Darussyifa' Online

Darussyifa' Online
klik pada imej untuk ke link

BIC Smart Shop

BIC Smart Shop
klik pada imej untuk ke pautan

Boikot Zionis La'natuLLAH!

Boikot Zionis La'natuLLAH!
klik pada imej untuk ke link

klik pada imej untuk ke link

klik pada imej untuk ke link

Selamatkan Gaza!

Selamatkan Gaza!
klik pada imej untuk ke link

Monday, May 25, 2009

Fiqh 'Ibadah: Bacaan Solat Yang 'Berdesir'...



Assalamu’alaikum warahmatuLLAHi wabarakatuh,


AlhamduliLLAHi ‘alaa kulli haal,

Segala puja-puji bagi ALLAH SWT Tuhan Yang Menjadikan Segala Suatu ke atas segala-galanya,

Selawat dan salam tanda kucupan kasih buat kekasih yang setia berjiwa hamba, Al-Rasul Muhammad SAW, ahlul bayt serta para sahabat Baginda.


Untuk perkongsian ilmu kali ini, saya ingin membawakan salah satu persoalan yang pernah ditanyakan kepada saya, tak ingat bila, tapi pernah ditanya. Semoga perkongsian ini ada manfaatnya.


Soalannya lebih kurang berbunyi seperti ini:

“Ustaz (orang yang panggil macam tu, saya on sahajalah..), saya ada masalah nak tanya ni. Saya ni ada masalah ‘tak yakin’ sikit. Masalah yang saya sering hadapi dan saya takuti sehinggakan saya sentiasa merasa takut untuk menunaikan solat ialah apabila time baca Al-Fatihah, bacaan saya pasti mengganggu orang yang bersolat di sebelah saya. Saya pernah ditegur “Ko solat ni berdesir la”, itu antara komen yang saya terima. Selepas sahaja saya ditegur tu, terus rasa fobia untuk solat berjemaah. Takut orang sebelah terganggu.

Jadi saya nak tanya ustaz, ada tak cara nak elak daripada berdesir ni?”

Jawapan daripada saya yang bukan ustaz ini:

Pertama sekali perlu diketahui (dan saya yakin saudara juga sudah maklum) bahawa rasa tak yakin yang saudara maksudkan itu ialah was-was gangguan syaitan. Seperti yang disebutkan di dalam Surah An-Naas dari awal hingga akhir, kita sememangnya disuruh untuk sentiasa memohon perlindungan kepada ALLAH SWT daripada gangguan syaitan ini. Maka peringkat pertama untuk menyelesaikan masalah saudara ialah:

1. Sebelum solat dimulakan, amalkan membaca surah An-Naas. Amalkan selalu, bukan jarang-jarang. Ralitnya, keberkesanan sesuatu amalan itu ialah apabila kita sudah membiasakan diri beramal dengannya.


2. Apabila datang bisikan di dalam solat seperti bacaan rasa-rasa macam tak betul, makhraj tak sempurna dan sebagainya – tinggalkanlah bisikan-bisikan tersebut dan teruskan sahaja bacaan saudara. Ketahuilah, elemen penting yang wajib dijaga dalam bacaan Al-Qur’an semasa solat cuma dua – iaitu (i) selagi huruf tidak berubah, contohnya huruf sod menjadi huruf tho’, dan (ii) selagi tidak berubah baris ayat, contohnya kalimah “an’amta” menjadi “an’amtu”. Adapun tertinggal ikhfa’, dengung dan sebagainya hanyalah sunat.


Bagi masalah berdesir pula, sememangnya ada dibincangkan di dalam kitab-kitab fiqh tentang aspek kadar bacaan yang didengari oleh diri pembaca. Maka, di sini saya bentangkan pendapat-pendapat 4 mazhab muktabar iaitu Hanafi, Maliki, Syafi’e dan Hanbali tentang permasalahan ini.


Setakat Mana Sesuatu Bacaan Dikelaskan sebagai Nyaring atau Perlahan.

Menurut pendapat ulama’ Hanafi, kadar bacaan nyaring yang paling minimum ialah memperdengarkan bacaannya kepada orang lain yang tidak berada berhampiran dengannya seperti mereka yang berada di dalam saf pertama. Jika bacaan itu hanya didengar oleh seorang ataupun dua orang sahaja, maka dikira tidak memadai. Kadar perlahan yang paling minimum ialah memperdengarkan bacaannya untuk dirinya sendiri ataupun seorang atau dua orang yang berhampiran dengannya.

Ulama’ Maliki pula berpendapat, kadar bacaan nyaring seorang lelaki yang paling minimum ialah apabila bacaannya boleh didengari oleh orang yang terhampir dengannya. Sementara bacaan perlahan yang paling minimum ialah dengan menggerakkan lidahnya. Bagi wanita pula, maka bacaan nyaring bagi mereka hanyalah memperdengarkan untuk dirinya sahaja.

Ulama’ Syafi’e dan Hanbali pula menyatakan, kadar nyaring yang paling minimum ialah memperdengarkan bacaannya kepada orang di sampingnya walaupun hanya seorang. Kadar bacaan perlahan yang paling minimum ialah memperdengarkan untuk dirinya sahaja. Bagi wanita pula, mereka tidak boleh sekali-kali menyaringkan bacaannya di hadapan orang yang ajnabi (orang asing baginya).

