Darussyifa' Online

Darussyifa' Online
klik pada imej untuk ke link

BIC Smart Shop

BIC Smart Shop
klik pada imej untuk ke pautan

Boikot Zionis La'natuLLAH!

Boikot Zionis La'natuLLAH!
klik pada imej untuk ke link

klik pada imej untuk ke link

klik pada imej untuk ke link

Selamatkan Gaza!

Selamatkan Gaza!
klik pada imej untuk ke link

Monday, April 6, 2009

Teks Khutbah PRK Bukit Gantang : Belum Tentu Tetapi Boleh Jadi!


Assalamu'alaikum warahmatuLLAHi wabarakatuh kepada tetamu ziarah sekalian,

AlhamduliLLAHi 'ala kulli haal,

Segala puji bagi ALLAH SWT atas segala-galanya,

Serta selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad SAW.

Baru-baru ini, saya berkunjung ke salah satu blog milik
Presiden Gabungan Pemimpin Mahasiswa Malaysia, Saudara Azrinizam Ibrahim, Angin Perubahan : http://anginperubahan.blogspot.com/. Ternyata, apabila membaca tulisan-tulisan di dalam blog beliau, saya boleh katakan beliau merupakan seorang mahasiswa yang sememangnya boleh diistilahkan karat UMNO. Terserlah sifat patriotik beliau terhadap negara dan juga UMNO yang memerintah negara. Di dalam ruang komen salah satu entri beliau yang bertajuk "Selamat Bertugas Dato' Seri Najib, Terima Kasih Tun Abdullah", perhatian saya tertuju lantas tertarik dengan salah satu komen yang melampirkan kononnya teks khutbah di Bukit Gantang. Berikut merupakan teks khutbah tersebut:
____________________________________________________________________

Muka depan.
Khutbah Jumaat.
Sempena pilihanraya kecil Bukit Gantang.
Kesetiaan kepada raja dan negara.
7 Rabiulakhir 1430h 3 April 2009
Disediakan oleh
Biro Agama Umno Bahagian Bukit Gantang Perak Darul Ridzuan

Muka 1.
Khutbah Jumaat Kesetiaan kepada Raja dan Negara
Sidang Jumaat yang dihormati, Kita amat bersyukur kerana masih diberi peluang oleh Allah Taala untuk menghuni buminya ini, maka wajiblah kita membuktikan kesyukuran kita padanya dengan menjunjung segala perintah-perintahnya dan meninggalkan segala larangan-laranganya. Mimbar hari ini ingin menyentuh tentang tajuk 'kesetiaan dan ketaatan kepada ulil-amri. Sidang Jumaat yang dihormati, Allah Taala telah berfirman didalam Surah An-Nisa, ayat 59, (Surah an-Nisa)...

Muka 2.

Ertinya, Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri (Orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (kitab) Allah dan (sunnah) Rasulullah. Jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok kesudahannya. Ayat diatas jelas menunjukkan bahawa umat islam wajib mentaati Allah, juga mentaati Rasulullah dan pemimpin-pemimpin yang berkuasa. Dalam konteks negeri Perak iaitu negeri kita ini, maka ulil-amri yang dimaksudkan ialah Sultan. Ini adalah kerana Sultanlah yang menjaga urusan agama, Sultanlah yang menentukan tarikh puasa dan hari raya, Sultanlah yang meluluskan enakmen pentadbiran agama dan Sultanlah yang melantik mufti, para imam dan memberi tauliah mengajar.
Oleh itu, kita tidak boleh menderhakai Sultan dan pemimpin-pemimpin negara terutama pemimpim-pemimpin Umno yang telah banyak berjasa kepada negara. Sesiapa yang menderhakai Sultan dan pemimpin negara, maka dia telah melanggar dan menyalahi rukun negara iaitu kesetiaan kepada Raja dan Negara. Penderhaka atau bughah menurut hukum hudud Islam halal darah mereka untuk diperangi.

Muka 3.

Sidang Jumaat sekelian, Merujuk kepada ucapan Perdana Menteri kita baru-baru ini, janganlah kita menjadi ekstremis agama dan kaum. Ekstremis agama bererti memperalatkan agama untuk kepentingan diri sendiri. Sikap ini akan menyebabkan seseorang itu menjadi Pak Turut kepada nafsu dan sanggup mengada-adakan ajaran yang bukan dari ajaran Islam.
Contohilah Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kita yang telah memperkenalkan Islam Hadhari sebagai satu ajaran yang sangat menepati ajaran Islam sebenarnya. Islam Hadhari adalah suatu prinsip alternatif terbaik untuk manusia bagi mencapai kebahagiaan didunia dan akhirat. Sesungguhnya tujuan Islam Hadhari dirangka diantaranya untuk merangsang cara hidup sihat dan bersih dari amalan-amalan negatif seperti rasuah dan politik wang. Rakyat memang amat memerlukan pemimpin dan penguasa yang bersih dari rasuah dan politik wang. Oleh itu, mimbar menyeru kepada seluruh ahli jemaah supaya terus menyokong perlaksanaan Islam Hadhari dinegara yang kita cintai ini. Sidang Jumaat yang dihurmati sekelian, Rasulullah S.A.W ada bersabda: "Hubbul watani minal iman" Cintakan tanah air adalah sebahagian dari iman.

Muka 4.

