Fiqh Muqarran bainal UMNO wa PAS / antara UMNO dan PAS ya.
Saya tidak bermaksud untuk mempengaruhi mana-mana pihak. Ini Cuma personal opinion. Apa yang baik, boleh diambil sebagai panduan. Yang tidak baik, jangan ambil!
Di sini, saya hanya sempat gariskan tiga dasar yang menjadi aspek kepada penilaian; dasar perjuangan, prestasi selama memegang kuasa, peribadi dan akhlaq pemimpin dan anggotanya.
_______________________________________
- Dasar perjuangan:
PAS: Saya pernah baca dalam Perlembagaan PAS, yang mana point pertama dalam perlembagaan itu menyatakan bahawa dasar PAS ialah Islam dan seruan PAS ialah ALLAHukbar. PAS dengan jelas dan terang menyatakan bahawa perjuangan mereka adalah Islam. PAS juga dapat dilihat bersungguh-sungguh dalam usaha mereka untuk menegakkan hukum-hukum Islam di dalam pemerintahan, sesuai dengan kehendak ALLAH SWT.
Memetik firman ALLAH SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 30 yang bermaksud : Dan ingatlah ketika Tuhan berfirman kepada malaikat, “Sesungguhnya Aku akan melantik seorang khalifah di bumi.”
Beberapa orang ulama’ termasuk Ibn Khaldun di dalam kitabnya Muqaddimah dan juga Imam Al-Mawardi di dalam kitabnya Al-Ahkamus Sultaniyyah mentafsirkan makna khalifah itu sebagai pengganti nabi (khilafatun nubuwwah) dari segi menjaga agama (hirasatiddin) dan mentadbir dunia dengan agama (siasatid dunya bihi).
Jadi, kalau kita lihat apa yang dibawa oleh PAS sekarang pun, mereka menepati ciri-ciri khalifah yang dimaksudkan. Atau sekurang-kurangnya menghampiri kepada khalifah.
PAS menjunjung Al-Qur’an dann As-Sunnah sebagai perlembagaan utama di dalam pemerintahan dan pentadbirannya.
Lagi pula, dasar yang PAS amalkan ini langsung tidak menyinggung mana-mana pihak, tidak kira Melayu, Cina, India, Iban, Dayak dan sebagainya. Ini sesuai dengan fitrah Islam itu sendiri.
Bagi UMNO pula yang sekarang ini dilihat oleh ramai pihak sedang menuju ke era karam di lautan siasah yang luas. UMNO walaupun terkenal dengan pemimpinnya yang memperkenalkan konsep Islam Hadhari, tetapi dilihat lebih cenderung untuk mengangkat Melayu daripada segala-galanya. Sudah pasti apabila konsep kebangsaan ataupun asabiyyah diutamakan, maka tidak mustahil ada pihak yang tersinggung dengannya.
Mungkin apabila dilihat asyik nama Melayu sahaja yang dinaikkan ataupun dijulang-julang, orang akan mula mempertikaikan adakah kita boleh memimpin masyarakat yang berbilang bangsa sedangkan kita asyik sibuk cerita pasal bangsa kita sahaja. Selain daripada itu, semangat nasionalisme yang dibawa sejak daripada era kemerdekaan hari itu lagi dilihat tidak selari dengan ruh Islam.
Saya teringat satu kata-kata yang saya tidak pasti ini ayat Al-Qur’an, hadith ataupun kata-kata sahabat, yang berbunyi “Al-Islam Ya’lu, Wa La Yu’la ‘Alaihi”. Maksudnya, Islam itu Tinggi, dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya. Jadi, sepatutnya nasionalisme hendaklah diketepikan terlebih dahulu, sebaliknya Islam yang diletakkan lebih tinggi di dalam pemerintahan.
- Prestasi Selama Memegang Kuasa:
Kalau dilihat dari segi umur pemerintahan PAS dikira masih muda dalam memerintah negeri yang duduk di bawahnya. Kita lihat di Kelantan, PAS menang tahun 1990. Sekarang tahun 2009, maknanya baru 19 tahun PAS memerintah Kelantan. Walaupun dalam keadaan umurnya yang dikira masih muda, kepimpinan PAS yang dilead oleh Tuan Guru Nik Aziz dilihat berjaya memimpin Kelantan dengan baik. Kita boleh lihat bagaimana hutang-hutang yang berlambak hasil pemerintahan BN sebelum PAS menang dan memerintah di Kelantan, hutang-hutang tersebut dapat diselesaikan ataupun sekurang-kurangnya dikurangkan dalam kadar yang banyak. Pendekatan Tok Guru, priority adalah lebih kepada melangsaikan hutang-hutang itu dahulu serta pada masa yang sama melaksanakan pembangunan sekadar yang perlu dalam keadaan berjimat-cermat. Itulah hebatnya apabila ulama’ menjadi pemimpin. Beliau tidak menolak pembangunan dan pada masa yang sama tidak menggadaikan prinsip bersederhana dalam pemerintahannya agar Kelantan tidak teruk memikul bebanan hutang hasil kerja BN sebelumnya. Sudah nama pun ulama’, maka seolah-olah ALLAH telah memberikan mata ketiga kepada mereka agar jalan yang dipilih adalah jalan yang betul semasa memerintah.