Memang dimaklumi bahawa masalah berdesir ini adalah disebabkan oleh perasaan was-was takut tidak sah solat kerana mengikut praktik Mazhab Syafi’e, salah satu daripada syarat sah bacaan al-Fatihah ialah pembaca mestilah mendengar bacaannya itu, sekiranya dia mempunyai pendengaran yang normal. Ini selagimana orang yang bersolat itu tidak berada dalam suasana bising. Takut tidak sah satu faktor, faktor yang lain pula mungkin disebabkan pembaca merasa tidak yakin bahawa selagi tidak dapat didengar oleh telinga sendiri takut-takut tersalah bacaan dan tidak dapat menjaga tajwid bacaan.


Tidak ramai yang ada masalah was-was membaca ini, tetapi tidak kurang juga yang bermasalah dalam soal ini.


Maka apabila masalah seperti ini berlaku, tidaklah menjadi kesalahan bagi golongan yang mempunyai masalah berdesir dalam bacaan Al-Fatihah ini untuk bertaqlid kepada pendapat Mazhab Maliki dalam soal pembacaan dalam solatnya.

Seperti yang telah disebutkan tadi, pendapat yang dipegang oleh ulama’ Mazhab Maliki ialah paling minimum bacaan ialah sekadar menggerakkan mulutnya. Menurut ulama’ Mazhab Maliki,memadai bacaan sekalipun tidak dapat didengari oleh pembacanya sendiri.

Tambahan pula, pembacaan Surah Al-Fatihah secara murattalah mu’arrabah (jelas dan betul menurut tajwid) hanyalah sunat hukumnya.


Pendapat ini boleh dipegang bagi memudahkan orang yang bermasalah seperti ini agar tidak mengganggu orang yang bersolat di sebelahnya dan juga insyaALLAH berkurang seterusnya terubat penyakit was-was dalam bacaannya itu.

Diharap soalan tersebut terjawab.


InsyaALLAH, semoga ada manfaatnya di dalam perkongsian ilmu ini. WaLLAHua’lam.


Rujukan:

Kitab Fiqhul Islami Wa Adillatuh Al-Juz’ Al-Awwal / Fiqh dan Perundangan Islam Jilid 1 susunan Dr Wahbah Zuhaili dalam Bab “Bacaan Makmum” m/s 678-679 dan Bab “Setakat Mana Sesuatu Bacaan Dikelaskan sebagai Nyaring atau Perlahan” m/s 730. Terjemahan oleh Syed Ahmad Syed Hussain et al., Terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka. Cetakan Ketiga 1997.

Kitab Fiqhul Manhaji / Fikah Mazhab Syafi’e Jilid 1 susunan Dr. Mustofa Al-Khin, Dr. Mustofa Al-Bugha dan Ali Asy-Syarbaji dalam Bab “Syarat-syarat Sah Bacaan Fatihah” m/s 173. Terjemahan oleh Ustaz Ridzuan Hashim et al., Terbitan Pustaka Salam. Cetakan 2005.


Wassalam,


Mujahid Muda,

Ibn ‘AbdiLLAH As-Sarawaki,

8.11am,

Selasa, 26 Mei 2009,

Bintulu, Sarawak.

Sunday, May 24, 2009

Fiqh Waqi' Sarawak: Ke Mana Perginya Asatizah Local Kita?


Assalamu’alaikum warahmatuLLAHi wabarakatuh,


AlhamduliLLAHi ‘alaa kulli haal,

Segala puja-puji ke hadrat Rabbul ‘Izzati ALLAH SWT atas segala-galanya,

Selawat dan salam tanda kecintaan sejati kepada hamba-Nya yang paling mulia, Muhammad Al-Rasul , ahlul bayt serta para sahabat baginda.


Firman ALLAH SWT yang bermaksud:

“Dan hendaklah ada (tersusun) di antara kamu, segolongan umat yang (tetap) menyeru kepada kebaikan dan menyuruh berbuat ma’ruf dan melarang (melakukan) yang munkar. Merekalah orang-orang yang berjaya” – Ali Imran ayat 104.


Ayat ini saya tujukan kepada anak-anak Sarawak yang bersekolah di sekolah agama ataupun yang mengaji agama sekarang ini, tidak kira di luar Sarawak, lebih-lebih yang berada di Sarawak.

Maaflah, mungkin ayat yang saya gunakan ini tidak kena dari segi penggunaannya, mungkin tidak kena dengan asbabun nuzul / sebab turun ayat ini. Kerana saya bukan dari aliran belajar agama secara mendalam. Saya tidak pernah mengambil jurusan agama di universiti, melainkan belajar Tamadun Islam di peringkat permukaan sahaja.


Saya dulu pernah bercita-cita nak jadi orang agama. Bukan jadi ustaz biasa! Jujur saya katakan – saya pernah menyimpan cita-cita mahu menjadi mufti negeri Sarawak suatu ketika dahulu. Segar di ingatan lagi, waktu itu saya di tingkatan tiga. Baru sahaja selesai PMR. Selalu juga melihat ALLAHyarham atuk saya dikunjungi anak muridnya yang sekian ramai. Belajar agama dari atuk. Melihat kesungguhan atuk mengajar agama kepada masyarakat tempatan menyebabkan saya berminat untuk mengikut jejak langkah atuk, cumanya saya nak lebih dari itu! Saya mahu jadi mufti!

