“SEKITAR 1992, hangat diperkatakan mengenai Garis Panduan mengenai peri laku artis. Malah garis panduan ini turut diperbincangkan pada peringkat kabinet bagi memastikan selebriti di negara ini mengamalkan cara berpakaian dan penampilan sesuai budaya di negara ini. Perkara utama yang diberi perhatian ialah dari segi wajah dan pakaian ketika muncul di kaca televisyen, filem dan pentas, tingkah laku, pertuturan bersopan dan berperibadi yang tinggi. Dari segi pakaian pula, mereka perlu mematuhi cara dan budaya ketimuran iaitu sama sekali tidak menjolok mata.Hasilnya terjadilah kes artis kena gam dan lebih teruk digunting rambut oleh Menteri Penerangan ketika itu. Ramai juga artis yang semakin berhati-hati dengan penampilan mereka kerana tidak mahu ‘periuk nasi' mereka ditutup.
Bagaimanapun, usaha ini sudah boleh dikatakan tinggal hangat-hangat tahi ayam. ‘Baunya' saja pun sudah tidak sekeras dulu, malah terus tenggelam. Selepas 15 tahun, boleh dikatakan garis panduan ini sudah terus lenyap begitu saja. Jika dulu artis berpakaian nampak ketiak dan lurah dada menjadi topik hangat diperkatakan, tetapi hari ini seakan tiada sesiapa yang peduli lagi apabila kebanyakan artis wanita dilihat lebih gemar tampil mengenakan gaun berkemban atau baju bertali halus seperti yang lazim digayakan artis Barat.
Ada kalanya, lebih seksi gaya ditampilkan lebih mendapat pujian terutama perekanya. Apabila ada artis yang berpakaian sopan menutup tubuh, dia dikatakan artis kampung yang tidak pandai bergaya.Apa yang membimbangkan, mahu atau tidak mahu kita terpaksa menerima hakikat bahawa gaya artis ini turut menjadi ikutan remaja masa kini. Jika diteliti, 90 peratus penggemar dan pengikut dunia hiburan adalah remaja yang baru hendak mengenal adat dan budaya bangsa.
Persoalannya, bagaimana remaja boleh diharapkan untuk meneruskan adat dan budaya bangsa pada masa depan sedangkan mereka terus ‘disogok' dengan gaya hidup Barat yang berlawanan dengan agama, malah budaya Timur? Banyak kajian yang dijalankan ke atas remaja terbabit dengan masalah sosial juga jenayah juvana memberikan alasan terpengaruh dengan apa yang mereka tonton dan bahan yang dibaca berkaitan program dan acara hiburan. Beberapa pemimpin pertubuhan bukan kerajaan wanita yang sempat ditemui turut menyuarakan kegusaran mereka terhadap budaya negatif ini dan menggesa agar pihak berwajib segera memastikan agar garis panduan etika artis yang ada dilaksanakan dengan tegas.
Presiden Pertubuhan Wanita Antarabangsa Malaysia dan juga Pakar Motivasi, Dr Robiah Kulop Hamzah, berkata garis panduan dan etika berpakaian penting bagi golongan ini kerana mereka biasanya menjadi ikutan remaja masa kini."Kita sangat bimbang apabila artis bebas berpakaian sehingga tidak mengambil kira lagi adab budaya di negara ini. Tidak kira dia itu artis beragama Islam atau tidak, adab Timur mesti dipatuhi kerana tidak mahu kehilangan identiti kita sendiri," katanya.Beliau berkata, apa yang berlaku hari ini amat menyedihkan apatah lagi artis yang di bawah persatuan sedia ada seperti tidak melakukan sebarang usaha membendung gejala yang sudah pun menular ini. "Kita jangan marah remaja apabila mereka berpakaian tidak senonoh kerana hari ini golongan artis sudah seperti diberikan lesen untuk tampil dengan pakaian meruntun jiwa penonton. Kalau ada pakaian berciri Melayu pula sudah diubah suai seperti korset yang dipakai di luar dengan dada serta bahu terdedah," katanya.Beliau berkata, artis yang mendedahkan tubuh hakikatnya belum mempunyai kekuatan untuk bergelar artis dan berdepan dengan masyarakat. Mereka seharusnya sedar, sebagai artis, mereka mendapat perhatian berbilang masyarakat tidak kira tua, muda mahupun remaja."Apa yang perlu dibangunkan adalah dunia seni yang membantu memajukan masyarakat dan bukannya seni tubuh dengan perjuangan kebebasan berpakaian. Tidak salah berfesyen asal ia tidak merosakkan budaya apatah lagi bertentangan agama. "Jika mahukan nama dan hasil karya terus meniti di bibir peminat, mereka harus menitik beratkan perjuangan seni dengan identiti serta mesej jelas bukannya hanya glamor semata-mata dengan budaya cedokan Barat," katanya.
