MUQADDIMAH
Beberapa bulan yang lalu, saya ada menyebut tentang perlunya gerakan Islam mempunyai perencanaan dan perancangan yang rapi dalam gerak kerjanya (rujuk entri : Gerakan Islam Memerlukan Perencanaan). Salah satu daripada aspek penting yang sangat teramat perlu diambil kira ialah dari segi perlaksanaan agenda tarbiyah itu sendiri yang mungkin perlu dipermantapkan lagi ataupun perlu ditekankan dan dijadikan sebagai fokus utama sebelum seseorang ahli gerakan Islam itu layak berdepan dengan lapangan ummat.
Hal ini demikian kerana wabak yang kronik ataupun acute akibat ‘tidak cukup’ tarbiyah (nak kata tarbiyah tidak cukup, hakikat tarbiyah itu berterusan sepanjang hayat) seringkali membawa kepada epidemic yang kita kenali sebagai Al-Mutassaqit dan Futur.
Al-Mutassaqitun bermaksud Golongan Yang Tercicir manakala Futur pula Hilang Semangat Dalam Perjuangan (apabila dibaca dengan huruf ta. Tapi apabila dibaca dengan huruf tho, ianya memberi makna breakfast ataupun boleh juga berbuka puasa – indahnya bahasa ‘Arab).
Antara symptom-simptom yang boleh dilihat pada penghidap penyakit-penyakit ini adalah:
- kurang aktif untuk melibatkan diri dalam usrah dan gerak kerja jamaah.
- Sering memberikan alasan apabila diajak untuk melibatkan diri dalam program-program ‘amal Islami.
- Wujud unsur escapism apabila diberikan suatu tugas
Sebelum sempat wabak-wabak ini menular kepada ahli yang lain, saya merasakan bahawa amat perlu untuk kita mengenali punca-punca ataupun asbab keciciran golongan yang berada di Tariq Ad-Da’wah / Jalan Da’wah ini sebagai langkah pertama bagi membendung gejala ini daripada terus merebak.
Adapun, apa yang saya tuliskan dalam entri ini dan juga entri-entri berkaitan pada masa akan datang merupakan rumusan kepada tulisan Ustaz Fathi Yakan. Untuk mendapatkan garapan yang lebih lanjut dan mendalam, saya suggest anda untuk dapatkan sahaja buku ini.
Menurut Ustaz Fathi Yakan di dalam bukunya “Al-Mutasaqitun ‘ala Tariq al-Da’wah” / Golongan Yang Tercicir Di Sepanjang Jalan Da’wah, sebab-sebab yang membawa kepada keguguran bukanlah satu tetapi banyak. Adakalanya disebabkan oleh gerakan itu sendiri, adakalanya disebabkan oleh anggota gerakan Islam itu sendiri dan ada pula
yang bersebab dari suasana yang memberikan tekanan.
Bermula pada bab pertama yang menyatakan (ewah, macam bahasa kitab kuning pulak!) akan dia sebab-sebab berhubung dengan gerakan itu sendiri.
Faktor-faktor berhubung dengan gerakan
- Kelemahan Dari Sudut Tarbiyyah
- Tidak Meletakkan Seseorang Di Tempat Yang Sesuai
- Tidak Membahagi-bahagikan Kerja Kepada Anggota
- Tidak Mengambil Berat Hal Ahli
- Tidak Menyelesaikan Persoalan Dengan Segera
- Pertikaian Dalaman
- Pimpinan Tidak Layak
Faktor #1: Kelemahan Dari Sudut Tarbiyah
Tarbiyah merupakan satu faktor kritikal dalam survival seorang ahli gerakan Islam. Tarbiyah yang mantap, maka dia mempunyai bekalan dalam membawa da’wah dan berjuang dalam lapangan ummat. Sebaliknya jika lemah tarbiyah, kemungkinan besar dia akan hanyut mengikut aliran-aliran menyesatkan yang kuat memerangi pemikiran ummat masa ini.
Berkemungkinan juga dia akan gagal dalam menilai-banding yang mana satu antara pilihan di depan matanya yang lebih awla/utama.
Mengambil contoh yang praktikal dalam konteks perjuangan Islam seperti PAS, risiko keciciran ahli gerakan boleh berlaku sekiranya sudut atau bidang tarbiyah hanya mengambil ruang yang kecil berbanding dengan pentadbiran, penyusunan dan politik di mana bidang-bidang ini hampir mengambil keseluruhan ruang.
Apabila seseorang ahli itu lebih prihatin terhadap agenda siasah dan lebih banyak mementingkan hal-hal semasa mengatasi kepentingan tarbiyah, maka dia lebih cenderung untuk menjerumuskan dirinya ke dalam lembah futur dan mutassaqit.
Menurut Ustaz Fathi Yakan, perkara ini jelas sekali dapat dilihat dalam cara hidup para pemimpin gerakan, para pentadbir dan para mas’ul (orang yang diberi tanggungjawab) menguruskan soal-soal politik dan kemasyarakatan yang tidak prihatin terhadap urusan-urusan tarbiyah samada dari segi teori ataupun ‘amali.
Natijah daripada para pemimpin yang bersikap ignorant terhadap hal ini ialah tindakan dan cara mu’amalah (perhubungan) mereka jauh sekali dari berpedomankan akhlak Islamiyyah. Cara mu’amalah mereka jauh dari berbentuk rabbaniyyah dan ‘uzubah ar-ruhaniyyah (kesedaran rohani).