Walau bagaimanapun, keadaan di waktu itu di mana saya tidak pernah berpeluang untuk mempelajari sebutir habuk bahasa Arab menyebabkan saya beransur hilang semangat. Tambahan pula tidak bersekolah agama, basic agama hanya diperolehi daripada sesi kelas Fadhu ‘Ain dan juga silibus Pendidikan Islam PMR. Maka cita-cita tersebut pun berkubur, berlalu dengan masa, dibuai jauh hanyut oleh angin yang bertiup….

Itu cerita cita-cita saya. Mungkin tidak banyak kaitan dengan mesej yang saya mahu bawa di sini.


Kita kurang ustaz tempatan.

Ya! Saya sangat setuju dengan penyataan itu. Jikalau diamati di Sarawak ini, saya boleh katakan bahawa 95% daripada ustaz di Sarawak ini adalah dari kalangan orang Semenanjung. Biasanya Kelantan ataupun Kedah. Kalau tak pun, Pahang.

Maka saya tertanya-tanya, ke manakah perginya ustaz Sarawak kita?


Sayangnya dan malangnya, dengan bilangan ramai yang enrol ke dalam sekolah agama, tidak ramai yang bercita-cita mahu jadi ustaz. Lebih-lebih lagi di zaman IT sekarang, pastinya yang top 3 ataupun 4 ataupun 5 dalam list cita-cita diisi dengan perkataan-perkataan seperti ‘doktor’, ‘engineer’, arkitek’ dan sebagainya.


Tidak ramai yang mahu menjadi ustaz.

Ya! Itulah hakikatnya. Tidak ramai anak tempatan yang mahu jadi ustaz. Tidak ramai yang sanggup mendidik anak-anak tempatan, mengisi mereka dengan agama. Mungkin gaji yang tidak lumayan. Mungkin memikirkan orang bakal mempersoalkan “ape bende ko nak jadi ustaz ni? Belajar tinggi-tinggi, jadi cikgu je ke? Belajar jauh-jauh ke Mesir, takkanlah nak jadi guru J-QAF sahaja”. Mungkin itu antara yang bermain di fikiran. Buntu juga memikirkan.


Realiti di Sarawak sekarang ini memperlihatkan bahawa masih ramai lagi yang ‘buta agama’. Maafkan saya, tapi itulah hakikatnya. Masih ramai yang tidak mengerti agama dengan sebaik-baiknya. Masih ramai yang tidak settle pada perkara yang terlalu basic. Kasihan juga saya melihatnya. Jangan cerita bab khilaf mazhab, wudhu’ pun ada yang mula dengan basuh telinga dahulu! Sungguh!

Seperti yang saya katakan tadi, majoriti asatizah/ustaz-ustaz adalah dari kalangan orang Semenanjung. Suatu hari nanti, pasti ramai yang balik negeri juga dengan tangggungjawab masing-masing di negeri sendiri. Maka saya bertanya, sampai bilakah pergantungan kita dengan ustaz-ustaz yang datang dari ‘overseas’ ini? Sampai bila hanya berharap dengan ustaz-ustaz dari Melaya ( istilah orang Sarawak untuk Semenanjung Malaysia)?


Saya sebut perkara ini bukan hanya mengenangkan tidak ada ustaz-ustaz dari kalangan orang Sarawak yang mengajar di sekolah-sekolah, tetapi juga yang terlibat dalam medan da’wah yang lebih bersifat umum dan menghala kepada masyarakat awam. Tidak ramai ustaz-ustaz Sarawak yang dapat dilihat melibatkan diri dalam program-program ziarah da’wah, kemasyarakatan, hatta di dalam ceramah-ceramah dan kuliah pun nampaknya masih tidak ramai lagi ataupun mungkin di sesetengah kawasan langsung tidak ada ustaz Sarawak.


Baru-baru ini saya sempat ‘menjenguk’ sekitar Kampung Iran dan Kampung Tanjung Belipat serta kampung-kampung yang lain di sepanjang jalan Bintulu-Miri, menemani Ustaz saya untuk research PhD beliau. Singgah sahaja di musolla, masjid ataupun surau, nama-nama ustaz yang disebut asalnya dari Pahang, Kelantan, Kedah, itu sahaja. Mana perginya orang Sarawak?

Dan yang lebih menyedihkan lagi, di negeri sendiri ini pun masih ada lagi ustaz-ustaz Sarawak yang tidak sanggup untuk berkorban duduk di kawasan-kawasan ulu pedalaman menyampaikan da’wah Islam. Kebanyakan mahu hidup selesa, maka tinggallah ustaz-ustaz Semenanjung seorang-dua orang berjuang bermati-matian mendidik penduduk kampung di pedalaman. Ke mana perginya Ustaz Sarawak kita?!


Di program-program anjuran NGO dan badan-badan da’wah seperti Yayasan Amal Malaysia, JIM, ABIM dan sebagainya , ramainya orang Semenanjung. Ustaz-ustaz yang ada pun adalah daripada kalangan orang Semenanjung. Hanya satu-satu setengah kerat sahaja Ustaz Sarawak.