Hadith ini mengajar tentang erti keimanan. Iman bukan hanya sembahyang dan puasa tetapi sifat patriotik terhadap negara juga adalah juga sebahagian dari iman.
Negara kita pernah dijajah sejak tahun 1511 lagi. Portugis, belanda, Inggeris, jepun, semuanya telah dihalau dari bumi tanah air kita melalui semangat patriotik dan semangat kebangsaan pemimpin-pemimpin melayu kita. Itulah jasa besar mereka, itulah jihad mereka. Perkara ini telah dipertegaskan oleh Menteri Pelajaran Dato Seri Hishamuddin Tun Hussein Onn, baru-baru ini bahawa sejarah telah menyaksikan hanya pemimpin-pemimpin Umno lah sahaja yang bertungkus lumus memerdekakan tanah air kita. Oleh itu, marilah kita terus memperteguhkan perjuangan Melayu dengan menyokong dan mengundi calon Barisan Nasional dalam pilihanraya yang sedang berlangsung ini. Barokallahuliwalakum filquranil azim......
(Aku tak suka merumikan ayat-ayat Quran kerana boleh memberikan sebutan yang tak betul)

____________________________________________________________________


WaLLAHu'alam. Adakah sahih teks khutbah ini dibacakan? Belum tentu. Tetapi boleh jadi juga. Bak kata orang, masakan pohon bergoyang andai tiada angin bertiup. Walau bagaimanapun, kebenarannya masih lagi di dalam tahap kebarangkalian 50-50; terletak di antara benar ataupun tidak.

Firman ALLAH SWT:
"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu orang fasiq membawa berita hendaklah kamu periksa dengan teliti agar kamu tidak menimpakan musibah kepada sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini, maka kamu akan menyesali tindakan kamu itu" (Al-Hujurat ayat 6).

Apa yang pasti, selidiklah dahulu sebelum percaya. Adapun tindakan saya membawa entri ini ke hadapan bukanlah dengan tujuan untuk mengatakan ini kerja UMNO dan sebagainya. Hakikatnya, ia lebih kepada sekadar perkongsian yang mungkin boleh dijadikan muhasabah; muhasabah dalam dua sisi:

1. Sebagai ahli gerakan Islam, apabila datang khabar seperti ini, attitude kita terhadap perkara seperti ini ialah kita perlu selidik dahulu kebenarannya. Ambil iktibar firmanuLLAH itu tadi. Kadangkala, akibat semangat siasah dan hamasah jama'iyyah yang teramat tinggi melebihi adab dan akhlaq Islam menyebabkan sesetengah golongan daripada kita terus mempercayai berita-berita seperti ini. Jauhilah sikap taqlid buta terhadap berita.

2. Seandainya memang benar teks ini dibaca semasa khutbah Jumaat itu, saya musykil kerana sebelum ini golongan UMNO dan BN di sana sini mengatakan bahawa PAS mempolitikkan agama dan mencampur adukkan agama dengan politik yang kotor, termasuk berkhutbah membawa isu politik. Jadi bagaimana pula dengan situasi sekarang, di mana khutbah ini dengan jelas membawa isu politik? Bukankah kata-kata dahulu itu seakan-akan memakan diri, dan lebih perit lagi apabila golongan UMNO yang tidak berusaha untuk melaksanakan hudud boleh pula menyentuh soal hudud dalam perkara ini!
Firman ALLAH SWT dalam Surah As-Saff ayat 2 yang bermaksud "Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu katakan sesuatu yang tidak kamu lakukan? ALLAH benci sekali kamu mengatakan hal-hal yang tidak kamu lakukan."

Saya serahkan kepada tetamu yang budiman sendiri untuk menilai kesahihan berita ini.

Bagi mereka yang masih tidak dapat menerima bahawa politik itu juga merupakan juzuk di dalam Islam, cukuplah fatwa
Syeikh Mustoffa Sobri, mufti kerajaan Turki Uthmaniyyah ini sebagai renungan;

"Memisahkan Islam daripada politik adalah jalan yang paling mudah untuk menjadi KAFIR"!

WaLLAHu'alam.

P/s: Gambar-gambar di atas sekadar hiasan sahaja.

Ibn 'AbdiLLAH As-Sarawaki,
1.02am,
Selasa, 7 April 2009,
Bintulu, Sarawak.

Monday, March 30, 2009

Baitul Muslim: CINTA Di Dalam Cinta! A LOVE Within The Love Itself!

Salam’alaikum warahmatuLLAHi wabarakatuh,

AlhamduliLLAHi ‘ala kulli haal,

Dan selawat dan salam ke atas junjungan mulia al-Rasul S.A.W.

Sabda Nabi S.A.W yang bermaksud “Sesiapa yang berkahwin, sesungguhnya ia telah menyempurnakan separuh dari agamanya. Maka bertaqwalah ia pada separuh yang lain.” – Hadith riwayat Imam At-Thabrani.

Maafkan saya apabila saya buka topik ini. Saya bercerita tentang isu ini (kalau ia sesuai untuk disebut sebagai isu) kerana saya lihat bahawa pentingnya perancangan dalam membina rumahtangga yang baik di dalam rangka perjalanan kita ingin membentuk daulah Islamiyyah, seterusnya melihat bahawa Islam itu diangkat kembali menjadi guru dunia, yakni Ustaziatul ‘Alam. Saya bukanlah seorang yang arif lebih-lebih lagi berbicara bab rumahtangga dan pembinaannya ini, kerana saya sendiri pun hakikatnya belum berkeluarga – istilah lain – masih bujang.

