Assalamu’alaikum warahmatuLLAHi wabarakatuh..
Firman ALLAH SWT:
“Wahai orang-orang Yang beriman! masuklah kamu ke Dalam ugama Islam (dengan mematuhi) Segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; Sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu Yang terang nyata. maka kalau kamu tergelincir (dan jatuh ke Dalam kesalahan disebabkan tipu daya Syaitan itu), sesudah datang keterangan-keterangan Yang jelas kepada kamu, maka ketahuilah bahawasanya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Q.S Al-Baqarah 208-209)
Sabda RasuluLLAH SAW:
“Diwajibkan ke atas kamu berjemaah kerana sesungguhnya serigala akan makan kambing yang jauh dari kumpulannya”.
Lagi sabda RasuluLLAH SAW:
“Kamu hendaklah bersama jemaah muslimin dan pemimpin mereka.”
Serta:
“Kamu hendaklah bersama jemaah, kerana tangan ALLAH bersama jamaah, dan sesiapa yang mengasingkan diri (daripada jamaah), maka dia mengasingkan diri ke dalam api neraka.”
Ayat Al-Qur’an di atas serta beberapa hadith yang dikemukakan di atas menerangkan beberapa intipati penting, iaitu:
1. Bahawasanya wajib seseorang yang bergelar Muslim untuk beriltizam seratus peratus kepada ajaran Islam. Saidina Umar r.a pernah menyebut lafaz yang kira-kira berbunyi “Kita dahulunya adalah satu bangsa yang hina, tetapi telah ALLAH SWT muliakan dengan Islam. Jikalau kita menolak Islam, maka hilanglah kemuliaan itu daripada kita.”
2. Kewajipan setiap muslim untuk menyertai jamaah yakni jamaah Islam, dan kewajipan ini ditaklifkan ke atas setiap individu muslim berdasarkan kemampuannya (Firman ALLAH SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 286: ALLAH tidak membebani seseorang, kecuali sesuai dengan kemampuannya..). Salah satu daripada hadith di atas juga menegaskan bahawa kewajipan untuk ta’at kepada pimpinan jamaah Islam, selagi mana ia tidak melanggar batasan syariat. Ini diperkuatkan lagi dengan firman ALLAH SWT dalam al-Qur’an yang bermaksud “…taatilah ALLAH dan taatilah Rasul-Nya, dan ulil amri (pemimpin) di antara kamu..” serta salah satu hadith Nabi SAW yang bermaksud “Barangsiapa ta’at kepada aku, maka dia sudah ta’at kepada ALLAH dan sebahagian daripada ta’at kepada aku mentaati ialah mentaati amir (ketua atau pimpinan).”
Daripada beberapa intipati di atas dan apabila dalil-dalil di atas dihubungkaitkan antara satu dengan yang lain, dapat dibuat beberapa kesimpulan yang mudah iaitu:
1. Tidak cukup seseorang muslim itu jika hanya beriltizam kepada beberapa perkara seperti menunaikan solat, puasa dan haji serta beberapa perkara lain sahaja manakala sebahagian daripada ajaran Islam yang lain ditinggalkan, salah satu daripadanya ialah menggabungkan diri dengan jamaah Islam.
2. penggabungan diri ke dalam jamaah Islam adalah wajib ke atas setiap muslim, dan melalui penggabungan ini maka salah satu daripada untaian yang mengikat seseorang itu kepada Islam sudahpun tersimpul erat.
3. penggabungan ke dalam jamaah Islam adalah sesuatu yang syar’I dan bukanlah semata-mata rekaan manusia, tetapi merupakan perintah ALLAH SWT melalui lisan Rasul-Nya.
Beberapa kesimpulan tersebut adalah antara dalil-dalil yang boleh dikemukakan sebagai hujjah bahawa wajib untuk setiap Muslim beriltizam kepada jamaah Islam. Beriltizam kepada jamaah Islam yang mana secara langsung bermaksud mengikat diri kepada perjuangan Islam. Secara simbol matematikanya,
Menyertai jamaah Islam = Menyertai perjuangan Islam = Kesempurnaan Islam & Iman
Walau bagaimanapun, malangnya masih ramai yang tidak menyedari hakikat bahawa hidup sebagai seorang Muslim tidak cukup hanya dengan solat, puasa, haji dan zakat sahaja. Lebih malang lagi kerana ada yang sampai ke tahap solat pun belum dilaksanakan sepenuhnya.