Mana perginya orang-orang kita?


Saya tidak mahu memperpanjangkan entri ini, maka saya tutup dengan dua persoalan ini;

  1. Adakah ada lagi ustaz-ustaz dari kalangan orang Sarawak dalam masyarakat kita ini?
  2. Andaikata memang ada, ke manakah perginya ustaz-ustaz dari kalangan orang Sarawak ini? Ke mana perginya orang local lepasan Azhar, Madinah dan lain-lain, ataupun setidak-tidaknya dari UIAM? Kenapa jarang-jarang sekali wajah-wajah asatizah Sarawak yang muncul dalam program-program da’wah dan kemasyarakatan?

Kita maklum bahawa kristianisasi semakin hebat di Sarawak ini, kita saksikan sendiri bagaimana pengorbanan mubaligh-mubaligh mereka dalam menyampaikan risalah agama mereka – mereka sanggup memasuki ceruk-ceruk ulu untuk mengkristiankan penduduk di sana, dan pada masa yang sama – kita kata kita risau dengan perkembangan seperti ini tetapi kita tak buat kerja!

Katanya risau tetapi tidak mahu berkorban! Katanya risau tetapi di hujung minggu masih boleh duduk selesa di atas sofa menonton TV bersama keluarga! Katanya risau tapi masih mahukan kerehatan dan senang-lenang! Katanya risau tapi usrah pun tidak hadiri!

Saya mohon maaf dengan sebanyak-banyaknya andai terkasar dan berkasar bahasa dalam penulisan ini. Saya tidak bermaksud untuk memberontak bersikap kurang ajar terhadap golongan ustaz-ustaz Sarawak ini, malah saya hormati mereka. Dan saya juga tidak bermaksu untuk membuka pekung di dada orang Sarawak mahupun asatizah Sarawakian.

Cuma, saya mempertikaikan adakah sudah selesai segala kerja dan amal islami kita dengan hanya mengajar di sekolah menghabiskan silibus kemudian di hujung minggu duduk di sofa menonton ASTRO bersama keluarga, tanpa mempunyai inisiatif untuk mendekati masyarakat melalui program-program da’wah yang banyak merata?


Maka, saya menyeru kepada para pelajar sekolah agama, pelajar jurusan agama di IPT-IPT, serta graduan jurusan agama, isikanlah kekosongan ustaz-ustaz Sarawak bagi mengisi kekosongan jiwa di kalangan masyarakat yang sudah semestinya perlu diisi dengan ruh-ruh beragama!


Bangkitlah Asatizahku! Giatkanlah diri dalam pelbagai lapangan amal Islami dan gunakanlah peluang-peluang yang ada untuk da’wah dan Islam! Marilah sama-sama belajar berkorban untuk Islam!


Ayuh, orang Sarawak! Bangkitlah berjuang untuk Islam!


Wassalam,


Ibn ‘AbdiLLAH As-Sarawaki,

9.27am,

25 Mei 2009, Isnin,

Bintulu, Sarawak.

Thursday, May 21, 2009

Dilema Khinzir dan H1N1: Manifestasi Bala Zaman ICT!



Assalamu’alaikum warahmatuLLAHi wabarakatuh,


AlhamduliLLAHi ‘alaa kulli haal,

Segala puji buat Yang Teragung, ALLAH SWT Rabb’ Al-‘Alameen ke atas segala rahmat kurniaan-Nya,

Selawat dan salam tanda salam kasih dan kecintaan ke hadrat Al-Rasul Muhammad SAW, ahlul bayt serta para sahabat Baginda.


Kebelakangan ini khinzir bikin isu lagi!


Kalau dulu, virus J.E yang dikatakan berpunca daripada khinzir cukup berhantu. Jangan nak kata makan daging khinzir, nak sentuh pun orang dah fikir beribu-ribu kali!

Kemudian, baru-baru ini datang lagi virus bersabitkan khinzir. Kali ini namanya lebih advance. H1N1 namanya. Di Mexico dan beberapa negara lain entah berapa ramai yang mati semenjak menularnya virus yang satu ini. Kita dengar macam tu, kita bimbang juga. Ya lah, kalau virus yang jenis merebak melalui udara ni lebih cepat berjangkit.

Walau bagaimanapun, dalam kucar-kacir havoc yang berkait dengan virus ini, baru-baru ini saya ada terbaca dalam Berita Harian bahawa 2 orang yang dijangkiti virus H1N1 ini dilaporkan stabil dan semakin pulih. Ini di Malaysia. Jadi bersyukurlah rakyat Malaysia, ALLAH masih nak bantu lagi kita!

Maka saya ratibkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat ALLAH SWT, yang telah memberikan harapan kepada orang-orang mukmin bahawa masih ada arah untuk mengubati epidemic virus khinzir yang kian menggejala ini. AlhamduliLLAH! AlhamduliLLAH! AlhamduliLLAH!


Adapun, isu yang saya bawakan di sini adalah dengan tujuan untuk membawa sedikit pengajaran kepada kita semua.


Mungkin ramai yang masih ingat beberapa kisah di dalam Al-Qur’an yang menceritakan tentang perlanggaran serta penyelewengan yang dilakukan oleh kaum Bani Israil serta kaum-kaum lain yang terdahulu, apabila telah ditetapkan satu-satu hukum ataupun perintah kepada mereka.

