Darussyifa' Online

Darussyifa' Online
klik pada imej untuk ke link

BIC Smart Shop

BIC Smart Shop
klik pada imej untuk ke pautan

Boikot Zionis La'natuLLAH!

Boikot Zionis La'natuLLAH!
klik pada imej untuk ke link

klik pada imej untuk ke link

klik pada imej untuk ke link

Selamatkan Gaza!

Selamatkan Gaza!
klik pada imej untuk ke link

Monday, December 22, 2008

Perkongsian Ilmu Fiqh : Bacaan Makmum


Salam'alaykum warahmatuLLAH wabarakatuh..

Setelah beberapa bulan yang telah berlalu saya memuatkan serba sedikit perkongsian ilmu fiqh di dalam blog ini, saya merasakan bahawa sudah sampai masanya untuk saya kembali membawakan isu ilmu fiqh sebagai perkongsian. Jangan salah faham apabila saya katakan saya mahu membawa isu ilmu fiqh ataupun perbincangan, terus dikatakan ingin memandai-mandai dalam hal ehwal fiqh ini. Apa yang ingin disampaikan ialah sekadar suatu perkongsian ilmu dan saya tidak bermaksud untuk mentarjih apalagi untuk memberikan keputusan muktamad bahawa inilah hukum sebenarnya, itu tidak tepat, ini tidak betul. Di sini yang ingin disampaikan adalah sekadar pengetahuan bersama.

Mungkin ada yang bertanya apa faedahnya?

Saya memandang bahawa apabila seseorang itu sudahpun mengalungkan dirinya dengan kalungan perjuangan Islam, saya merasakan bahawa pengetahuan dari segi ilmu fiqh juga adalah suatu perkara yang crucial dalam berdakwah. Sebagai seorang da'i yang bakal berhadapan dengan lapangan/ lautan ummat yang sudah semestinya mempunyai pelbagai kerenah dan juga berbagai tingkatan pemahaman, adalah lebih baik juga kita berkenalan dengan serba sedikit pendapat-pendapat yang sedia wujud di dalam berbagai mazhab fiqh terutamanya mazhab yang empat* - sebagai persediaan kepada kemungkinan, andaikata kita bertembung dengan aneka ragam dalam soal peribadatan dan muamalah (yang kita rasakan asing) yang bakal kita temui semasa memasuki komuniti masyarakat suatu hari nanti, agar kita kenal bahawa perkara yang dilakukan itu ada sandarannya dan kita tidak terus mendakwa seseorang itu tersesat ataupun terpesong secara membuta tuli. Ini juga membenarkan minda kita membuka ruang untuk menerima dan menilai pandangan orang lain secara berfikiran terbuka dan profesional, dan bukan menyanggah pendapat orang lain secara taksub dan fanatik mazhab.

Sekali lagi saya ingin perjelaskan bahawa saya tidak berniat mentarjih, mendatangkan satu fatwa yang baru, apatah lagi untuk memberikan keputusan muktamad bahawa pendapat itu benar dan pendapat ini salah. Saya cuma sekadar memindahkan kata-kata ulama' dari kitab karangan mereka (amanah ini akan saya lakukan secermat mungkin agar tidak lari dari maksud teks asal kitab), sekadar mahu menyatakan bahawa perkara ini wujud - agar apabila kita bertembung dengan cara yang berlainan sekali berbanding apa yang kita amalkan, kita tidak akan segera menyanggah dan menolak mentah-mentah pandangan yang dipegangnya.

*Mazhab Hanafi, Maliki, Syafi'i dan Hanbali.
_________________________________________________________________



Salah satu daripada perbincangan yang biasa dikemukakan ialah bacaan Al-Fatihah di kalangan makmum semasa solat berjemaah. Di sini, saya membawakan beberapa petikan teks dari beberapa kitab/buku fiqh yang membincangkan hal ini:

Di dalam buku "Wuduk dan Solat Menurut Sunnah dan Mazhab Syafie", karangan Ustaz Abu Ruwais Al-Syubrawi di bawah bab 14: Rukun Solat, dengan subtopik "Hukum Membaca Al-Fatihah Bagi Makmum Ketika Solat Jahr (dikuatkan bacaan)" :

"Wajib membaca al-Fatihah sama ada ketika solat bersendirian atau berjemaah. Namun, ulama berbeza pendapat mengenai bacaan al-Fatihah bagi makmum ketika solat yang perlu dikuatkan bacaannya, iaitu pada solat Subuh, Maghrib dan Isyak.

Pertama, wajib membaca al-Fatihah berdasarkan umum hadis.