Ketahuilah, bahawa Islam itu adalah luas skopnya. Ianya merupakan sebaik-baik dan semulia-mulia serta sebenar-benar pegangan hidup. Ianya mempunyai ruang lingkup yang luas di dalam kehidupan seorang Muslim. Islam bukan hanya setakat rukun iman yang enam, rukun Islam yang lima dan juga ihsan sepertimana yang ditulis dalam mana-mana buku teks Pendidikan Islam menurut sukatan pelajaran Pendidikan Islam peringkat PMR dan SPM Kementerian Pelajaran Malaysia.
Janganlah kita menganggap bahawa hidup di dunia ini tidak ada cabaran, ujian dan jerih payah. Dan jangan lupa bahawa di dalam Islam itu, salah satu daripada perkara pokok yang perlu diketahui ialah Islam itu merupakan perjuangan dan menuntut penganutnya untuk berjihad memperjuangkannya. Adakah kita lupa bahawa Nabi SAW pernah menyebut bahawa jika seseorang itu tidak pernah ada keinginan untuk syahid (ataupun dalam konteks lain, berjuang/berjihad di jalan ALLAH SWT) di dalam dirinya, maka tidak sempurna imannya?
Bukti keimanan dan keislaman yang sebenar adalah seseorang Islam itu bertekad dan berusaha memperjuangkan Islam, yang menunjukkan kesungguhannya menjadi hamba ALLAH SWT yang mendaulatkan agama-Nya. Sedarlah kita semua bahawa apabila menjadi seorang Islam, ianya menuntut suatu iltizam dan komitmen yang lengkap dan menyeluruh terhadap ajaran Islam, sesuai dengan maksud firman ALLAH SWT dalam ayat 208 Surah Al-Baqarah tadi. ALLAH SWT menegaskan bahawa tiada istilah masuk Islam itu separuh-separuh, melainkan hanya ada dua jalan iaitu samada seseorang itu menurut jalan kebenaran ataupun menelusuri kesesatan!!. Wal ‘iyyadzabiLLAH!
Muslim yang sejati ialah mereka yang sedia berangkat dan keluar berjuang untuk menegakkan cita-cita Islam dalam segala dimensinya yang mungkin. Muslim yang sebenar ialah muslim yang tidak terhalang daripada berjihad hanya disebabkan oleh kesempitan hidup yang menimpanya atau terlalai oleh kesenangan dan kebendaan. Mereka merupakan golongan yang sedia dan rela berkorban demi Allah dan Rasul-Nya, kerana mereka yakin dengan janji-janji ALLAH SWT, seperti yang diterangkan dalam Surah Al-Saff ayat 10.dan 11 yang bermaksud “Wahai orang-orang Yang beriman! mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan Yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa Yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan RasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah Dengan harta benda dan diri kamu; Yang demikian itulah Yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat Yang sebenarnya).
Golongan ini merupakan mereka yang sedar bahawa realiti sebagai seorang Islam itu perlu memperjuangkan agamanya lantaran ancaman dan fitnah yang tidak kunjung putus yang dilancarkan oleh musuh-musuh Islam ke atas agamanya serta mereka yakin bahawa mereka akan dipertanggungjawabkan oleh ALLAH SWT di akhirat nanti kerana tidak pernah mahu memperjuangkan agama-Nya.
Ingatlah bahawa hakikat di zaman RasuluLLAH SAW dahulu bahawa apabila seseorang itu enggan turut serta untuk memperjuangkan Islam dihukum sebagai munafiq dan kufur kepada ALLAH SWT. ALLAH SWT melarang Nabi SAW daripada mendoakankan mereka dengan berdiri di tepi kubur mereka serta melarang baginda daripada menyembahyangkan jenazahnya. Ini tentu sekali kerana perbuatan tidak ikut serta untuk berjuang menegakkan kedaulatan Islam merupakan suatu dosa besar yang membawa kepada terhapusnya kekuasaan dan kemegahan Islam.