Tidak perlu melihat lebih jauh, cuba selak Al-Qur’an di muka-muka surat yang awal, kita dapat baca tentang kisah Kaum Bani Israil semasa Nabi Musa a.s bersama dengan mereka, ALLAH SWT telah mengkhususkan hari Sabtu sebagai hari untuk beribadat. Maknanya, mereka tidak boleh menjalankan aktiviti ekonomi yang menjadi kelaziman seperti turun ke laut dan menangkap ikan.

Nak dijadikan cerita, hari Sabtu tak boleh memukat, hari Sabtulah juga ikan banyak berada berhampiran pesisir pantai. Kalau kita pun, dah geram juga nak sambar joran dan berlari ke laut time tu. Banyaknya ikan pada masa tu!

Akibat nafsu nak dapat untung lebih, maka kaum Bani Israil langgar perintah pengharaman untuk menangkap ikan pada Hari Sabtu itu.

Maka ALLAH jadikan mereka kera-kera yang hina seraya firman-Nya ‘Kunu qiradatan khasi’in / Jadilah kamu kera yang hina!’. –Rujuk Surah Al-Baqarah ayat 65.

Langgar perintah ALLAH, free-free sahaja boleh jadi kera. Bukan senang nak tengok manusia jadi kera! Memang hebatlah kaum Bani Israil masa tu!


Selepas itu pula, kita lihat di dalam surah Hud yang mengisahkan bagaimana ALLAH terbalikkan kerajaan Sodom yang diutuskan kepada mereka Nabi Lut. Siapa tidak tahu akan kejelekan yang dilakukan oleh kaum Nabi Lut ini – gejala homoseksual yang melata! Maka dengan terlanggarnya perintah ALLAH SWT maka ALLAH datangkan tentera bala bencana menghancurkan mereka, ALLAH tunggang-terbalikkan negeri mereka dan menghujani mereka dengan batu dan tanah liat yang panas. – rujuk Surah Hud ayat 82.

Dalam surah yang sama juga ALLAH menyebut tentang hakikat Kaum Thamud yang mengingkari ajaran Nabi Saleh. Ceritanya, ALLAH menjadikan kepada kaum Thamud ujian berbentuk unta betina, di mana kaum Thamud dilarang untuk mengganggu unta betina tersebut.

Fil Kitabil ‘Aziz, ALLAH menyebut,

“Dan (Nabi Salih berkata), “Wahai kaumku! Inilah unta betina (sebagai ujian) dari ALLAH SWTdan bukti yang nyata (atas kebenaranku). Maka biarkanlah dia mencari makan di bumi ALLAH. Dan jangan sekali-kali kamu ganggu, nanti kamu ditimpa azab yang dekat masa datangnya.”

“Lalu mereka membunuh unta itu (dengan menusuknya), maka Nabi Salih berkata, “Bersenang-senanglah kamu di rumahmu selama tiga hari.” Demikianlah (seksaan itu) suatu janji yang tidak dapat didustakan.” – Surah Hud ayat 64-65.

Maka dengan terlanggarnya perintah tersebut, ALLAH SWT menimpakan kaum yang celaka itu dengan sambaran petir yang mampu menggempakan bumi, mematikan seluruh kaum Thamud itu. – rujuk Surah Hud ayat 67-68.


Nak tambah cerita lagi, kita lihat pula di dalam surah yang sama, perihal kaum ‘Ad yang diutuskan kepada mereka Nabi Hud. Akibat menyangkal kebenaran ajaran yang dibawa oleh Nabi Hud, mereka dijahanamkan oleh angin taufan yang ALLAh datangkan sebagai tentera pemusnahnya. – rujuk Surah Hud ayat 52-60.

Kalau mahu diceritakan semua tentang perihal kaum-kaum zaman dahulu yang melampaui batas, agak banyak juga yang perlu diceritakan. Kalau nak tahu kisah-kisah ini, pergi berwudhu’ dan capai Al-Qur’an, baca serta lihat terjemahannya. Moralnya, banyak-banyakkanlah baca Al-Qur’an!


“So, apa benda yang anta nak sampaikan ni?”

Rileks dulu. Ni nak cerita la ni.

Daripada kisah-kisah yang telah disebutkan di atas serta beberapa lagi kisah yang lain yang tercatat di dalam Al-Qur’an, amatlah mudah untuk difahami bahawa datangnya bala itu tidak lain merupakan natijah ataupun kesan daripada perlanggaran terhadap perintah ALLAH SWT itu sendiri.


Prinsipnya, kamu langgar kamu terima padahnya! Padahal apabila kamu tidak melanggarnya, ia adalah sangat baik dan bermanfaat bagi kamu!

Maka nak direlatekan dengan cerita epidemic H1N1, kalau anda tanya pendapat saya, saya lebih cenderung untuk mengiyakan pendapat bahawa apa yang datang sekarang ini tidak lain merupakan bala daripada ALLAH SWT!