Sabda RasuluLLAH SAW: " Tidak sah solat bagi sesiapa yang tidak membaca Fatihatul Kitab (al-Fatihah)." - Hadith Riwayat Al-Bukhari, Muslim, Abu 'Uwanah dan Al-Baihaqi.

Sabda RasuluLLAH SAW: "Sesiapa yang solat tidak membaca Fatihatul Kitab (al-Fatihah) solat kurag, kurang, kurang, tidak sempurna." - Hadith Riwayat Muslim dan Abu 'Uwanah.

Kedua, tidak perlu membaca al-Fatihah dan wajib mendengar bacaan imam.

Syeikh Al-Albani mengatakan, RasuluLLAH SAW pada asalnya hanya melarang makmum membaca surah di belakang imam kecuali al-Fatihah. Kemudian, baginda melarang para sahabat membaca apa jua bacaan ketika solat berjemaah. RasuluLLAH SAW bertanya para sahabat: "Adakah sesiapa antara kamu membaca sesuatu di belakang imam? Sahabat menjawab: Ya. RasuluLLAH SAW berkata: Jangan kamu lakukan lagi. Kecuali Al-Fatihah, kerana tidak sah solat bagi sesiapa yang tidak membaca Al-Fatihah." - Hadith Al-Bukhari, Abu Daud, dan Ahmad. Al-Tirmizi dan Al-Daruqutni mengklasifikasikannya sebagai hasan.

Selepas itu, baginda melarang membaca sesuatu ketika solat berjemaah, samada Al-Fatihah atau surah lain. Ini kerana, terdapat peristiwa ketika solat subuh berjemaah. Bacaan baginda terganggu kerana terdengar bacaan makmum.

Sabda RasuluLLAH SAW: "Adakah sesiapa antara kamu mengikut bacaanku tadi? Seorang lelaki menjawab: Ya, aku wahai RasuluLLAH. Nabi SAW bersabda: Kamu jangan lagi mengikut bacaanku." Hadith Riwayat Al-Bukhari. Hadith ini bersanad sahih dalam bab: Bacaan di belakang imam.

Sabda Nabi SAW: "Imam dijadikan untuk diikuti. Apabila dia bertakbir, bertakbirlah. Apabila dia membaca, maka diamlah." - Hadith Riwayat Ibn Abi Syaibah, Abu Daud, Muslim, Abu 'Uwanah, dan Al-Rawayani.

Sabda RasuluLLAH SAW: "Bacaan imam sudah cukup bagi sesiapa yang bersolat bersama imam." -Hadith Riwayat Ibn Abi Syaibah, Al-Daruqutni, Ibn Majah, Al-Tahawi dan Ahmad.

Hadith ini disokong oleh Syeikh Al-Islam Ibn Taimiyah seperti yang dijelaskan dalam Kitab Al-Furu' oleh Ibn Abdul Hadi. Al-Bushairi mengklasifikasikannya sebagai sahih. - Rujuk Kitab Irwa' al-Ghalil, no 500.

Kesimpulannya, kedua-dua pendapat ini sahih insya-ALLAH. Namun, pendapat yang tepat ialah tidak membaca al-Fatihah di belakang imam dan memadai mendengar bacaan imam. Oleh itu, jika makmum ingin membaca Al-Fatihah, dia hendaklah membacanya ketika imam senyap atau jika imam memberhentikan bacaannya. Jika imam meneruskan bacaan tanpa diam seketika selepas membaca al-Fatihah, makmum boleh membacanya ketika imam sedang membaca surah.

Namun, pendapat yang lebih tepat ialah mendengar bacaan imam tanpa membaca al-Fatihah jika solat berjemaah. Ia hanya wajib bagi solat bersendirian sahaja."
- Teks dipetik terus dari buku 'Wuduk dan Solat Menurut Sunnah Dan Mazhab Syafie" tulisan Ustaz Abu Ruwais Al-Syubrawi.


Di dalam Kitab Fiqh dan Perundangan Islam Jilid 1/ Fiqhul Islami Wa Adillatuh Al-Juz' Al-Awwal oleh Dr Wahbah Al-Zuhaili, di dalam Fasal 5: Rukun Sembahyang, Bab Rukun Sembahyang Yang Disepakati Ulama', di bawah Rukun Ketiga: Pembacaan al-Qur'an Bagi Orang yang Berupaya, subtajuk: Bacaan Makmum M/S 671-679.

Saya membawakan petikan teksnya:
"Menurut pendapat ulama' Hanafi, makmum tidak dikenakan bacaan, berdasarkan bukti-bukti berikut:

1. Dalil Al-Qur'an iaitu firman ALLAH SWT: "Terjemahan: Dan apabila dibacakan al-Qur'an, maka dengarlah serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya) supaya kamu beroleh rahmat. (Surah Al-A'raaf ayat 204)

2. Dalil Hadith iaitu sabda Nabi SAW: "Sesiapa yang bersembahyang di belakang imam, maka bacaan imam dikira bacaan juga baginya". Riwayat Abu Hanifah dari Jabir r.a.