Maka apa yang disampaikan di sini adalah sekadar pandangan dari diri yang dhaif ini dan juga berdasarkan pemahaman yang mungkin boleh dikatakan masih di tahap permukaan. Nak bercerita pun segan juga, memandangkan ada lagi pelajar-pelajar senior yang tidak terfikir langsung tentang hal berkahwin – takut orang kata saya beria-ia nak berkahwin pula (“,).
Membincangkan soal “mahu berumahtangga” ini, saya pasti ramai yang mempunyai pandangan yang berbeza-beza tentang pendekatan dan juga kaedah mencari pasangan serta merancang ke arah itu.

Kalau ditanya kepada satu kelompok, barangkali bercouple adalah satu alternatif untuk berta’aruf (berkenalan) dengan calon pilihan (ini tidak bermaksud saya iktiraf perkara couple-mouple ini). Pasangan itu perlulah mempunyai pekerjaan berpangkat tinggi, lelakinya pula mestilah handsome macam Shah Rukh Khan dan si dara pula mesti ada iras-iras Siti Nurhaliza atau Fasha Sandha. Kehidupan calon pula mestilah sudah di tahap well-established, kalau boleh biar ada banglo si lelaki bujangan itu barulah si calon mertua “sign kontrak” agreement jadi mertua.

Di sisi yang lain pula, ada yang memandang lebih kepada suatu pendekatan yang lebih murni dan lebih selamat, istilah orang – play safe -play safe yang baik dan sememangnya safe. Bagi saya (dan saya yakini), inlah jalan yang paling baik untuk diruntuni (betulkah ayat yang saya gunakan ini?). kaedahnya adalah menyampaikan hasrat melalui orang tengah kepada calon yang mahu dinikahi, kemudian diikat kedua-duanya sambil dikawal batasan hubungannya. Si calon dipilih bukanlah atas dasar berapa banyak ‘sen’ yang ada di dalam walletnya, bukan diukur pada BMW 7 series ataupun Mercedes E-class ataupun Proton Waja Limited Edition yang dimiliknya, bukan diukur pada handsomenya dia kerana memakai facial powder ataupun pembersih muka, bukan diukur pada tingginya pangkat beliau di dalam company ataupun berapa gaji sebulan (saya tidak nafikan, kadang-kadang ini juga memberikan sedikit saham ataupun added value kepada yang bakal jadi menantu). Apa yang menjadi dasar kepada pemilihan calon tersebut adalah kerana kefahamannya dalam berjuang untuk agama, kemampuannya untuk memimpin keluarganya dengan agama serta kemampuannya menjadi suami/isteri dan juga ayah/ibu yang baik kepada anak-anak mereka.

Inilah sistem yang kita kenali sebagai Baitul Muslim(BM) ataupun rumahtangga Islam.

Saya yakin hampir semua orang yang terlibat dengan dakwah dan juga yang terdedah kepada institusi usrah maklum mengenai kewujudan istilah ini, dan mungkin juga wujud unit yang bertanggungjawab untuk perkara ini di dalam institusi usrah mereka.

Bagi yang belum familiar ataupun kepada yang berminat dengan sistem ini, secara mudahnya melalui sistem ini, suatu proses menuju pembinaan rumahtangga itu adalah dalam keadaan penuh terhormat dan terjaga kedua-dua.

Si lelaki ataupun perempuan(tidak salah perigi cari timba!) akan merisik kepada calon melalui orang tengah, di mana orang tengah akan menyampaikan kepada calon tersebut samada mahu menerima lamaran tersebut ataupun tidak. Calon diberikan masa untuk memikirkan hal tersebut, sambil dinasihatkan agar melakukan solat istikharah untuk mendapat petunjuk sebagai panduan kepada keputusannya nanti.

Apabila peringkat itu sudah dilepasi, maka kedua-dua calon tersebut akan dijaga dan dikawal perhubungan mereka. Pada masa sudah diikat melalui BM ini, kedua-dua calon akan berbincang mengenai perjalanan menuju pembinaan rumahtangga mereka. Masing-masing membincangkan expectations daripada kedua belah pihak keluarga, agar nanti apabila sudah masuk meminang di depan bakal menantu, maka si calon lelaki akan berjaya melepasi screening test oleh calon mertua. Orang kata, lelaki tersebut dah memenuhi criteria. Maka selepas itu nanti barulah berlaku babak-babak berbalas pantun antara kedua belah pihak keluarga. AlhamduliLLAH….

BM tidak terhenti di situ. BM bukan sekadar unit memilih pasangan, tetapi BM juga merupakan suatu badan yang boleh diistilahkan sebagai unit perancangan dan pembangunan keluarga.

BM juga merupakan suatu pendekatan ke arah membentuk aulad (anak-anak) yang baik, yang apabila sudah dibentuk dengan acuan yang betul sesuai dengan kehendak Islam, maka jadilah mereka sebagai agen pembawa, pejuang dan pengembang agama seperti ibu bapa mereka.

Secara mudahnya, BM ini adalah suatu proses berterusan yang akan sentiasa bergerak seiring dengan latihan membangun kendiri ahli dakwah, yang bergerak menghala objektif yang mewujudkan masyarakat Muslim (Mujtama’ Muslim) kemudian Negara Islam (Daulah Islamiyyah) seterusnya Pemerintahan Khilafah Islam (Khilafah Islam) dan ke peringkat terakhir Islam akan menjadi penjaga sejagat alam (Ustaziatul ‘Alam).