Di samping itu juga, PAS dilihat bersungguh-sungguh dalam melaksanakan hukuman hudud di negeri-negeri yang dikuasainya. Walaupun Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang pernah propose untuk perlaksanaan hukuman hudud di Parlimen, tetapi akhirnya berjaya tidak diendahkan oleh majority yang berada di dalam dewan ketika itu. Nak buat macam mana, kalau hati dah gelap, kebenaran yang jelas cokoh depan mata pun masih tak nampak.
Prestasi UMNO. Sepanjang zaman-zaman awal UMNO memegang kuasa selepas kemerdekaan, tidak jelas masalah yang dihadapi. Walau bagaimanapun, masalah-masalah mula timbul satu-satu di penggal-penggal akhir UMNO memerintah, istilahnya di era UMNO sudahpun melewati waktu Maghrib, setengah orang kata dah nak wafat. Di zaman Pak Lah, jambatan tak siap yang dibina sejak penggal akhir pemerintahan Tun Che’ Det tiba-tiba dihentikan. Pembaziran sudah berlaku di situ. Saya tidak ingat apa lagi details yang boleh saya sertakan di sini tentang pembaziran yang berlaku dalam 4 tahun Pak Lah memerintah, tetapi cukup untuk saya katakan bahawa perbelanjaan di era Pak Lah yang 5 tahun itu dilaporkan di dalam sebuah akhbar, adalah melebihi total expenditure di zaman Tun Dr Mahathir memerintah selama 22 tahun.
Kemudian, rakyat disusahkan lagi dengan kenaikan harga minyak yang tidak sepatutnya berlaku di negara pengeluar minyak seperti Malaysia Darul Hadhari. Tidak cukup dengan kenaikan harga minyak, barang-barang keperluan pula naik. Gula naik, beras naik, ayam naik. Habis la time tu. Air teh dan kopi jadi tawar, orang mula merancang nak makan ubi kayu sebagai pengganti kepada nasi, orang dah mula nak berpuasa daripada makan ayam. Kasihan juga rakyat dibuatnya!
Saya teringat satu benda yang pernah saya dengar dalam satu kuliah tu, yang lebih kurang mafhumnya, bahawa tanda-tanda banyaknya penyelewengan di dalam ekonomi termasuk jual beli ialah naiknya harga barang-barang. Sekarang naik harga barang-barang, nampak sangat ada penyelewengan di situ!
- Akhlaq Kepimpinan dan Anggotanya:
PAS meletakkan Islam sebagai dasarnya. Maka semua yang berada di dalamnya termasuk kepimpinan adalah bound kepada dasar-dasar Islam. Maka kita lihat betapa tinggi komitmen yang diletakkan oleh ahli-ahlinya untuk menuruti syara’. Tidak perlu cerita jauh, soal hudud tadi. Bagaimana PAS bertungkus-lumus untuk melaksanakannya, walau bagaimanapun ditohmah sebagai ekstremis dan macam-macam.
Muamalat dengan orang ramai dijaga dengan sebaik-baiknya, amalan-amalan mendekatkan diri kepada ALLAH ditekankan setiap masa. Siasah walaupun penting, ianya tidaklah satu-satunya perkara yang sentiasa nombor satu. PAS sentiasa menekankan soal tarbiyyah kepada ahli-ahlinya termasuk di peringkat pimpinan. Maka hasil daripada tarbiyyah itu, kita lihat pimpinannya walaupun marah macam mana pun, tapi tidak pernah mencarut. Tidak pernah tunjuk isyarat tangan macam-macam. Tidak pernah buat perkara pelik-pelik.
Setakat ini, saya juga tidak pernah mendengar pemimpin ataupun ahli-ahli di dalam PAS dikaitkan dengan macam-macam skandal ataupun sindiket. Saya tidak pernah dengar orang PAS dituduh rasuah, saya tidak pernah dengar orang PAS dituduh dengan skandal itu ini. Saya tidak pernah dengar lagi setakat ini orang PAS yang lompat parti. Ini kerana dalam Pas ada konsep baiah, baiah itulah juga yang pernah dilakukan di zaman khalifah dulu.