Kalau kita muhasabah balik, sebenarnya banyak sangat dah perlanggaran yang kita telah lakukan sebagai manusia. Saya tidak menyangkal bahawa mungkin kita boleh lihat bala H1N1 ini sebagai azab bagi kita yang masih lagi tidak mahu tinggalkan khinzir dan dunia yang seantero dengannya. Maksudnya, kita masih lagi consume khinzir sedangkan di dalam Al-Qur’an telah melarang kita memakannya – rujuk Surah Al-Maidah ayat 3. Itu mungkin dari satu sudut.

Mungkin boleh juga kita lihat sebagai satu teguran daripada ALLAH SWT ke atas perkara-perkara merosakkan yang lain, umpamanya merampas kuasa secara haram. Itu ‘andaikata’ sahaja. Mungkin juga akibat politik wang, ataupun akibat tidak menjaga kebersihan dan tidak memelihara alam dan sebagainya. Itu semua masih dalam kategori ‘andaikata’, ya.


Apa pun silapnya, yang penting bagi saya ianya adalah bentuk teguran daripada ALLAH SWt bahawa kita selaku manusia akhir zaman sudah banyak melampaui batas. Hukum-hukum yang berdasarkan nas-nas qat’ie contohnya, seperti halnya hudud, qisas dan sebagainya tidak lagi dipandang sebagai perkara yang wajib untuk dilaksanakan. Kalaupun ada yang berjuang ke arah menegakkan hukum ALLAH SWT itu, “orang-orang atas” akan tekan juga mereka supaya perlaksanaan hukum ALLAH SWT tidak dapat berjalan di atas muka bumi ini. Jahatnya ‘orang-orang atas’ ini!

Ditambah pula dengan kesalahan-kesalahan yang lain, contohnya menggalakkan lebih banyak perkara-perkara fahsya’ yang merosakkan seperti konsert, program reality TV yang dilihat tiada manfaatnya kepada orang ramai, serta banyak lagi perkara-perkara lagha ciptaan manusia yang menjadikan hedonisme dan sekularisme sebagai ‘Tuhan’ mereka! Itu pun sudah cukup untuk melayakkan kita ditimpa bala daripada ALLAH SWT.


Kalau dahulu ALLAH tukarkan rupa mereka menjadi kera, ALLAH turunkan hujan batu, ALLAH tenggelam serta terbalikkan mereka!

Di zaman I.T serba canggih ini, ALLAH datangkan bala-balanya dalam bentuk virus, taufan, tsunami dan krisis ekonomi pula! Maha Suci ALLAH, Dialah Yang Maha Bijaksana!


Maka jangan hairan kalau sesudah HIV, datang pula coxsackie, kemudian disusuli pula J.E, kemudian datang pula selsema burung kemudian tampil pula H1N1 yang bersabitkan khinzir sebagai azab kepada manusia! Tetapi rahmat bagi orang-orang yang beriman – itu semua sebagai ujian buat mereka!


P/S: Dalam menilai bala yang diturunkan oleh ALLAH SWT ini, janganlah kita terlupa bahawa kita tidak diazab secara terus dan total seperti kaum zaman dahulu, sebaliknya ditegur oleh kerana rahmat-Nya jua, tanda kasih sayang-Nya kepada umat Muhammad SAW.

Maka sedarlah! Bertaubatlah wahai manusia daripada kerosakan akibat tangan-tanganmu sendiri! Tuhan sedang memanggilmu untuk mengetuk pintu taubat-Nya! Merangkaklah dengan kehinaan memikul dosa-dosamu ke arah ruai Keampunan Dia Yang Maha Luas Kasih Sayang-Nya! Wahai manusia, bergeraklah dirimu menuju taubat nasuha!


Wassalam,


Ibn ‘AbdiLLAH As-Sarawaki,

11.53pm,

Khamis, 21 Mei 2009,

Bintulu, Sarawak.

Wednesday, May 20, 2009

Taujihah Perjuangan: Hargailah Para Isteri!

Assalamu’alaikum warahmatuLLAHi wabarakatuh,


AlhamduliLLAHi ‘alaa kulli haal,

Segala puja-puji ke hadrat ALLAH SWT Rabb Al-‘Alim, Dia Tuhan Yang Paling Mengetahui.

Selawat dan salam ke hadrat Penghulu Segala Pembawa Risalah Hanif, Al-Rasul Muhammad Habibina Al-Mustoffa, ahlul bayt serta para sahabat Baginda.


Entri kali ini bukanlah hasil tulisan saya. Saya cuma bertindak meng-copy-paste-kan artikel ini sebagai suatu renungan dan pedoman bagi sesiapa yang berkenaan.


Saya optimis apabila saya katakan tidak hanya golongan muda-mudi mahasiswa sahaja yang sudi membaca entri di blog ini, mungkin juga ada di kalangan pembaca yang terdiri daripada kalangan orang dewasa, baik yang sudah berkahwin, yang belum berkahwin, yang bakal berkahwin ataupun yang masih belum terfikir nak kahwin.


“Apa cerita sebut ‘kahwin-kahwin’ ni?”

Baca dulu sampai habis. Rugi tak baca!


Di sini saya tampilkan tulisan Saudara Herman Shamsudeen, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (jangan lihat pada label platform perjuangannya, lihat pada moral ceritanya!).