Sementara itu, Ketua Pergerakan Wanita Jemaah Islah Malaysia (JIM), Prof Dr Harlina Haliza Siraj, berkata melihat kepada keruncingan cara berpakaian artis hari ini, sudah sampai masanya garis panduan etika berpakaian di kalangan mereka dikuatkuasakan segera."Ini selaras dengan 50 tahun negara mencapai kemerdekaan yang memerlukan masyarakat memiliki identiti tersendiri. Apa yang penting, peraturan dalam perkara ini perlu jelas. Mungkin sudah ada, tetapi tidak dikuatkuasakan. Dulu sudah ada peraturan yang ditetapkan Kementerian Penerangan, artis yang tampil di kaca televisyen atau khalayak perlu tampil tanpa menjolok mata," katanya.Beliau berkata, artis dan selebriti di negara ini tidak kira apa bangsa perlu menghormati budaya Timur yang mementingkan adab dalam berpakaian. "Walau bagaimana glamor sekalipun, golongan ini perlu berpegang kepada falsafah, di mana bumi di pijak, di situ langit di junjung. Kalau tidak hormat atau segan pada agama, hormatilah budaya. Jangan kerana mengejar glamor dan ingin mendapatkan perhatian, semua perkara ini dipandang remeh. "Mahu atau tidak, mereka harus sedar bahawa mereka juga menjadi contoh remaja hari ini. Mereka yang tampil berpakaian seksi hakikatnya memiliki keyakinan diri yang rendah dan cuba menutupi kelemahan itu dengan menarik perhatian dengan cara lain," katanya.
Lihat saja penampilan artis wanita Malaysia pada Anugerah Planet Muzik (APM) yang diadakan di Singapura, baru-baru ini. Boleh dikatakan 90 peratus mengenakan baju ala kemban yang mendedahkan bahagian dada dan bahu. Malah, dalam kebanyakan majlis membabitkan artis, boleh dikatakan kebanyakannya memilih baju moden yang seksi. Berbanding artis negara jiran, khususnya Indonesia yang dilihat lebih bijak bergaya apabila sering mengutamakan baju tradisional mereka seperti kebaya sekali gus mencerminkan identiti bangsa.
INFO Etika artis
1 November 1992-Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyiarkan secara langsung majlis simbolik pemotongan rambut penyanyi kumpulan Search, Amy dan penyanyi kumpulan Wings, Awie oleh Menteri Penerangan ketika itu, Datuk Mohamed Rahmat.
1993- Kod Etika Perilaku Artis diedarkan kepada artis dan persatuan yang terbabit di dalam dunia hiburan, merangkumi empat aspek penting:
1. Menjaga dan mengekalkan disiplin dan maruah diri ketika mengadakan persembahan di khalayak ramai atau ketika muncul di kaca televisyen.
2. Menjaga nama baik artis daripada sebarang gosip liar yang menjejaskan imej diri dan industri hiburan keseluruhannya.
3. Mengutamakan kesopanan dari segi berpakaian dan tutur kata ketika berhadapan dengan orang ramai di dalam sesuatu pertunjukan atau berlakon di dalam filem dan drama.
4. Berpegang teguh terhadap tatasusila ketimuran, bangsa, negara dan agama.
1 Ogos 2004 RTM mula memberi kelonggaran untuk artis berambut panjang dan berpakaian agak seksi kerana khuatir RTM akan ketinggalan dalam arus persaingan industri penyiaran negara.
……..”
