Konsep Negara Islam Bukan Teori Idealisme Semata-mata
Oleh: Ibn ‘AbdiLLAH
Islam merupakan agama yang mencakupi setiap aspek dalam kehidupan manusia, dan semestinya seluruh kehidupan manusia dari saat kelahiran sehingga kematiannya, dan sampailah ke Hari Akhirat nanti merupakan kehidupan yang ditimbang atas neraca Islam.
Apabila Islam itu dikatakan mencakupi seluruh kehidupan atau seluruh kehidupan terikat dengan hukum Islam, maka kehidupan berkeluarga, bermasyarakat dan seterusnya bernegara merupakan suatu kehidupan yang terikat dengan hukum Islam. Apabila kehidupan bernegara itu terikat dengan hukum Islam, maka undang-undang di dalamnya juga sudah sepatutnya merupakan undang-undang ataupun perlembagaan berlandaskan hukum Islam. Dan hukum-hukum Islam adalah hukum-hukum dari ALLAH Ta’ala ataupun berdasarkan ijtihad ulama’ daripada hadith-hadith RasuluLLAH SAW ataupun sekurang-kurangnya ijma’ para ulama’. Ianya tetap akan kembali kepada Islam.
Menolak hukum-hukum ALLAH SWT dan mengambil hukum-hukum buatan manusia bermaksud menafikan agama Islam, sekaligus menolak ajaran daripada ALLAH SWT. Menolak hukum ALLAH SWT adalah syirik dan bermaksud kufur kepada ALLAH SWT. Penolakan ini juga menempah bala kehancuran daripada ALLAH SWT. Azab seksanya merangkumi kehinaan di dunia dan kesengsaraan hidup di Akhirat kelak.
FirmanuLLAHu Ta’ala yang bermaksud;
“Apakah hukum jahiliah yang mereka kehendaki dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada hukum ALLAH SWT bagi orang-orang yang yakin?”
(Surah al-Maidah ayat 50).
Mentafsirkan ayat ini, Imam alHafiz Ibn Kathir berkata;
“ALLAH menempelak mereka yang menolak hukum ALLAH kerana mereka menolak hukum yang komprehensif kebaikannya, mampu mencegah segala kekejian serta bersifat adil…Contoh hukum yang dilaksanakan tanpa berlandaskan syariat ALLAH SWT ialah undang-undang negara bernama al-Yasaq yang dilaksanakan oleh golongan Tartar suatu ketika dahulu. Al-Yasaq ialah undang-undang yang diambil daripada ajaran Kristian, Yahudi, Islam dan agama lain, ditambah dengan ketetapan yang pernah diputuskan oleh Genghiz Khan, pemimpin Tartar. Sesiapa yang reda dengan perlembagaan ini, dia kufur kepada ALLAH”.
FirmanuLLAHu Ta’ala yang bermaksud;
“Wahai mereka yang beriman, masuklah ke dalam Islam secara keseluruhannya dan janganlah kamu ikut langkah-langkah syaitan. Syaitan adalah musuh yang nyata bagimu.”
(Surah al-Baqarah ayat 208).
Berdasarkan ayat ini, alHafiz Imam Ibnu Kathir dalam Tafsirul Quranul ‘Azhim berkata;
“ALLAH mengarahkan hambaNya yang membenarkan RasulNya supaya berpegang dengan segala ikatan Islam dan syariatnya serta meninggalkan segala larangannya sedaya upaya mereka.”
Nabi Muhammad SAW bersabda;
“ALLAH paling murka kepada mereka yang beragama Islam tetapi mengikut landasan jahiliyah dan juga kepada mereka yang ingin menumpahkan darah seseorang tanpa hak”.
(Hadith Riwayat atThabrani. Diriwayatkan juga oleh Bukhari dengan sedikit tambahan).
Saiyidina Umar alKhattab menegaskan;
“Kita adalah suatu golongan yang ALLAH muliakan dengan Islam. Apabila kita mencari kemuliaan dengan cara hidup yang lain daripada Islam, ALLAH akan menimpakan kehinaan ke atas kita”.
Imam al-Hasan berkata;
“Sesiapa yang berhukum dengan yang lain daripada hukum ALLAH SWT, dia sebenarnya berhukum dengan hukum jahiliyah”.