Bagi UMNO pula, saya tidak mahu ulas banyak. Pernah dengar hukum pakai gelang tangan bagi lelaki? Tidak kisahlah gelang apa sekalipun, selagi tiada kemaslahatan hukumnya bukankah haram? Baru-baru ini dan juga sebelumnya, saya lihat dalam Perhimpunan Agung UMNO, saya lihat ahli-ahlinya pakai gelang getah (wrist band) yang nampak ranggi itu. Molek-molek ade, kata orang Terengganu. Kalau ikut hukum adab, itu sudah cukup menjatuhkan thiqah / kepercayaan terhadap orang-orang UMNO, terutamanya di kalangan pemimpinnya. Imej tersebut tidak menunjukkan kemelayuan, apatah lagi keIslaman. Maka kepada orang UMNO saya nasihatkan, mungkin gelang tangan getah itu bolehlah ditanggalkan selepas ini.
Ada juga pimpinan UMNO yang saya lihat tanpa segan-silu bersentuh tangan dengan wanita-wanita dalam UMNO, sungguhpun yang disentuh itu bukan isteri mereka tetapi isteri orang lain. Yang tidak pakai tudung pun boleh tahan juga. Macam mana nak kita mahu bela agama (UMNO juga ada dakwa mereka juga mahu bela Islam di Malaysia, jangan lupa itu!), kalau perkara mudah seperti perintah ALLAH untuk memakai tudung pun tidak dapat / mahu dituruti. Lagipun bukankah dalam Perlembagaan memperuntukkan bahawa Islam itu adalah agama untuk orang yang berbangsa Melayu (tapi bukanlah bermaksud bangsa tidak boleh anut Islam. Penyataan itu merujuk kepada kelaziman di Malaysia sahaja iaitu ralitnya orang Melayu sudah tentu beragama Islam. Jangan salah faham dengan statement itu tadi.) di Malaysia, maka tidakkah bermaksud orang Melayu kena pakai tudung? Maksudnya, kalau mereka tak pakai tudung, tak cukup Melayu lagilah kalau begitu halnya!
_______________________________________
Saya tidak mahu ulas banyak. Saya mungkin boleh berikan sedikit info-info di atas sebagai guideline kepada tetamu ziarah sekalian untuk dijadikan asas kepada penilaian yang saya maksudkan. Cuba tuan-tuan tengok sendiri nanti, betul ataupun tidak benda-benda yang saya katakan ini..
Tapi awal-awal saya pesan, jangan hanya baca Utusan Melayu dan Berita Harian sahaja, bukakan minda untuk baca juga akhbar media alternative yang pro-Pakatan Rakyat. Sebab kalau nak baca Utusan dan Berita Harian sahaja, tidak berkembang ke mana minda kita! Maka duduklah di situ sahaja kita dengan minda Utusan Malaysia dan Berita Harian itu!
Maka, melalui 3 perbandingan itu tadi saya simpulkan, jika dibandingkan antara kedua-duanya, saya lihat PAS ada future! PAS ada masa depan dalam politik Malaysia! PAS sudah boleh diterima oleh rakyat termasuk orang bukan Islam! PAS adalah universal!
_______________________________________
“Lantaklah orang nak kata saya ini pro-PAS ke apa, yang penting pandangan yang dilontarkan adalah bersifat peribadi berdasarkan prinsip DEMOKRASI yang ada di Malaysia, maka saya berada di dalamnya, saya diperuntukkan di dalamnya dan saya berHAK menggunakannya! Lagipun, saya amat yakin dan optimis bahawa yang saya sebutkan itu ada kebenarannya! Sebagai Muslim Yang Mengimani Bahawa Masa Depan Adalah Milik Islam (rujuk kitab Madza Ya’ni Intimai Lil Islam dalam bab “Saya Mestilah Yakin Bahawa Masa Depan Di Tangan Islam”.), saya katakan PAS ada future di dalam hempas-pulas kancah padang politik Malaysia! ”
Nota: Ini sekadar pandangan peribadi, bukanlah provokasi sebagai hasutan kepada pihak-pihak lain. Memandangkan ayat-ayat di atas bersifat provokatif, memang tujuannya adalah untuk menyindir, ataupun kalau dalam bahasa berlapik – menegur tanda sayang! Ingatlah bahawa Malaysia negara demokrasi.
Maaflah, entri ini tidak seilmiah mana. Lagi pula, saya bukanlah orang yang terlibat secara langsung dalam politik. Saya masih membuat pertimbangan untuk memangkah yang mana satu…. Yang pastinya, saya memilih dengan melihat kepada dasar yang diperjuangkannya. Ya lah, manalah tahu esok-esok dibuatnya ALLAH SWT balikkan hati UMNO untuk berjuang Islam dan memartabatkan Islam sebagai dasar perjuangannya!
Yakinlah apabila orang itu betul-betul mahu mencari kebenaran, ALLAH akan tunjukkan dan buka jalan ke arah kebenaran kepadanya. Berdoalah agar kita sentiasa berada dalam kebenaran!
Wassalam,
Ibn ‘AbdiLLAH As-Sarawaki
6.10pm,
15 Mei 2009, Jumaat,
Bintulu, Sarawak.
No comments:
Post a Comment