Ianya (BM) merupakan suatu proses pembentukan pejuang Islam menurut acuan syara’ yang diikuti oleh nucleus keluarga yang didiaminya, dan bukan sekadar pembinaan rumahtangga hasil cinta harga murahan.

BM pada hakikatnya adalah CINTA di dalam cinta! A LOVE within the love itself!

Perasaan cinta dan kasih sayang yang di dalamnya tersemat suatu CINTA yang lebih besar lagi – CINTA kepada ALLAH SWT – dengan cara kita akur mengendalikan perasaan cinta sesama manusia dengan tunduk kepada batasan ketetapanNya!

Maka tidak hairanlah natijahnya ialah menghasilkan sebuah atmosphere yang disebut di dalam Al-Qur’an sebagai al-Sakinah, al-Mawaddah wa Rahmah – pendek kata rasa kasih, belas kasihan dan kebahagiaan. Ianya bakal mewujudkan sebuah keluarga yang insyaALLAH akan bahagia, kata orang sehingga ke akhir hayat, membawa ke syurga!

Ia adalah manifestasi IMAN di dalam CINTA dan KASIH SAYANG!

Berbicara soal kebahagiaan, ia tidak tertakluk kepada berapa banyak sang suami menompokkan harta untuk keluarga, berapa besar rumah untuk keluarganya dan semewah mana makanan dan perbelanjaan seharian. Apa yang membuahkan kebahagiaan yang sejati ialah apabila Iman itu yang sanggup dituruti untuk mengecapi kebahagiaan itu sendiri. Itulah hakikat kebahagiaan! Si suami dan isteri menjalankan perukunan rumahtangga dalam keadaan kedua-duanya taat kepada ALLAH SWT. Kedua-duanya sejalan dalam melaksanakan perintah ALLAH SWT lantas membuahkan rasa kasih dan sayang terhadap pasangan masing-masing.

Amat berbeza natijah antara cinta yang terkawal oleh prinsip syara’ dengan cinta murahan pasar malam di tepi jalanan.

Kita boleh lihat bahawa di dalam sirah sendiri, di mana Nabi SAW menikahi Saidatina Khadijah Binti Khuwailid melalui lamaran menggunakan orang perantaraan. Hasilnya, kita lihat Khadijah di dalam hayatnya sebagai isteri Nabi SAW sanggup berkorban harta dan juga jiwa sebagai seorang isteri untuk melihat kejayaan agama yang dibawa oleh suaminya. Lantaran pengorbanan inilah terhasil kasih sayang yang amat mendalam antara keduanya, sehinggakan di kalangan isteri-isteri Nabi Saidatina Khadijahlah merupakan isteri yang paling disayangi Nabi SAW.

Begitu juga dengan keadaan keluarga orang zaman-zaman dulu yang rata-ratanya diatur oleh keluarga. Walaupun dalam keadaan yang serba kekurangan, kita lihat beranak-pinak ramai sehingga ke akhirnya juga perkahwinan mereka. Tiada syarat kereta Mercedes dan gaji besar sebagai syarat mendapat bahagia. Apa yang penting ialah Islam dilaksanakan di dalam institusi keluarganya. Itu sudah dikira memadai, kerana rasa tawakkal dan bersederhana dengan apa yang ada sudah cukup menjadi pencukup hidup keluarga.

Berlainan situasi dunia zaman sekarang di mana percintaan itu seolah-olah mudah dipungut di tepi jalan, si jantan mudah membawa si betina ke mana-mana sahaja tanpa ikatan perkahwinan yang sah.

Murah! Terlalu murah!

Penilaian untuk hidup bahagia juga tidak lagi diukur dengan pembaris lurus 30 cm yang bergelar taqwa, tetapi diukur dengan pembaris patah yang sumbing, bergerigi dan mudah bengkok seperti melihat kepada paras rupa dan harta.

Bagaimana pula boleh terfikir untuk mendapatkan kenikmatan dan kebahagiaan setelah berumahtangga nanti jikalau madu dicuri dari taman tanpa membayar maharnya, malah madu yang dicuri dari taman larangan pula itu!

Natijahnya berlakulah perceraian walhal belum sampai beberapa penggal fasa-fasa berumahtangga yang mereka lalui – tanda tiada lagi kemanisan dirasai kerana semuanya telah dikecapi lebih awal dari yang sepatutnya. Maka hilanglah cinta, hilanglah bahagia, hilanglah segala-galanya!

Entri ini tidaklah bermaksud untuk menolak bahawa pentingnya dalam mencari sebahagian daripada perbendaharaan duniawi untuk meneruskan kehidupan, seperti mengisi perut memenuhi keperluan manusia dengan makanan, tempat tinggal dan berkenderaan untuk memudahkan sedikit perjalanan kehidupan, lebih-lebih lagi bagi yang meletakkan dirinya di dalam perjuangan.

Setelah melihat dua perbezaan suasana yang agak kontradiktif tersebut, saya yakin anda boleh menilai jalan cinta yang mana adalah lebih baik untuk dilalui.

Pilihlah untuk bercinta melalui CINTA. Walaupun jalannya agak berliku-liku dan banyak tol yang perlu dilalui, akan tetapi hasilnya nanti adalah kepuasan yang abadi.

Memilih BM tidaklah bermaksud kita tidak boleh memilih pasangan yang ingin kita nikahi. Ianya tidak bermaksud si fulan tidak boleh menikahi si fulanah yang sudah lama diminatinya. Itu tidak menjadi masalah. Si fulan pilihlah sesiapa yang disukainya, tetapi dengan syarat perhubungannya dengan si fulanah itu terkawal adanya.