Mas’ul dalam politik dan pentadbiran, kemasyarakatan atau lain-lain berdasarkan tanggungjawabnya boleh jadi berpuas hati dengan kedudukannya – berpuas hati dia telah mencapai tahap menjadi pucuk pimpinan tanpa merasakan apa-apa lagi kekurangan diri, rohani dan tarbiyyah. Tanpa merasakan kepada perlunya makanan iman dalam hidupnya.
Banyak ayat-ayat ALLAH SWT yang menerangkan betapa iman dalam dada manusia itu boleh bertambah dan boleh berkurang (al-yazid wa yankus):
4. (Tuhan Yang membuka jalan kemenangan itu) Dia lah Yang menurunkan semangat tenang tenteram ke Dalam hati orang-orang Yang beriman (semasa mereka meradang terhadap angkara musuh) supaya mereka bertambah iman dan yakin beserta Dengan iman dan keyakinan mereka Yang sedia ada; pada hal Allah Menguasai tentera langit dan bumi (untuk menolong mereka); dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. (Surah Al-Fath ayat 4)
13. Kami ceritakan kepadamu (Wahai Muhammad) perihal mereka Dengan benar; Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda Yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahi mereka Dengan hidayah petunjuk. (Surah Al-Kahfi ayat 13)
17. dan (sebaliknya) orang-orang Yang menerima petunjuk (ke jalan Yang benar), Allah menambahi mereka Dengan hidayah petunjuk, serta memberi kepada mereka (dorongan) untuk mereka bertaqwa.
Dan juga sabda Rasul-Nya yang bermaksud:
“Sesungguhnya iman yang berada di dalam hati kamu menjadi lusuh seperti mana lusuhnya pakaian. Oleh itu mohonkanlah dari ALLAH Taala supaya Dia memperbaharui iman di dalam hati kamu” (HR at-Thabrani dan al-Hakim).
Maka, dengan realiti ini seorang ahli gerakan itu baik dari peringkat qiyadi (pimpinan) sehinggalah ke peringkat barisan pejuang (jundiyyah) mestilah mengikuti tarbiyyah biar betapa sibuk atau dalam apa jua keadaan sekalipun. Malah dalam keadaan da’wah menghadapi suasana yang buruk, tarbiyyah lebih perlu diberi perhatian. Manusia perlu kepada riayah dan mengingati ALLAH SWT, terutama lagi dalam keadaan yang tegang seperti itu.
Contoh praktikal: ada ahli yang hanya fokus kepada sudut siasah dan isu-isu semasa. Sikap cakna seperti ini memang patut dipuji – kerana dia sensitif terhadap persekitarannya. Masalahnya ialah tempang dari sudut tarbiyyah; tarbiyah yang memastikan dirinya pada landasan yang betul dalam tindakannya sebagai seorang ahli gerakan Islam. Maka apabila ada musibah yang melanda jemaah, dia cenderung untuk membuat keputusan sendiri dan tidak mahu akur dengan keputusan jemaah, malah berbantah-bantahan dengan golongan qiyadah (pemimpin) dalam soal keputusan jemaah. Sedangkan dalam proses tarbiyyah, seseorang itu dilatih untuk menjadi seorang yang taat kepada pemimpin (wala’).
Sebuah gerakan yang daya tarbiyyahnya lemah dan tidak dapat mentarbiyyah seluruh anggotanya akan menyebabkan kecacatan gerakan itu sendiri. Analoginya seperti tubuh badan seseorang yang tidak bersenam, akan lebih mudah mendapat serangan penyakit (termasuk otak yang kurang cerdas). Berbeza pula dengan seseorang yang memang rapi penjagaan kesihatannya, perkara sebaliknya yang berlaku.
Oleh itu, Manhaj Tarbiyyah perlu sentiasa dikemaskini dan dikaji sesuai dengan keperluan dan suasana. Kegiatan tarbiyyah tidak boleh terputus kerana sesuatu darurat atau program (‘amal).
Seluruh anggota gerakan, tanpa kecuali mestilah mengikuti tarbiyyah dari masa ke semasa. Hubungan anggota dengan harakah hendaklah berasaskan kepada asas hubungannya dengan ALLAH dan Islam. Perlu diingatkan bahawa gerakan ataupun jemaah hanyalah wasilah (alat) dan bukan ghayah (matlamat). Ianya adalah wasilah untuk melaksanakan perintah ALLAH dan usaha memperolehi keredhaanNya; bukan untuk mencapai kepentingan diri.
Jemaah tidak mahu ahlinya hanya tahu mengibarkan bendera time kempen, berdemo dan berprotes sahaja tanpa pengisian yang membentuk akhlak-akhlak Islamiyyah yang sebenar-benarnya di kalangan ahli. So, kalau ada tamrin – jangan lari dari tamrin, kalau ada usrah, jangan lari dari usrah.
Ibn ‘AbdiLLAH As-Sarawaki
Ahad, 2 November 2008, 10:58 am.
1 comment:
Salam...
menarik artikel ni...sebab ada kartun.
ana suka tengok gambar kartun... hehe...
anyway, keep blogging. satu penulisan yang baik n bermanfaat utk semua. moga kita semua terselamat dari golongan yang tercicir.
Post a Comment