Dengan beberapa nas dan dalil yang dikemukakan, ianya amat terang dan nyata bahawa melaksanakan hukum Islam adalah wajib dan tiada kompromi. Pemerintah yang mengakui ketuhanan ALLAH SWT, dan mengakui kerasulan Muhammad SAW, serta membenarkan Kitab AlQuran sepatutnya melaksanakan hukum-hukum Islam apabila menjalankan pemerintahan.
Perlaksanaan hukum Islam dalam bernegara bermaksud mendirikan sebuah kerajaan ataupun negara Islam. Apabila menyentuh berkenaan mendirikan negara Islam ini, berlaku kontroversi yang melanda di kalangan masyarakat tentang persepsi mereka terhadap matlamat penubuhan negara Islam ini.
Ada yang menganggap bahawa matlamat ini adalah tidak praktikal di negara-negara yang mempunyai berbilang agama dan bangsa. Lebih teruk lagi, timbul dakwaan yang mengatakan bahawa apa yang ingin diwujudkan (penubuhan negara Islam) itu merupakan tidak relevan dengan zaman dan mengikut cara padang pasir di zaman purba kala. Munculnya dakwaan-dakwaan jahil ini adalah kerana kurangnya kefahaman orang Islam itu sendiri berkenaan dengan hukum-hukum Islam dan juga kita gagal menerangkan kepada orang bukan Islam tentang konsep negara Islam yang sebenar-benarnya.
Dalam aspek agama, Islam tidak membenarkan paksaan dalam beragama. Oleh itu, penganut agama lain dibenarkan menganut dan beramal dengan ajaran mereka.
FirmanuLLAHu Ta’ala yang bermaksud;
“Tidak ada paksaan untuk memasuki agama Islam”(Surah alBaqarah ayat 256)
Mereka tidak boleh diganggu atau dilarang melakukan perkara yang dibenarkan oleh agama mereka. Contohnya yang berkait dengan makanan, minuman dan lain-lain kecuali dalam perkara yang tidak berperikemanusiaan seperti upacara mengorbankan manusia yang berlaku di kalangan agama zaman dahulu. Mereka bebas melakukan upacara perkahwinan dan berkeluarga mengikut agama masing-masing. Hukum ini dikawal oleh syariat Islam yang dipetik secara nyata dalam AlQuran, hadith dan ijma’ para ulama’. Kesan daripada hak ini dapat dilihat dengan terang dan nyata di kalangan etnik bukan Islam yang masih wujud di tengah-tengah masyarakat Islam. Meskipun dalam hal politik Islam tidak diizinkan tetapi kesan ajaran yang berlandaskan ‘aqidah dan syariat tetap meninggalkan rasa tanggungjawab kepada orang Islam.
Namun begitu, undang-undang murtad yang dicatat di dalam kitab-kitab Islam adalah berkait dengan penganut agama Islam sahaja. Undang-undang tersebut tidak menyentuh hak penganut agama lain yang masih berpegang dengan agama mereka. Hukum ini juga tidak ada hubungannya dengan kedudukan orang yang bukan Islam. Hukuman murtad dikenakan ke atas orang Islam yang mencabar agamanya dengan cara yang terbuka. Islam meletakkan orang yang murtad yang secara jelas sudah melanggar perjanjiannya dengan Tuhan (apabila dia mengucap dua kalimah syahadah) dan menjadi ancaman kepada keselamatan negara dan masyarakat. Sesuatu hukuman itu tidak dilaksanakan dengan sewenang-wenangnya dan ianya perlu dilakukan dengan adil dan diberi peluang perbicaraan sehingga ada bukti yang kukuh. Individu terbabit diberi masa untuk bertaubat dengan seluas-luasnya. Dalam masa yang sama, pemerintah perlu melakukannya dengan penuh kebijaksanaan bersama dengan badan kehakiman.
Maka dengan realiti yang sedemikian, bagaimana pula hukum Islam itu dikatakan tidak relevan dilaksanakan di negara-negara yang mempunyai rakyat berbilang bangsa dan agama? Bukan sahaja tidak terdapat paksaan untuk memeluk Islam, malah kebebasan untuk melakukan adat-istiadat agama sendiri juga terjamin selagi tiada kezaliman sesama makhluk dilakukan.