Saya pernah berbincang dengan seorang ustaz mengenai persepsi mertua nanti apabila kita ini tidaklah sekaya mana dan tidaklah berjawatan tinggi mana, takut-takut mertua membandingkan dengan menantu lain yang lebih daripada kita dari segi hartanya.
Jawapan ustaz saya itu cukup mudah dan menenangkan hati – “Itulah yang perlu kita lalui dalam berjuang ni. Tapi kita buktikan kita boleh didik anak kita dengan baik – kecik-kecik lagi dah boleh baca Qur’an, kalau dia menyanyi lagu-lagu nasyid sahaja yang keluar dari mulutnya, last sekali nanti orang akan akur juga bahawa itulah dia cara yang terbaik sebenarnya di dalam rumahtangga. Kemampuan mendidik anak menjadi orang yang baik itu yang orang nakkan sebenarnya. Kerana fitrah orang itu dia akan mahu kembali kepada Islam”.

Sungguh indah dan menenangkan jawapan ustaz tersebut.

Jadi, setelah berceloteh panjang sedikit mengenai perkara ini, saya harap bagi mereka yang mencari cinta di luar sana (termasuk diri yang belum berkahwin ini) agar memilih jalan yang betul untuk menyalurkan fitrah manusiawi tersebut.

Kebahagiaan bukan boleh dibeli dan tidak juga dapat dipaksakan. Kebahagiaan dalam rumahtangga adalah tanda keberkatan hasil ketaatan kepada Yang Maha Menciptakan.

Maka, pilihlah untuk berumahtangga dengan acuan Islam!

Entri berkaitan : Bait Muslim :Alternatif @ Kesempatan?


Ibn ‘AbdiLLAH As-Sarawaki,
9.41 am,
31 Mac 2009, Selasa,
Bintulu, Sarawak.

Tuesday, March 17, 2009

Hedonisme : Di Hujung Ulu Pun Menggila Juga!

Assalamu’alaikum warahmatuLLAHi wabarakatuh,

Entri kali ini bersifat loose sedikit, mungkin juga tidak mempunyai dalil-dalil pengukuh. Ianya lebih bersifat emosional yang terkawal, melontarkan pandangan melalui mata hati yang diharap tidak dikaburi oleh was-was syaitan.

Baru tadi, semasa menuju ke watercooler untuk mengambil air sejuk, saya lihat beberapa batang tubuh student-student yang saya kenalpasti dalam lingkungan semester dua tengah sibuk memasang poster dan juga mengikat tali-tali untuk menggantung poster berkenaan pada tiang-tiang di susur gajah di antara blok K dan L. Saya lihat pada poster tersebut, “Monday Night Fever”. Bisik hati “bersungguh-sungguh juga diorang buat benda ni, sampai 4-5 orang nak gantung poster. Benda-benda lagha macam ni boleh pula bersungguh-sungguh.”.

Memang benar, sudahpun diakui di dalam wahyu ALLAH SWT yang menyebut bahawa setiap yang memagari syurga itu adalah perkara yang tidak disenangi oleh nafsu buta manusia. Akan tetapi, yang dicintai syahwat itu adalah perkara-perkara memusnahkan yang membawa kepada neraka. Kasihan saya lihat adik-adik ini, muda-muda lagi sudah menjadi mangsa alat penyebar di’ayah hedonisme di kampus. Siapa lagi kalau bukan senior yang memberikan paksaan ke atas adik-adik ini untuk terlibat sekali. Senior pun, kalau pihak kolej tidak benarkan – saya rasa benda ini tidak akan dianjurkan.

Monday Night Fever seolah-olah telah menjadi satu program yang wajib bagi blok K dan sudah diraikan sejak beberapa tahun yang lalu. Pengisiannya tidak banyak berbeza dari tahun ke tahun. Sketsa, kugiran, selepas itu selit nasyid sedikit. Begitulah hakikat perjalanan programnya. Selepas itu, kalau ada aksi-aksi best sedikit, mulalah bertempik seperti tidak kenal hakikat malamnya, bak kata Ustaz Azhar Idrus “bertempik melolong kali”.

Saya sebut blok K ini tidak bermakna saya tujukan kepada semua penghuninya, tidak! Sebenarnya ada juga yang baik dan sememangnya tidak redha akan program seperti ini, malangnya mereka juga terpaksa terlibat sekali. Ada antara adik-adik yang merungut tidak suka dan tidak setuju, tetapi hakikat dipaksa itu memaksa - memaksa mereka untuk terlibat sekali. Kasihan juga ada yang bercampur-baur perasaannya – nak kata tak suka, rasa seronok pun ada juga. Tapi nak kata redha, tak boleh pula, Tuhan tak suka. Ada juga yang celaru seperti ini!

Saya sebutkan di sini bahawa bukanlah perayaan tahunan blok K itu yang (satu-satunya) saya condemn. Terdapat beberapa lagi perkara menyedihkan yang sepatutnya merobek hati-hati manusiawi yang serba prihatin terhadap keadaan ummah, yang istilahnya ialah ummatic concern. Contohnya, tentang seni tarian yang diadakan di sini. Di sini bukan seni tari itu yang saya condemn. waLLAHua’lam, saya kurang arif tentang hukum dari segi seni tari bagi kaum lelaki. Biasanya kalau dalam perkara seperti ini, mungkin mudah sedikit untuk kaum Adam (qias dengan nyanyian- WaLLAHua’lam. Harap betulkan jika statement ini tidak benar).