Ini termasuklah bacaan nyaring atau tidak. Sabda Baginda Nabi SAW lagi: "Sesungguhnya dijadikan imam untuk diikuti. Apabila ia bertakbirlah hendaklah kamu bertakbir, dan apabila ia membaca hendaklah kamu diam." Riwayat Muslim daripada Abu Hurairah.

Hadith lain pula bermaksud: "Bahawa Nabi Muhammad SAW melakukan sembahyang Zuhur. Seorang lelaki membaca di belakangnya. Setelah selesai sembahyang, Baginda bertanya, 'Siapakah di antara kamu yang membaca?, ' atau 'Siapakah pembaca?' Lalu lelaki itu menjawab, 'Aku.' Baginda pun berkata ,'Aku menyangka sebahagian kamu mengganggu dalam bacaan." -Hadith yang disepakati daripada 'Umran bin Husain.

Ini menunjukkan larangan membaca dalam sembahyang sirriyah (perlahan). Oleh itu, dalam sembahyang jahriyyah (nyaring) lebih-lebih lagi ditegah membaca.

3. Dalil al-Qiyas (Kias)

Jika makmum diwajibkan membaca, maka sudah tentu orang masbuq juga diwajibkan membaca sebagaimana rukun-rukun lain. Maka mereka mengqiyaskan bacaan makmum dengan bacaan orang masbuq daripada segi hukum, iaitu tergugur kewajipan membaca, maka bacaan makmum tidak disyara'kan.

Tetapi ulama' Syafi'i berpendapat bacaan al-Fatihah sama ada secara hafalan, melihat al-Qur'an. mengikut orang lain atau seumpamanya mesti dilakukan oleh imam, makmum dan juga orang yang bersembahyang secara individu dalam setiap raka'at, sama ada sembahyang jahriyyah atau sirriyah dan sama ada sembahyang fardhu atau sunat, berdasarkan dalil-dalil:

Nabi SAW bersabda "Tiada sembahyang bagi sesiapa yang tidak membaca Fatihah (Fatihatul Kitab).

Juga sabdanya lagi: "Tidak memadai sembahyang yang tidak dibaca di dalamnya Fatihah (Fatihatul Kitab)." - Riwayat Ibn Khuzaimah dan Ibn Hibban di dalam kitab Sahih mereka.

Juga Hadith Riwayat 'Ubadah bin Samit r.a yang bermaksud: "RasuluLLAH SAW telah melakukan sembahyang subuh, maka baginda terasa bacaannya terganggu. Apabila Baginda selesai sembahyang, lalu Baginda bersabda, 'Bahawasanya aku lihat kamu membaca di belakang imam?' Katanya ('Ubadah bin Samit r.a), 'Kami menjawab, 'Ya RasuluLLAH, benarlah.' Lalu Nabi pun bersabda, 'Jangan kamu membaca, melainkan dengan al-Fatihah, kerana bahawasanya tiada sembahyang bagi orang yang tiada membaca di dalamnya." -Riwayat Abu Daud, Al-Tirmizi, Ahmad dan Ibn Hibban, Kitab Subul al-Salam jilid 1 halaman 170.

Menurut pendapat yang masyhur di kalangan ulama' Maliki dan ulama' Hanbali, bacaan al-Fatihah dalam setiap raka'at diwajibkan ke atas imam dan juga orang yang sembahyang secara individu. Adapun makmum tidak harus membaca al-Fatihah dalam sembahyang jahriyyah, tetapi digalakkan membacanya dalam sembahyang sirriyah, kerana perintah dalam Al-Qur'an supaya mendengar dan diam dengan menumpukan perhatian kepada bacaan Al-Qur'an adalah khusus bagi sembahyang jahriyyah.

Ini berdasarkan kepada hadith yang bermaksud "Bahawa Nabi Muhammad SAW setelah selesai daripada suatu sembahyang yang mana bacaan di dalamnya nyaring, lalu baginda bertanya, "Adakah sesiapa di kalangan kamu membaca sekejap tadi?" Seorang lelaki menjawab, "Ya, wahai RasuluLLAH SAW". Lalu baginda bersabda "Sesungguhnya aku ingin berkata kepada kamu sekalian : kenapa aku diperlawankan dengan al-Qur'an? (Kenapa setelah aku membaca, kamu juga membaca?)"

