Di zaman manusia dilanda hebat dengan fitnah ini, kehidupan kaum Muslimin semakin ditekan dari setiap penjuru. Gelombang sekularisme dan juga anjakan hedonisme yang semakin hebat dari hari ke hari menyebabkan seseorang Muslim itu dicabar oleh kehendak survival dalam dirinya, dan pada masa yang sama ditambah pula dengan cabaran-cabaran yang datang dalam bentuk ujian yang cuba untuk menggugat keimanannya; di mana iman dan hawa nafsu sentiasa bertarung dalam dirinya.
Arus kehidupan zaman ini tersedia penuh dengan mehnah dan tribulasi untuk meragut iman dari jiwa seseorang Muslim itu. Bukan sahaja tertekan dengan trend kehidupan masa kini yang dijaja oleh Barat yang kian mempengaruhi kaum Muslimin sendiri untuk meragui aqidah pegangannya dan meninggalkan ajaran agamanya, malah kehidupan seorang Muslimin di zaman ini juga memerlukan dirinya untuk sentiasa terus berada dalam keadaan ekspress. Manakala, kehidupan di zaman ekspress ini pula menuntut kepada perlunya segala urusan kaum Muslimin itu dipermudahkan.
Dipermudahkan – bukanlah bermaksud memperingan-ringankan untuk tujuan memenuhi hawa nafsu, tetapi mempermudahkan kehidupannya agar hak ALLAH SWT dapat dipenuhi, tuntutan ALLAH ke atas dirinya dapat dilaksanakan pada masa yang sama dia mengejar masa dalam kehidupannya di zaman serba ekspress ini. Itulah hakikat masa kini, semuanya mahu serba pantas. Tidak hairanlah Dr Yusuf Qaradhawi sendiri menyebut zaman dewasa ini sebagai zaman ‘sandwich’ – zaman sandwich di mana setiap orang tidak mempunyai masa untuk makan di meja santapan dengan sempurna, sebaliknya lebih cenderung untuk makan berjalan.
Maka di sinilah menurut Dr Yusuf AbduLLAH Al-Qaradhawi di dalam bukunya, Fiqh Al-Awlawiyyat (Fiqh Keutamaan : Keutamaan Tugas-tugas Kaum Muslimin) bahawa perlunya keutamaan dalam memberikan keringanan dan kemudahan ke atas sikap memperberatkan dan menyusahkan. Seruan ini ditujukan kepada semua yang membawa seruan Islam, baik penda’wah sehinggalah ke peringkat mufti. Beliau meletakkan tajuk ini di bawah bab “Keutamaan Dalam Bidang Fatwa dan Dakwah”.
Kenapa perlu kepada “kepermudahan” ini?
Sebab yang pertama : Dalil-dalil daripada al-Qur’an dan Sunnah RasuluLLAH S.A.W menunjukkan bahawa memberikan keringanan dan kemudahan adalah suatu amalan yang disukai oleh ALLAH SWT dan Rasul-Nya. Terdapat firman ALLAH SWT, di antaranya yang bermaksud:
“ALLAH mengkehendaki kemudahan bagimu dan tidak menghendaki kesukaran bagimu..” (Surah al-Baqarah : 185)
“ALLAH hendak memberikan keringanan kepadamu, dan manusia dijadikan bersifat lemah” (Surah an-Nisa’ : 28)
“ALLAH tidak hendak menyulitkan kamu, tetapi Dia hendak membersihkan kamu dan menyempurnakan nikmat-Nya bagimu, supaya kamu bersyukur.” (Surah al-Ma’idah : 6)
Serta banyak hadith-hadith RasuluLLAH SAW, antara sabdaannya yang bermaksud :
“Sepaling baik (ajaran) agama kamu ialah yang paling mudah” Hadith riwayat Imam Ahmad dan Imam al-Bukhari.
“Agama yang paling disukai ALLAH ialah agama yang lurus dan mudah” Hadith riwayat Imam Ahmad dan Imam al-Bukhari.
“Sesungguhnya ALLAH Ta’ala menyukai mereka yang melakukan rukhsah-Nya (kemudahan); sepertimana Dia membenci mereka yang melakukan maksiat kepada-Nya” Hadith riwayat Imam Ahmad, Ibn Hibban dan Al-Baihaqi.
Ummul Mu’minin Sayyidatina ‘Aisyah r.a pernah berkata:
“Apabila RasuluLLAH SAW diberikan dua perkara untuk dipilih, maka baginda akan memilih perkara yang lebih mudah selama ianya bukan perkara (yang membawa) dosa; dan apabila perkara tersebut membawa kepada dosa, maka bagindalah orang yang paling menjauhinya.” Hadith riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim.
Baginda Nabi Muhammad SAW juga pernah bersabda :
“Permudahkanlah olehmu, janganlah mempersusah. Berilah khabar gembira dan janganlah membuat orang lari daripadamu (menjauhkan diri daripada Islam).”