Justeru, sebagai seorang muslim - adalah menjadi kewajipan untuk kita beriltizam serta berusaha mengukuhkan gerakan Islam dan meramaikan bilangan mereka (ahli jamaah Islam) agar kita berjaya di dunia dan di akhirat.
Menjadi ahli jamaah Islam tidak bermaksud bahawa semua ahlinya perlu mengangkat senjata menuju ke medan perang. Ingatlah bahawa sifat Islam itu yang luas dan universal, maka sudah tentu jamaah yang menjadikan Islam sebagai dasarnya mempunyai ruang lingkup perjuangan yang luas. Ketahuilah bahawa di dalam Jamaah Islam itu perlu adanya kekuatan ketenteraan, penganalisis politik, pakar ekonomi, pakar kesihatan, ahli seni, ahli muzik sehinggalah ke sekecil-kecil peranan, dari setinggi-tinggi pangkat sehinggalah ke serendah-rendah peringkat (pada hakikatnya, semua peranan di dalam suatu organisasi itu penting untuk menggerakkan organisasi itu menuju kejayaan!). Analogi yang cukup cantik untuk menggambarkan jamaah Islam ialah ianya bagaikan sebatang tubuh yang mana setiap anggota memainkan peranan yang penting. Apabila demam seseorang itu, maka seluruh tubuhnya merasakan kesakitan yang dialaminya. Alangkah indahnya suasana dalam berjamaah itu! Hubungan yang erat terbina di antara ahli-ahlinya bagaikan isi dengan kuku – apabila terpisah, maka cacat dan cederalah ia.
Sertailah Jamaah Islam! Masuklah ke dalamnya kerana di sana kebolehan dan potensi diri anda boleh digunakan sepenuhnya untuk Islam!
Oleh itu, wahai saudara sekeyakinan dan se’aqidahku, marilah kita bersama-sama terjun ke dalam arena perjuangan Islam dengan menyertai jamaah Islam, bersama-sama dengan golongan ulama’ dan cendekiawan – merintis jalan perjuangan yang pernah dilalui oleh RasuluLLAH dan para sahabat, golongan salafussoleh dan seterusnya.
Terdapat banyak jamaah-jamaah Islam yang terdapat di Malaysia ini yang boleh kita ikut serta bersama dengannya, antaranya Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Jemaah Islah Malaysia (JIM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), dan lain-lain lagi yang matlamatnya tidak lain – untuk menegakkan dan mendaulatkan ajaran dan syariat ALLAH SWT di muka bumi ini .
Semoga kita tidak dihukum oleh ALLAH S.W.T. seperti manusia-manusia yang menyimpang dari ajaran-Nya serta semoga kita sama-sama dipelihara dan dilindungi daripada mati dalam keadaan munafiq yang tidak mahu terlibat dan istiqamah dalam perjuangan, sekaligus menjadi asbab kepada partisipasi kita ke dalam neraka!
Wal ‘iyyadzabiLLAH!!!
Rujukan: Kertas kerja bertajuk “Kewajipan Menyertai Perjuangan Islam” oleh Ustaz Abdul Ghani Shamuddin bertarikh 21 Jun 2006.
Ibn ‘AbdiLLAH As-Sarawaki : Sertailah mana-mana Jamaah Islam yang mana dasarnya ialah perjuangan Islam, hatta tabligh sekalipun. Carilah mana-mana saluran yang di mana di situ bakat dan potensi kita boleh digunakan sepenuhnya untuk Islam! Cuma saya musykil dengan manhaj UMNO, keliru memikirkan samada ia boleh dilabel sebagai perjuangan Islam. Saya pernah ikut tabligh, saya pernah terlibat dengan tarbiyyah JIM, tapi setakat ini saya belum pernah terjumpa mana-mana usrah UMNO lagi. Mungkin tiada usrah UMNO di tempat-tempat yang saya pernah kunjungi sebelum ini barangkali…
Ibn ‘AbdiLLAH As-Sarawaki,
11.13pm,
Khamis, 22 Januari 2009,
Bintulu, Sarawak.
No comments:
Post a Comment