Saya syorkan agar semua membacanya, bukan untuk syok-syok sendiri membayangkan bahawa betapa seronoknya dunia selepas berkahwin, tetapi message yang ingin saya stresskan – pentingnya peranan isteri @ zaujah di dalam kehidupan seorang pejuang. Jadi, mungkin selepas ini ramai yang akan mempertimbangkan untuk mempercepatkan urusan berumahtangga.

Bukan berkahwin untuk suka-suka semata-mata ya, tetapi demi maslahat perjuangan yang murni!

-----------------------------------

Terlibat dalam Jamaah adalah suatu perkara yang paling baik yang pernah ana lakukan kerana di sinilah bermulanya erti kehidupan ana yang sebenar. Diperingkat awal penglibatan memang banyak dugaan. Hatta, hingga ke hari ini pun masih ada lagi ujian yang harus dihadapi.

Memang letih untuk terlibat aktif dan memegang beberapa amanah berbentuk jawatan atau tugasan. Dalam hal ini memang sukar menolak bila sahabat memerlukan khidmat dari ana. Tapi kudrat ini terbatas, hanya Allah sahaja yang tahu. Namun ana bersyukur kerana Allah menganugerahkan seorang Zaujah yang rajin dan prihatin untuk menjaga ana.

Walaupun kerap keluar malam dan kembali ketika saat dinihari, namun kesabarannya berjaya menyejukkan hati. Berkat dari pembacaan dan tunjuk ajar dari orang-orang tua, bahtera yang baru setahun jagung ini tetap utuh walaupun sesekali dipukul ombak. Pelbagai ilmu cuba ana praktikkan bagi menjaga hubungan suami isteri, mana yang lebih kami kongsikan mana yang kurang kami tambahkan.

Masing-masing ada keburukkan dan keistimewaan. Dan peristiwa DEMAM PANAS sabtu lalu benar-benar menunjukan keistimewaan zaujah ana.

Pada Jumaat malam 22 Jun lepas, selepas sahaja mesyuarat bulanan bersama pemuda Titiwangsa kira-kira jam 12.00 tengah malam, ana terus menghantar seorang sahabat lama ke rumahnya di Padang Balang. Hujan renyai-renyai baru sahaja turun. Ketika sampai dirumah jam menunjukan masanya, 1.45 pagi. Keadaan sekitar Taman Batu Permai masih lagi bergelap, termasuklah rumah ana. Sejak jam 8.30 malam lagi, semua talian letrik sekitar Taman Batu Permai terputus, entah kenapa.

Walaupun hujan semakin kuat diluar, namun bahang panas dalam rumah amat terasa. Memang sedikit terganggu kehidupan dibandaraya ini bila letrik tiada, kipas pun tak dapat dihidupkan. Ketika masuk ke bilik, Kelihatan zaujah ana sedang tidur dalam keadaan berpeluh. Ana amat memahami kerana sejak berbadan dua ini suhu badannya memang berbeza. Lantaran itu, ana menyelakkan sedikit kain langsir dan membuka ’sliding door’ untuk membenarkan untuk sejuk diluar menyelinap masuk ke dalam bilik.

Selepas bersihkan diri dan menyalin pakaian, ana terus tidur. Tidur yang cukup lena diiringi oleh rintikan hujan yang kian lebat diluar.

Ketika zaujah ana kejutkan untuk bersolat subuh, memang berat nak bangun, badan terasa lemah. Namun untuk menunaikan tanggungjawab sebagai hamba Allah, ana kuatkan juga. Selepas solat subuh ana tidur semula. Zaujah ana kehairanan sebab petang semalam ana bagitau dia bahawa pagi ini ada program bersama PASTI di Cheras dan perlu keluar awal.

Zaujah ana kejutkan semula. Bila melihat ana mengigil dan memegang dahi ana yang panas barulah dia faham. Ana kena demam panas.

Alhamdulillah, dia tidak panik. Ana diselimutkan dengan selimut tebal dan dibiarkan tidur sebentar. Dalam pukul 8.30 pagi, dia mengejutkan ana lagi. Ketika ana bangun memang terasa lemah

Kelihatan bilik telah dikemas, kain baju telah dibasuh dan disidai.

Dia memimpin ana ke tandas dan terus memandikan suaminya yang amat dicintai ini. Dia mengosok tubuh ana sambil memberikan kata-kata semangat. “Ini adalah ujian Allah, Allah nak bagi pahala” ujar zaujah ana.

Bila melihat kesungguhannya disaat memandikan ana, memang terasa terharu. Inilah dia Isteri Solehah kurniaan Allah, pagi petang tidak lupa baca Al-Quran, sentiasa memahami dan menjalankan tanggungjawabnya pada Allah dan suami.

Selesai sahaja mandi dan lengkap berpakaian, kami ke Klinik yang berhampiran. Doktor di klinik tersebut sedikit terkejut bila melihat termometer yang menyukat suhu badan ana. “over 100 itulah yang terkeluar dari mulutnya. Suhu badan ana lebih dari 100 darjah Celcius. Ana diberikan satu injection dan ubat.

