GERAKAN ISLAM MEMERLUKAN PERENCANAAN
Oleh kerana kita bergerak dalam sebuah gerakan yang menyuarakan satu perjuangan yang sangat besar iaitu perjuangan Islam, maka ini bermaksud kita bergerak dalam suatu pergerakan yang perjuangannya adalah benar-benar serius. Perjuangan yang bukan main-main dan sepatutnya bukanlah suatu seruan sementara dan perjuangan yang bermusim. Agenda menegakkan agama ALLAH SWT adalah tuntutan sepanjang zaman, bukan ditaklifkan hanya untuk beberapa generasi dan bukan untuk dipertahankan beberapa tahun sahaja.
Jadi apabila perjuangan yang diharungi adalah perjuangan yang serius, maka perlunya ada perancangan ataupun perencanaan yang rapi dan tersusun.
Satu perjuangan yang besar tidak akan dapat dicapai dengan tindakan-tindakan bersifat isti’jal/irtijal/tergesa-gesa, tindakan-tindakan yang mendadak yang dilakukan secara bermusim; ia tidak akan memberikan natijah yang kita harapkan.
Sepertimana yang pernah disuarakan oleh Saiyidina ‘Ali bin Abi Talib r.a, katanya :
“Kebenaran yang tidak dirancang dengan baik dapat dikalahkan oleh kebathilan yang terancang”.
Adalah menjadi kewajipan kita untuk menyatakan persediaan-persediaan yang perlu diambil perhatian oleh pimpinan jama’ah bagi membawa perjuangan yang besar ini.
Di antara bentuk persiapan itu ialah:
Pertama: Persiapan Fikrah
Apakah kita telah mempunyai persiapan pemikiran (fikrah) yang cukup bagi membawa perjuangan yang besar ini? Marilah kita bersikap jujur pada diri kita sendiri, kita tanya kepada diri kita sendiri; berapa banyakkah buku-buku Islam yang telah kita baca dan fahami? Berapa banyakkah hadith-hadith yang telah kita baca dan kita ikuti, kita hayati dan kita mengerti tentangnya? Berapa banyakkah ayat-ayat al-Qur’an yang kita tadabbur (renungi)?
Tanpa persediaan fikrah yang cukup, kita tidak akan dapat menghadapi tentangan-tentangan yang begitu hebat yang sedang dilancarkan sekarang ini ke atas pemikiran masyarakat Islam di dalam dan luar negeri. Musuh-musuh Islam menggunakan alat-alat yang begitu moden bagi menyerang pemikiran ummat dan masyarakat Islam.
Oleh kerana orang ramai dan masyarakat Islam ini kurang persiapan fikrah, maka disebabkan itulah mereka boleh dikaburkan dan ditumbangkan dengan mudah, maka oleh kerana itulah pemimpin Islam dalam semua peringkat mesti mempersiapkan diri, kerana saudara-saudara yang memimpin dan bakal memimpinlah sekarang ini ditempah sebagai calon untuk meneruskan perjuangan ini. Persiapan-persiapan fikrah mestilah dilaksanakan dan dijadikan antara program penting dalam pergerakan pemuda dan mahasiswa.
Kedua: Persiapan Jiwa
Apakah kita telah menjalankan usaha-usaha untuk meningkat istiqamah dan iltizam kita dengan ‘ibadah-‘ibadah dan ajaran Islam sesuai dengan hasrat, cita-cita dan matlamat perjuangan kita?...kerana tanpa persiapan jiwa yang cukup agak sukar bagi kita untuk menghadapi tentangan-tentangan semasa yang kita rasai, tambahan pula tentangan-tentangan ini semakin diperhebatkan dalam usaha musuh Islam untuk mengekalkan sekularisme mereka.