Artikel dari http://www.zaharuddin.net/ di bawah tajuk “Artis Kerjaya Seni Yang Haram”
Daripada artikel yang saya sertakan di atas, terdapat beberapa khulasah (kesimpulan) yang boleh saya buat:
1. Kod Etika yang telah digariskan gagal dilaksanakan oleh pihak-pihak tertentu, malah akhirnya mereka pula yang terpaksa menggadaikan atau sekurang-kurangnya melonggarkan prinsip yang termaktub dalam Kod Etika tersebut dengan alasan tidak mahu ketinggalan serta atas dasar persaingan, menjadikan mereka hanyut dan tenggelam, serta integriti dan kredibiliti mereka boleh dipersoalkan dalam hal ini.
2. Jangan hairan apabila kes-kes rogol semakin menular dalam masyarakat dan seolah-olah menjadi satu epidemik dari hari ke hari. Antara penyumbang utama kepada masalah ini adalah budaya dalam hiburan itu sendiri yang menyaksikan artis-artis menjaja bentuk tubuh mereka tanpa segan silu samada di kaca televisyen, atau di atas pentas. Tambahan pula di zaman ini, pakaian yang diperagakan seolah-olah menggambarkan di Malaysia ini sudah tidak cukup kilang kain ataupun ulat sutera semakin pupus ataupun artis itu sendiri (yang pada hakikatnya menerima bayaran ratusan ribuan ringgit) seolah-olah tidak mempunyai peruntukan yang cukup untuk membeli pakaian untuk menutup tubuhnya. Lambakan arits-artis kebelakangan yang semakin berani menampakkan bentuk tubuh mereka tentu sahaja menggiurkan sesiapa sahaja yang melihatnya. Maka, nafsu buas yang bergelojak tersebut pasti akan membawanya ke arah memuaskan nafsu binatangnya itu dan kanak-kanaklah yang menjadi mangsanya.
3. Tujuan hiburan di zaman ini semakin menyimpang dari tujuannya yang sebenar. Hiburan yang sepatutnya memberikan ketenangan kepada jiwa seseorang, memberikan semangat dalam kehidupan, dan lebih penting lagi untuk mendekatkan diri seseorang kepada ALLAH SWT, kini telah dicemari dengan hiburan-hiburan yang lebih layak dibuang ke dalam tong sampah. Contohnya, nyanyian pada zaman ini yang banyak berputar di sekitar cinta kepada manusia semata-mata, putus cinta dan lain-lain yang tidak membawa apa-apa nilai kepada pendengarnya. (Rujuk artikel saya yang lepas: Asal Sesuatu Itu Adalah Harus)
4. Dengan berlakunya kepupusan perlaksanaan Kod Etika tersebut, jelas sekali liberalisme (secara sedar atau tidak) semakin menular dan lebih menakutkan lagi – SEMAKIN DITERIMA BAIK dan SEMAKIN LARIS, termasuk di dalam negara yang mengaku sebagai Negara Islam – termasuklah Malaysia. Dalam keadaan di mana tidak 100% Hukum Islam tidak ‘dapat’ dilaksanakan, situasi masyarakat Islam di Malaysia dan di negara-negara lain semakin gawat dan tertekan dengan arus gelombang yang berkeras menolak Islam. Keadaan yang lebih menyedihkan lagi adalah apabila golongan muslim yang tidak mempunyai kesedaran dan kefahaman yang betul tentang Islam, mereka dibutakan dan dikelirukan dengan gelombang liberalisme ini dan menyatakan secara mudah, “Islam Menerima Keterbukaan Seperti Ini”. Mereka juga akhirnya cenderung untuk melabel sesiapa yang berusaha sedaya-upaya berjihad menolak liberalisme ini sebagai EKSTREMIS!!! Wal ‘iyya dza biLLAH.
Oleh itu, marilah sama-sama kita memanjatkan doa agar kita dijauhkan dari penyakit kabur mata dan kabur jiwa akibat penipuan dajjal seperti ini, lebih-lebih lagi di zaman fitnah yang serba mencabar ini.
WaLLAHua’lam
Ibn ‘AbdiLLAH/ghulam asSarawaki’
2 Julai 2008, Rabu, 5.02pm
Yeahhh PUASA LAGI,SYUKUR.
11 years ago
No comments:
Post a Comment