Bukti-bukti daripada Sirah Nabi SAW membuktikan bahawa Nabi Muhammad SAW selaku pemimpin negara telah berjaya mewujudkan sebuah negara Islam iaitu Madinah, walaupun pada hakikatnya penduduk majoriti pada ketika itu adalah orang bukan Islam. Baginda berjaya mengharmonikan antara orang Islam dengan bukan Islam di bawah pentadbirannya berlandaskan syariat ALLAH SWT. Orang bukan Islam bebas beragama mengikut kepercayaan masing-masing, melaksanakan aktiviti ekonomi mereka, aktiviti keagamaan mereka dihormati dan tiada paksaan ke atas mereka memeluk Islam.
Semua ini menunjukkan tanda-tanda kejayaan sebuah kerajaan apabila hukum-hukum Islam dilaksanakan di dalamnya. Ini juga menjadi suatu dalil yang menunjukkan bahawa tidak wujud kekangan dalam menubuhkan negara Islam/ menegakkan hukum-hukum Islam dalam negara yang mempunyai rakyat berbagai agama dan kepercayaan.
Mungkin ada yang berkata bahawa kemajuan tidak dapat dicapai sekiranya kita melaksanakan undang-undang kolot padang pasir ini untuk sesebuah negara. Kenyataan ini bertentangan dengan prinsip Islam yang sememangnya menerima sesuatu yang baik selagi mana tidak terdapat percanggahan dengan syariat.
Semasa mentafsirkan ayat 96-97 dari Surah alKahfi (yang mengisahkan penggunaan teknologi/kaedah yang digunakan oleh raja Zulqarnain mengalahkan Yakjuj dan Makjuj), Said Hawwa dalam al-Asas fit Tafsir berkata;
“Orang-orang Islam dituntut supaya menggunakan hukum sebab-musabab dan tidak mengharapkan kejadian yang luar biasa bagi mencapai kejayaan. Kisah yang terdapat dalam surah ini menunjukkan Zulqarnain menggunakan pendekatan sebab-musabab yang pelbagai bagi mencapai matlamat perjuangan beliau dan aspek ini diabaikan oleh umat Islam hari ini”.
Telah berkata asSyahid Imam Hasan alBanna dalam bukunya Usul 20;
“Islam membebaskan akal, mendorong supaya menganalisis dan mengamati kejadian alam sekeliling. Islam mengangkat tinggi kedudukan ilmu dan ahli-ahli ilmu serta mengalu-alukan sesuatu yang baik dan bermanfaat. Hikmah (atau ilmu pengetahuan) adalah sesuatu yang hilang daripada tangan seorang mukmin. Di mana sahaja beliau mendapatinya, beliaulah yang lebih berhak memilikinya”.
Selain daripada dakwaan-dakwaan seperti yang telah disebutkan, tidak kurang juga ada sesetengah daripada golongan masyarakat dan tidak ketinggalan juga dari kalangan pemimpin yang merasakan bahawa matlamat penubuhan negara Islam ini merupakan suatu teori yang bersifat ideal, yang mana agak sukar untuk dicapai sehingga ke tahap itu. Pandangan ini boleh disanggah dengan banyak ayat-ayat alQuran yang antaranya bermaksud;
FirmanuLLAHu Ta’ala yang bermaksud;
“ALLAH tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.”
(Surah al-Baqarah ayat 286)
“Kemudian Kami jadikan kamu berada di atas suatu syariat (peraturan) daripada urusan agama, maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu ikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui”
(Surah al-Jathiyah ayat 18)
Berdasarkan kedua-dua ayat yang telah disebutkan tadi, amatlah jelas bagi kita untuk melihat bahawa setiap hukum-hukum berlandaskan syariat sememangnya merupakan suatu hukum yang realistik dan relevan untuk dilaksanakan dan ianya berpijak pada bumi yang nyata. Tiada istilah ‘idealisme’ dan ‘tidak mungkin’ jika ALLAH SWT telah mentaklifkannya untuk dikerjakan oleh manusia. Malah, ianya menandakan bahawa perkara yang ditaklifkan ke atas manusia itu merupakan perkara yang mampu dilakukan olehnya.
Perlu kita ingat bahawa kita sebagai manusia merupakan makhluk ciptaan ALLAH SWT, dan semestinya Yang Menciptakan itu tahu apa yang sesuai untuk bekalan hidup makhlukNya. Maka mengapa pula kita perlu menolak sesuatu yang sememangnya sudah cukup dan merupakan yang terbaik bagi kita, lantas kita ambil hukum-hukum buatan manusia yang tidak menepati syariat dan tidak menepati ‘nature’/sifat semula jadi/fitrah/naluri manusia.