Ketiga: Persiapan Gerakan
Penyusunan organisasi dalam semua peringkat, selagi pimpinan jamaah Islam tidak meletakkan keutamaan dan tumpuan utama dalam seluruh tindak tanduk kepada perjuangan Islam, maka selama itulah persiapan harakah/gerakan akan menjadi masalah yang belum selesai. Kita tidak boleh terpengaruh dengan Hamasah Jama’iyyah , semangat yang mendadak timbul/terlebih masuk gear/terlajak tekan minyak kerana perjuangan kita adalah serius. Islam adalah agama yang serius dan perjuangannya adalah perjuangan yang serius. Pimpinan harus tahu menilai sejauh mana kekuatan kita dan kita harus bertindak berdasarkan kekuatan yang ada pada kita, bukannya menurut hawa nafsu, terpengaruh dengan Hamasah Jama’iyyah/semangat yang mendadak timbul tadi. Ini kerana natijah menuruti Hamasah Jama’iyyah adalah sangat mengecewakan.
Sebab itulah dalam al-Qur’an telah dijelaskan tentang kisah Talut dan bala tenteranya yang sekian ramai yang terdiri daripada Bani Israel untuk mengalahkan Raja Jalut. Talut sepertimana yang diterangkan dalam al-Qur’an tidak mudah terpengaruh dengan Hamasah Jama’iyyah, beliau membuat saringan demi saringan apabila beliau menerima perintah untuk melancarkan serangan terhadap Raja Jalut yang zalim. Beliau mengadakan satu persaringan yang rapi untuk memastikan komitmen,iltizam tentera-tentera yang dipimpinnya, untuk memastikan kepatuhan mereka terhadap pimpinan. Dengan sebab itulah terdapat ramai di kalangan tentera-tentera itu yang ramai pada awalnya, akhirnya tercicir di pertengahan jalan kerana ada di antara mereka yang turut serta dalam angkatan itu pada peringkat awalnya, menyertainya dengan Hamasah Jama’iyyah, dengan semangat yang tidak berlandaskan ‘aqidah yang kukuh. Tetapi akhirnya kemenangan tetap berpihak kepada Talut dan tenteranya, yang mana tentera-tentera itu adalah dalam bilangan yang amat sedikit. Tentera yang sedikit bilangannya ini tidak berjuang hanya atas dasar Hamasah Jama’iyyah sahaja, tapi mereka berjuang berlandaskan ‘aqidah yang kukuh.
Inilah keyakinan, meskipun golongan Islam ini golongan yang kecil, tetapi selama mereka beriltizam dengan Islam, maka kemenangan adalah bayaran yang diberikan oleh ALLAH SWT.
Oleh kerana itulah ditekankan di sini tiga bentuk persiapan yang teramat sangat penting ini, yang mesti dilakukan oleh pimpinan jama’ah atau lebih baik lagi, bagi semua yang terlibat dalam pergerakan Islam.
Rasionalnya di sini ialah ketiga-tiga persiapan ini tidak lain adalah untuk menjadi bekal kepada ahli-ahli gerakan Islam bagi menempuhi mehnah dan tribulasi yang semakin hebat di zaman ini, agar mereka tidak mudah terpengaruh dan terpedaya dengan Hamasah Jama’iyyah, dan tidak juga mudah berputus asa dengan kegagalan-kegagalan yang pernah, sedang dan bakal dihadapi.
Kita tidak mampu dan tidak sanggup menanggung kehilangan ahli gerakan kerana tercicirnya dia dari jalan perjuangan, hanya disebabkan dia salah faham ataupun langsung tidak faham tentang perjalanan dan trend dalam perjuangan ini. Marilah sama-sama berusaha ke arah mempertingkatkan dan mempersiapkan diri dengan ketiga-tiga persiapan tadi. Semoga kita sempat menemui kemenangan perjuangan kita ini, InsyaALLAH.
WaLLAHua’lam,
Ibn ‘AbdiLLAH/ Ghulam asSarawaki
13 Februari 2008 / 6 Safar 1429H
Yeahhh PUASA LAGI,SYUKUR.
11 years ago
No comments:
Post a Comment