Nak cerita tentang seni tari ini, apa yang menyedihkan bagi saya ialah apabila yang ramai di kalangan perempuan, perempuan bertudung yang ramai. Lebih dari 50% barangkali saya boleh katakan. Kasihan! Apa sudah jadi dengan kokurikulum lain yang ada di UBMKB ini? Adakah PBSM sudah dimansuhkan ataupun terlebih korum? Adakah Kelab Nasyid sudah terlalu ramai ahli sehinggakan seni tari dianggap satu alternative? Ataupun Kelab Keusahawanan dan Kerjaya sudah menutup ruang keahlian? Saya yakin ada banyak lagi kelab-kelab yang boleh disertai, yang bebas daripada unsur-unsur pendedahan kepada maksiat. Sekali lagi saya katakan, yang saya condemn ialah siswi-siswi yang seolah-olah tidak nampak jalan lain untuk memenuhi kredit kokurikulum melainkan dengan menyertai kelab seni tari. Saya cabar mereka yang tidak berpuas hati dengan statement saya itu untuk jawab soalan ini – adakah wajar ataupun realistik untuk kita gadaikan prinsip Islam hanya kerana atas dasar memenuhi minat peribadi? Kita akui kita beriman, maka hendaklah kita pegang kata-kata itu!

Kontra pula hakikatnya dengan program-program berunsur tazkiyah ataupun pembentukan peribadi. Amat sedikit yang sanggup untuk meluangkan masa untuk berpartisipasi di dalamnya. Saya ambil beberapa contoh.

Saya kirakan bahawa Majlis Ramah Tamah Kelab Nasyid / Raya Rakan Masjid tahun lepas sebagai salah satu program yang paling ‘menyedihkan dan yang paling ‘kesian dalam sejarah. Berapa kerat sahaja yang hadir untuk memeriahkan program tersebut! Itupun yang ramainya adalah dari kalangan senior. Entah ke mana perginya adik-adik junior yang lain. waLLAHua’lam, ‘mungkin kurang publisiti’ kot. Kalau ada yang keberatan, saya hairan kenapa pula keberatan nak datang? Sedangkan bukannya suruh datang untuk bernasyid satu dua lagu, kita suruh datang makan je! Dengar ucapan, tazkirah dan bacaan al-Quran sedikit, lepas tu dengar nasyid sebarang-dua. Itu pun ada juga yang tidak mahu turut serta. Apa sudah jadi dengan mahasiswa di UBMKB ini? Tertutup daripada pendedahan isu-isu luar sudah satu masalah. Selepas itu pula, perangai melayan rasa malas nak duduk dengar ilmu agama pun jadi masalah juga! Sedangkan makan selesai tamat program pun dah dibagi free! Terbalik habis student UBMKB ni.

Ada pula penganjuran satu program ini yang berbentuk pembinaan jati diri. Umum tahu program seperti ini sudah pasti membawa banyak manfaat. Nama pun sudah digelar program jati diri. Takkanlah balik program hancur terus akhlaq pesertanya. Saya simpati dengan AJK-AJK yang terlibat terutamanya yang ditugaskan untuk mengambil nama-nama pelajar yang berminat menjadi peserta untuk program berkenaan. “Ana tak mampu nak cari lagi, setiap yang ana jumpa ada saja alasannya.” Kasihan! Sudahlah berhempas pulas menyiapkan kertas kerja yang berulang-kali ditolak yang kadang-kadangnya gara-gara terlebih birokrasi, dengan berbesen-besen keringat di kepala pengarah program memikirkan lokasi yang sesuai – simple-simple sahaja alasan untuk tidak menyertai kem tersebut. Ada itu, ada ini. Tetapi boleh pula terlibat dengan program lain, contohnya Monday Night Fever tadi! Saya AJK itu, AJK ini. Padahal peranannya bukanlah besar sangat pun. Selepas itu pula, melebihkan elemen kelaghaan berbanding elemen pembaikan (maksud saya, rela memperhambakan diri menjadi AJK majlis lagha berbanding menjadi peserta kem pembinaan kendiri). Saya tanya - apa sebenarnya yang dikehendaki oleh hatimu itu?

Di masjid pula sekarang ini AlhamduliLLAH kuliah-kuliah Maghrib giat dijalankan pada hujung minggu. Kuliah Tafsir Al-Qur’an dan juga Kuliah Fardhu ‘Ain. Ustaz-ustaz yang mengajar pun mantap-mantap juga, lulusan dari Madinah dan Mesir belaka. Itupun ramai lagi yang tidak sanggup datang! Daripada lebih 650 orang pelajar muslim di UBMKB ni, hanya lebih kurang 30 orang sahaja yang datang nak menadah telinga dan menadah kitab! Ke mana perginya pelajar Muslim yang lain?! Adakah yang lain sudah pandai belaka?! Adakah sudah ‘alim-‘alim belaka?! Adakah terlalu sukar untuk menjejakkan kaki ke masjid hanya untuk solat berjemaah dan mendengar kuliah, sedangkan caj bayaran pula tiada? Bak kata Ustaz Azhar Idrus (lagi) “Cube tanye bab selama mana haid, tempoh suci antara dua haid, bab tajwid, dok reti dier. Tu pun tak mboh jugok nok gi mengaji. Tapi giler doh nok menikoh. Ma’rifat dok kenal, ALLAH dok kenal. Orang lain bahang awaluddin ma’rifatuLLAH (awal agama itu ialah mengenal ALLAH), dier bahang awaluddin ma’rifatussekolah (awal agama itu ialah mengenal sekolah).”