Bala menolak hukum ALLAH SWT telah banyak melanda dunia sejak akhir-akhir ini. Jenayah seperti kecurian, rompakan, pembunuhan serta kes-kes seperti zina dan lain-lain semakin menular kerana semakin beraninya manusia untuk melanggar undang-undang, yang mana merupakan ciptaan manusia sendiri. Hukum buatan manusia tidak mampu untuk menandingi hukum-hukum ALLAH SWT Yang Maha Bijaksana kerana manusia sendiri tidak berkuasa untuk menundukkan seratus-peratus nafsunya. Jadi apabila hukum yang mampu mengawal manusia diketepikan, maka rosaklah manusia.
Supaya kehidupan kita dirahmati ALLAH SWT, kita wajib berusaha mendaulatkan undang-undang Islam sebagaimana yang sudah ditegakkan oleh Nabi Muhammad SAW dalam masyarakat majmuk di Madinah. Apabila umat Islam tidak memuliakan Islam, tidak ada sesiapa pun yang akan memuliakan Islam.
Saya mengajak saudara sekalian untuk sama-sama menghayati semula maksud Islam Yang Syumul/Lengkap/Sempurna/Menyeluruh yang pernah kita sama-sama pelajari suatu ketika dahulu, dengan menghayati firman ALLAH SWT serta kata-kata di bawah;
FirmanuLLAHu Ta’ala yang bermaksud;
“Pada hari ini Aku sempurnakan agamamu untuk kamu dan Aku sempurnakan nikmatKu ke atasmu dan Aku redhai Islam menjadi agamamu.” (Surah al-Maidah ayat 3)
Al-Hafiz Imam Ibn Kathir dalam Tafsir alQuran al’Azhim berkata, “Ini adalah nikmat yang paling agung yang dikurniakan ALLAH SWT kepada umat ini. Apabila ALLAH SWT menyempurnakan agama ini, umat Islam tidak memerlukan agama lain selain Islam dan mereka juga tidak memerlukan Nabi lain (selepas Nabi Muhammad SAW). Tidak ada perkara yang halal melainkan apa yang dihalalkan oleh Islam dan tidak ada perkara yang haram melainkan apa yang diharamkan Islam, tidak ada cara hidup lain melainkan yang berlandaskan syariat yang diturunkan ALLAH..”.
Dan juga firmanuLLAHu Ta’ala yang bermaksud;
“Apakah kamu beriman dengan sebahagian daripada al-Kitab dan kufur dengan sebahagian yang lain? Tidak ada balasan ke atas mereka yang melakukan demikian melainkan mendapat kehinaan di dunia dan di hari kiamat mereka akan dikembalikan kepada azab yang paling keras..”(Surah al-Baqarah ayat 85).
As-Syeikh Said Hawwa dalam al-Asas fit Tafsir berkata,”ALLAH mewajibkan ke atas umat ini perkara yang diwajibkan ke atas umat terdahulu iaitu menegakkan hukum-hukum al-Kitab (al-Quran dalam konteks umat hari ini). Kita sudah menegakkan sebahagian daripadanya namun pada masa yang sama kita pinggirkan sebahagian yang lain, lantas ALLAH SWT menimpakan bala ke atas kita berbentuk kehinaan di dunia dan di akhirat nanti azabnya pasti lebih dahsyat lagi..”.
Serta kata-kata asSyahid Imam Hasan alBanna dalam kitab Usul 20 karangan beliau;
“Ajaran Islam mencakupi kesemua bidang kehidupan. Islam adalah negara dan watan, atau pemerintah dan umat. Ia adalah akhlak dan kekuatan, atau rahmat dan keadilan. Ia juga adalah pengetahuan dan undang-undang, atau ilmu dan kehakiman. Islam juga menekankan aspek kebendaan dan harta, atau usaha dan kekayaan. Di samping itu Islam juga mementingkan jihad dan dakwah, atau ketenteraan dan fikrah. Islam adalah ‘aqidah yang benar dan ‘ibadah yang sah”.
WaLLAHua’lam,
Ibn ‘AbdiLLAH/ Ghulam asSarawaki
11 Mac 2008 / 3 Rabi’ul Awwal 1429H.
Rujukan:
Islam dan Demokrasi; Dato’ Seri Hj Abdul Hadi Hj Awang; di bawah Bab: Prinsip Politik Islam
Empayar Minda Muslim; Dr. Danial Zainal Abidin
Yeahhh PUASA LAGI,SYUKUR.
11 years ago
No comments:
Post a Comment