Setelah mendengar sabda RasuluLLAH SAW itu, orang ramai (para makmum) tidak lagi membaca apabila RasuluLLAH SAW membaca dalam sembahyang-sembahyang yang dinyaringkan bacaannya.-Hadith Riwayat Abu Daud, An-Nasa'i dan At-Tirmidzi daripada Abu Hurairah, dan hadith itu adalah Hadith Hasan.

Dalil pendapat mereka yang menggalakkan bacaan dalam sembahyang sirriyah ialah sabda Nabi Muhammad SAW: "Apabila aku memperlahankan bacaanku, maka hendaklah kamu semua membaca" -Hadith Riwayat Ad-Daruqutni dan At-Tirmidzi.

Dr Wahbah Zuhaili menambah lagi: Jelas bahawa pendapat terakhir ini lebih utama daripada pendapat-pendapat lain berdasarkan keselarasan antara bukti ayat al-Qur'an yang menunjukkan wajib mendengar bacaan al-Qur'an dan bukti hadith yang menunjukkan digalak membaca dalam sembahyang sirriyah dan tidak ada perkara yang membolehkan seseorang berdiam dalam sembahyang perlahan. Tetapi saya berkeberatan untuk meninggalkan bacaan al-Fatihah secara mutlak berdasarkan hadith yang disepakati ulama' yang diriwayatkan daripada 'Ubadah yang bermaksud "Tiada sembahyang bagi orang yang tidak membaca Umm Qur'an (Al-Fatihah)."
-Petikan terus daripada kitab Fiqh dan Perundangan Islam Jilid 1 oleh Dr Wahbah Al-Zuhaili, m/s: 671-679.

____________________________________________________________________

Maka, daripada apa yang telah saya kemukakan tadi, saya harap agar dapat dijadikan sebagai bukti bahawa perlunya kita melebihkan sikap toleransi dalam menerima pandangan dan cara pengamalan seseorang yang kadangkala nampaknya asing bagi kita, berbanding meliarkan orang dan memaksa mereka untuk pendapat kita sahaja, serta menuduh pandangan yang mereka pegang itu tidak betul.

Ini kerana perbezaan dari sudut fiqh ini adalah berlegar di sekitar suatu masalah yang tidak mempunyai nas yang tetap dan ruang lingkup perbincangan di dalamnya adalah luas. Ianya adalah perkara cabang/furu' di mana ijtihad (khusus untuk orang yang berkelayakan dengan syarat-syarat tertentu) adalah dibenarkan selagi tidak bercanggah dengan nas-nas syara'. Perkara cabang yang mempunyai percanggahan pendapat tidak memberikan kesan negatif kepada 'aqidah seseorang.

Sekali lagi saya ingin memperjelaskan bahawa entri ini bukan bertujuan untuk memberi keputusan muktamad akan pendapat yang paling tepat, ianya cuma sekadar usaha memberi-faham dan memberi-tahu bahawa perlunya da'i bersedia untuk bertembung dengan bermacam-macam lagi pendapat di luar sana, sebelum seorang da'i itu terus membuta tuli menuding jari menyatakan orang itu salah, orang itu tak betul sedangkan dirinya masih lagi dangkal dan kurang mengetahui.

Di sini saya hanya mampu memberikan dua sumber rujukan walaupun sebenarnya banyak lagi kitab-kitab di luar sana yang turut menyebut tentang permasalahan bacaan makmum tadi, dan perbincangan dan jawapan-jawapan yang dikemukakan adalah mirip-mirip belaka.

WaLLAHuta'ala a'lam.

Senarai rujukan:

1. Kitab Fiqhul Islami Wa Adillatuh Al-Juz' Al-Awwal / Kitab Fiqh dan Perundangan Islam jilid 1 oleh Dr Wahbah Al-Zuhaili terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka.

2. Wuduk dan Solat Menurut Sunnah dan Mazhab Syafie oleh Ustaz Abu Ruwais Al-Syubrawi, terbitan Karya Bestari Sdn Bhd.

Ibn 'AbdiLLAH As-Sarawaki
2;24 am
22 Disember 2008, Selasa
Bintulu, Sarawak.

No comments:

Katakan "TAK NAK" Kepada Tabarrujul Jahiliyah!

Katakan "TAK NAK" Kepada Tabarrujul Jahiliyah!
klik pada imej untuk ke link

klik pada imej untuk ke link

klik pada imej untuk ke link

Alternatif Fesyen Islami

Alternatif Fesyen Islami
klik pada imej untuk ke link

Jom Belajar Bahasa Arab

Jom Belajar Bahasa Arab
klik pada imej untuk ke link

Video-video Pilihan

Ustaz Ismail Kamus - Nafsu Makan Ustaz Ismail Kamus - Alam Jin Ustaz Azhar Idrus - Banduan Akhirat Ustaz Azhar Idrus - Tidur 20 Tahun