Sebenarnya ada banyak lagi isu kalau nak diungkitkan, tetapi memandangkan sudah larut malam dan mata menjadi berat dipujuk rayu rasa mengantuk, saya sudahi contoh-contoh tersebut di sini.

Apa pun, kesimpulannya amat mudah – kita lihat bagaimana sekarang ini gelombang hedonisme mengombak masuk ke dalam hati-hati muslim, meranapkan perasaan dan kesedaran untuk mencukupkan atau memenuhi fitrah tuntutan agama di dalam dirinya, sehinggakan kampus UBMKB di hulu dunia ini pun turut dibahangi dengan tempias gelombang hedonisme yang maha celaka tersebut!

Semoga ALLAH SWT memberikan kesedaran dan memberi petunjuk jalan kepada kita agar tidak tersalah pilih jalan. Mudah-mudahan ALLAH SWT menyelamatkan kita semua daripada dihijab pandangan mata hati kita tidak dapat melihat dunia melalui kanta iman, lantaran isu keimanan di hujung zaman sudah ala-ala picisan.

AMIN Ya Rabb, selamatkan kami.

Ibn ‘AbdiLLAH As-Sarawaki,

1.42am,

18 Mac 2009, Rabu

Bintulu, Sarawak.

Thursday, March 12, 2009

Jihad : Penuhilah Ia, Syurga Bagimu!

Salam’alaikum warahmatuLLAHi wabarakatuh,

AlhamduliLLAHi rabbil ‘alameen ‘alaa kulli haal…
Segala pujian bagi ALLAH Pentadbir Sekalian Alam,
Rabbil ‘Arsyil ‘Azhim…
Tuhan Yang Mempunyai ‘Arasy Yang Agung…

Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, keluarga baginda serta para sahabatnya…

AlhamduliLLAH, setelah membelek-belek kitab Madza Ya’ni Intima’I Lil Islam karangan Ustaz Fathi Yakan, saya didatangi ilham untuk menulis ataupun mungkin lebih sesuai diistilahkan sebagai menaqalkan / memindah kata serba sedikit tulisan Ustaz Fathi Yakan yang saya rasa amat baik untuk dijadikan sebagai taujihah ataupun tashji’ ataupun dalam Bahasa Melayu disebut sebagai motivasi pembakar semangat dan juga sebagai muhasabah penilaian diri, khas dihidangkan untuk setiap yang meletakkan dirinya di dalam lingkungan pejuang Islam, da’ie, dan sebagainya – para peruntun jalan da’wah, para penyantun akhlaq RasuluLLAH.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud:
“Dan sesiapa yang berjihad sesungguhnya (ganjaran) ia berjihad adalah untuk dirinya sendiri. Sesungguhnya ALLAH Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari alam semesta” (Surah al-Ankabut 29 ayat 6).

Setiap petugas di jalan da’wah merupakan golongan yang seharusnya memahami secara mendalam bahawa mereka sebenarnya amat perlu kepada Islam, lantas mereka berasa dipertanggungjawabkan untuk memperjuangkannya. Sewaktu mereka bekerja, setiap tindak-tanduk mereka di dalam berjihad dan berjuang merupakan pembersihan diri dan jiwa mereka di samping menunaikan sebahagian daripada hak-hak ALLAH SWT ke atas mereka supaya mereka memperoleh ganjaran dari ALLAH SWT di akhirat kelak.


SubhanaLLAH, betapa beruntungnya mereka sekiranya mereka beramal, akan tetapi mereka jugalah yang rugi sekiranya mereka menarik diri dan berpaling tadah.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud:
“Dan jika kamu berpaling nescaya Dia akan menggantikan (kamu) dengan kaum yang lain dan mereka tidak akan seperti kamu” (Surah Muhammad ayat 38).

Ahli da’wah ini juga seharusnya memahami bahawa hakikat kemuliaan dan harga diri mereka di sisi ALLAH SWT hanyalah kerana natijah mereka berpegang dengan Islam. Saidina Umar Ibn Khattab Abu Hafs pernah melaungkan slogan yang berbunyi:
“Kita adalah suatu kaum yang dimuliakan oleh ALLAH SWT dengan Islam. Jika kita cari kemuliaan selain daripada Islam, maka ALLAH SWT akan jadikan kita sebagai golongan yang hina.”

MasyaALLAH,

Betapa kita melihat kelebihan yang diberikan oleh ALLAH SWT kepada orang yang berpegang dengan Islam, apatah lagi jikalau dibandingkan dengan faedah yang bakal diperolehi kerana memperjuangkan agama-Nya.

Ingatlah, bahawa tiada nilai ke atas kita sekiranya kita tidak bersama-sama dengan Islam, malahan seperti binatang, bahkan lebih sesat daripada itu!

Kemuliaan dan ketinggian ahli da’wah sebenarnya tidak akan dapat dicapai melainkan mereka berjihad sepenuh tenaga dan melibatkan diri dengan jama’ah Islam serta terus kekal dalam jama’ah berkenaan. Kenangkanlah sabda Rasul SAW:

“Hendaklah kamu berada dalam jamaah kerana sesungguhnya tangan ALLAH bersama dengan jamaah. Maka sesiapa yang mengasingkan diri daripada jamaah, dia di dalam neraka”.