Hadith riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim.
Pada kesempatan lain, baginda bersabda:
“Hanyasanya kalian dibangkitkan untuk memberikan kemudahan (kepada manusia), bukan untuk menyebabkan kesusahan bagi mereka”. Dan sabdanya lagi, “Hanyasanya aku dibangkitkan dengan (membawa agama) yang lurus dan mudah”.
Anjuran daripada dalil-dalil yang telah dikemukakan tadi amat jelas membuktikan bahawa kemudahan perlulah diutamakan dalam kehidupan kaum Muslimin, mengatasi perbuatan memperberat apatah lagi menyulitkan urusan mereka. Mengambil rukhsah dan kemudahan menjadi semakin nyata dan amat dianjurkan apabila adanya suatu hajat dan keperluan kepadanya, samada kerana lemah, sakit, umur yang sangat tua ataupun kerana dalam keadaan yang sangat susah dan sulit serta yang seumpamanya.
Sebab yang kedua : Realiti zaman yang sedang kita hadapi ini di mana perkara-perkara kebendaan atau material sudah begitu pesat maju dan melangkah mendahului perkara kerohanian dan spiritual, perasaan individualistik dan hanya mementingkan urusan diri sendiri telah melupakan urusan dan kemusykilan yang dihadapi orang lain, sikap hanya mencari kepentingan dan manfaat duniawi lebih penting daripada nilai-nilai akhlak murni.
Begitu banyak ajakan, daya tarikan dan pelawaan untuk melakukan kejahatan dan dosa dengan berbagai cara dan halangan serta rintangan untuk melakukan kebaikan dan amal soleh. Sehinggakan sesiapa sahaja yang berusaha untuk berpegang teguh kepada ajaran agamanya bagaikan seseorang yang sedang mengenggam bara api, begitu susah dan begitu berat, kerana arus dan gelombang kekufuran, kezaliman, dosa dan maksiat menghentamnya dari berbagai penjuru dan sudut, cuba untuk menarik dirinya dari kekuatan dan ikatan iman, untuk dihanyutkan dalam lautan dosa dan kekufuran sehingga tidak akan kembali lagi ke pelukan iman.
Arus gelombang dan aliran kekufuran itu didokong dan dibantu oleh satu kekuatan yang sangat dahsyat di mana ianya mendapat bantuan kewangan, taktik, strategi dan bimbingan secara teratur untuk mencapai matlamatnya. Bagi sesiapa yang suka dan mengikuti arus seperti ini akan mendapat sokongan dan kemudahan untuk memenuhi semua nafsu syahwatnya, mungkin juga boleh cepat naik pangkat dan darjatnya.
Di sini dapat dibayangkan bagaimana keadaan seseorang individu muslim yang hidup dalam ruang lingkup kehidupan seperti ini. Sesungguhnya dia hidup dalam dugaan dan ujian yang sangat berat dan sentiasa berada dalam situasi peperangan jiwa dan mental antara mempertahankan keimanan dan akhlak di jiwa dengan dorongan hawa nafsu. Tidak ramai yang dapat membantu dan menolongnya, malah banyak yang menegah dan menghalang dirinya daripada terus berpegang teguh dengan nilai-nilai Islam.
Maka, dalam keadaan yang sedemikian rupalah mereka yang membawa suara Islam, terutamanya para ulama’ dan ahli fatwa diseru dan seharusnya memberikan kemudahan dan keringanan setakat yang mungkin, memberikan lebih banyak rukhsah (keringanan) daripada ‘azimah (hukum yang asal) dengan tujuan untuk mentarghib dan memberikan kecintaan baginya akan ajaran agama Islam dengan tujuan memperkukuh dan memperteguh pegangannya terhadap Islam.
Imam Nawawi r.a meriwayatkan kata-kata bijak yang disampaikan oleh salah seorang ulama’ yang warak, soleh dan tinggi ilmunya, iaitu Imam Sufyan At-Thauri r.a, katanya: “Sesungguhnya orang yang arif dalam fiqah itu ialah yang memberikan rukhsah (keringanan), sedangkan menetapkan hukum yang berat itu boleh dilakukan oleh setiap orang”
Maksudnya, orang yang faqih dan berilmu sebenar menurut pandangan Imam At-Thauri ialah orang yang sentiasa mengambil kira rukhsah ataupun keringanan dan kemudahan bagi hamba-hamba ALLAH SWT, dengan syarat beliau ialah seorang yang teguh dalam ilmu dan agamanya.
Begitu juga dengan sikap para sahabat Nabi dan generasi yang pernah belajar dari mereka selalu memberikan kemudahan dan keselesaan kepada manusia.
Al-Hafiz Abu Fadl Ibn Tahir meriwayatkan dalam kitabnya, As-Sima’ dari Umar bin Ishaq, seorang dari kalangan generasi tabi’in, katanya : “Aku pernah berjumpa dengan lebih dua ratus sahabat Nabi Muhammad SAW, tidak pernah aku melihat perjalanan hidup manusia yang paling selari dengan hidayat ALLAH dan bersikap lemah lembut kepada manusia selain daripada mereka”.