Sampai dirumah, zaujah ana terus menyediakan makanan berupa bubur. Ana disuapkan, dan sepintas lalu ana terkenangkan saat ketika zaman bujang dikampus dahulu. Seorang sahabat karib pernah menyuapkan makanan ke mulut ana ketika ana dimasukkan ke dalam wad di HKL. Tapi kali ini rasanya berbeza. Walaupun tekak terasa perit untuk menelan makan dan air, berkat keikhlasan seorang wanita yang bergelar zaujah ini segalanya mampu ana hadapi. Walaupun cuma beberapa sudut tetapi ia cukup untuk mengenyangkan perut ana.

Ana terpaksa batalkan dan tarik diri dari semua program sepanjang hujung minggu ini kerana tidak terdaya. Ana hanya mampu terbaring di atas katil merenungkan kekerdilan diri sebagai hamba Allah. Dua hari ana terbaring dan tak mampu buat apa-apa. Semua kerja rumah, zaujah ana terpaksa lakukan bersendirian.

Selalunya jika ada masa dihujung minggu ana akan membantunya membasuh kain atau bersihkan rumah. Kali ini ana tak berdaya langsung. Service kereta pun zaujah ana terpaksa uruskan. Inilah dugaan Allah dan ana redha takdirNya ini.

Sesungguhnya Allah Maha Hebat dan Agung. Ia Maha Pemurah dan Menyayangi. DiberikanNya kita penyakit tetapi dalam masa yang sama dosa kita dihapuskan, pahala kita ditambah. Dianugerahi kita dengan kasih sayang dan kenikmatan hidup.

Hidup suami isteri memang menarik. Kita bersahabat banyak mana pun, tetapi dengan adanya seorang isteri yang solehah sudah cukup untuk membuatkan kita bahagia. Berkat seorang Isteri yang selalu mendoakan suaminya, InsyaAllah kita akan lebih maju kehadapan, asal sahaja kita tidak lupa pada tanggungjawab.

Kehidupan ini adalah satu tanggungjawab. Sebaik sahaja kita buka mata disubuh hari kita sudah ada tanggungjawab yang harus dilaksanakan. Kita tidak mampu hidup bersendirian, kita perlukan teman untuk kita meneruskan kehidupan ini.

Ana pernah hidup membujang, tetapi bila sudah berkahwin terasa banyak kelainan. Ringan bahu dan makin bersemangat untuk berjuang.

Kepada sahabat-sahabat yang belum berkahwin, ana nasihatkan untuk berkahwin segera. Jika tidak mampu berkahwin 4, kahwinlah 3, jika tak mampu, ambillah 2, jika tak mampu juga, cukuplah dengan 1. Kahwin ini satu amanah, tetapi dengan satu amanah ini, banyak amanah lain akan menjadi ringan dibahu kita. Terpulanglah pada kita untuk menjaga dan menguruskannya.

Dibelakang seorang lelaki yang hebat itu, pasti ada seorang wanita solehah yang menyokongnya. Jadi janganlah abaikan wanita yang bernama Zaujah ini, jagalah ia sebagai mana kita menjaga rusuk-rusuk yang ada dalam tubuh kita. Dekat dihati, menenangkan rohani.

Artikel ini sengaja ana nukilkan sebagai menterjemahkan sedikit keindahan alam rumahtangga dan penghargaan buat Zaujah ana yang tercinta serta zaujah para pejuang yang tabah, ikhlas dan taat pada suami mereka di seluruh dunia ini. Teruskan kebaktian anda pada suami, demi Allah doakan semoga mereka akan terus gagah berjuang kerana Allah

Entri asal di sini

--------------------------

Jadi, bagaimana dengan pendapat tetamu ziarah sekalian, lebih-lebih lagi yang sudah hampir ke era berumahtangga?

Pasti rasanya mahu sahaja tarikh keramat itu dipercepatkan! Yang belum ada calon pun, mungkin selepas ini terfikir juga untuk mengerjakan solat istikharah dengan persoalan “Ya ALLAH, dah patut ke aku kahwin sekarang?”


Bagi yang sudah selamat berumahtangga pula, terutamanya yang terlibat dalam perjuangan yang suci ini – mungkin sudah sampai masanya untuk kita tunjukkan apresiasi kita kepada insan yang menjadi tulang belakang, motivator dan penguat perjuangan kita!


Hargailah para isteri! Hargailah para srikandi penguat perjuangan ini!


P/S: Di sini juga saya ingin mengucapkan selamat berwalimah dan selamat menuju ke fasa berumahtangga kepada abang-abang dan kakak-kakak yang bakal mendirikan rumahtangga tidak lama lagi. Semoga bahagia kekal abadi!


Wassalam,


Ibn ‘AbdiLLAH As-Sarawaki,

1.00am,

21 Mei 2009, Khamis,

Bintulu, Sarawak.

Katakan "TAK NAK" Kepada Tabarrujul Jahiliyah!

Katakan "TAK NAK" Kepada Tabarrujul Jahiliyah!
klik pada imej untuk ke link

klik pada imej untuk ke link

klik pada imej untuk ke link

Alternatif Fesyen Islami

Alternatif Fesyen Islami
klik pada imej untuk ke link

Jom Belajar Bahasa Arab

Jom Belajar Bahasa Arab
klik pada imej untuk ke link

Video-video Pilihan

Ustaz Ismail Kamus - Nafsu Makan Ustaz Ismail Kamus - Alam Jin Ustaz Azhar Idrus - Banduan Akhirat Ustaz Azhar Idrus - Tidur 20 Tahun