Mafhumnya mudah – sesiapa yang mengasingkan diri ia akan keseorangan di dalam azab neraka. Akan tetapi, barangsiapa yang menyatukan dirinya dengan jamaah bererti dia telah mengikat dirinya dengan suatu nasab keturunan yang sangat mulia, bersama dengan golongan yang mendapat petunjuk, yang menuruti jalan para Nabi dan syuhada’.
Di dalam menempuhi keadaan masyarakat yang penuh dengan fitnah, golongan penda’wah mestilah memahami bahawa syarat bagi mendapat pendirian teguh ialah dengan terus kekal bersama jamaah Islam. Ini kerana, apabila mereka menempuh keadaan serba mencabar di luar sana mereka juga akan mudah hanyut bersama dengan fitnah yang datang dalam berbagai. Maka faedah bersama jamaah Islam ialah ada orang di sekeliling mereka dari lingkungan jamaah yang akan memberi peringatan dan nasihat kepadanya.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud:
“Dan berilah peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat bagi orang-orang yang beriman.” (Surah Az-Dzariyat ayat 55).

Dan juga:

“Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan sentiasa nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat-menasihati menepati kebenaran” (Surah Al-‘Asr ayat 1-3).


Serta:
“Dan sabarlah diri kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya dari pagi dan senja hari dengan mengharapkan keredhaannya dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (kerana) mengharapkan perhiasan dunia ini dan janganlah kamu mengikut orang-orang yang hatinya telah kami lalaikan dari mengingati Kami dan menurut hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batas.” (Surah Al-Kahfi ayat 28).


Para petugas da’wah ini juga mestilah memahami bahawa mereka beramal dengan bekerja semata-mata kerana ALLAH SWT dan berjihad di jalannya, maka jalan yang ditempuhi adalah sangat jauh destinasi perhentiannya, panjang perjalanannya dan dipenuhi dengan kesukaran, dipagari oleh segala perkara yang dibenci oleh nafsu.

Jalan da’wah ini bukanlah suatu titian yang sanggup dilalui oleh jiwa yang hidup dalam kemewahan, jiwa yang bimbang akan kesempitan hidup. Jalan mulia ini sebenarnya bukanlah jalan bagi mereka yang bersangatan rehatnya (mementingkan kerehatan) dan terlalu dibuai hawa nafsu, tidak akan sanggup dilalui oleh mereka yang sempit dada dan tidak memiliki kekuatan, yang tidak sabar dalam menghadapi cemuhan dan cacian apatah lagi bagi yang tidak sanggup mengorbankan wang ringgit dan harta benda.

Para juru da’wah ini juga hendaklah bersedia berlapang dada dan tidak berkeras dengan pendapat diri sendiri, serta ia pula sanggup tunduk kepada keputusan jamaah walaupun perkara tersebut amat tidak berselari dengan kehendak hatinya. Mereka juga mestilah orang yang sanggup beriltizam dengan pandangan-pandangan jamaah.

Ketahuilah, wahai saudaraku yang turut sama berjuang menegakkan kalimatul haq – bahawa sesungguhnya jalan ini adalah jalan pembersihan jiwa, penyucian hati, jalan penuh tazkiyah an-nafs, jalan kerahmatan dan penuh kemuliaan, jalan kesabaran dan ketetapan, jalan kebebasan, kebenaran dan keikhlasan. Ianya merupakan runtunan jalan bagi orang mu’min yang hati-hati mereka mempunyai ikatan yang kukuh dengan ALLAH SWT, orang-orang yang menggantungkan harapan dan pertolongan hanya kepada-Nya.


Ketahuilah bahawa inilah hakikat jalan jihad! Kau penuhi ia, maka syurga itu bagimu!

Renungkanlah firman ALLAH yang berikut:

“Barangsiapa yang bertawakkal kepada ALLAH nescaya ALLAH akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya ALLAH melaksanakan urusan (yang dikehendakinya). Sesungguhnya ALLAH telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.”(Surah Al-Talaq ayat 3).

Serta

“Dan barangsiapa yang melanggar janjinya nescaya akibat pelanggarannya itu akan menimpakan dirinya sendiri dan barangsiapa yang menepati janjinya kepada ALLAH SWT maka ALLAH akan memberinya pahala yang besar.” (Surah Al-Fath ayat 10).

Rujuk : Madza Ya'ni Intima'i Lil Islam : Bab 2, subtopik: Ganjaran Jihad Adalah Untuk Mujahid Itu Sendiri.

Entri berkaitan :

Mahu Perjuangkan Islam? : Sertailah Jama'ah Islam!

Muslimat dan Perjuangan

Sarawak, Islam dan Da'wah

Ibn ‘AbdiLLAH As-Sarawaki,
7.44am,
13 Mac 2009, Jumaat,
Bintulu, Sarawak.

Katakan "TAK NAK" Kepada Tabarrujul Jahiliyah!

Katakan "TAK NAK" Kepada Tabarrujul Jahiliyah!
klik pada imej untuk ke link

klik pada imej untuk ke link

klik pada imej untuk ke link

Alternatif Fesyen Islami

Alternatif Fesyen Islami
klik pada imej untuk ke link

Jom Belajar Bahasa Arab

Jom Belajar Bahasa Arab
klik pada imej untuk ke link

Video-video Pilihan

Ustaz Ismail Kamus - Nafsu Makan Ustaz Ismail Kamus - Alam Jin Ustaz Azhar Idrus - Banduan Akhirat Ustaz Azhar Idrus - Tidur 20 Tahun