Demikian hakikat sebenar sikap para ulama salaf. Apabila mengambil sikap keras, maka hanya ke atas diri mereka sendiri. Akan tetapi, sikap mereka terhadap orang lain ialah mereka selalu berusaha sedaya upaya untuk memberikan kemudahan dan keringanan.
Imam Al-Muzanni, sahabat kepada Imam Syafie r.a menggambarkan sikap para ulama’ salaf dengan memuji mereka, katanya: “Mereka (ulama’ salaf) adalah orang-orang yang paling mengambil sikap keras ke atas diri sendiri dalam kewarakan, dan memberikan kemudahan bagi orang lain.”
Begitu juga dengan Imam Muhammad Ibn Sirin r.a yang disifatkan sebagai “Seorang yang mengambil sikap keras dalam kewarakan dan perihal agama untuk dirinya sendiri, dan bersikap lemah lembut serta memberikan kemudahan untuk ummat Nabi Muhammad SAW”.
Demikian pegangan para ulama salaf dalam sikap mereka terhadap orang lain, memberikan perkara-perkara yang mudah dan senang walhal zaman mereka adalah zaman di mana orang sangat cinta dan sukakan ajaran agamanya, apatah lagi di zaman kita ini, di mana orang tidak cintakan ajaran agama bahkan lari meninggalkannya.
Sememangnya pada zaman ini, kehidupan manusia amat memerlukan kepada urusan mereka dipermudahkan – dalam keadaan iman mereka yang amat lemah dan mungkin akan lari apabila berhadapan dengan sesuatu yang bersifat syadid (keras) dan al-Ahwat (lebih berhati-hati). Arus pancaroba yang seolah-olah kian melenyapkan ataupun melunturkan semangat seseorang untuk terus komited terhadap agamanya menjadikan keadaan zaman ini sebagai salah satu sebab kenapa kita perlu bersikap memberikan rukhsah ataupun kemudahan kepada orang lain.
Bermulanya era taqlid dan tidak mahu mengkaji isi-isi Al-Quran dan Sunnah adalah pada zaman terkemudian, dan epidemik inilah yang telah banyak menular di zaman ini. Maka, bermulalah perspektif dan pandangan terhadap agama disempitkan, lebih-lebih lagi dalam hukum-hukum fiqh. Kecintaan terhadap isi-isi kitab lama (yang mana ada di antara isi-isinya mungkin tidak relevan pada masa sekarang) melebihi kecintaan terhadap dalil-dalil tsabit dari Al-Qur’an dan Sunnah yang tidak boleh disangkal lagi telah menyebabkan kebebalan sesetengah orang yang mendakwa membawa agama untuk membawa pendapat-pendapat yang keras dan memberatkan kaum Muslimin – justeru menyukarkan dan menyulitkan lagi keadaan orang yang mahu mengamalkan ajaran agamanya.
Mempermudah bukanlah bermakna menghalalkan sesuatu yang sememangnya haram, dan memberikan keringanan bukanlah bermaksud hendak mencari jalan yang membawa ke arah pertembungan dengan ajaran ALLAH SWT.
Masih lagi ragu-ragu? Masih lagi tidak yakin dan percaya? Jawapan saya, telaahlah semula isi Al-Qur’an, selaklah kembali kitab-kitab Hadith, nescaya kita temui jawapan yang bisa membuka mata kita.
Usah ditanya ataupun difikirkan mengenai minat seseorang yang bukan Islam untuk memeluk Islam jika orang Islam sendiri sudah lari meninggalkan agamanya kerana beban kesusahan yang dirasai oleh dirinya dalam usahanya untuk mentaati ajaran agama dan pada masa yang sama, cuba untuk hidup dalam dunia serba fitnah masa kini – hanya kerana disebabkan kecuaian kita untuk memupuk kecintaan dalam kaum Muslimin sendiri untuk lebih mencintai agamanya.
WaLLAHua’lam,
Al-Faqir ilaLLAH,
Ghulam As-Sarawaki
UPM Kampus Bintulu
24 Julai 2008, Khamis, 9.00 am
Rujukan:
Prof Dr Yusuf AbduLLAH Al-Qaradhawi : Fiqh Al-Awlawiyyat : Dirasah Jadidah fi Daw’i al-Qur’an wa as-Sunnah / Fiqh Keutamaan : Satu Kajian Baru Dari Perspektif Al-Qur’an dan As-Sunnah.
Prof Dr Yusuf AbduLLAH Al-Qaradhawi : Al-Fatwa bayn al-Indhibat wa at-Tasayyub”/ Fatwa : Antara Ketelitian dan Kecerobohan.
Yeahhh PUASA LAGI,SYUKUR.
11 years ago
No comments:
Post a Comment